August 18, 2009

Seminggu selepas pemergian Allahyarham Asri Ibrahim


Jenazah Ustaz Asri Ibrahim dikelilingi ibu, isteri dan anak-anak. Semoga rohnya ditempatkan bersama golongan orang-orang soleh. Amin...

11 Ogos:
Entah kenapa kalimah yang diucapkan Allahyarham Asri Ibrahim, vokalis Kumpuan Rabbani benar-benar menyentuh naluri. Aura apakah yang melingkari sidang media Kumpulan Rabbani di Hotel Singgahsana kali ini hingga membuat diri saya rasa terkedu. Terkedu dengan kalimah Allahyarham - kalimah terakhir yang saya dengari dari penasyid yang sering membawa kita mengingati Allah dan Rasul melalui lagu-lagu nasyidnya.
"Setiap kali menjelang puasa, saya akan tertanya-tanya adakah pihak Hotel Singsahsana akan menjemput kami lagi. Bagi saya ibadah puasa saya bagai tidak lengkap andainya tidak dapat menghibur tetamu-tetamu yang datang berbuka puasa di sini," ujarnya ketika itu.
Tiada siapa nafikan, persahabatan Rabbani dengan Hotel Singsahsana yang menjangkau usia 18 tahun sudah pasti berlandaskan ketulusan dan keikhlasan mereka selama ini.
Dalam majlis yang sama, Allahyarham juga berkata, "Bagi saya Hotel Singsahsana benar-benar lekat di hati," katanya tulus menggambarkan dia insan yang komited dengan perjuangan menegakkan dakwah. Allahyarham juga nampak begitu gembira kerana pada kali ini Hotel Singgahsana memberi mereka peluang bercuti 3 hari awal dan 3 hari akhir pada bulan Ramadan ini.
"Bolehlah saya menjadi imam solat Tarawih kerana kadang-kala jiran-jiran nak sangat saya menjadi imam.." Begitulah hajat besar Allahyarham ingin tunaikan tapi nampaknya ia tidak kesampaian kerana beliau sudahpun dipanggil untuk memenuhi undangan yang lebih besar iaitu menemui Allah Rabbul Jalil.

19 Ogos:
Hari ini selepas seminggu Allahyarham meninggalkan kita untuk berehat sebentar dari kelelahan dunia yang fana, telinga kita masih lagi mendengar kisah-kisah kebaikan diri beliau. Dikhabarkan ketika ini Kumpulan Rabbani masih sibuk memenuhi permintaan peminat-peminat Allahyarham untuk membuat majlis dan kenduri tahlil. Orang yang baik pastinya diingati dan dikasihi semua insan.

Namun jangan pula kita lupa, andai hari ini kita mendengar kisah-kisah kebaikan beliau, esok lusa telinga kita pasti mendengar lagi kisah-kisah kebaikan insan lain yang telah memilih laluan hidup yang lurus. Oleh itu marilah kita sama-sama menyubur azam untuk mencontohi kebaikan-kebaikan mereka yang sudahpun menyahut panggilan Ilahi ini dengan seribu kebaikan. Sama-sama kita jadikan Ramadan ini 'turning point' untuk meluruskan kembali 'hubungan kita dengan Allah SWT' dan 'hubungan kita sesama manusia'.

Hayatilah kata-kata sahabat kita yang sudah dijemput Ilahi:
Syurga Selalu Bersamaku
Aku adalah pengejar syurga akhirat,
bagiku dunia ini adalah tempat
mempersiapkan segala sesuatu
untuk meraih syurga akhirat.

Aku yakin bahawa syurga akhirat
tidak akan pernah dapat aku raih
kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.

Maka rumah dan keluargaku
adalah syurga dunia paling indah buatku
Tempat kerja syurga dunia harianku
Tetangga, masyarakat dan bangsa
adalah syurga duniaku yang lebih luas.

Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku….

~ Ustaz Asri

August 04, 2009

Yang tersurat dan tersirat dari Aceh


Lawatan media bersama Islamic Relief Malaysia diketuai En. Zawahir Abdullah, Pengurus Negara IRM.
Kapal PLTD Apung, Penjana elektrik seberat 20,000 tan terdampar di tengah Banda Aceh diheret sejauh 5 km dari laut.

"Seronok ke pi Aceh?" tanya beberapa teman sekembalinya saya dari Aceh. Jawapannya, memang seronok. Walaupun sebulan sudah berlalu kenangan berada di Aceh masih terbayang-bayang di fikiran. Terasa ingin berkunjung lagi jika ada kesempatan untuk ke sana.
(Sebenarnya sudah lama catatan kembara di bumi Aceh bersama Islamic Relief Malaysia mahu saya lampirkan di sini tetapi tidak ada kesempatan hingga deadline majalah Anis September yang akan menemui pembaca sebelum Ramadan ini betul-betul selesai.)
Kembara ke Nanggroe Aceh Darussalam (NAD) mengingatkan saya pada Bumi Serambi Mekah di tanahair sendiri iaitu Kelantan Darul Naim. Sepanjang 6 hari di Aceh, hati saya dibuai rasa bangga dan gembira melihat gedung-gedung perniagaan didominasi orang-orang Islam. Orang-orang Aceh memang suka berniaga!
Berdasarkan sejarah bangsa Aceh yang pernah membina kegemilangan di bawah Kerajaan Aceh Darussalam di zaman Sultan Iskandar Muda, tak hairanlah ia mencorak watak bangsa Aceh yang suka berdikari dan tidak suka dijajah. Bumi Aceh paling akhir ditakluk Belanda kerana dibentengi pejuang-pejuang berani mati demi mempertahankan agama dan bangsa.
Saya dan rakan-rakan dapat saksikan deretan kedai tidak kira kecil atau besar meriah sepanjang lawatan saya ke Banda Aceh, Meulaboh dan Calang. Maka tidak mustahillah mengapa orang-orang Aceh punya rangkaian perniagaan tersendiri di Malaysia.
Lima tahun selepas tragedi Tsunami yang dikatan fenomena alam terbesar dalam sejarah, Aceh kini semakin maju berbanding sebelum Tsunami. Mungkinkah ini rahmat yang terjadi di sebalik kejadian Tsunami yang dianggap sebagai mimpi ngeri dan hari kiamat oleh kebanyakan penduduk Aceh yang terselamat dalam kejadian Tsunami 26 Disember 2004 yang lalu.

Masjid Baiturrahim di Ulee Lheue, Banda Aceh tidak terusik meskipun semua rumah dan bangunan di sekelilingnya hancur musnah. Bukti keajaiban kuasa Ilahi yang tak terjangkau oleh akal fikiran manusia biasa.

Bot tersangkut di atas bumbung rumah penduduk Aceh. Kini dijadikan monumen bagi memperingati peristiwa Tsunami.

Melarik Mimpi Indah di Meulaboh

Mengadap laut di Pantai Batu Putih di Meulaboh, menyaksi ombaknya beralun kuat kerana kedudukan laut telah berubah dan semakin dalam.

Bersama petugas Islamic Relief Aceh serta Bapak Nordin, Kepala Puskesmas di Suak Ribee, Meulaboh.

Malam terakhir di Meulaboh, saya cuba melarik mimpi indah. Maklum badan penat sungguh. Jadual yang diatur oleh petugas-petugas Islamic Relief Indonesia cukup padat. Bagaimanapun di kesempatan yang ada kami cuba mendapat sebanyak maklumat tentang kehidupan yang dilalui warga Aceh selepas Tsunami. Saya dan Tim Media ke Meulaboh dan Calang cuba lari dari jadual tugasan dan adakala menginterbiu responden hingga jam 12 malam!
Tapi apa yang tergambar dalam mimpi hanyalah tangisan air mata anak-anak yatim piatu yang kehilangan ibu bapa, juga ibu-ibu yang keharuan saat menceritakan detik-detik cemas dilanda Tsunami. Saat saya tak boleh lupakan bila saya sendiri menahan sebak dan derai air mata ketika menginterbiu Adik Cut Meuteuah Phonna dan Jasman Abu Bakar yang masih tidak menemui jasad ibu dan ayah mereka hingga kini. Fikiran terus teringatkan anak-anak sendiri di tanahair. "Beruntunglah kamu anak-anakku kerana masih punya ayah dan ibu," desis hati ketika itu.
Namun, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Hanya mereka yang menghadapi Tsunami mengerti betapa peritnya kesan yang ditinggalkan oleh musibah yang cuba dilupakan ini. Tapi syukurlah dengan adanya bantuan dan sokongan yang diberikan oleh badan NGO khususnya Islamic Relief, membantu warga Aceh bangkit dari mimpi ngeri.

Adik Nurul Badriah dan adiknya gembira mendapat Majalah Asuh

Kembara Hati di Bumi Calang

Perjalanan pulang ke Banda Aceh, sempat lagi menikmati buah durian di Kuala Unga, sebelum menyeberangi sungai dengan rakit.

Kami menaiki rakit sebanyak dua kali. Kasihan Bob, jurufoto Ikim sibuk ambil gambar hingga dia hampir tercicir. Nasib baik tak kena tinggal...

Jika perjalanan datang dari Banda Aceh ke Meulaboh kami menyusur laluan gunung-ganang dan hutan belantara dan melalui tiga buah gunung iaitu Gg. Selawah Agam, Gg. Selawang Inong dan Gg. Tangse, kembara pulang dari Meulaboh ke Banda Aceh melalui pengalaman cukup unik. Kami menyusur jalan pantai pula dan berkesempatan menaiki rakit. Dalam hati Allah saja yang tahu tapi nak buat macammana, itu saja jalan kembali pulang.
Di Calang, kami menginap semalam di Hotel Pantai Barat. Calang, ibukota Aceh Jaya yang dulunya sibuk kini jadi pekan 'koboi' yang cukup sepi dan sunyi terutama pada malam hari. Tiada lagi riuh-rendah dan hiruk-piruk seperti di Banda Aceh dan Meulaboh yang semakin pesat membangun. Saat saya tak boleh lupa kala melihat tinggalan Tsunami di sepanjang Pantai Barat Aceh ini.
Di sebalik keindahan samudera Lautan Hindi yang membiru, hati menjadi rawan melihat bekas tinggalan kampung-kampung yang musnah dan sudah ditenggelami air termasuklah sebuah jambatan sepanjang 200 meter. Kini tinggal tunggulnya saja di tengah-tengah laut. Melihatnya menggerunkan! Siapa sangka air yang tenang boleh menjadi kuasa hebat hingga melenyapkan sebuah tamadun. Dan yang tinggal kini ialah saki-baki manusia yang dipilih Allah untuk terus meneruskan perjuangan membina tamadun baru di bumi Aceh.
Kembara di Bumi Aceh meninggalkan pengalaman yang tersurat dan tersirat buat saya. Sesungguhnya Tsunami 26 Disember 2004 yang lalu, mengajak kita berfikir dan mengerti apakah isyarat yang cuba disampaikan Sang Maha Pencipta fenomena alam ini. Ingatlah, di sebalik kekerdilan manusia sebagai hamba, wujudnya Dia iaitu Allah yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa!

Kenangan terakhir bersama petugas Islamic Relief Indonesia sewaktu mengunjungi ibupejabat IRI pada pagi Jumaat sebelum bertolak semula ke KL. Terima kasih atas layanan baik anda semua. Panjang umur kita jumpa lagi ya buk..

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...