June 13, 2017

Bertemu orang Melayu di Vietnam - Part 2



Sebaik sahaja solat Aidiladha berakhir, saya dan jemaah wanita yang lain pun segera turun ke tingkat bawah. Tapi ketika di tingkat kedua, kami ditahan dan diraikan. Di sini para jemaah diberikan seorang satu murtabak yang dibungkus dalam plastik. Beberapa warga emas Melayu Champa turut meraikan kedatangan kami, lebih-lebih lagi mengetahui kami daripada Malaysia. Ketua rombongan kami iaitu Ustaz Zolaznan (kiri sekali) pun sudah mengenali mereka ini.  

Kebanyakan orang-orang lama ini masih fasih berbahasa Melayu. Apa lagi perbualan kami bersama mereka menjadi semakin rancak. Imam Masjid Al Rahim (berserban merah) iaitu Haji Ali bin Ahmad berusia dalam lingkungan 87 tahun. 

Saya mengajak dia mengimbau pengalaman bagaimana dia terdampar di bumi Vietnam ini. Kata beliau, sebenarnya dia telah dibawa ke sini oleh tentera Jepun iaitu ketika masih berusia 11 tahun. 
Haji Ali yang berasal dari Pulau Bawean, Indonesia terpaksa menerima hakikat kehidupannya tersurat di sini tanpa dapat berpatah semula ke negara asal. 

Di Ho Chi Minh dia berusaha mencari nafkah dan berkhidmat sebagai anggota polis dan tentera sehinggalah bersara pada usia 45 tahun. Haji Ali telah berkahwin dengan warga tempatan dan dikurnia empat orang cahaya mata. Sebelum berumah tangga, Haji Ali mengambil keputusan untuk belajar agama di sebuah daerah bernama Chau Doc iaitu sebuah pusat pengajian. Beliau belajar selama empat tahun di situ. 

Selepas pencen, dia diberikan tugas sebagai tunggak utama di masjid bersejarah ini. Selain ditugaskan untuk mengimami solat, menikahkan pasangan yang ingin berkahwin, Haji Ali juga antara insan dipertanggungjawabkan mengeluarkan sijil halal bagi produk Muslim di Ho Chi Minh. 

Apabila ditanya pandangan orang non-Muslim terhadap orang-orang Muslim, ujar Haji Ali, orang tempatan menghormati orang-orang Islam di sini. Malah, lebih menarik tambah beliau, penganut Islam juga semakin bertambah bilangannya khususnya melalui ikatan perkahwinan. Terkini lebih kurang100 orang telah di-Islamkan di Masjid Al Rahim.

Berbeza pula dengan kisah hidup Haji Dahlan bin Ismaun Makna, 83 tahun. Beliau tak boleh lupakan saat ngeri dan pilu apabila melihat ayahnya dipancung... Allahu Akbar. Hanya dia yang terselamat ketika kejadian yang dialami sewaktu beliau kecil. Dan Allah yang Maha Menentukan mentakdirkan kami dapat bertemu beliau bersaksikan masjid bersejarah ini. 

Dalam satu tragedi, dia tidak dapat melupakan saat apabila menyaksikan ayahnya yang berusia 150 tahun telah dipancung. Turut menerima nasib yang sama ialah pendatang-pendatang asing yang merupakan saudara-maranya juga. 

Untuk meneruskan hidup, dia berkhidmat sebagai seorang pemandu malah pernah menjadi pemandu kereta bagi duta Amerika Syarikat ke Vietnam. Haji Dahlan berumah tangga dengan orang tempatan dan dikurniakan 13 orang cahaya mata (tiga anaknya meninggal dunia) di mana anak yang sulungnya berusia 65 tahun. Mata pencariannya kini ialah menjual ayam yang siap disembelih kepada penduduk sekitar. 

Memang terasa indah kembara saya ke Vietnam, mana tidaknya dapat bersama ahli grup yang sangat 'sporting'. Semua saling tolong menolong termasuk ketika sesi interbiu. Ada pula yang sanggup jadi jurukamera. 

Moga Allah merahmat semua warga Muslim yang berada di Vietnam dan di mana jua. 

Rombongan bersama imam masjid Al Rahim. 



Imam mengaminkan doa. 


Bersalam-salaman di hari mulia. 
Pelancaran #QuranHour di Masjid Baitul Rahim pada malam aidiladha. 

No comments:

Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ...