June 12, 2017

Travelog Korban Ho Chi Minh - Part 1

10 Zulhijjah 1437H:

Suara takbir mendayu-dayu bergema dari Masjid Al Rahim Malaysia Indonesia. Ia menerobos ke ruang angkasa bandar Ho Chi Minh iaitu antara bandar paling sibuk di negara Vietnam.

Sebaik turun dari bas, rombongan kami yang terdiri dari 30 orang ahli ini terus bergotong-royong mengatur makanan di atas meja. Pagi itu kami bersarapan di pekarangan masjid tertua yang dibina sejak tahun 1885.  

Dikatakan terdapat 200,000 orang Islam di negara Vietnam berbanding seluruh rakyatnya yang berjumlah 90 juta. Dan daripada jumlah itu hanya lima ribu orang Islam sahaja yang mendiami bandar Ho Chi Minh. Kebanyakannya tinggal di sekitar Masjid Al Rahim ini. Insya-Allah, pagi ini pasti kami dapat bersua wajah dengan mereka.

Terasa berbeza 
Suasana pagi raya Aidiladha kali ini terasa sungguh berlainan. Apa tidaknya, ketika kami sedang menjamu selera dengan nasi himpit, kuah lontong serta rendang, di kaki masjid ini para peniaga meriah berjualan dan menghidangkan aneka sup panas.

Timbul persoalan di hati kami semua, tidak berayakah mereka? Baru kami teringat, memandangkan hari itu adalah hari Isnin, maka kebanyakan warga Ho Chi Minh bekerja seperti biasa. Hanya yang bekerja sendiri boleh turut sama meraikan hari bermakna ini di masjid. Kehadiran rombongan kami ini setidak-tidaknya meramaikan lagi para jemaah di pagi Aidladha ini.

Khutbah raya
Sebaik takbir berhenti, solat sunat Aidiladha pun didirikan.  Kaum wanita solat di tingkat empat iaitu di tingkat teratas sekali. Sebaik selesai, imam masjid pun berkhutbah dalam bahasa tempatan. Sesekali dia menyebut nama Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s. dan beberapa petikan ayat al-Quran. Hanya itu saja yang kami fahami. 

Selebihnya kami hanya diam menelur lantai sambil melempar senyum manis kepada beberapa jemaah wanita yang turut mengerjakan solat di tingkat empat, iaitu tingkat paling atas sekali. Hendak berbual bahasa menjadi halangan. 

Saya dan Puan Azian sempat berkenalan dengan warga dari China yang datang pada awal pagi. Begitu juga sepasang suami isteri dari Kanada. 

Khutbah raya ini berakhir dengan sesi bersalam-salaman. Kekangan bahasa bukan penghalang malah semangat ukhuwah dan persaudaraan sesama saudara se-Islam terjalin begitu pantas.

Masjid Al Rahim, masjid yang bersejarah di bandar Ho Chi Minh, Vietnam. 

Penduduk tempatan menikmati hidangan sup panas dan air sejuk yang dijual sepanjang jalan ini.  

Menikmati lontong dan rendang yang dibawa siap dari tanah air. Kopi ais kami beli dari penjaja di luar masjid. 

No comments:

Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ...