November 02, 2012

Gelaran Doktor Obes Kini Tinggal Sejarah!

Jerit perih pasangan ini dalam menurunkan berat badan berbaloi malah usaha mereka kini menjadi penawar buat ramai insan lain yang mengalami masalah serupa. 

Dr. Mahathir Mohamed dan Dr. Nurhalina Azly Minhat. 
Siapa sangka orang yang banyak membantu ramai insan dalam program penurunan berat badan ini suatu ketika dahulu pernah dilanda masalah obesiti. Dengan berat badan sebanyak tiga digit, Dr. Mahathir Mohamed, 37, hampir berputus asa kerana masih gagal mengurangkan berat badannya biarpun pelbagai usaha telah dijalankan.
Antaranya beliau bersenam dan berjoging sejauh 800 meter hampir setiap hari di samping mengamalkan pemakanan produk pelangsingan badan yang disyorkan rakan-rakan yang bersimpati dengan nasib beliau.
Pemilik Klinik Timeless yang menawarkan perkhidmatan anti-penuaan dan keremajaan kulit di Kelana Jaya ini mengimbau, “Ketika bertugas di Sarawak dahulu, berat badan saya mencecah 110 kg. Saya mengaktifkan diri dengan bersenam dan berjoging namun berat badan saya macam yo-yo,” ujarnya tersenyum melihat isterinya, Dr. Nurhalina Azly Minhat, 37, yang turut dilanda masalah berat badan selepas melahirkan anak.

Hasil ujian darah
Kesedaran untuk menurunkan berat badan mulai timbul pada tahun 2006 iaitu apabila Dr. Mahathir kematian sepupunya akibat penyakit jantung ketika berusia awal 40-an. Beliau mengajak isterinya untuk menjalani ujian darah.  Hasil ujian darah kedua-duanya membongkar fakta yang menggerunkan. Kadar kolesterol begitu tinggi di dalam darah, begitu juga paras gula menghampiri penyakit diabetes. Apatah lagi sejarah keluarga beliau kebanyakannya mengidap diabetes di samping ibunya sendiri menghidap kanser.
“Setelah bersusah-payah dan tiada tanda-tanda kejayaan, saya rasa ‘give up’ dan berasakan biarlah badan saya seperti ini sampai bila-bila. Sehinggalah kami berdua pulang semula ke Semenanjung dan membuka klinik pertama di Taman Dato Harun. Pada waktu itu isteri sudah melahirkan anak kedua, tetapi saya masih ‘mengandung’ lagi. Alasan saya senang nanti hendak mendukung anak sebab ada perut besar,” kenang Dr. Mahathir sambil ketawa. 

Pesakit terkedu
Ketika bertugas di kliniknya, berlaku suatu peristiwa yang cukup mengetuk mindanya selaku seorang doktor bertauliah. Suatu hari seorang pesakit datang ke klinik beliau, tetapi sebaik melihat fizikal Dr. Mahathir, dia secara tiba-tiba membatalkan hasrat untuk mendapat rawatan.
“Ketika dia melangkah masuk, saya dapat melihat reaksi wajahnya yang terkedu melihat saya. Apabila saya bertanya kenapa dia tidak jadi mendapatkan rawatan dia berkata, ‘Tujuan saya datang ini untuk bertanya bagaimana hendak turunkan berat badan tetapi saya lihat doktor pun sama. Dari situ saya mula berfikir,” sambung Dr. Mahathir.
Rentetan peristiwa tersebut menggerakkan hati Dr. Mahathir untuk mendalami bidang perubatan berkaitan hormon. Dua tahun tempoh dilalui menyingkap misteri berkaitan masalah berat badan yang dialami selama ini. 
Dr. Mahathir mengulas, “Masalah berat badan ini berlaku disebabkan hormon di dalam badan seseorang itu tidak seimbang. Selepas beroleh ilmu tersebut saya cuba mengaplikasikannya pada diri sendiri dan alhamdulillah saya berjaya menguruskan badan daripada berat 110 kilogram kepada 75 kilogram sekarang ini,” ujar beliau bersyukur bertemu formula tepat dalam menurunkan berat badan.
Sementara itu, Dr. Lina pula berjaya menurunkan berat badannya daripada 75 kg kepada 56 kg. Dr. Mahathir berjaya mencapai bentuk tubuh yang ideal dalam tempoh setahun manakala Dr. Lina dalam masa empat bulan sahaja. 
“Sewaktu saya obes saya cukup terasa betapa beratnya dugaan yang dialami. Mana tidaknya, sekali makan tiga keping roti canai, itupun rasa belum cukup lagi. Apabila sudah kurus begini terasa satu rahmat kerana badan kini lebih sihat dan segar,” ulasnya di sambut senyuman isteri tersayang yang turut mengalami nikmat kesihatan. Penampilan keduanya bukan sahaja semakin langsing malah tampak lebih aktif sesuai dengan status mereka yang bergelar doktor.
Ternyata, gelaran ‘Doktor Obes’ buat mereka hanya tinggal sejarah. Malah kini ia membuahkan seribu rahmat apabila mereka berjaya membantu ramai pesakit lain yang telah mengikuti program penurunan berat badan di Klinik Timeless yang bermula sejak 2008.

Kawal Pemakanan
Sembilan puluh peratus proses penurunan berat badan ditentukan oleh gaya pemakanan. 

Melalui program penurunan berat badan di Klinik Timeless, gaya pemakanan seorang peserta akan diperbetulkan terlebih dahulu bagi memastikan proses penurunan berat badan berjaya dicapai. Kaedah yang diguna pakai  ialah 90 peratus kawalan gaya pemakanan dan hanya sepuluh peratus pada teknik senaman yang benar-benar efektif.
Dr. Mahathir mengulas, “Apa yang penting disiplin diri dan kekuatan untuk istiqamah terutama pada dua bulan pertama kerana para peserta program tidak dibenarkan makan di luar. Mereka juga perlu memasak sendiri bagi tujuan mengawal kalori makanan yang dimakan. Karbohidrat yang ‘simple’ seperti nasi tiada langsung dalam kamus mereka bagi menggalakkan lemak badan dibakar.”
Peserta program sebelum itu diambil latar belakang dan sejarah kesihatan diri dan keluarga. Seterusnya ujian darah diambil bakal menentukan tahap keseimbangan hormon mereka.
“Sesetengah wanita yang sudah menopaus akan mengalami hormon yang tidak seimbang. Jadi kami perlu seimbangkan hormon mereka terlebih dahulu.”
Sejenis hormon iaitu Hormon Chorionic Gonadotropin (HCG) turut digunakan untuk membantu proses penurunan berat badan. Fungsinya  iaitu menstabilkan fungsi hipotalamus pada otak iaitu pusat memberitahu badan kita sama ada dalam keadaan lapar atau kenyang.
HCG juga pusat kawalan hormon di dalam badan, di samping mengawal kadar metabolisme.
“Apabila rawatan HCG digabung dengan pemakanan rendah kalori, pembakaran lemak akan berlaku dan dipercepatkan,” tambah Dr. Mahathir mengenai kaedah pembakaran lemak yang diaplikasikan di pusat rawatannya.
Biasanya, dalam program diet selama dua bulan itu, kaum lelaki dapat menurunkan sebanyak 15-20 kg berat badan, manakala orang perempuan sebanyak 8-15 kg. Bagaimanapun jumlah penurunan berat badan bergantung kepada tahap hormon seseorang itu.
“Cara pemakanan begini bukannya perlu diamalkan seumur hidup. Selepas berjaya menurunkan berat badan kita akan lebih mudah mengawal. Yang penting ketika makan apabila sudah berasa kenyang tidak perlu ditambah lagi nasi atau mi dalam hidangan, maknanya cukup kita hanya makan separuh hidangan dan ikut keperluan,” tambah Dr Lina.

Salah Anggapan
Menurut Dr. Mahathir apabila corak pemakanan seseorang indivitu itu dapat diubah, bukan sahaja masalah obesiti dapat diatasi, penyakit-penyakit berbahaya seperti serangan jantung, strok, darah tinggi dan kencing manis dapat dihindarkan.
“Sebagai contoh, ramai mengatakan apabila seseorang menghidap penyakit darah tinggi atau kencing manis dan diberi dos ubatan tertentu maka si pesakit tidak ada harapan untuk sembuh. Malahan, pesakit itu akan berdepan dengan pelbagai penyakit yang lebih kronik apabila ubatan yang dimakan memberi kesan sampingan terhadap buah pinggang.”
Bagaimanapun kajian klinikal membuktikan dengan membaiki corak dan gaya pemakanan, penyakit-penyakit tersebut dapat dielakkan. 
“Dengan izin Allah, ada peserta yang mengikuti program kami dahulu memakai insulin tetapi kini tidak bergantung lagi dengannya. Begitu juga penyakit-penyakit kronik yang lain,” tambah Dr. Mahathir dan Dr. Lina yang gembira kerana dapat memberi nafas baharu kepada insan lain.
Tambah mereka, apabila seseorang itu semakin sihat, nikmat tersebut boleh disalurkan dengan pelbagai aktiviti kebajikan yang lain. Malah yang lebih utama dapat menunaikan ibadah dengan lebih sempurna. 

Jika anda berminat menghubungi mereka sila klik di sini.  

6 comments:

Latifah said...

Terima kasih atas artikel yang sungguh bermakna ini!
*masih dalam proses untuk mendapatkan berat badan yang ideal untuk diri sendiri* >,<

jendelahati said...

Saudari Latifah boleh dapatkan tip dan pandangan Dr. Mahathir dari Timeless. Sudah ramai yang mendapat manfaatnya termasuklah diri saya sendiri.

sha fizah said...
This comment has been removed by the author.
jendelahati said...

Saya berkenalan dengan pasangan ini melalui Ustaz Hasrizal A Jamil (Kolumnis Majalah Anis - Bekal Di Jalanan) yang telah mengikuti program diet di klinik mereka. Saya yang membuat liputan mengenai kisah mereka turut mendapat manfaat dari sudut penjagaan kesihatan. Tidak rugi kita niat langsingkan badan untuk menjaga kesihatan kerana ia adalah aset yang cukup berharga. Terima kasih kembali.

nuriel amani said...

salam..maaf brtanya dimana ya klinik timeless ni?

jendelahati said...

Klinik ini terletak di Kelana Jaya. Anda boleh lihat di hujung artikel, saya terus linkkan kepada blog Dr Nurhalina.

Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ...