December 23, 2013

Bengkel Filem Pendek

Pada 14 Disember lalu, saya mengikuti Bengkel Pengarahan & Editing Filem Pendek bersama Tn. Zabidi Mohamed, penulis skrip yang prolifik. Bengkel sehari anjuran Galeri Ilmu Media Group ini dihadiri lebih kurang 30 orang peserta dari seluruh tanah air. Bengkel ini dibahagikan kepada tiga segmen - Pengenalan, Pengarahan Filem dan akhir sekali Penyuntingan.
Antara perkara menarik yang ingin kongsikan di sini apabila Tn Zabidi Mohamed mengajukan soalan, "How short is a short film?" atau sependek mana sesebuah filem pendek itu. Katanya semakin pendek sesebuah filem pendek ia semakin menarik dan dapat menarik perhatian audien yang menontonnya.
Penonton lazimnya tidak mampu menonton dengan lebih lama, bagaimana pun ia bergantung kepada keadaan. Sesetengah peraduan mensyaratkan filem pendek dengan kadar masa yang ditetapkan.
Pada bengkel kali ini, Tn Zabidi turut memperkenalkan dua orang pengarah iaitu Fairuz (Pengarah filem DOMPET) dan Latif Eidrusi (dari Singapura).
Kedua-dua pengarah muda ini turut berkongsi pengalamannya suka duka dalam menghasilkan skrip sehingga terhasilnya filem pendek mereka. Manakala Saudara Iwan Ghazali, novelis GIMG berkongsi tip-tip dalam menyunting karya yang telah dihasilkan.
Walaupun bengkel ini dijalankan sehari suntuk, ia memberi impak maksimum ke atas diri saya dan para peserta yang lain. Semoga selepas ini saya berhasil menghasilkan sebuah filem pendek yang patuh syariah.
Wajah-wajah keriangan para peserta Bengkel Filem Pendek yang diadakan di Masjid al-Ghufran, Pinggir TTDI.

November 02, 2013

Wajah Baharu Anis

23 Oktober 2013:


Dua hari yang lalu, saya berkesempatan menghadiri majlis sidang media Karnival Jom Pindah yang diadakan di Restoran Lengkuas, Mutiara Damansara. Majlisnya bermula jam 10 pagi. Oleh kerana lokasinya berdekatan dengan ofis Galeri Ilmu Media Group di Seksyen 8, Kota Damansara, saya dan jurufoto antara yang awal hadir di situ.

Mendengar penerangan yang diberikan, saya dapati Program Karnival Jom Pindah anjuran Masjid Tabung Haji Kelana Jaya dan Majalah I, Karangkraf ini yang bakal diadakan pada 3-5 November amat menarik. Pelbagai program disusun atur bagi menggalak masyarakat mendekati masjid sekali gus memberi pengisian ilmu berkaitan Maal Hijrah 1435H yang bakal disambut tidak lama lagi.

Sayang ... tiada wartawan lain yang hadir - hanya dari pihak Majalah I sendiri, Majalah Jom dan saya mewakili Majalah Anis. Apakah kerana ia sebuah program keagamaan, maka wartawan-wartawan lain tidak tertarik untuk hadir ke sidang medianya. Kalau sidang media pelancaran produk baharu atau hadir di situ pelakon atau selebriti yang sedang dilanda gosip panas, saya pasti ramai wartawan yang akan membanjirinya.

Maaf ... itulah realitinya. Dan kalau pun ada ulasan mengenai program tersebut pasti tidak segah atau sebanyak mana lembaran yang diperuntukkan. Mungkin sesuatu yang bersifat 'agama' tidak bersifat komersial. Insya-Allah bagi pihak kami, akan cuba memperuntukkan diri untuk hadir dan membuat liputan demi menyambungkan wacana ilmu ke ke khalayak masyarakat.

Baiklah saya tinggalkan topik ini dahulu. Pada akhir majlis tersebut saya berkesempatan berbual-bual dengan Editor I yang baharu iaitu Sarina Md Som. Banyak juga topik yang diperbincangkan apabila bertemu secara bertentang mata begini. Seringkali saya dapati majlis-majlis sebeginilah memberi peluang sesama kami pengamal media untuk bertemu dan bertanya khabar antara satu sama lain. Syukur zaman sekarang ini kita dilimpahi nikmat kemudahan teknologi - FB, Twitter, Wastup dan sebagainya lagi yang menjadikan kita terus dapat 'keep in touch' dengan rakan-rakan dan sanak saudara, biarpun jaraknya beribu-ribu batu.

Ketika sedang makan-makan, Puan Sarina sempat memberi komennya mengenai Majalah Anis, "Anis sekarang semakin cantik... ." "Alhamdulillah, Majalah I pun apa kurangnya," ucap saya kembali. Sekurang-kurangnya perubahan yang dilaksanakan Team Editorial Majalah Anis terkesan kepada masyarakat. Tapi jauh di sudut hati saya berharap semoga dengan perubahan ini Anis akan lebih terus sukses dan dapat terus menembus pasaran tanah air.

Semoga ia terus menjadi majalah kesayangan kaum wanita dan dapat menarik golongan muda-mudi, khususnya remaja yang bakal mendirikan rumah tangga. Semoga Anis terus menjadi teman akrab buat anda semua dan seisi keluarga. Dan yang lebih penting daripada itu semua - semoga ia menjadi amal jariah dan saham berpanjangan buat kami warga yang berada di belakang tabir penerbitannya. Amin.

Sebelum mengundurkan diri, saya pamerkan cover wajah baharu Anis yang bermula isu Ogos lalu. Apa pula komen anda, jika anda sudi berkongsi sila emelkan kepada saya: shimahabdulrahman@gmail.com

Anis isu Ogos 2013

Anis isu September 2013

Anis isu Oktober 2013

Anis isu November 2013





September 12, 2013

Siapakah Pemenang Peraduan JAWAB & CIPTA ANIS MASholidays?

Minggu ini Team Anis mulai dilanda kesibukan. Bukan sahaja kerana deadline majalah baharu yang bakal tiba tetapi untuk membuat persediaan bagi satu majlis penyampaian hadiah bagi peraduan yang dianjurkan oleh Majalah Anis sepanjang tahun 2012 dan 2013 iaitu:
1. Sayembara Cerpen Anis Jun 2012/Mei 2013
2. Peraduan JAWAB & CIPTA ANIS MASholidays yang berlangsung mulai Februari hingga Mei 2013. 

Peraduan yang kedua ini mencatatkan hadiah yang agak lumayan khususnya daripada MASholidays iaitu 2 tiket ke Beijing (Johan), 2 tiket ke Kemboja (Naib Johan) dan 2 tiket ke Bangkok (Ketiga). Begitu juga tempat seterusnya yang secara keseluruhan berjumlah RM20,000.00.

Alhamdulillah, penyertaan yang pihak kami terima amat memberangsangkan. Malah paling tidak disangka ramai peserta yang menghantar borang penyertaan dengan hiasan kreativiti yang unik. Masya-Allah, tidak terfikir oleh kami untuk mendapat sambutan sebegini rupa. 

Setelah berbulan-bulan berlalu, akhirnya pihak Team Anis dapat menemukan satu tarikh yang sesuai yang mana dapat dihadiri bersama wakil daripada MASholidays untuk sama-sama mencari dan memilih siapakah pemenang yang bertuah itu. 

22 Ogos lalu jawapan yang pasti itu sudah ditemui. Dan mulai minggu ini Team Anis sudah mula menelefon dan menghantar surat jemputan kepara para pemenang yang terpilih. Insya-Allah satu majlis Forum Menjengah Kecantikan Hakiki bersempena penyampaian hadiah Sayembara Anis/Asuh dan Peraduan Jawab & Cipta ANIS MASholidays akan diadakan pada 5 Oktober 2013 ini bertempat di Akademi Malaysia Airlines, Kelana Jaya.

Kepada anda semua, terima kasih kerana menyertai peraduan ini dan sekiranya terpilih sebagai pemenang tahniah kami ucapkan. Namun yang tidak berjaya jangan berputus asa, insya-Allah kami akan berusaha untuk mengadakan pelbagai lagi peraduan menarik sebagai menghargai sokongan anda yang tidak berbelah bahagi kepada penerbitan Majalah Anis selama ini. Jika anda ada sebarang cadangan mengenai bentuk peraduan yang menarik silalah emelkan kepada saya: shimahabdulrahman@gmail.com atau ke: majalahanis@yahoo.com.

Saringan pusingan pertama, Team Anis menyemak kesemua jawapan para peserta.
22 Ogos lalu Team Anis dan MASholidays bersama-sama memilih para pemenang. 

Slogan yang terbaik dikenal pasti dan ditulis di whiteboard.

Kreatif - mungkin itu yang diperkatakan Tn. Hj Wan Azmin Wan Dollah, Pengarah Jab. Penerbitan Majalah. 

Penyertaan yang terpanjang! Sayang tiada kategori untuk ini. 

Antara AJK yang terlibat dalam pemilihan para pemenang Peraduan JAWAB & CIPTA ANIS MASholidays.

Antara kreativiti para peserta. 




September 06, 2013

"Orang Bahagia Akan Menarik Orang Bahagia Kepadanya" - Sesi Fotografi Bersama Prof. Dr. Muhaya Mohamad

Ramadan lalu sekali lagi ANIS menjejak langkah Tokoh Ilmuwan Selangor 2010 ini. Sepetang dihabiskan untuk sesi fotografi, kami dijemput berbuka puasa pula. Lebih istimewa kami dijamu dengan nasi beriani ayam resipi Prof Muhaya sendiri. Kala ditanya pandangannya mengenai ‘Supermom’, Prof Muhaya ada tafsirannya tersendiri.
“Jadilah ibu yang bermanfaat yang hidupnya sentiasa ingin memberi,” tegasnya lagi mengenai penggunaan kalimah ibu mithali yang sebenar. Katanya lagi, seorang ibu juga perlu mantapkan akidah, kuatkan keimanan, ilmu fardu ain, akhlak dan ibadah sebagai tunjang untuk mengemudi rumah tangga. Hati juga perlu dibersihkan daripada hasad dengki dan bermacam-macam sifat buruk yang lain.
“Banyak orang buat silap dengan berkata kahwin saja terus dapat bahagia pada hal perkahwinan ialah untuk memberi kebahagiaan, bukan mendapat kebahagiaan. Bila kita bahagia insya-Allah kita akan menarik orang bahagia kepada kita,” ujarnya. 
Kepada ibu-ibu, pesanlah pada anak-anak agar mencari ‘bahagia’ dahulu sebelum kahwin. Orang bahagia itu ialah orang yang punya matlamat dan tujuan hidup yang jelas termasuk misi hidup menjadi ibu yang mithali kepada anak-anak. Ikuti temubual lengkap bersama Prof Muhaya di ms. 32 di ruangan PERSONALITI ANIS.
SUMBU ANIS bulan ini berjudul IBU MITHALI = ANAK PENYEJUK HATI bakal memberi pencerahan  kepada kita semua. Insya-Allah jika baik cara didikan seorang ibu akan melahirkan anak-anak hebat yang menjadi penyejuk jiwa. Ini kerana pujangga Arab ada mengatakan, “Andainya diberi peluang seorang ibu mampu melahirkan umat yang baik.”

Selamat membaca. 

Gambar-gambar suasana ketika sesi fotografi bersama Prof. Dr. Muhaya Mohamad Ramadan lalu. 

Bersama Prof. Muhaya Mohamad dan kakitangan Butik Modest Culture, Taman Putra, Kajang, Selangor.

Dr. Azmi Jamion - suami pendamping Prof. Muhaya turut ditemubual.

Keakraban Prof. Muhaya dan anaknya, Dr. Noor Atiyah di hadapan kamera.


"Orang bahagia akan menarik orang bahagia kepadanya." - Prof. Muhaya.



September 03, 2013

Tip Kewartawanan - Kewartawanan Islam?


Seorang wartawan pulang ke pejabat dengan nada ceria. Walaupun wajahnya tampak lelah namun keceriaan lebih menyerlah. Ini kerana wartawan tersebut pulang bagaikan seorang perwira yang pastinya membawa bekalan yang sarat. Bekalan itulah bahan berita yang akan ditulis, digarap dan seterusnya dikongsi sebagai berita atau rencana buat tatapan pembaca di seluruh tanah air.

Itulah keistimewaan insan-insan yang memilih kerjaya sebagai wartawan. Wartawan merupakan ‘first person’ yang menerima suatu perkhabaran atau berita. Hari ini dunia tidak lengkap tanpa ‘berita’. Apa perasaan anda andainya dunia sepi tanpa berita. Buka TV tiada berita, cari suratkhabar tidak dijual. Bayangkan seandainya suatu hari kita tidak dapat meng’akses’ atau menerima sebarang berita, pasti kita berasa hidup di sebuah pulau tanpa manusia.

Justeru sedarlah, di sebalik suatu berita yang kita baca, tatap dan komen, wujudnya insan-insan yang bergelar wartawan yang telah bersusah payah mendapatkan sesuatu bahan berita. Wartawan yang amanah menyedari tanggungjawabnya ini akan menggalas tugas ini dengan penuh komited, tanpa jemu, penat dan lelah. Mereka akan berterusan mencari berita selagi terdaya dan kudrat dikandung badan.

Menyedari hal ini, seorang wartawan perlu berjiwa kental menghadapi apa jua cabaran dan rintangan. Wartawan berjiwa pejuang tidak kisah dirinya diteguri atau dimarahi kerana ia merupakan asam garam dalam dunia kewartawan yang perlu bergerak pantas dalam serba-serbi.

Berbanggalah dan bersyukurlah andainya anda diberikan amanah ini kerana anda adalah pengubah dan pencorak dunia. Ya, hanya dengan menggerakkan tulisan di hujung jari!

Seorang wartawan yang bergerak dalam landasan media Islam, mempunyai tanggungjawab yang lebih jauh daripada itu. Peranan anda bukan sekadar melaporkan sesuatu berita tetapi mencari sudut-sudut hikmah tersirat di sebalik sesuatu peristiwa. Pembaca seterusnya diajak untuk sama-sama berfikir lalu menghayati kebesaran dan keagungan Ilahi menerusi setiap inci tulisannya.

Dalam lain kalimah, anda bukan sahaja seorang wartawan tetapi anda juga daie yang akan menyentuh hati-hati insan agar subur dan kembali kepada fitrah yang murni. Apakah fitrah yang murni itu? Fitrah murni iaitu perasaan kehambaan (ubudiyyah) seorang hamba terhadap Allah al-Khaliq yang Maha Pencipta segala kejadian. 

August 16, 2013

Bicara Buku Ilmu Kehidupan di SACC Mall

Dapatkan di kedai berhampiran
Bicara Buku Ilmu Kehidupan: Ringkas tapi Signifikan

Tarikh: 18 Ogos 2013 Ahad
Masa: 2pm - 4pm
Tempat: SACC Mall

Bersama barisan penulis :
1. Prof. Muhd Kamil Ibrahim
2. Pn. Roza Roslan
3. Tn. Mohd Zaini Ariff
4. Tn. Sabtu M Ali
5. Pn. Noor Azma Mohamad Khassim

"ILMU KEHIDUPAN: Ringkas tapi Signifikan"

E-book 7 Rahsia Karya Diterima Editor Mula Dijual

Masa untuk mengetahui rahsia-rahsia editor bermula.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Mulakan membaca e-book '7 Rahsia Karya Diterima Editor' bagi perancangan penulisan buku-buku anda diterima oleh editor.

Sebelum menghantar karya anda kepada editor atau penerbit, anda seharusnya memahami 7 aspek utama dalam penghasilan sesuatu buku mengikut kaca mata editor:

1. Bahan yang diterima editor
2. Ciri-ciri karya yang dimahukan penerbit
3. Jenis karya yang diterima penerbit
4. Ciri-ciri karya yang disukai editor
5. Perkara yang disukai editor (ini mempengaruhi karya yang diluluskan penerbit)
6. Ciri-ciri penulis yang disukai editor
7. Cara terbaik untuk karya diluluskan editor / penerbit

Kepada bakal penulis, ketahuilah 7 aspek penting di atas.

Dapatkan segera

Kepada para penulis, tingkatkanlah skil anda berkarya.
Ya ... bertindak segera!
Masa tidak menunggu kita.
Buat editor jatuh cinta pandang pertama membaca karya anda sekarang!

Selamat bertindak.
Dapatkan e-book '7 Rahsia Karya Diterima Editor'  pada harga RM20.00 dengan membuat pesanan melalui e-mel hamzah125@gmail.com atau KLIK DI SINI untuk tempahan.

Bonus: E-book ini juga memberi contoh format dan lampiran yang sangat membantu untuk anda menghantar karya.

Terima kasih.

August 10, 2013

Tip Penulisan: Penulis & Blog?

Saya sering menerima emel mahupun panggilan daripada ramai insan menyatakan hasrat hati mereka untuk menjadi kolumnis Majalah Anis. Apabila saya bertanya, "Tuan/Puan ada blog?" Dia menjawab, "Tidak ada!" Malah ada juga menjawab dengan nada yang agak sinis, "Puan, zaman sekarang orang dah tak baca blog. Orang dah beralih kepada Facebook dan lain-lain... ."

Ya, saya akui kebenarannya. Namun blog atau homepage anda ibarat tapak premis perniagaan di mana orang-orang yang mahu membeli akan berkunjung ke situ. Jika anda menjual pakaian misalnya, mereka akan membelek-belek dahulu pakaian yang anda peragakan. Bukan sekadar itu sahaja, bagi pelanggan yang agak teliti dan cerewet mereka akan menilai kualiti kain, harganya dan sebagainya. Apabila sudah berpuas hati baharulah mereka akan bersetuju membeli. Kemungkinan mereka akan menjadi pembeli tetap produk kita itu.

Dalam konteks dunia penulisan, penulisan di blog ia amat penting sekali. Walaupun blog seperti ketinggalan zaman ia tetap ada fungsinya tersendiri. Malah sudah terbukti ramai penulis buku 'bestseller' mencipta nama daripada penulisan mereka di blog.

Antaranya, blog Saifulislam.com oleh Ustaz Hasrizal Abd Jamil yang mencetuskan fenomena apabila buku 'Aku Terima Nikahnya' menjadi buku bestseller. Blog Prof Muhd Kamil Ibrahim iaitu www.muhdkamil.org juga elok dijadikan rujukan kerana beliau mempunyai puluhan ribu pembaca setiap bulan. Terkini beliau sudah menubuhkan universiti maya iaitu UMKI yang memiliki 6000 penuntut. Ternyata penulisan di blog mempunyai signifikan dengan penulisan buku beliau Anekdot Madinah dan Ilmu Kehidupan (bersama 4 penulis lain).  

Bagi penulis-penulis baharu, penulisan di blog menjadi tapak untuk anda menajamkan skil penulisan. Bagi kami para editor (sama ada editor majalah atau suratkhabar) ia jadi jambatan untuk kami menilai gaya penulisan seseorang penulis itu sama ada sesuai dimuatkan dalam majalah atau tidak.

Mana tahu selepas mempunyai himpunan artikel-artikel yang menarik, anda berpeluang diundang untuk menulis di mana-mana ruang.

Kuasai sedikit demi sedikit teknik penulisan ini dan mula berlatih menulis dari sekarang. Jika boleh tambahkan ilmu dengan mengikuti mana-mana kursus penulisan. Jadikan blog anda sebagai jambatan untuk kita berkongsi ilmu dan pengalaman bersama masyarakat. Semoga ia menjadi nilaian di sisi-Nya yang akan menjadi saham kita di dunia dan di akhirat.


 

June 17, 2013

Ya Allah! Ramadan Kian Dekat

Assalam semuanya. Dah agak lama saya tidak update blog ini. Sedar sedar sudah lebih dua purnama  ia dibiar berlalu begitu sahaja. Apa alasan saya. "Mengejar deadline barangkali." Itu alasan yang sudah klise. Mungkin itu kata anda. 

Tanpa disedari kerana asyik memburu 'deadline' saya sudah melepasi bulan Rejab dan kini Syaaban, dan sedikit masa lagi bulan Ramadan kian dekat. Masya-Allah, demikian nikmat masa yang Allah beri... terasa begitu cepat ia berlalu. Masih terasa haruman Ramadan lalu, kini harumannya kembali lagi. Adakah sepanjang setahun itu (dari Ramadan ke Ramadan tahun ini) kita sudah menggunakannya untuk mencapai redha-Nya. Ya Allah .... ingatan untuk diri saya juga. 

Justeru, sempena ketibaan bulan Ramadan yang mulia ini, saya mengajak diri saya dan anda semua sama-sama memperhalusi niat dan amal sepanjang bulan puasa nanti. Saban tahun tanamkan satu azam untuk kita praktikkan pada diri, umpamanya amalan bersedekah.

Untuk mengetahui lebih lanjut kelebihan dan keistimewaan amalan sedekah, tatapi catatan Editor saya untuk isu bulan Julai 2013: Lagi Sedekah Lagi Kaya!



Janji Allah Pada Orang Yang Suka Bersedekah
Dalam satu kisah yang popular, diceritakan Sayidina Ali bin Abi Thalib membeli sebiji buah delima buat penawar isterinya yang tercinta, Sayidatina Fatimah yang jatuh sakit dan sangat ingin memakan buah delima. Dalam perjalanan pulang, beliau bertemu seorang tua yang sedang sakit yang juga sangat ingin memakan buah delima.
Mengingatkan pesan Nabi agar tidak menolak permintaan orang yang memerlukan, akhirnya Sayidina Ali memberikan buah delima tersebut kepada lelaki tua itu.
Sampai di rumah, Sayidina Ali menceritakan segala peristiwa yang berlalu. Di hatinya berharap isterinya memahami. Kata Fatimah, “Wahai suamiku, mengapa engkau bersedih, demi Allah ketika engkau memberikan buah delima itu, aku berasa puas dan lenyap keinginanku kepada buah delima.”
Tiba-tiba terdengar ketukan di pintu. Rupa-rupanya Salman al-Farisi datang membawa sebuah bekas tertutup seraya berkata, “Aku menghantarnya untukmu dari Allah melalui perantaraan Rasulullah SAW.”
Sayidina Ali membuka penutupnya dan melihat di dalamnya ada sembilan biji delima. Beliau segera bertanya, “Wahai Salman, jika ini memang daripada Allah untukku, pasti jumlahnya sepuluh,” seraya membacakan firman Allah; “Barangsiapa membuat amal yang baik, maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalnya.” (Al-An’am 6: 160)

Salman terus tertawa, sambil mengembalikan sebiji buah delima yang ada di tangannya lalu berkata, “Wahai Ali, demi Allah aku hanya sekadar menguji sejauh mana keyakinanmu terhadap firman Allah yang engkau bacakan sebentar tadi.”

Begitu juga kisah Sayidatina Aisyah yang akan memperelokkan harta atau wang yang akan disedekahkan kepada fakir miskin dengan wangi-wangian, semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT.
Beginilah antara suri teladan terbaik daripada insan pilihan Allah yang misi hidup mereka sentiasa ingin memberikan yang terbaik sama ada kepada Allah atau sesama manusia!

Lagi Sedekah Lagi Kaya! – Fokus Utama Anis kali ini dipilih sempena ketibaan bulan Ramadan; iaitu penghulu segala bulan.Bulan yang Allah lipatgandakan segala amal. Bulan mulia yang diriwayatkan Baginda SAW begitu hebat dalam bersedekah dan  diumpamakan seperti angin yang berhembus.
Semoga ketibaan bulan mulia ini kita dapat mempraktikkan salah satu sunnah Baginda SAW ini. Ketahui 12 sebab ‘magic’nya amalan sedekah yang dapat memadam api neraka, menghapuskan dosa-dosa dan menjadi penyebab kita beroleh husnul khatimah. Malah ada pelbagai lagi manfaatnya untuk kita di dunia dan akhirat.

Insya-Allah perkongsian ilmu bersama tiga orang tokoh iaitu Ustaz Ebit Irawan Ibrahim Liew, En. Abu Bakar Yang dan Prof Dr. Muhd Kamil Ibrahim akan terus memandu kita lebih menghayati ibadah yang dipanggil as-Sadaqah.  Ayuh!   

April 10, 2013

Kita Juga Akan Jadi Kenangan

8 Mac 2013 yang lalu.
Tepat jam 1 tengahari. Saya dan empat rakan (Hjh. Aliyah, Hjh Jalilah, Shamsiah Puad, Hapisah Dulasang) betul-betul tiba di hadapan Masjid Sultan Singapura. Hari itu hari Jumaat, bacaan Quran berkumandang dan ramai jemaah lelaki sudah mula memasuki masjid.

Kami terus ke sebuah restoran di situ. Perut betul-betul berkeroncong, maklum semenjak keluar dari penginapan di Raffles Town Club, tersesat barat kerana tersilap bas untuk ke Makam Habib Noh di Palmer Road, kami benar-benar terasa keletihannya.

Tanpa peduli pada sekumpulan lelaki yang sedang rancak berborak, kami lihat ada empat kerusi dikosongkan. “Encik boleh kami duduk di sini?” tanya kami. “Oh, duduklah, mereka itu hendak pergi merokok saja,” ucap mereka berbahasa-basi.

Sebaik dapat melabuhkan pinggul dan melepaskan lelah, telefon Hjh Aliyah berdering. Terdengar dia bercakap-cakap dengan seseorang. Dan selepas itu dalam nada cemas dia  terus segera memberitahu, “Ustaz Rujhan sudah meninggal dunia. Aina yang telefon memberitahu, katanya Cikgu (Tn Hj Abu Hassan) sedang bersiap-siap mengumpulkan staf ke Jerantut, Pahang untuk majlis pengkebumian.”

Agak terkedu kami semua yang mendengar. Ia sungguh mengejutkan, maklum beberapa bulan lalu kami ada menziarahinya di rumahnya di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang. Masih terbayang wajahnya yang menitiskan air mata tatkala menguak pintu meraikan kedatangan kami.

"Hari ini ada orang-orang hebat dari Galeri Ilmu nak datang," pesannya pada ibunya.

Kami dijamunya sungguh-sungguh dengan ikan patin masak tempoyak. Malah dibekalkan lagi ikan patin yang masih mentah. Masya-Allah begitu murah hatinya. Dan sekali lagi kala kami menggamit pulang, dia sekali lagi menitiskan air mata. Siapa sangka rupa-rupanya itulah pertemuan pertama dan terakhir kami di rumahnya yang terletak berhampiran Kuala Tahan, walaupun banyak kali bertemu di Kuala Lumpur bila dia ada urusan menyampaikan ceramah.  

Apabila kami sampai di rumahnya, kami cukup jauhnya jarak dia berulang-alik ke ibu kota apabila memenuhi jemputan ceramah. Kata penduduk kampung kalau nampak kereta masuk lewat malam ke kampung tahulah mereka itulah kereta milik Ustaz Rujhan. Malah kami diberitahu ibunya, kerana tidak tahan dengan jadual pendakwah ini yang keluar berdakwah awal pagi dan sampai semula waktu dinihari, pernah pemandu keretanya berhenti kerja.

Seminggu sebelum dia pergi ke rahmatullah, saya sempat menghantar SMS mengingatkan tentang deadline Majalah Anis setelah dia mula kembali rancak menulis. Sempat dia membalas dan memberitahu akan keuzurannya. Saya jawab kembali, “Pembaca Anis sentiasa menanti tulisan ustaz yang sangat bermakna itu.” Dan dia menjawab, “Insya-Allah.” Jelas kesungguhannya untuk terus berdakwah biarpun kata isterinya dia agak uzur kebelakangan ini. Akalnya cergas namun fizikalnya tidak mampu bertahan lagi. Dan sebelum melafazkan nafas terakhir dia sempat menitipkan kata-kata motivasi buat anggota keluarganya, "Allah tarik sedikit nikmat dunia untuk beri lebih banyak di akhirat." 

Sempat mempromosikan Majalah QA.

Kami berkesempatan bertanya khabar melalui ibunya. Rumah Ust Rujhan dan rumah kedua-dua ibubapanya dan adik-beradik lain berdekatan. 

Menurut ibunya, anaknya ini memang ulat buku dari usia kecil lagi.

Kami dihidangkan dengan masakan istimewa negeri Pahang - ikan patin asam tempoyak. Berselera kami makan  apatah lagi diganding bersama sambal bilis belimbing buluh. 

Kenangan terakahir - foto yang mahu dimasukkan dalam Anis tetapi terlupa hingga  ke sudah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Allahyarham. 

Untuk anda pembaca setia Anis, dapatkan bingkisan sajak khas yang ditulis Sdra Zuraimi Ismail kepada Ustaz Rujhan yang dianggap mualim dan juga teman rapatnya. Dapatkannya dalam Anis Mei 2013 ini di mana beliau sempat menukilkan artikel terakhir dalam ruangan Kata & Makna.  

Al-Fatihah untuk insan yang bersama-sama kami dalam perjuangan Anis selama ini. Mudah-mudahan Allah melapangkan kuburnya dan rohnya digolongkan bersama orang-orang yang soleh. Amin.

March 28, 2013

Part 2: Travelog Singapura - Kembara 5 Sahabat

Antara kenalan kami ketika bermusafir ke Singapura - atas, Encik Hamzah Abdullah, anak angkat @ sukarelawan bawah, Hj Buah dari Banjarmasin dan Pn. Zarina, sukarelawan yang melayani sarapan kami di Masjid Ba'alwi.


Antara khazanah berupa koleksi al-Quran, manuskrip lama dan foto-foto bersejarah yang masih tersimpan rapi di Masjid Ba'alwi.

Wajah-wajah para Muslimat yang menghadiri majlis Haul dan Maulid Habib Salem al-Attas kali ke-38 pada 7 Mac lalu. Lebih kurang 10,000 pengunjung hadir dari seluruh Asia Tenggara, Asia Tengah dan eropah.
Hmm, bayangkan apabila 5 serikandi ini menawan Bas Nice Executive Lounge - hebat tak, terasa barakahnya apabila kita pasang niat ziarah untuk majlis memuliakan Rasul. Terasa macam VVIP pula... sampai ke saat ini apabila mengenang pengalaman ini air mata akan menitis.
Inilah sahabat baik hjh aliyah Sijari yang menyambut ketibaan kami ketika tiba di Singapura, en Ramadan Daud dan isterinya, Azizan sempat menjamu kami makan sup tulang merah yang terkenal di arab Street. Terima kasih atas layanan baik anda berdua, insya-allah panjang umur kita bertemu lagi.

March 18, 2013

Kenangan 1 Mac 2013

Minggu ini adalah minggu-minggu kritikal bagi kami Team Editorial di Galeri Ilmu Media Group. Kalau dalam perlawanan bola sepak ia dipanggil waktu kecederaan. Jalan pun asyik menundukkan muka .. . Itu ayat-ayat popular yang sering berlegar di kalangan kami.

Kami semakin hampir ke destinasi akhir iaitu tarikh cetak majalah yang telah ditetapkan iaitu setiap 4 haribulan. Hmm... hari ini dah berapa hari bulan ya? 1 Mac 2013. Besok pula cuti Sabtu dan Ahad. Jawapan yang diberi Pengarah Penerbitan kami, kalau tak boleh final semua kakitangan Jabatan Editorial perlu bekerja esok hari. Noktah. Hmm, berkorban lagi...? Getus hati saya.

Kalau diikutkan rasa hati mahu saja saya bercuti hari ini. Sebab apa? Ini hari ulang tahun perkahwinan saya yang ke-23. Terasa seakan tidak percaya pula. Sudah 23 tahun rupanya aku bergelar isteri, kata hati.  Alhamdulillah, ikatan saya dan encik suami masih bertahan dan semoga ia terus mekar mewangi sehingga hujung nyawa.

23 tahun meredah belukar kehidupan, susah senang pahit derita dikongsi bersama. Sekejap bergaduh dan berbaik semula. Sedar-sedar uban sudah mula penuh di kepala. Anak-anak kami semakin dewasa. Anak-anak sahabat sudah ramai yang mendirikan rumah tangga. Ramai yang mula bertanya bila pula giliran kami bermenantu pula? Itu petanda usia kita semakin di remang senja.

"Ya Allah, kami mahu terus bercinta sehingga ke syurga... " doa saya di pagi Jumaat ini.

Pagi tadi saya pura-pura bertanya kepada encik suami, "Ingat tak hari ini hari apa?" Dia senyum tersipu-sipu. Mujurlah tarikh ini masih ada dalam ingatannya. Kalau tidak... he he ... anda fikirlah sendiri.



March 12, 2013

Berdandanlah Cara Nabi



Mencari teladan dalam hidup berumah tangga, selak kembali sirah Nabi Muhammad SAW.

Sering diriwayatkan bahawa baginda apabila hendak bersama dengan isteri-isterinya, baginda akan memakai bau-bauan wangi seperti ambar dan kasturi.

“Baginda akan bersihkan diri dengan mandi dan berwuduk terlebih dahulu. Ini menunjukkan kebersihan diri itu penting dalam hubungan suami isteri,” ujar Datin Sharifah Anisah Prof Tan Sri Syed Agil Barakbah dalam satu majlis diskusi mengenai ‘Rahsia Sihat Anggun Wanita’kira-kira 5 tahun lalu.

Katanya dalam sebuah hadis qudsi mengatakan, Allah itu Indah dan Dia menyukai sesuatu yang indah. Hadis ini membawa mesej agar para wanita tampil anggun dan menawan di hadapan suami. Dalam mengekalkan kekemasan diri, cukuplah air sebagai penyeri diri. Mandilah selalu terutamanya selepas memasak sebelum menghidang makanan di depan suami. Hatta hendak memilih ‘perfume’ pun, Datin Sharifah Anisah menyarankan wanita elok minta pandangan suami.

“Wanita elok tanya pandangan suami ‘perfume’ mana yang lebih dia sukai. Tidak terlalu kuat sehingga mengganggu pernafasan orang sekeliling kita pula, pakailah yang sederhana dan lembut baunya. Dalam rumah tangga elok berbincang, kalau tak boleh berbincang itu bukan berumah tangga namanya,” ulasnya memberi pandangan dalam soal berkaitan penampilan diri sebagai seorang isteri.

Memasak dan menyediakan hidangan boleh.Tapi seorang isteri juga mesti tahu keutamaan dirinya. Selepas menyiapkan hidangan bersiap dan berdandanlah untuk diri sendiri dan suami. Seperti mana kemas dan rapinya kita hendak keluar rumah, begitulah terlebih lagi untuk suami yang kita sayang dan hormati.

Rahsia Penjagaan Diri: Suami dan Isteri



"Bercantik-cantik dan
berdandanlah dari awal
kahwin sampai ke akhir
hayat. Suami dan isteri mesti
sama-sama berperanan
untuk mencipta bahagia
rumah tangga."



“Eh! Mama pakai cantik-cantik ni, nak pergi mana? “Tak ke mana-mana, duduk rumah aje…” Si anak hanya terkulat-kulat memandang wajah ibu yang bersolek rapi. Pelik sekali dia melihat perangai ibu pagi itu, selalunya kalau ibu bercantik-cantik begitu, itu tanda ibu akan keluar ke mana-mana. Tapi hari ini lain pulak alasannya. Agaknya si ibu sudah buang tabiat!

Duhai gadis yang akan melangkah gerbang perkahwinan, usah biarkan ‘tayangan realiti’ di atas terjadi sekali lagi dalam hidup anda. Bertahuntahun melayar hidup berumah tangga baru si isteri tersedar dari lamunan. Tersedar banyak kesilapan yang terbabas dalam hidup selama bergelar suri.Kalau sedar pun tapi nafsu mazmumah begitu tebal untuk membawa diri menuntut ilmu dalam bab-bab memperhalusi adab diri dengan suami. Tapi buat yang sudah sedar dan insaf, ruang untuk memperbaiki diri masih belum terlambat. Mudah-mudahan Allah berkati setiap perubahan yang ingin dilakukan.

March 11, 2013

KANDUNGAN MENARIK ANIS APRIL 2013

Klik di sini




1.      Fokus Utama ms: 17
Surah an-Nur: Pembela Kaum Wanita
Para ulama mengatakan bahawa Surah an-Nur ini surah yang menjadi pembela kepada seluruh wanita Islam tidak kira mereka di mana.
Mereka berkata sedemikian kerana bilamana surah ini dinuzul ia dikaitkan sebagai pembelaan dan penghormatan khusus kepada Ummul Mukminin Sayidatina Aisyah r.a. − wanita mulia yang telah difitnah oleh kaum munafik. Maka surah ini jugalah yang akan berfungsi dan berperanan sebagai pembela kepada sekalian Muslimah.
Untuk mengetahui bagaimana dan kenapa surah ini dikatakan sebagai pembela wanita, ikuti Fokus ANIS bulan ini.

2.      Interviu Fokus ms: 22
Ajarlah Anak Gadismu Surah an-Nur
Surah an-Nur dimulakan dengan suatu ayat penegasan daripada Allah SWT. Tiada surah lain dalam al-Quran yang dimulakan dengan penegasan yang sangat keras kecuali Surah an-Nur. Allah SWT memberi penegasan bahawa apa yang terkandung dalam surah ini sangat penting untuk dilaksanakan, dihayati dan diaplikasikan. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut apa yang ditegaskan oleh Allah dalam surah ini, ikuti ulasannya oleh Ketua Wanita Pertubuhan  Ikram Malaysia, Ustazah Maznah Daud.

3.      Tetamu Anis ms: 33
Pierre Andre -Pelihara Maruah Wanita Dalam Karyanya
Perjalanan menuju cahaya Ilahi bukanlah suatu perjalanan yang mudah. Sudah pasti, beliau juga turut diuji dengan pelbagai bentuk ujian duniawi. Baginya, tiada laluan mudah dalam melalui perjalanan mencari keredhaan abadi.
Ketahui titik perubahan dalam hidup Pierre Andre dan misinya dalam berdakwah dalam ruangan Tetamu Anis pada muka surat 33.

4.      Kembara Eksklusif ms: 44
Lukisan Hati Anak-anak Gaza
“Lukisan anak-anak di Malaysia lebih tertumpu kepada gaya hidup dan hiburan. Namun, lukisan yang dilukis oleh anak-anak di Gaza menceritakan tentang hidup dan mati. Mereka melukis orang yang ditembak, bangunan dibom, kereta kebal, senapang dan macam-macam lagi. Mereka melukis apa yang mereka nampak pada setiap hari dan untuk hari-hari yang mendatang.”
Ikuti pengalaman yang dikongsikan oleh Puan Zaliza Binti Alias, Pengasas Genius Aulad yang berpeluang mengikuti misi kemanusiaan ke Gaza bersama Islamic Relief Malaysia (IRM).

5.      Kapsul Kitab ms: 98
Hapuskan Al-Khujul!
Ada malu yang perlu disimpan dan ada malu yang perlu dibuang. Apakah malu tersebut dan bagaimana membuangnya? Ketahuinya dalam ruangan Kapsul Kitab.
  
6.      Pra Nikah ms: 80
Murah Atau Mudah Lebih Baik?
Kita sering mendengar seruan agar kaum wanita meletakkan mahar ‘murah’. Apa yang kita faham tentang mahar ‘murah’? Apa bezanya dengan mahar ‘mudah’? Islam mengajar kita bagaimana? Dapatkannya dalam ruangan Pra Nikah oleh Fatimah Syarha Mohd Nordin.

8.Manja Sihat ms: 62
Anakku Pelik?
Anaknya memasuki usia dua tahun, namun belum dapat bercakap dengan baik seperti kanak-kanak seusianya. Jika berada dalam suasana orang ramai anak beliau tidak begitu mesra dan lebih suka bermain sendirian. Adakah itu tanda-tanda Autism? Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Autism, ikuti kupasannya oleh Dr. Zubaidi Ahmad dalam ruangan Manja Sihat.

9. Harmoni ms: 56
Suamiku Curang?
Siapakah yang tidak bimbang dan tidak takut pasangan mereka curang? Namun, adakah kita cukup sempurna dan hebat untuk menghalangnya daripada terjadi? Ketahui tip-tip untuk mengeratkan hubungan suami isteri dalam ruangan Harmoni oleh Ustaz Mohd Shukri Samsudin.

10. Tinta Wardina ms: 114
Beginilah Mencari Cinta
Cinta tidak salah, perasaan berahi dalam bercinta juga tidak salah kerana ia fitrah, namun apa yang anda lakukan dengan perasaan itu akan menentukan jalan cerita yang seterusnya. Bagaimana mencari cinta yang sebenar, ikuti ulasannya oleh Wardina Safiyyah.










February 22, 2013

Ekspo Buku Islam - Terima Baucar Buku 1 Malaysia


Kepada pembaca majalah ANIS, dapatkan pelbagai bahan bacaan daripada Galeri Ilmu di Pesta Buku Islam 6 Putrajaya pada 22 Febuari 2013 hingga 03 Mac 2013.

Pada Ekspo Buku Islam 6 Putrajaya kali ini terdapat pelbagai aktiviti menarik yang disediakan oleh pihak penganjur dan pempamer yang akan memeriahkan lagi acara dan perkongsian ilmu bersama pengunjung.

Kepada pembaca setia majalah ANIS dapatkan pelbagai promosi menarik dan dapatkan cenderahati daripada majalah ANIS seperti beg, baju, peralatan lukisan (ASUH) dan sebagainya.

Jumpa di sana!

February 13, 2013

Sesi Fotografi Cover Anis Noryn Aziz

Agak lama meninggalkan blog ini, maklumlah cuti Tahun Baru Cina. Walaupun bercuti banyak perkara yang dibuat untuk menghabiskan masa senggang. Apapun masa kualiti bersama keluarga tetap menjadi keutamaan. Bekerja bekerja juga tetapi anak-anak dan suami adalah tanggungjawab kita sebagai isteri. 
Alhamdulillah, cover Anis yang menampilkan Noryn Aziz penyanyi yang telah bertudung litup sudah pun di 'post' secara meluas di laman FB Majalah Anis. Tentu ramai yang tertanya-tanya bagaimana menghasilkannya? Di sini saya 'share' sedikit foto-foto di belakang tabir sesi fotografi untuk cover Anis kali ini. Apa yang penting untuk dapatkan hasil yang berkualti dan terbaik ialah saling berkerjasama dan hati yang bulat kerana Allah... . 
Noryn pula sangat sempoi orangnya dan sentiasa memberi kerjasama yang terbaik. Walaupun di hujung sesi fotografi hujan rintik sudah mula membasahi bumi, Noryn terus memberi komitmen. Terima kasih Noryn yang kini kelihatan bahagia dengan penghidupannya sekarang. 
Untuk anda, nak tahu apa perkembangan beliau dan apa isu dan komen beliau mengenai facebook dan rahsia rumah tangga, dapatkan Anis April 2013 di pasaran sekarang. 

Suasana penggambaran di Restoran Asmara, Sg. Penchala. 
Wartawan Anis, Noor Hajidah sedang menemu bual Noryn Aziz. 

Sudah puas berposing di meja, beralih pula di hadapan tangga.

Noryn Aziz tersenyum manis. Di belakang pula, Saudara Husin Omar sedang mengambil sudut terbaik untuk promo Anis di YouTube. 

February 06, 2013

KANDUNGAN MENARIK ANIS MAC 2013




    1.      Fokus Utama ms: 17
Isu Rumah Tangga@FB: Kongsi Atau Dedah?
Kehadiran FB dilihat dapat merapatkan jurang silaturrahim sesama ahli keluarga, saudara-mara atau rakan yang jauh. Ini kerana aktiviti komunikasi menjadi mudah dan menyeronokkan. Realiti yang berlaku, bersama wujudnya zaman ‘diari terbuka’ ini, wujud pula suatu permasalahan baharu apabila kita sering teruja untuk berkongsi apa sahaja tentang diri dan keluarga kita, tanpa mengenal batas do’s and don’tsnya.  Kita lupa, syariat Islam itu sekalipun ia meraikan kebebasan berbuat dan bertindak, namun ia tetap ada adab dan batas.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya, ikuti Fokus ANIS bulan ini.

    2.      Interviu Fokus ms: 22
Berdosa Dedah Aib Rumah Tangga
“Dalam Facebook, bukan sedikit orang yang tahu masalah rumah tangga jika kita mendedahkannya, tetapi seluruh dunia mungkin mengetahuinya dan tentunya impak yang diterima juga besar. Mendedahkan keaiban rumah tangga kepada orang ramai adalah berdosa.”  Pendakwah bebas, Ustaz Syed Abdul Kader Al-Joofre turut menekankan dua perkara apabila menghadapi masalah rumah tangga. Nak tahu apa dua perkara tersebut, ikutinya dalam Interviu Fokus.

3.      Tetamu Anis ms: 33
Noryn Aziz Nekad Hapus Foto Lama Di Internet
“Saya berikhtiar untuk membuang gambar-gambar lama yang merunsing dan menyesakkan dada saya apabila melihatnya. Saya berusaha memohon bantuan daripada pihak CMCF dan mendapat kerjasama yang amat baik daripada mereka.” Mengapakah Noryn Aziz bertindak demikian, ketahuinya dalam ruangan Tetamu Anis pada muka surat 33.

4.      CyberSecurity ms: 28
Selamatkah Facebook Anda?
Jika dunia ini sempurna dan ideal, memang tidak menjadi masalah berkongsi maklumat. Malahan ini memudahkan rakan-rakan kerana mereka hanya perlu merujuk maklumat di FB untuk mendapatkan maklumat tentang rakan-rakan yang lain. Malangnya dunia siber bukanlah sempurna. Ada kemungkinan maklumat peribadi kita jatuh ke tangan penjenayah.
Ikuti kupasannya secara eksklusif daripada Sandra Isnaji, CyberSecurity Malaysia.

5.      Nasihat Murshid ms: 12
Ukuran Kejayaan Wanita Seperti Lelaki?
Mengapa kaum wanita kena tutup aurat yang banyak dan sukar, tetapi lelaki sedikit saja. Adilkah begitu?
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti kupasannya oleh Dr. Zaharuddin Abd. Rahman.
  
6.      Pra Nikah ms: 74
Siapa Mahu Bercerai?
Sebut sahaja perceraian, ramai orang yang pukul rata. Semuanya tidak elok. Padahal, perceraian itu bukan semuanya keburukan. Meskipun perceraian itu pahit tapi ia mungkin boleh menjadi ‘ubat’ dalam masalah-masalah tertentu. Islam tidak mengharamkannya terus kerana kadangkala ia suatu keperluan.
Walau bagaimanapun, Islam mengajarkan beberapa cara untuk meminimumkan risiko perceraian, nak tahu? Dapatkannya dalam ruangan Pra Nikah oleh Fatimah Syarha Mohd Nordin.

8.Imej Muslimah ms: 40
Bolehkah Wanita Berwangi-wangian?
Pemilihan minyak wangi yang berbau harum dan menyenangkan itu adalah dibenarkan. Namun pastikan cara menggunakannya juga adalah BETUL di sisi syariat. Bagaimana cara paling baik untuk wanita memakai minyak wangi? Ketahui tip-tipnya dan petua tradisional untuk menghilangkan bau badan oleh Suraya Daud, Perunding Imej, SD Image.

9. Harmoni ms: 56
Bercinta Biarlah Beradab ...
Pupuk tiga perkara asas membina adab dalam rumah tangga demi mengundang rahmat Allah. Apakah tiga perkara tersebut? Ikutinya dalam ruangan Harmoni oleh Ustaz Mohd Shukri Samsudin.

10. Adam vs Hawa ms: 80
Beza Masa Kualiti Suami Dan Isteri
Kita mungkin sudah biasa dengan istilah ‘masa berkualiti’, tetapi apakah ia benar-benar bermakna dalam kehidupan kita suami isteri dan bagaimana sebenarnya kita menghabiskan masa berkualiti dengan pasangan kita masing-masing. Ketahui lima soalan untuk membolehkan suami atau lelaki memahami isteri atau wanita dalam ruangan Adam VS Hawa oleh Pak Utih.










Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...