March 28, 2013

Part 2: Travelog Singapura - Kembara 5 Sahabat

Antara kenalan kami ketika bermusafir ke Singapura - atas, Encik Hamzah Abdullah, anak angkat @ sukarelawan bawah, Hj Buah dari Banjarmasin dan Pn. Zarina, sukarelawan yang melayani sarapan kami di Masjid Ba'alwi.


Antara khazanah berupa koleksi al-Quran, manuskrip lama dan foto-foto bersejarah yang masih tersimpan rapi di Masjid Ba'alwi.

Wajah-wajah para Muslimat yang menghadiri majlis Haul dan Maulid Habib Salem al-Attas kali ke-38 pada 7 Mac lalu. Lebih kurang 10,000 pengunjung hadir dari seluruh Asia Tenggara, Asia Tengah dan eropah.
Hmm, bayangkan apabila 5 serikandi ini menawan Bas Nice Executive Lounge - hebat tak, terasa barakahnya apabila kita pasang niat ziarah untuk majlis memuliakan Rasul. Terasa macam VVIP pula... sampai ke saat ini apabila mengenang pengalaman ini air mata akan menitis.
Inilah sahabat baik hjh aliyah Sijari yang menyambut ketibaan kami ketika tiba di Singapura, en Ramadan Daud dan isterinya, Azizan sempat menjamu kami makan sup tulang merah yang terkenal di arab Street. Terima kasih atas layanan baik anda berdua, insya-allah panjang umur kita bertemu lagi.

March 18, 2013

Kenangan 1 Mac 2013

Minggu ini adalah minggu-minggu kritikal bagi kami Team Editorial di Galeri Ilmu Media Group. Kalau dalam perlawanan bola sepak ia dipanggil waktu kecederaan. Jalan pun asyik menundukkan muka .. . Itu ayat-ayat popular yang sering berlegar di kalangan kami.

Kami semakin hampir ke destinasi akhir iaitu tarikh cetak majalah yang telah ditetapkan iaitu setiap 4 haribulan. Hmm... hari ini dah berapa hari bulan ya? 1 Mac 2013. Besok pula cuti Sabtu dan Ahad. Jawapan yang diberi Pengarah Penerbitan kami, kalau tak boleh final semua kakitangan Jabatan Editorial perlu bekerja esok hari. Noktah. Hmm, berkorban lagi...? Getus hati saya.

Kalau diikutkan rasa hati mahu saja saya bercuti hari ini. Sebab apa? Ini hari ulang tahun perkahwinan saya yang ke-23. Terasa seakan tidak percaya pula. Sudah 23 tahun rupanya aku bergelar isteri, kata hati.  Alhamdulillah, ikatan saya dan encik suami masih bertahan dan semoga ia terus mekar mewangi sehingga hujung nyawa.

23 tahun meredah belukar kehidupan, susah senang pahit derita dikongsi bersama. Sekejap bergaduh dan berbaik semula. Sedar-sedar uban sudah mula penuh di kepala. Anak-anak kami semakin dewasa. Anak-anak sahabat sudah ramai yang mendirikan rumah tangga. Ramai yang mula bertanya bila pula giliran kami bermenantu pula? Itu petanda usia kita semakin di remang senja.

"Ya Allah, kami mahu terus bercinta sehingga ke syurga... " doa saya di pagi Jumaat ini.

Pagi tadi saya pura-pura bertanya kepada encik suami, "Ingat tak hari ini hari apa?" Dia senyum tersipu-sipu. Mujurlah tarikh ini masih ada dalam ingatannya. Kalau tidak... he he ... anda fikirlah sendiri.



March 12, 2013

Berdandanlah Cara Nabi



Mencari teladan dalam hidup berumah tangga, selak kembali sirah Nabi Muhammad SAW.

Sering diriwayatkan bahawa baginda apabila hendak bersama dengan isteri-isterinya, baginda akan memakai bau-bauan wangi seperti ambar dan kasturi.

“Baginda akan bersihkan diri dengan mandi dan berwuduk terlebih dahulu. Ini menunjukkan kebersihan diri itu penting dalam hubungan suami isteri,” ujar Datin Sharifah Anisah Prof Tan Sri Syed Agil Barakbah dalam satu majlis diskusi mengenai ‘Rahsia Sihat Anggun Wanita’kira-kira 5 tahun lalu.

Katanya dalam sebuah hadis qudsi mengatakan, Allah itu Indah dan Dia menyukai sesuatu yang indah. Hadis ini membawa mesej agar para wanita tampil anggun dan menawan di hadapan suami. Dalam mengekalkan kekemasan diri, cukuplah air sebagai penyeri diri. Mandilah selalu terutamanya selepas memasak sebelum menghidang makanan di depan suami. Hatta hendak memilih ‘perfume’ pun, Datin Sharifah Anisah menyarankan wanita elok minta pandangan suami.

“Wanita elok tanya pandangan suami ‘perfume’ mana yang lebih dia sukai. Tidak terlalu kuat sehingga mengganggu pernafasan orang sekeliling kita pula, pakailah yang sederhana dan lembut baunya. Dalam rumah tangga elok berbincang, kalau tak boleh berbincang itu bukan berumah tangga namanya,” ulasnya memberi pandangan dalam soal berkaitan penampilan diri sebagai seorang isteri.

Memasak dan menyediakan hidangan boleh.Tapi seorang isteri juga mesti tahu keutamaan dirinya. Selepas menyiapkan hidangan bersiap dan berdandanlah untuk diri sendiri dan suami. Seperti mana kemas dan rapinya kita hendak keluar rumah, begitulah terlebih lagi untuk suami yang kita sayang dan hormati.

Rahsia Penjagaan Diri: Suami dan Isteri



"Bercantik-cantik dan
berdandanlah dari awal
kahwin sampai ke akhir
hayat. Suami dan isteri mesti
sama-sama berperanan
untuk mencipta bahagia
rumah tangga."



“Eh! Mama pakai cantik-cantik ni, nak pergi mana? “Tak ke mana-mana, duduk rumah aje…” Si anak hanya terkulat-kulat memandang wajah ibu yang bersolek rapi. Pelik sekali dia melihat perangai ibu pagi itu, selalunya kalau ibu bercantik-cantik begitu, itu tanda ibu akan keluar ke mana-mana. Tapi hari ini lain pulak alasannya. Agaknya si ibu sudah buang tabiat!

Duhai gadis yang akan melangkah gerbang perkahwinan, usah biarkan ‘tayangan realiti’ di atas terjadi sekali lagi dalam hidup anda. Bertahuntahun melayar hidup berumah tangga baru si isteri tersedar dari lamunan. Tersedar banyak kesilapan yang terbabas dalam hidup selama bergelar suri.Kalau sedar pun tapi nafsu mazmumah begitu tebal untuk membawa diri menuntut ilmu dalam bab-bab memperhalusi adab diri dengan suami. Tapi buat yang sudah sedar dan insaf, ruang untuk memperbaiki diri masih belum terlambat. Mudah-mudahan Allah berkati setiap perubahan yang ingin dilakukan.

March 11, 2013

KANDUNGAN MENARIK ANIS APRIL 2013

Klik di sini




1.      Fokus Utama ms: 17
Surah an-Nur: Pembela Kaum Wanita
Para ulama mengatakan bahawa Surah an-Nur ini surah yang menjadi pembela kepada seluruh wanita Islam tidak kira mereka di mana.
Mereka berkata sedemikian kerana bilamana surah ini dinuzul ia dikaitkan sebagai pembelaan dan penghormatan khusus kepada Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah r.a. − wanita mulia yang telah difitnah oleh kaum munafik. Maka surah ini jugalah yang akan berfungsi dan berperanan sebagai pembela kepada sekalian Muslimah.
Untuk mengetahui bagaimana dan kenapa surah ini dikatakan sebagai pembela wanita, ikuti Fokus ANIS bulan ini.

2.      Interviu Fokus ms: 22
Ajarlah Anak Gadismu Surah an-Nur
Surah an-Nur dimulakan dengan suatu ayat penegasan daripada Allah SWT. Tiada surah lain dalam al-Quran yang dimulakan dengan penegasan yang sangat keras kecuali Surah an-Nur. Allah SWT memberi penegasan bahawa apa yang terkandung dalam surah ini sangat penting untuk dilaksanakan, dihayati dan diaplikasikan. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut apa yang ditegaskan oleh Allah dalam surah ini, ikuti ulasannya oleh Ketua Wanita Pertubuhan  Ikram Malaysia, Ustazah Maznah Daud.

3.      Tetamu Anis ms: 33
Pierre Andre -Pelihara Maruah Wanita Dalam Karyanya
Perjalanan menuju cahaya Ilahi bukanlah suatu perjalanan yang mudah. Sudah pasti, beliau juga turut diuji dengan pelbagai bentuk ujian duniawi. Baginya, tiada laluan mudah dalam melalui perjalanan mencari keredhaan abadi.
Ketahui titik perubahan dalam hidup Pierre Andre dan misinya dalam berdakwah dalam ruangan Tetamu Anis pada muka surat 33.

4.      Kembara Eksklusif ms: 44
Lukisan Hati Anak-anak Gaza
“Lukisan anak-anak di Malaysia lebih tertumpu kepada gaya hidup dan hiburan. Namun, lukisan yang dilukis oleh anak-anak di Gaza menceritakan tentang hidup dan mati. Mereka melukis orang yang ditembak, bangunan dibom, kereta kebal, senapang dan macam-macam lagi. Mereka melukis apa yang mereka nampak pada setiap hari dan untuk hari-hari yang mendatang.”
Ikuti pengalaman yang dikongsikan oleh Puan Zaliza Binti Alias, Pengasas Genius Aulad yang berpeluang mengikuti misi kemanusiaan ke Gaza bersama Islamic Relief Malaysia (IRM).

5.      Kapsul Kitab ms: 98
Hapuskan Al-Khujul!
Ada malu yang perlu disimpan dan ada malu yang perlu dibuang. Apakah malu tersebut dan bagaimana membuangnya? Ketahuinya dalam ruangan Kapsul Kitab.
  
6.      Pra Nikah ms: 80
Murah Atau Mudah Lebih Baik?
Kita sering mendengar seruan agar kaum wanita meletakkan mahar ‘murah’. Apa yang kita faham tentang mahar ‘murah’? Apa bezanya dengan mahar ‘mudah’? Islam mengajar kita bagaimana? Dapatkannya dalam ruangan Pra Nikah oleh Fatimah Syarha Mohd Nordin.

8.Manja Sihat ms: 62
Anakku Pelik?
Anaknya memasuki usia dua tahun, namun belum dapat bercakap dengan baik seperti kanak-kanak seusianya. Jika berada dalam suasana orang ramai anak beliau tidak begitu mesra dan lebih suka bermain sendirian. Adakah itu tanda-tanda Autism? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Autism, ikuti kupasannya oleh Dr. Zubaidi Ahmad dalam ruangan Manja Sihat.

9. Harmoni ms: 56
Suamiku Curang?
Siapakah yang tidak bimbang dan tidak takut pasangan mereka curang? Namun, adakah kita cukup sempurna dan hebat untuk menghalangnya daripada terjadi? Ketahui tip-tip untuk mengeratkan hubungan suami isteri dalam ruangan Harmoni oleh Ustaz Mohd Shukri Samsudin.

10. Tinta Wardina ms: 114
Beginilah Mencari Cinta
Cinta tidak salah, perasaan berahi dalam bercinta juga tidak salah kerana ia fitrah, namun apa yang anda lakukan dengan perasaan itu akan menentukan jalan cerita yang seterusnya. Bagaimana mencari cinta yang sebenar, ikuti ulasannya oleh Wardina Safiyyah.










Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ...