July 27, 2017

Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ahli rombongan bersua dengan seorang saudagar batu permata yang sangat murah hati. Beliau membuka premis perniagaannya berdekatan dengan Stadium Olimpik.

Saudagar ini ternyata sangat gembira apabila mendapat tahu kami datang dari Malaysia.  Awal-awal lagi beliau sanggup turun mengalu-alukan kedatangan kami semua ke premis syarikat beliau yang mengadap jalan menuju Stadium National Beijing yang lebih popular dengan bentuk sarang burungnya. 

Malah kedatangan kami juga dikejutkan dengan  hadiah berupa uncang merah berisi loket dari batu jed setiap seorang. Selepas ditunjuk dalam satu ujikaji kami tidak menyangka batu jed yang dihadiahkan itu benar-benar berkualiti tinggi. Lebih dari itu, usahawan ini sanggup memberi diskaun hebat jika kami membeli batu-batu permata di kedainya. Hmm... siapa yang tidak tergoda?

Begitulah hebatnya kuasa memberi, cetus hati saya. Ia bisa mencairkan hati sesiapa saja tanpa mengira bangsa atau agama. Namun perkara sebenar yang ingin saya kongsi ialah rahsia sebenar di sebalik kegembiraan si saudagar itu.  

Katanya, seperti ayahnya yang berasal dari Myanmar, dia juga punyai tiga orang isteri. Dan antara ketiga-tiga isterinya, isterinya yang berasal dari Ipoh, Perak telah memberikannya zuriat lelaki. Anak lelakinya baru berusia dua tahun. Masya-Allah, itulah sebab musababnya....

“Hanya satu yang saya pinta dari kamu semua iaitu doakan anak lelaki saya sihat sehingga dewasa,” ucapnya beberapa kali.

Satu fakta yang tidak boleh dinafikan di kalangan masyarakat Cina ialah mereka amat menyanjung tinggi anak lelaki berbanding anak perempuan. Kehadiran anak lelaki sangat penting kerana ia merupakan penyambung legasi sesebuah keluarga. Ini kisah benar yang berlaku di negara non-Muslim, di sebahagian negara-negara Islam yang lain apa kurangnya. Wanita masih dianggap warga kelas kedua kerana memberi ‘liabiliti’ atau beban terhadap keluarga. 

Ironisnya, sebenarnya sejak 1400 tahun lalu wahyu Ilahi telah pun turun menghapuskan pandangan ini. Al-Quran menjelaskan kesaksamaan gender lelaki mahupun wanita sepertimana disebut dalam Surah an-Nur. 

Surah an-Nur; satu surah yang mungkin kita terlepas pandang akan keistimewaannya.  Sedangkan di dalamnya diperincikan kedudukan dan peranan wanita dalam membentuk dan melahirkan generasi yang soleh. 
"
Wanita ibarat bunga-bungaan. Ini merupakan pemandangan di hadapan Stadium Olimpik Beijing yang lebih dikenali sebagai Bird Nest Stadium. 
Wanita ibarat batu pertama yang tiada ternilai harganya asalkan dia pandai menjunjung tinggi maruah dirinya. Lantaran itulah Sayidina Umar al-Khattab pernah menulis surat kepada penduduk Kuffah: “Ajarkanlah wanita-wanita Surah an-Nur.”
Begitu juga pesan Ummul Mukminin iaitu Sayidatina Aisyah r.a.; “Janganlah hanya mengajar anak-anak gadis kamu memegang alat dapur dan mengajar menulis semata-mata, tetapi ajarkanlah anak-anak gadis kamu Surah an-Nur dan menenun benang.” 

Jom kita hayati Surah an-Nur iaitu satu surah yang Allah Taala turunkan sebagai pembela kaum wanita.


July 06, 2017

Apabila Penulis Koma

Beijing yang diselimuti musim beku. Foto arca di hadapan Stadium Olimpik Beijing yang saya rakam pada Disember 2012.

 Selepas Majalah Anis direhatkan dahulu, saya menerima beberapa mesej WhatsApp daripada beberapa penulis yang mengatakan kerinduan menerima amaran saya setiap bulan.

Haha... mahu ketawa saya membaca pengakuan mereka. 
"Wah, rindukan mesej garang saya ke?" Balas saya semula. 

Sebagai Editor yang diamanahkan mengemudi bahtera pelayaran Majalah Anis setiap bulan, itulah rutin saya iaitu mengejutkan para penulis agar tidak leka. Mengingat-ingatkan mereka agar sentiasa alert (peka) dengan dateline penghantaran artikel setiap bulan. Fitrah setiap insan itu memang sentiasa lupa, jadi kitalah yang perlu mengingatkan. 

Apa itu dateline?

“Dateline adalah 'hantu' yang mengejar si penulis. Bila seorang penulis tersasar dari garisan dateline tersebut dan tidak menghantar karyanya setiap bulan, dikira si penulis itu sudah koma dari alam penulisan. Haha...kelakarkan tapi itulah realitinya!”

Mula-mula sebulan berasa tidak apa, lama kelamaan apabila dibiarkan ia membuahkan satu habit (tabiat) yang tidak baik iaitu rasa malas untuk kembali menulis. Tulisan pun jadi tumpul ibarat pisau yang dibiarkan berkarat kerana tidak berasah. 

Justeru, sesibuk mana pun jadual seorang penulis itu usah biarkan dirimu koma selalu. Koma sikit sikit itu biasalah tapi jangan dibiasakan. Takut tak bangun-bangun langsung. Adeh... terus jadi arwah. Editor pun sudah jemu hendak meminta kerana asyik tidak mendapat bahan yang dinantikan, seolah-olah menunggu buah yang takkan gugur!

Visi & misi yang jelas akan mengejutkan si penulis dari koma. Ciptakan BIG WHY atau asbab-asbab lain untuk mendorong anda agar terus konsisten menulis.   

June 20, 2017

12 Tip Tulis Buku Berdasarkan Pengalaman Hidup

Catatan hujung Ramadan 1438H:
1.      
       1. Kita hidup dilingkungi pengalaman yang pelbagai. Sebahagian daripada kita Allah berikan kelebihan dan berkhidmat mengikut bakat dan minat yang dimiliki. Malah, sebahagian dari kalangan rakan sudah menghabiskan hampir keseluruhan tempoh perkhidmatan dalam bidang berkenaan.

2.      2. Inilah yang dipanggil ilmu kehidupan, ilmu yang digarap dari teori dan praktikal yang kita lakukan saban tahun. Pengalaman yang tidak dicatat akan ditelan oleh zaman. Ia tidak menjadi ilmu yang boleh diwarisi generasi terkemudian. Sayangnya... lihat dan selak kembali sejarah para ulama dan para ilmuwan Islam, kematian mereka dengan meninggalkan ratusan/ ribuan kitab. Untungnya mereka, rata-rata lingkungan usia mereka di sekitar tempoh 60-70 tahun (jangka hayat manusia biasa) tapi nama mereka masih disebut dan dikenang sehingga kini. Kerana apa? Mereka menulis dan mencatat pengalaman yang mereka melalui.

3.    3.   “Kalau begitu, saya pun nak jadi penulis!”  Baiklah, bercita-cita sahaja tak bawa ke mana, Bercita-citalah dan kotakan ia dengan bentuk tindakan.

4.      4. Sekarang cuba senaraikan pengalaman masing-masing dan rancanglah ia menjadi sebuah buku. Kaedahnya bagaimana? Buat senarai pengalaman yang pernah anda alami terlebih dahulu, contohnya:
1.      Pengalaman menjadi penulis
2. Pengalaman menjadi jururawat
3. Pengalaman merawat pesakit (doktor/ perawat Islam)
4. Pengalaman membuka pusat penjagaan kanak-kanak/ tadika
5. Pengalaman menjaga orang tua
6. Pengalaman mula berniaga di tapak pasar malam sehingga berjaya membuka kedai sendiri
7. Pengalaman menempuh sakit
dan banyak lagi pengalaman menarik yang pernah kita lalui.

5. Bagaimana nak susun semua kisah di atas menjadi sebuah buku? Mudah sahaja! Satu buku memerlukan 40 hingga 50 buah kisah yang pendek. Apabila ia dikompilasikan maka lengkaplah sebuah buku.

