October 23, 2008

Semua dah berisi!


Opah bersama dua cicit kesayangan, Izzah dan Maryam.

"Hai dah berisi kamu!" kata Opah pada saya, sewaktu saya balik ke Ipoh sebelum Raya. Saya tersenyum. "Hati senang opah," jawab saya berseloroh. Begitulah dialog-dialog kami sewaktu kunjungan ke kampung halaman sebulan sebelum Raya.
Izzah (anak buah) semakin montel dan tegap badannya. Opah pun apa kurangnya. Pipinya makin tembun. Pertambahan usia sering membuat kita terleka dalam arus mengejar kehidupan. Dan saya adalah antara insan yang terselit di antara jutaan umat itu. Sering alpa pada orang-orang yang selama ini banyak berjasa dalam hidup. Opah saya, Teh Rabaah masih sihat dalam usia mencecah 90 tahun. Menatapi wajahnya saya agak terkejut kerana terlalu banyak perubahan fizikal yang berlaku pada dirinya.
Dahulu badannya kuat mengalahkan usia sebenar. Rutin paginya selepas solat Subuh bersenam dengan aneka senaman. Sambil berbual dengannya ada saja diselit petua untuk sihatkan badan. Saya sering berbangga punya Opah yang masih kuat dan cergas. Ketika muda-muda dahulu dia bersawah bendang bersama Arwah atuk. tiada istilah tidur selepas subuh. Pantang baginya nampak kita tidur selepas Subuh. Membebel ajelah dia.
Semasa saya berpantang, dialah jadi tukang pantau apa yang saya makan. Selain emak menjaga saya, dialah yang banyak mengajar cara berpantang orang-orang Melayu. Senarai do and don't begitu banyak hingga selalu saya mencemik muka kerana tak dapat makan apa yang saya suka. melihat peraturannya maka tak hairan tubuh Opah slim sehingga ke hari tua.
Sekarang Opah yang jadi kebanggaan saya begitu jauh berbeza. Jalannya bagai anak kecil. Ketika Izzah semakin pantas berlari, dia pula perlu dipapah dan dipimpin tangan untuk ke bilik air. Adakala dia merengek minta dimanja bagai anak kecil pula. Lambat diberi makan dia merajuk pula. Sesekali balik saya jadi tempat mengadu emak menumpah perasaan. "Sabarlah mak!" Ungkapan itu saja yang mampu saya luahkan biarpun saya tidak tahu mampukah saya menjaga sebaik emak?
Memandang wajah Opah saya membayangkan diri sendiri. Bagaimana nasib aku di hari tua? Ya Allah! Tak dapat dibayangkan, benar kata pepatah seorang ibu boleh membela sepuluh anak tapi sepuluh anak belum dapat menjaga seorang ibu!



Ini pula gambar emak dengan cucu perempuannya. Gambar diambil ketika window shopping di Green Town Mall, Ipoh.

Salam Ukhwah

Selamat datang saya ucapkan untuk teman-teman yang sudi mengunjungi blog saya ini. Tujuan saya menyertai dunia blog ini untuk menjalin ukhwah sesama muslimin muslimat. Selain itu di ruang ini dapat saya menyampaikan misi dan pandangan. Jika ada yang baik moga bertambah kebaikannya pada insan lain.
Kiranya saya ni ketinggalan jugak la dengan blogger-blogger lain yang telah 'advance' meneroka dunia siber ini. Atas nasihat teman-teman akhirnya lahir jugaklah blog saya ini. Banyak sangat nak cerita tapi kali ini saya 'publish' gambar syok sendiri dulu (gambar diambil selepas sesi meniup belon untuk hiasan pentas Majlis Sambutan Aidilfitri Galeri Ilmu Sdn Bhd dan Munsyid di Kota Damansara baru-baru ini). Untuk yang tak tahu inilah tenaga-tenaga yang tiup belon sampai terlentok penat hari itu. Heh...Heh... saja je. Nak tahu pasal cerita raya yang menggemparkan tu tunggulah majalah Anis Disember 2008 ni. Ok!

Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ...