April 06, 2009

Anak sulung GISB



Gembira rasa hati ketika diserah cover buku yang bakal terbit tidak lama lagi. Kira-kiranya ini anak sulung saya di bawah GALERI ILMU SDN BHD. Tapi buku keempat saya selepas sepuluh tahun tidak melahirkan buku. Buku ini hadir bersama tiga beradiknya yang lain di bawah judul Siri Juara Muda.
Tiga siri yang lain iaitu Adik Haziq - Pelukis Berbakat, Adik Danish - Pelakon Iklan Cilik dan Adik Muhammad - Juara Hafiz Muda yang baru-baru ini mendapat anugerah Tokoh Remaja Maulidurrasul 1430H peringkat Kebangsaan dan negeri Selangor.
Untuk makluman Siri Juara Muda ini diterbitkan di bawah Dana Penggerak Industri Buku Negara, Dewan Bahasa Pustaka. Kalau nak dapatkan silalah ke gerai GISB (N0. 81) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, yang bakal berlangsung pada 17 hingga 26 April ni. Majlis Pelancaran Buku Dana Penggerak Industri Negara ini akan berlangsung pada jam 2.30 petang 20 April, bertempat di ruang legar/lobi PWTC. Dijangka ia dilancarkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin. Harap-harap dapat bertemu anda semua di sana...

p/s: Terima kasih buat En Abu dan Anuar, si empunya tangan yang kreatif merekabentuk buku ini. Juga buat Team Jabatan Buku GISB yang diketuai Haji Wan Azmin Wan Dollah, penggerak utama projek Dana Penggerak Industri Buku Negara ini. Moga kita terus sukses bersama membangun agama, bangsa dan negara.

April 01, 2009

Apabila Bunga Berguguran...

Cuaca semakin hari semakin panas. Bahangnya sudah tidak dapat ditahan-tahan. Menurut laporan akhbar, perubahan cuaca akibat pemanasan global seperti yang kita alami ini dijangka berterusan hingga bulan September. Saya bertanya pada diri, mampukah saya dapat bertahan lagi? Bulan ini pasti bil melambung tinggi kerana siang malam kipas asyik dipasang pada nombor tiga atau empat. Kadang-kala lebih lagi.
Saya persoalkan hati kembali. Kenapa di musim kering begini saya rindukan kedatangan hujan. Oh hujan cepatlah turun, basahi bumi ini, hati saya seakan mahu berteriak. Malangnya nanti apabila tiba di musim tengkujuh, hati yang berteriak itulah yang akan berteriak kembali. Oh matahari bersinarlah engkau! Oh, saya rindukan cuaca panas kembali supaya kain di jemuran cepat kering. Tidak pengap. Tidak berkepuk-kepuk dengan longgokan kain-kain lain yang menanti giliran. Ah! Saya istighfar. Begitulah manusia sifatnya susah untuk bersyukur...
Cuaca kering atau cuaca sejuk pasti ada hikmah di sebaliknya. Hanya Allah al Alim yang maha mengetahui rahsianya. Walaupun tak berselera melihat dedaun pokok yang kekuningan, kering-kontang dan keras kejung disengat bahang matahari, hati saya terhibur seketika melihat halaman rumah saya. Saban hari ia akan dipenuhi bunga-bunga kecil yang berguguran ke bumi. Subhanallah! Cantik sungguh...
Saya kutip bunga ini. Ingatan saya kembali pada peristiwa beberapa tahun yang lalu. Kejadian di mana saya dan team Anis berlari-lari anak mengejar sejenis bunga di Baling, Kedah. Sungguh manis apabila dikenang-kenang kembali. Saya masih ingat ketika itu saya, Hajah Jalilah dan Kak Aliyah Sijari serta jurufoto ke sana bagi memenuhi jemputan dari Dato' Mashitah Ibrahim yang ketika itu berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Baling.
Tiba di sana kami ditempatkan di rumah rehat Baling. Perjalanan lima jam (pipih punggung) cukup mengujakan. Hajah Jalilah berganti-ganti dengan jurufoto memandu kereta. Selepas melelahkan letih seketika, malamnya kami turun ke lobi. Sekumpulan kaum ibu sudah menanti kami dengan hidangan istimewa masing-masing. Kami tertarik sungguh dengan keunikan masakan mereka yang diadun dari pelbagai rahsia alam, antaranya ialah lepat pisang daripada bunga cica. Bunga cica ini kata mereka susah didapati kerana pohonnya sangat tinggi. Ia hanya berbunga pada musim-musim kering seperti sekarang ini. Kata mereka lagi bunga cica akan gugur pada waktu pagi. Dan kalau dilihat memang rupanya seakan sama dengan bunga di halaman rumah saya ini tapi ia berjurai-jurai di tepinya. ia dikisar bersama dengan tepung beras dan dijadikan lepat, memang sedap rasanya dan warnanya sama seperti lepat dari tepung pulut. Jika bunganya masih segar dan basah lepatnya berwarna keunguan sedikit, tapi jika bunga cica itu dijemur hingga kering lepat yang dihasilkan akan berwarna agak hitam. Malam itu kami tidur dengan azam untuk bertemu dengan pokok bunga cica yang dikatakan amat istimewa itu.
Pagi esoknya kami bersiap-siap untuk program sehari bersama masyarakat Baling yang diadakan di sebuah sekolah. Dalam perjalanan kami ternampak seorang lelaki terbongkok-bongkok seolah-olah sedang mengutip sesuatu. "Berhenti, berhenti!" kata Kak Aliyah. Jurufoto kami memberhentikan kereta. "Pak cik kutip apa tu?" tanya kami. "Pak cik kutip bunga cica," jawab pak cik itu. Sebaik mendengar nama bunga cica, apa lagi ketiga-tiga Mak Cik Anis (seperti yang ditulis oleh Hj Bad dalam ruangan Sketsa Majalah Anis) ni pun cepat-cepat melangkah keluar menyeberangi jalan. Kami memandang ke atas. Memang benar kata mak cik yang kami temui malamnya. Pohonnya tinggi sesayup mata memandang. Di celah mentari yang baru menyinar, kelihatan bunga cica berpusing-pusing di bawa angin satu persatu jatuh ke rumput. Tanpa sedar kami berlari-lari anak ke sana ke mari. Kami bagai anak kecil keseronokan mengutip bunga-bunga cica yang jatuh berguguran itu. Puas rasa hati setelah berjaya mendapat apa yang dihajati. Setelah puas kami masuk ke dalam kereta semula dan menyambung ke destinasi kami semula.
Tika mana bertemu dengan ibu-ibu malam tadi, kami kabarkan pada mereka kami sudah berjaya mengutip bunga cica. "Wah! Pandai na!" ujar mereka ketika diunjuk rupa bunga cica yang berjaya kami kumpulkan untuk di bawa pulang ke Kuala Lumpur. Ibu-ibu itu kehairanan bagaimana kami boleh berjaya mendapatkan bunga cica itu. Kami hanya tersenyum. Bagi saya rahsianya hanya satu iaitu deria yang luar biasa. Ya, deria wartawan kebiasaannya lebih peka dan sensitif dari deria orang biasa. Kerana apa? Persekitaran dunia penerbitan itulah yang membentuk mereka menjadi insan yang peka dan sensitif.