6. Jumlah patah perkataan bagi setiap bab? Satu bab mengandungi 1000-1500 patah perkataan.

7. Kalau terlajak panjang, bagaimana? Iyalah bila ilham melimpah habis air bah. hehe... tiada masalah, boleh saja tetapi pastikan ada clif hanger atau unsur saspen pada penghujung bab.

8. Paling bagus, sebelum tulis buat buku tulis proposal dan hantar kepada beberapa penerbit dahulu. Kalau dah lulus, memang laju lah jari kita mengetik.

9. Buat desain cover buku tersebut supaya ia meransang semangat dan motivasi kita untuk menulis dengan tekun. Selepas itu tampal atau letak di sudut meja tulis/ di mana saja ruang yang kita selalu pandang. Ini petua yang diamalkan sesetengah penulis. Nak buat silakan, yang penting masing-masing ada cara tersendiri.

10. Setiap rumah penerbitan punya timeline dan deadline untuk pastikan output (buku) dicetak mengikut masanya. Ini juga persoalan asas yang perlu penulis fahami. Jangan langgar deadline ya. Maka tak perlulah tunggu 'sound direct daripada para editor/ rumah penerbit.

11. Buat timeline atau deadline anda sendiri untuk mencapai target penulisan buku yang diimpikan. Rancanglah jadual penulisan yang efisien, contohnya menulis selepas Subuh atau sebelum pergi kerja, selepas Isyak dan lain-lain waktu yang anda fikirkan sesuai.

12. Minta ilham daripada Allah, jangan tinggalkan ibadah asas serta perbanyakkan amalan sunat. Insya-Allah, ia jadi saluran barakah yang melancarkan proses penulisan.

Semoga terinspisari.

P/s mana-mana rakan yang ada proposal nak tulis buku motivasi berdasarkan kisah hidup dan pengalaman, boleh PM saya ya. Ada projek bagus. Manuskrip ditagih, penulis tiada. Ater.. camner?

Pengalaman saya dan teman membeli kopi Aceh pun sangat menarik, semua ini boleh menjadi rencah dalam penulisan. Doakan saya berjaya membukukan pengalaman mengembara ke Aceh pada 2009 dan 2017. 

June 16, 2017

Tip menulis skrip yang baik

 Saya terkenang satu pengalaman ketika menulis skrip dokumentari. Lama sungguh... tetapi pengajarannya saya ingat sampai bila-bila. 

“Boleh tolong saya?” suara suami tiba-tiba menerjah ke gegendang telinga.

“Nak tolong apa?”

“Ini ha... skrip ni, banyak yang perlu dirombak semula. Saya dah nak VO (voice over).”

Suami saya jarang sekali meminta pertolonan saya berkaitan penulisan skrip. Beliau merupakan ‘freelance writer’ selaku penulis skrip TV/ Jingle iklan termasuk memberi khimat sebagai suara latar kepada rancangan TV.

Pendek cerita, beliau memang pandai tulis skrip, berbanding dengan saya yang lebih banyak terlibat dalam penerbitan majalah dan penulisan rencana. Tapi apabila pertolongan begini diminta ketika situasi yang sudah mendesak, saya tidak sampai hati. Ya, sudah proses masuk VO tetapi skripnya masih belum setel. Ayat sentapnya, masih belum bersih sepenuhnya!

Saya ambil helaian kertas yang diberikan dan mula membaca sekali lalu. Tiba-tiba terkeluar rungutan, “Aduh, macam ni ke tulis skrip. Copy paste dari Google/ wikipedia kemudian serah begitu saja?” 

Tiba-tiba hangin kus-kus pun datang. Kalau diikutkan dan menjadi amalan brutal di sesetengah stesen TV dan rumah penerbitan lain,  mahu dilempar saja kertas skrip tersebut ke dalam bakul sampah.

“Sudahlah.. boleh tolong ke tidak ni, banyak lagi ni.” Suami menunjukkan helaian skrip lain yang mempunyai tajuk-tajuk berlainan.

Hmm... memandangkan masa kian suntuk untuk diserahkan kepada pihak ketiga, saya bantulah juga. Saya berfikir juga, si penulis skrip ni memang bernasib baik, kalau saya jadi penerbit mahu saya pulangkan semula dan sekat dulu bayaran sebelum di setelkan sebaik mungkin. (Tu dia... jangan buat main-main dengan saya. Walaupun nampak kool sekali dia sesekali bertukar jadi mak cik garang).

Dalam hati saya berbaur rasa kesal dengan sikap penulis skrip yang seolah-olah melepaskan batuk di  tangga (tak bersungguh-sungguh).  Walaupun saya tidaklah mahir dalam penulisan skrip tetapi sekurang-kurang beberapa perkara asas mengenai penulisan skrip saya ketahui juga.
    
  • Skrip dokumentari yang baik bukan sahaja berjaya menyampaikan maklumat (5W1H); tetapi perlu membawa unsur rasa dan penghayatan di dalam kisah yang dipaparkan agar para penonton turut dapat menghayatinya.
Foto Masjid Baitul Rahim yang lama ditemui dari laman https://www.muslimtravelvietnam.com
  •  Membawa unsur ‘rasa’ ini agak payah dan sukar tetapi boleh dilakukan dengan jaya dengan cara penulis membuat kajian di lapangan. Jika tak pernah jejak tempat yang mahu kita tulis itu memang susah nak terjemahkan dan mengalihkan ‘feel’ tersebut kepada penulisan.

  • Kaedah lain yang boleh diguna pakai iaitu dengan mencari maklumat dari penulisan berkenaan subjek yang kita ingin tulis ini. Jangan risau, kini sudah banyak bahan lain di internet, Facebook, You Tube yang dikongsi oleh orang lain. Maknanya jangan malas membuat kajian lebih mendalam sebelum mula menulis. 

  • Dah jumpa maklumat, janganlah tiru sebijik-bijik segala info dan story yang disampaikan, ubah jadi ayat anda sendiri. Jangan plagiat ya, nanti tak fasal-fasal dapat surat saman.
  • Sudah cukup bahan baru sedap nak menulis. Jangan lupa baca bismillah dan betulkan niat nak menulis. Buat kerana nak redha Allah, barulah kerja bukan separuh masak!

  

June 13, 2017

Bertemu orang Melayu di Vietnam - Part 2



Sebaik sahaja solat Aidiladha berakhir, saya dan jemaah wanita yang lain pun segera turun ke tingkat bawah. Tapi ketika di tingkat kedua, kami ditahan dan diraikan. Di sini para jemaah diberikan seorang satu murtabak yang dibungkus dalam plastik. Beberapa warga emas Melayu Champa turut meraikan kedatangan kami, lebih-lebih lagi mengetahui kami daripada Malaysia. Ketua rombongan kami iaitu Ustaz Zolaznan (kiri sekali) pun sudah mengenali mereka ini.  

Kebanyakan orang-orang lama ini masih fasih berbahasa Melayu. Apa lagi perbualan kami bersama mereka menjadi semakin rancak. Imam Masjid Al Rahim (berserban merah) iaitu Haji Ali bin Ahmad berusia dalam lingkungan 87 tahun. 

Saya mengajak dia mengimbau pengalaman bagaimana dia terdampar di bumi Vietnam ini. Kata beliau, sebenarnya dia telah dibawa ke sini oleh tentera Jepun iaitu ketika masih berusia 11 tahun. 
Haji Ali yang berasal dari Pulau Bawean, Indonesia terpaksa menerima hakikat kehidupannya tersurat di sini tanpa dapat berpatah semula ke negara asal. 

Di Ho Chi Minh dia berusaha mencari nafkah dan berkhidmat sebagai anggota polis dan tentera sehinggalah bersara pada usia 45 tahun. Haji Ali telah berkahwin dengan warga tempatan dan dikurnia empat orang cahaya mata. Sebelum berumah tangga, Haji Ali mengambil keputusan untuk belajar agama di sebuah daerah bernama Chau Doc iaitu sebuah pusat pengajian. Beliau belajar selama empat tahun di situ. 

Selepas pencen, dia diberikan tugas sebagai tunggak utama di masjid bersejarah ini. Selain ditugaskan untuk mengimami solat, menikahkan pasangan yang ingin berkahwin, Haji Ali juga antara insan dipertanggungjawabkan mengeluarkan sijil halal bagi produk Muslim di Ho Chi Minh. 

Apabila ditanya pandangan orang non-Muslim terhadap orang-orang Muslim, ujar Haji Ali, orang tempatan menghormati orang-orang Islam di sini. Malah, lebih menarik tambah beliau, penganut Islam juga semakin bertambah bilangannya khususnya melalui ikatan perkahwinan. Terkini lebih kurang100 orang telah di-Islamkan di Masjid Al Rahim.

Berbeza pula dengan kisah hidup Haji Dahlan bin Ismaun Makna, 83 tahun. Beliau tak boleh lupakan saat ngeri dan pilu apabila melihat ayahnya dipancung... Allahu Akbar. Hanya dia yang terselamat ketika kejadian yang dialami sewaktu beliau kecil. Dan Allah yang Maha Menentukan mentakdirkan kami dapat bertemu beliau bersaksikan masjid bersejarah ini. 

Dalam satu tragedi, dia tidak dapat melupakan saat apabila menyaksikan ayahnya yang berusia 150 tahun telah dipancung. Turut menerima nasib yang sama ialah pendatang-pendatang asing yang merupakan saudara-maranya juga. 

Untuk meneruskan hidup, dia berkhidmat sebagai seorang pemandu malah pernah menjadi pemandu kereta bagi duta Amerika Syarikat ke Vietnam. Haji Dahlan berumah tangga dengan orang tempatan dan dikurniakan 13 orang cahaya mata (tiga anaknya meninggal dunia) di mana anak yang sulungnya berusia 65 tahun. Mata pencariannya kini ialah menjual ayam yang siap disembelih kepada penduduk sekitar. 

Memang terasa indah kembara saya ke Vietnam, mana tidaknya dapat bersama ahli grup yang sangat 'sporting'. Semua saling tolong menolong termasuk ketika sesi interbiu. Ada pula yang sanggup jadi jurukamera. 

Moga Allah merahmat semua warga Muslim yang berada di Vietnam dan di mana jua. 

Rombongan bersama imam masjid Al Rahim. 



Imam mengaminkan doa. 


Bersalam-salaman di hari mulia. 
Pelancaran #QuranHour di Masjid Baitul Rahim pada malam aidiladha. 

June 12, 2017

Travelog Korban Ho Chi Minh - Part 1

10 Zulhijjah 1437H:

Suara takbir mendayu-dayu bergema dari Masjid Al Rahim Malaysia Indonesia. Ia menerobos ke ruang angkasa bandar Ho Chi Minh iaitu antara bandar paling sibuk di negara Vietnam.

Sebaik turun dari bas, rombongan kami yang terdiri dari 30 orang ahli ini terus bergotong-royong mengatur makanan di atas meja. Pagi itu kami bersarapan di pekarangan masjid tertua yang dibina sejak tahun 1885.  

Dikatakan terdapat 200,000 orang Islam di negara Vietnam berbanding seluruh rakyatnya yang berjumlah 90 juta. Dan daripada jumlah itu hanya lima ribu orang Islam sahaja yang mendiami bandar Ho Chi Minh. Kebanyakannya tinggal di sekitar Masjid Al Rahim ini. Insya-Allah, pagi ini pasti kami dapat bersua wajah dengan mereka.

Terasa berbeza 
Suasana pagi raya Aidiladha kali ini terasa sungguh berlainan. Apa tidaknya, ketika kami sedang menjamu selera dengan nasi himpit, kuah lontong serta rendang, di kaki masjid ini para peniaga meriah berjualan dan menghidangkan aneka sup panas.

Timbul persoalan di hati kami semua, tidak berayakah mereka? Baru kami teringat, memandangkan hari itu adalah hari Isnin, maka kebanyakan warga Ho Chi Minh bekerja seperti biasa. Hanya yang bekerja sendiri boleh turut sama meraikan hari bermakna ini di masjid. Kehadiran rombongan kami ini setidak-tidaknya meramaikan lagi para jemaah di pagi Aidladha ini.

Khutbah raya
Sebaik takbir berhenti, solat sunat Aidiladha pun didirikan.  Kaum wanita solat di tingkat empat iaitu di tingkat teratas sekali. Sebaik selesai, imam masjid pun berkhutbah dalam bahasa tempatan. Sesekali dia menyebut nama Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s. dan beberapa petikan ayat al-Quran. Hanya itu saja yang kami fahami. 

Selebihnya kami hanya diam menelur lantai sambil melempar senyum manis kepada beberapa jemaah wanita yang turut mengerjakan solat di tingkat empat, iaitu tingkat paling atas sekali. Hendak berbual bahasa menjadi halangan. 

Saya dan Puan Azian sempat berkenalan dengan warga dari China yang datang pada awal pagi. Begitu juga sepasang suami isteri dari Kanada. 

Khutbah raya ini berakhir dengan sesi bersalam-salaman. Kekangan bahasa bukan penghalang malah semangat ukhuwah dan persaudaraan sesama saudara se-Islam terjalin begitu pantas.

Masjid Al Rahim, masjid yang bersejarah di bandar Ho Chi Minh, Vietnam. 

Penduduk tempatan menikmati hidangan sup panas dan air sejuk yang dijual sepanjang jalan ini.  

Menikmati lontong dan rendang yang dibawa siap dari tanah air. Kopi ais kami beli dari penjaja di luar masjid. 

June 07, 2017

#NakTulisApa?

Salam 13 Ramadan

Niat asal saya untuk lebih banyak mendiamkan diri di bulan Ramadan ini tidak berjaya. Lalu titik muhasabah itu bertukar dengan niat untuk terus berkongsi ilmu khususnya mengenai penulisan. Ini antara posting yang saya muatkan dalam Facebook yang saya kendalikan iaitu Nota Editor: 

Baru-baru ini seorang pensyarah IPTA datang menjengah ofis. Saya agak terkejut, maklumlah datang tanpa temu janji dan dalam masa yang sama sedang kalut menguruskan sesi fotografi yang sudah ditetapkan.

Rupa-rupanya dia datang untuk bertanya prosedur untuk menghantar tulisan. Beliau mengunjuk kad yang tertera nama dan kelulusannya. Kami berdua bersembang panjang juga, apa tah lagi saya tertarik mendengar kajian tesis beliau mengenai pembentukan kolesterol dan penyakit berkaitan dengannya. Saya memberi sedikit pendapat tentang apa yang perlu dan tidak perlu untuknya sewaktu hendak menulis:
1. Tulis dahulu mengenai bidang/ kemahiran yang kita tekuni/ kuasai. Pendek kata kongsilah ilmu yang mana kita benar-benar arif mengenainya. Apabila menulis sesuatu yang kita arif dan mahir, ini mengurangkan masa untuk kita membuat banyak kajian mengenai topik yang ditulis. 
2. Sebelum menulis, lakukan sedikit kajian mengenai majalah-majalah yang berada di pasaran. Ambil sedikit info tentang isu apa yang disentuh oleh majalah tersebut. Jika Majalah Anis, sudah pasti tumpuannya ialah pada isu-isu kekeluargaan yang dekat dengan pembaca wanita. 
Jika anda berminat menulis buku, dapatkan gambaran corak dan gaya penulisan yang diamalkan oleh penerbit-penerbit yang sedia ada seperti Galeri Ilmu, Karangkraf, PTS dan lain-lain. 
3. Menulis dengan bahasa Melayu Tinggi. Elakkan penggunaan bahasa yang berat dan sukar difahami, lebih-lebih lagi yang melibatkan istilah saintifik dan agama. Sedapat mungkin cari terjemahan maksud dalam bahasa Melayu. Ingat ya, penulis adalah perantara yang memudahkan penyampaian ilmu kepada pembaca. Semakin sukar kalimah yang ditemui, semakin menjauhkan jarak penulis dengan pembaca.
4. Kenal pasti siapa khalayak pembaca. Rajin-rajinlah membuat kajian dengan bertanyakan pendapat orang lain, apakah isu-isu yang mereka mahu tahu (yang berkaitan dengan bidang dan kemahiran kita). Kadangkala hal-hal yang kita rasakan remeh-temeh dan 'simple' pun masih ramai yang tidak tahu. Di situ peluang bagi penulis untuk mengetengahkan dan memberi solusi terbaik bagi sesuatu isu yang diutarakan. 

Penulisan ialah proses mengalih pengalaman/ kemahiran kepada bentuk perkataan. Alhamdulillah, selepas ke Beijing pada Disember 2012, lahir artikel saya berjudul Mencari Lelaki Sejati di Beijing. Wau... siapakah lelaki tersebut, sudah pasti ia berkaitan dengan Tembok Besar China ini. 

Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ...