March 19, 2010

Jom Ramai-ramai ke Pesta Buku!



Salam semua, mulai hari ini sehinggalah 28 hb Mac 2010 ini, sekali lagi Team ANIS dan ASUH akan memeriahkan booth Galeri Ilmu Sdn Bhd di PWTC. Jadi bagi anda para pencinta buku dan majalah kesayangan ini janganlah lepaskan peluang kerana inilah masanya anda boleh mendapatkan diskaun menarik. Tahun ini GISB memeriahkan PBAKL ke 29 dengan menerbitkan banyak lagi buku-buku baru. Selain buku-buku tarbiah rohani, novel-novel remaja dan dewasa dengan acuan dakwah Islami boleh juga dijadikan koleksi menemani hidup anda mendepani pelbagai cabaran dan dugaan dalam hidup.

Jom apa lagi ramai-ramailah kita ke sana. Sama-samalah kita memeriahkan hidup ini dengan membudayakan diri dengan buku...Jumpa di sana!

March 11, 2010

Kadar Kesuburan Wanita Malaysia Menurun?

Pagi semalam sempat jugak terdengar celoteh Ustaz Zamri Zainal Abidin dan Zarita Kasim di rancangan Nur Pagi Radio IKIM. Isunya panas jugak sebab banyak respons yang diterima. Isu yang dipetik daripada keratan akhbar ini cukup mengundang banyak persoalan. Apakah penyelesaiannya jika para wanita semakin terkehadapan dan memilih hidup untuk mengutamakan pendidikan dan kerjaya? Sama-sama kita renung dan fikirkan...

KUALA LUMPUR 10 Mac - Kadar kesuburan di kalangan wanita Malaysia dijangka turun mendadak pada tahun 2015 iaitu 2.05 kanak-kanak bagi seorang wanita berbanding 2.2 kanak-kanak pada 2007.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman berkata, hasil kajian kadar kesuburan di kalangan wanita Malaysia dari 1995 hingga 2007 menunjukkan penurunan setiap tahun yang mengakibatkan penurunan kadar populasi penduduk negara ini.
Hasil kajian itu membuktikan kadar kesuburan pada 1995 yang mencatatkan 3.4 kanak-kanak bagi seorang wanita turun kepada 2.9 pada tahun 2000 dan akhirnya 2.2 pada 2007.
"Wanita Malaysia mengalami penurunan tahap kesuburan setiap tahun dan tahap kesuburan wanita dalam kumpulan umur antara 15 dan 49 tahun merosot dengan pantas, dan ini boleh menjejaskan tahap populasi di negara kita pada masa depan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Forum Konsultatif Siri 3, Kajian Pelan Strategik Kependudukan kedua, di sini hari ini.
Menurut Aminah, punca utama masalah itu adalah sikap mereka yang lebih mengutamakan kerjaya dan terlepas daripada lingkungan umur yang sesuai untuk mendirikan rumahtangga.
Selain itu, terdapat juga golongan wanita mengamalkan trend tidak mahu berkahwin atau lebih berminat kepada gaya hidup bebas tanpa sebarang ikatan, katanya.
Kebanyakan wanita berpendidikan tinggi pula mengalami kesukaran untuk mencari pasangan yang sesuai dengan mereka kerana bilangan lelaki yang melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi semakin berkurangan.
"Terdapat juga wanita berkerjaya yang ingin mendirikan rumahtangga mengalami kesukaran untuk mencari pasangan yang sesuai dengan mereka, dan akibatnya mereka terpaksa berkahwin dengan lelaki yang lebih muda, ataupun lelaki yang lebih rendah taraf hidup daripada mereka," kata Aminah.
Bagi mengatasi masalah ini, LPPKN dengan bantuan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) kini dalam usaha mengadakan beberapa program di seluruh negara untuk menggalakkan pasangan muda berkahwin pada usia yang sesuai.
Katanya, diharapkan menerusi program itu kadar kesuburan dan populasi masyarakat Malaysia akan meningkat pada masa akan datang. - BERNAMA

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...