Berkorban dan Terkorban

Team Anis dan tenaga produksi bergambar kenangan bersama Aida Gadis Melayu dan Dato Rudy, pemilik Astana Rudinara selesai pengambaran Cover Majalah Anis April 09.
Setiap kali menatap Majalah Anis keluaran April yang masih lagi segar di pasaran, pasti ada senyum simpul terukir di bibir. Kala cerita ini dikisahkan bersama-sama team produksi yang bersama-sama menjayakan pengambaran ini, pasti kami akan tersenyum simpul dan ketawa. Geli hati!
Apa tidaknya, kali pertama berlaku dalam sejarah kami bertawaf Bandar Baru Bangi sebanyak tiga kali. Selama ini bukannya tak pernah ke situ. Kami berpusing-pusing jalan mencari arah ke Sg. Merab. Selepas dua kali tak jumpa simpang masuk, kata jurumekap Anis hari itu biarlah dia yang guide jalan, alih-alih tersesat lagi. Pusing punya pusing akhirnya baru jumpa. Itupun jam sudah menunjukkan pukul 12 tengahari (kalau shooting di ofis pasti sudah siap punye). Hati kami kecut juga bila memikirkan janji dengan empunya tempat yang sudah tersasar dari masa yang sepatutnya.
Sambil menunggu di luar pagar kediaman yang tersorok sepi dalam hutan pokok getah, mata terpandang papan kenyataan, 'Barangsiapa yang menceroboh masuk akan ditembak!' Ya Allah lagi menggeletar lutut semuanya...
Alhamdulillah, tuan rumah akhirnya mengalu-alukan kedatangan kami semua meskipun kami sudah terlewat. Berkejar dengan masa kami bergegas-gegas siapkan peralatan dan sebagainya. Sementara Si Gadis Melayu dimekapkan sempat berkenalan dengan pemilik kediaman yang sungguh unik dan penuh nilai estetik ini.
Memang berbeza sungguh pengambaran Cover Anis kali ini kerana dikelilingi hijau rimba. Dari atas anjung rumah kayu dari cengal terpilih setinggi 12 meter debaran kencang hati kami mula beransur tenang dan lega. Damai hati melihat hijau alam dari lambaian pohon getah dan pohon-pohon herba di sekeliling. Melihat tuannya pasti anda terkejut kerana pemiliknya lebih Melayu dari orang Melayu. Saya sendiri berasa teramat malu pada insan unik ini.
Dato' Prof. Hj Rudy Salinger ini dahulu warga Perancis sudah bermastautin 55 tahun iaitu sebelum zaman merdeka lagi. Pernah bertugas sebagai Pegawai British dan pensyarah. Sangat fasih bertutur dalam bahasa Melayu. Sejak awal kedatangan kami diraikan sungguh-sungguh. Kudratnya masya-Allah. Setiap kali saya nak mengangkat barangan untuk prop dia berusaha mengangkatnya sendiri ke lokasi. Hatta kipas angin dari anjung biliknya pun diangkat sendiri. Walau termegah-megah dia akan berkata, "Tidak apa, biar saya buat sendiri."
Kecintaannya pada budaya dan adat resam Melayu sangat mengagumkan. Hampir setiap inci banglo kediamannya dihasilkan tukang rumah dari Kelantan. Ukiran cantik tertera di sana-sini memperlihatkan keindahan warisan Melayu yang jarang nak kita orang Melayu pertahankan. "Kerawang ini ukiran tangan Wan Su," katanya pada saya tika kami di tingkat atas. Setiap bahan yang ada di dalam rumahnya ada cerita tersendiri. Kalau nak ditulis boleh buat satu buku agaknya.
Aida si Gadis Melayu pun cukup kagum dengan Dato Rudy ini. "Dato' Aida cukup kagum dengan Dato. Rumah Dato' ni ibarat sebuah muzium yang menyimpan segala khazanah warisan alam Melayu."
Jam tiga petang kami beransur dari kediaman unik ini. Tapi pengambaran belum siap sepenuhnya. Kami beralih sebentar ke Teratak Hijjaz pula yang jaraknya tidak jauh dari situ. Beberapa shot diambil lagi berlatar belakang kehijauan alam pula yang menjadi tema resort ini. Walau perut lapar Si Aida Gadis Melayu tetap bertahan nak habiskan pengambaran.
Sehari suntuk mendapatkan sudut terbaik bagi cover kali ini kami semua beroleh satu kepuasan. Lapar, penat hingga tersesat jalan beberapa kali pun, itu semua jadi ilusi bila berjaya mendapat sudut rakaman terbaik sepertimana yang diiimpikan.
Buat Team produksi yang telah bertungkus-lumus pada hari itu khususnya jurufoto, Along dan Kak Ummu yang telah pertemukan kami dengan Dato' Rudy, juga buat Aida si Gadis Melayu yang cukup sporting dari pagi hingga petang, saya rakamkan ribuan terima kasih.
Tak lupa juga buat teman-teman lain yang banyak membantu proses penerbitan Majalah Anis dari awal hingga akhir khususnya Pojie DTP, artis kami yang sentiasa kreatif mereka bentuk majalah walaupun masanya amat suntuk sekali.
Hanya Allah dan Rasul yang menilai setiap titik usaha kita lakukan bersama. Semoga ia jadi saksi amal untuk kita hadapkan bersama di hadapan Rabbul Jalil di akhirat kelak.

Bergambar beramai-ramai di Teratak Hijjaz

Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ...