September 12, 2013

Siapakah Pemenang Peraduan JAWAB & CIPTA ANIS MASholidays?

Minggu ini Team Anis mulai dilanda kesibukan. Bukan sahaja kerana deadline majalah baharu yang bakal tiba tetapi untuk membuat persediaan bagi satu majlis penyampaian hadiah bagi peraduan yang dianjurkan oleh Majalah Anis sepanjang tahun 2012 dan 2013 iaitu:
1. Sayembara Cerpen Anis Jun 2012/Mei 2013
2. Peraduan JAWAB & CIPTA ANIS MASholidays yang berlangsung mulai Februari hingga Mei 2013. 

Peraduan yang kedua ini mencatatkan hadiah yang agak lumayan khususnya daripada MASholidays iaitu 2 tiket ke Beijing (Johan), 2 tiket ke Kemboja (Naib Johan) dan 2 tiket ke Bangkok (Ketiga). Begitu juga tempat seterusnya yang secara keseluruhan berjumlah RM20,000.00.

Alhamdulillah, penyertaan yang pihak kami terima amat memberangsangkan. Malah paling tidak disangka ramai peserta yang menghantar borang penyertaan dengan hiasan kreativiti yang unik. Masya-Allah, tidak terfikir oleh kami untuk mendapat sambutan sebegini rupa. 

Setelah berbulan-bulan berlalu, akhirnya pihak Team Anis dapat menemukan satu tarikh yang sesuai yang mana dapat dihadiri bersama wakil daripada MASholidays untuk sama-sama mencari dan memilih siapakah pemenang yang bertuah itu. 

22 Ogos lalu jawapan yang pasti itu sudah ditemui. Dan mulai minggu ini Team Anis sudah mula menelefon dan menghantar surat jemputan kepara para pemenang yang terpilih. Insya-Allah satu majlis Forum Menjengah Kecantikan Hakiki bersempena penyampaian hadiah Sayembara Anis/Asuh dan Peraduan Jawab & Cipta ANIS MASholidays akan diadakan pada 5 Oktober 2013 ini bertempat di Akademi Malaysia Airlines, Kelana Jaya.

Kepada anda semua, terima kasih kerana menyertai peraduan ini dan sekiranya terpilih sebagai pemenang tahniah kami ucapkan. Namun yang tidak berjaya jangan berputus asa, insya-Allah kami akan berusaha untuk mengadakan pelbagai lagi peraduan menarik sebagai menghargai sokongan anda yang tidak berbelah bahagi kepada penerbitan Majalah Anis selama ini. Jika anda ada sebarang cadangan mengenai bentuk peraduan yang menarik silalah emelkan kepada saya: shimahabdulrahman@gmail.com atau ke: majalahanis@yahoo.com.

Saringan pusingan pertama, Team Anis menyemak kesemua jawapan para peserta.
22 Ogos lalu Team Anis dan MASholidays bersama-sama memilih para pemenang. 

Slogan yang terbaik dikenal pasti dan ditulis di whiteboard.

Kreatif - mungkin itu yang diperkatakan Tn. Hj Wan Azmin Wan Dollah, Pengarah Jab. Penerbitan Majalah. 

Penyertaan yang terpanjang! Sayang tiada kategori untuk ini. 

Antara AJK yang terlibat dalam pemilihan para pemenang Peraduan JAWAB & CIPTA ANIS MASholidays.

Antara kreativiti para peserta. 




September 06, 2013

"Orang Bahagia Akan Menarik Orang Bahagia Kepadanya" - Sesi Fotografi Bersama Prof. Dr. Muhaya Mohamad

Ramadan lalu sekali lagi ANIS menjejak langkah Tokoh Ilmuwan Selangor 2010 ini. Sepetang dihabiskan untuk sesi fotografi, kami dijemput berbuka puasa pula. Lebih istimewa kami dijamu dengan nasi beriani ayam resipi Prof Muhaya sendiri. Kala ditanya pandangannya mengenai ‘Supermom’, Prof Muhaya ada tafsirannya tersendiri.
“Jadilah ibu yang bermanfaat yang hidupnya sentiasa ingin memberi,” tegasnya lagi mengenai penggunaan kalimah ibu mithali yang sebenar. Katanya lagi, seorang ibu juga perlu mantapkan akidah, kuatkan keimanan, ilmu fardu ain, akhlak dan ibadah sebagai tunjang untuk mengemudi rumah tangga. Hati juga perlu dibersihkan daripada hasad dengki dan bermacam-macam sifat buruk yang lain.
“Banyak orang buat silap dengan berkata kahwin saja terus dapat bahagia pada hal perkahwinan ialah untuk memberi kebahagiaan, bukan mendapat kebahagiaan. Bila kita bahagia insya-Allah kita akan menarik orang bahagia kepada kita,” ujarnya. 
Kepada ibu-ibu, pesanlah pada anak-anak agar mencari ‘bahagia’ dahulu sebelum kahwin. Orang bahagia itu ialah orang yang punya matlamat dan tujuan hidup yang jelas termasuk misi hidup menjadi ibu yang mithali kepada anak-anak. Ikuti temubual lengkap bersama Prof Muhaya di ms. 32 di ruangan PERSONALITI ANIS.
SUMBU ANIS bulan ini berjudul IBU MITHALI = ANAK PENYEJUK HATI bakal memberi pencerahan  kepada kita semua. Insya-Allah jika baik cara didikan seorang ibu akan melahirkan anak-anak hebat yang menjadi penyejuk jiwa. Ini kerana pujangga Arab ada mengatakan, “Andainya diberi peluang seorang ibu mampu melahirkan umat yang baik.”

Selamat membaca. 

Gambar-gambar suasana ketika sesi fotografi bersama Prof. Dr. Muhaya Mohamad Ramadan lalu. 

Bersama Prof. Muhaya Mohamad dan kakitangan Butik Modest Culture, Taman Putra, Kajang, Selangor.

Dr. Azmi Jamion - suami pendamping Prof. Muhaya turut ditemubual.

Keakraban Prof. Muhaya dan anaknya, Dr. Noor Atiyah di hadapan kamera.


"Orang bahagia akan menarik orang bahagia kepadanya." - Prof. Muhaya.



September 03, 2013

Tip Kewartawanan - Kewartawanan Islam?


Seorang wartawan pulang ke pejabat dengan nada ceria. Walaupun wajahnya tampak lelah namun keceriaan lebih menyerlah. Ini kerana wartawan tersebut pulang bagaikan seorang perwira yang pastinya membawa bekalan yang sarat. Bekalan itulah bahan berita yang akan ditulis, digarap dan seterusnya dikongsi sebagai berita atau rencana buat tatapan pembaca di seluruh tanah air.

Itulah keistimewaan insan-insan yang memilih kerjaya sebagai wartawan. Wartawan merupakan ‘first person’ yang menerima suatu perkhabaran atau berita. Hari ini dunia tidak lengkap tanpa ‘berita’. Apa perasaan anda andainya dunia sepi tanpa berita. Buka TV tiada berita, cari suratkhabar tidak dijual. Bayangkan seandainya suatu hari kita tidak dapat meng’akses’ atau menerima sebarang berita, pasti kita berasa hidup di sebuah pulau tanpa manusia.

Justeru sedarlah, di sebalik suatu berita yang kita baca, tatap dan komen, wujudnya insan-insan yang bergelar wartawan yang telah bersusah payah mendapatkan sesuatu bahan berita. Wartawan yang amanah menyedari tanggungjawabnya ini akan menggalas tugas ini dengan penuh komited, tanpa jemu, penat dan lelah. Mereka akan berterusan mencari berita selagi terdaya dan kudrat dikandung badan.

Menyedari hal ini, seorang wartawan perlu berjiwa kental menghadapi apa jua cabaran dan rintangan. Wartawan berjiwa pejuang tidak kisah dirinya diteguri atau dimarahi kerana ia merupakan asam garam dalam dunia kewartawan yang perlu bergerak pantas dalam serba-serbi.

Berbanggalah dan bersyukurlah andainya anda diberikan amanah ini kerana anda adalah pengubah dan pencorak dunia. Ya, hanya dengan menggerakkan tulisan di hujung jari!

Seorang wartawan yang bergerak dalam landasan media Islam, mempunyai tanggungjawab yang lebih jauh daripada itu. Peranan anda bukan sekadar melaporkan sesuatu berita tetapi mencari sudut-sudut hikmah tersirat di sebalik sesuatu peristiwa. Pembaca seterusnya diajak untuk sama-sama berfikir lalu menghayati kebesaran dan keagungan Ilahi menerusi setiap inci tulisannya.

Dalam lain kalimah, anda bukan sahaja seorang wartawan tetapi anda juga daie yang akan menyentuh hati-hati insan agar subur dan kembali kepada fitrah yang murni. Apakah fitrah yang murni itu? Fitrah murni iaitu perasaan kehambaan (ubudiyyah) seorang hamba terhadap Allah al-Khaliq yang Maha Pencipta segala kejadian. 

Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ...