December 31, 2014

Selamat Datang 2015!



Assalamualaikum wrt dan salam sejahtera. 
 
Anak-anak perempuan sememangnya menggemari kisah-kisah sang puteri. Cinderella, Snow White, Rapunzel antara contohnya. Malah, alam Melayu juga punya kisah-kisah menarik begini. Masih terbayang-bayang kesedihan hati membaca kisah Bawang Putih Bawang Merah, juga si Melor dan Tanggang yang menjadi anak yatim piatu apabila ibu mereka ditelan batu belah batu bertangkup.
Bagaikan suatu kebetulan - semua kisah-kisah ini berputar pada permulaan kisah tragis dan sedih belaka. Anak tiri yang diseksa dan bernasib malang namun takdir hidup mereka berubah seratus peratus apabila dikahwini anak raja. Tidak dinafikan kisah-kisah begini ada pengajaran dan nilai murninya. Anak-anak kita dididik agar tidak bersikap sombong dan angkuh serta menganiaya orang lain. Di samping itu, kesusahan dan dan kesulitan seorang insan itu pasti diganjari dengan kemudahan dan kesenangan di kemudian hari, insya-Allah.

Agak saya kisah-kisah ‘happy ending’ – membina bahagia dengan bertemu cinta sejati kemudian hidup senang-lenang dan kaya raya - menjadi faktor  ia menjadi kegemaran ramai hatta sehingga ke hari ini. Namun bagaimana pula agaknya jika kisah-kisah ‘sad ending’ seperti si puteri yang asalnya kaya raya tetapi sanggup berkorban apa sahaja untuk cinta sejati (true love) yang ditemui?  
SUMBU ANIS bulan ini akan mengangkat tema cinta luhur antara Sayidatina Siti Khadijah r.a. dengan Nabi Muhammad SAW. Cinta Khadijah bukan cinta biasa-biasa kerana berpaksikan keimanan yang mutlak terhadap Allah SWT. Maka tidak hairanlah Nabi SAW tetap menyanjungi dirinya biarpun dia sudah tiada.
Itulah salah satu keunggulan ‘first lady’ di hati Baginda SAW yang mekar dan mengharum jasanya dalam dunia Islam. Khadijah r.a. - bukan saja wanita pertama memeluk Islam tetapi keindahan peribadinya yang bukan saja rupawan tetapi hartawan dan dermawan. 
Keberadaannya di sisi Baginda SAW umpama perisai yang setia - membelai, memujuk, mendorong malah berkorban segala apa yang dia miliki demi melihat sinar Islam tegak di muka bumi. Moga-moga dalam visi dan azam menjadi ‘supermom’ yang serba boleh di era milenium ini, nama Ummahatul Mukminin ini menjadi contoh teladan di ranking pertama!

Selamat Datang 2015
Jendela 2015 kini semakin terbuka. Tahun ini bermakna ANIS memasuki ambang ke-18 tahun dalam dunia penerbitan tanah air. Bermula dengan niat untuk mengajak para wanita menghayati peranan sebenar tugas seorang isteri dan ibu dalam mencorak keluarga bahagia, sokongan yang kami terima daripada para pembaca dan seluruh masyarakat tidak berbelah bahagi. 
Insya-Allah, Team ANIS akan sama-sama berusaha untuk sentiasa meng’upgrade’ ANIS agar bertambah mantap dan berkualiti dari semasa ke semasa. Mulai isu Januari 2015 ini terdapat 15 kolum baharu diperkenalkan dengan barisan panelis dari pelbagai lapangan. Antara kolum-kolumnya ialah :
Ragam Anak Muda, 
Mahmudah vs Mazmumah, 
Aksara Hati, Kamus Taharah, 
Tarbiyatul Aulad, 
Inspirasi Asmaul Husna, 
Biar Berbekas, 
Dari Menara UniKL
Bijak Zakat, Ma Ma’na, 
Wanita & Hadis, 
Akidah Mukmin, 
Ya Badratin dan  
Zikir Harian. 

Selamat membaca. Kami mendoakan agar mudah-mudahan ilmu, iman dan takwa kita akan bertambah mantap seiring meniti perjalanan menuju destinasi abadi. Amin.  

Jangan lupa dapatkan Anis Januari 2015 yang berwajah baharu.

December 29, 2014

CINTA UKHUWAH Di Majlis Maulid & Haul Habib Muhammad Salem Al’Attas


Rabiul Awal 1436H menjelma lagi. Hati terimbau-imbau kembara yang saya lalui bersama empat sahabat semusafir dua tahun yang lalu. Ke mana gerangan kami semua?
Kami ke Kota Singa bagi merasai sambutan hebat dan luar biasa yang dianjurkan Masjid Ba'alwi, Singapura. Kembara ini menemukan kami ramai insan-insan istimewa dan menyedarkan kami andai niat berpaksikan untuk mencari setitis rahmat-Nya dan cinta kasih Baginda SAW, segalanya begitu dipermudahkan.
Sehingga hari ini saya berdoa mudah-mudahan Allah izinkan lagi saya ke suasana seperti ini lagi demi menambahkan rasa mahabbah kepada Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW. Artikel ini dipetik daripada catatan kembara oleh Hajah Aliyah Sijari manakala fotonya oleh Hjh Jalilah Abdullah dan Pn Shamsiah Puad. Insya-Allah, foto-fotonya akan saya kongsikan.

******************************************************************************


Awalnya kami merancang untuk mengikuti rombongan menaiki bas dengan sebuah pertubuhan dakwah di sini. Pun begitu sehingga saat menjelang program diadakan hampir seminggu, jawapan tidak diberikan. Mungkin kerana kami rombongan media, agaknya ada rasa sedikit tidak selesa untuk diikuti.
Sesudah bersatu di atas perbincangan, kami berenam akan pergi dengan diketuai oleh Tn. Hj. Abu Hassan Morad dan lima orang wanita iaitu saya, Hjh. Jalilah Abdullah -Editor Majalah Q&A, Pn. Norhashimah Abd Rahman – Editor Majalah Anis, Pn. Shamsiah Puad – Penyelaras Jabatan Editorial Majalah & Buku serta Pn. Hapisah Dulasang – staf pentadbiran.
Kami memutuskan untuk menaiki bas Nice Executive Coach yang akan dinaiki di Bangunan Stesen Lama KTMB.

AMBIL ALIH JADI CHIEF...
Sepatutnya kami menaiki bas pada jam 12.30 malam 6 Mac. Pun begitu pada pagi itu sewaktu membelek-belek tiket, baru saya perasan tiket tercatat tarikh 14 Mac 2013. Terus saya hubungi pihak kaunter tiket. Dan saya diberitahu kami boleh pergi ke Singapura hari itu juga tetapi hanya pada jam 5.30 petang. Tiada perjalanan malam, kerana banyak bas mereka sudah dicatar. Kelam-kabut kami dibuatnya. Mujur kami semua sudah membuat persiapan dan meninggalkan beg yang akan dibawa di pejabat. Ini hikmahnya apabila segala sesuatu dirancang awal dan disepakati.
Namun timbul masalah baru, untuk perjalanan jam 5.00 petang, Tn Hj. Abu Hassan tidak dapat menyertai kami kerana beliau terpaksa menghadiri beberapa mesyuarat penting.   Maknanya bermusafirlah kami hanya lima orang ini sahaja! Pun begitu kami sentiasa teguh bergantung harap dan berdoa kepada Allah agar segalanya berjalan baik seperti dirancang.

HIKMAH PERJALANAN MUSAFIR
Sekitar jam 4.00 petang kami sudah keluar meninggalkan pejabat. Selain setiap seorang membawa beg keperluan, kami juga turut membawa enam buah kotak berisi majalah dan buku-buku untuk diberikan kepada sahabat-sahabat di sana. Alhamdulillah, layanan pihak Nice Executive Coach memang istimewa. Anehnya selepas kami naik, tak nampak pun orang lain.  
Lalu bertanyalah Hajah Jalilah kepada pemandu bas, “Encik mana orang lain?” “Tak ada, cuma puan-puan sahaja penumpang kami petang ini,” jawab pemandu bas jujur. Kami berpandangan dan ketawa kecil. Memikirkan bas yang boleh memuatkan seramai 27 orang penumpang itu akhirnya `kami berlima tawan’ tempat duduknya.
Sepanjang perjalanan mulut tak henti berselawat dan berdoa mohon perjalanan kami dipermudahkan. Sambil merenung diri apa hikmahnya perjalanan kami diatur awal dari jemaah lain.  
Tepat jam 10.30 malam kami tiba di Beach Road, Singapura. Kami dijemput oleh Hj. Raman Daud dan isterinya Hjh. Azizan yang merupakan sahabat lama saya. Hj. Raman bertugas di Berita Harian Singapura, tetapi kini dia sedang bercuti panjang kerana baru selesai menjalani pembedahan.
Kami tiba di Masjid Ba’alwi tepat jam 1.00 pagi selepas menikmati juadah enak Restoran Mydin di Arab Street. Kami disambut oleh petugas-petugas yang baik hati dan memberitahu di mana kamar kami.  
Tepat jam 3.00 pagi , alarm telefon bimbit setiap orang berdenting-dentang. Bangunlah kami menerobos sunyi subuh di masjid yang digelar `Madinah Asia’ itu.  
Selesai solat Tahajjud, berzikir dan berselawat kami bersiap sedia untuk menunai solat Subuh di ruang solat Muslimah. Sebelum azan subuh berkumandang, sekumpulan jemaah lelaki memulakan aktiviti di ruang solat dengan Ratib Al-Attas. Azan subuh berkumandang setakat di dalam masjid sahaja, tidak perlu menggunakan pembesar suara seperti masjid-masjid kita di sini.  

HIKMAH BANGUN BERPAGI-PAGI
Harum setanggi menusuk wangi menyebar ke seluruh ruang masjid. Aduhai... ingatan terus menghimbau kenangan di Tanah Haram, Makkah dan Madinah.
Selesai solat dan kuliah subuh kami berlegar-legar di dalam masjid. Kerana mengetahui kami orang media ramai yang menyapa kami. Salah seorang mereka ialah En. Hamzah Abdullah, 43 tahun. Katanya dia anak angkat Habib Hassan.
“Saya melalui sejarah kehidupan remaja yang agak nakal. Tetapi pada suatu hari ada orang telah mengajak saya datang masjid ini. Di sini saya bertemu Habib Hassan yang telah membimbing saya ke jalan yang benar. Itulah permulaan kehidupan saya dengan masjid ini,” tambah Hamzah sambil sekali-sekala matanya merenung keluar masjid.
“Sudah solat Dhuha ke belum?” soal Hamzah kepada kami. Dan kami menjawab serentak, “Belum.”
“Solatlah cepat sebelum orang ramai datang ke sini. Dan kalau boleh lakukanlah di atas permaidani yang berona agak keputih-putihan di bawah lampu candeliar di tengah masjid ini. Ini ruang istimewa kerana Allahyarham Habib Salem pernah bermimpi bertemu Rasulullah SAW dan azan tiga kali di situ,” cerita Hamzah bersungguh-sungguh kepada kami.
Lantas kami berlima pun tanpa banyak soal jawab terus mendirikan solat Dhuha di situ. Usai solat kami membuat bulatan dan berdoa. Air mata berhamburan, tak tahu kenapa begitu sayu perasaan setiap seorang daripada kami. Doa dipohon dengan amat khusyuk, deraian air mata bagaikan empang pecah tanpa dapat ditahan lagi. Akhir doa kami bersalaman dan berpelukan sesama sendiri, amat syahdu rasanya bagaikan sekumpulan pengembara yang sedang menautkan cinta ukhuwah antara satu dengan lain. Memang tak dapat digambarkan bagaimana perasaan kami sewaktu itu. Yang pasti kami berlima bagaikan adik-beradik yang amat akrab sedang jauh merantau memburu kasih sayang dan cinta Rasulullah SAW... .

SEPERTI DALAM MUZIUM
Aktiviti pagi selepas sarapan pagi, kami teruskan dengan menyelusuri seluruh ruang masjid. Ia bagaikan berada di dalam sebuah muzium. Banyak maklumat dan informasi bergambar disertakan. Ada banyak sejarah mengenai musyaf al-Quran, foto-foto berkaitan sejarah Islam, manuskrip dan banyak lagi.
Setiap pengunjung bukan sahaja dapat melakukan ibadah di sini, tetapi ia turut diberikan pengetahuan bagi memperkasakan ilmu mengenai sejarah Islam.
Satu perkara menarik untuk dikongsikan, di Masjid Ba’alwi juga ada sebuah telaga istimewa yang usianya sudah beratus tahun. Istimewa kerana airnya yang tidak pernah kering. Dan kini untuk memudahkan pengunjung mengambil airnya ia telah dibuat saluran khusus hingga keluar ke bahagian belakang di hadapan tempat wuduk dan tandas Muslimah.

BAGAIKAN PADANG ARAFAH...
Tahun ini merupakan kali yang ke-38, Majlis Maulid & Haul Habib Muhammad Salem Al’Attas diraikan di Masjid Ba’alawi. Setiap tahun persiapan diatur memang amat rapi. Khemah besar turut didirikan bagi menampung kehadiran pengunjung yang ramai.
Tetamunya sangat ramai. Datang bukan sahaja daripada seluruh pelosok Singapura, malah ia turut merentas hingga ke Malaysia, Indonesia, Thailand, Ghana, Abu Dhabi, Baghdad, Makkah dan United Nation.
Satu hal yang menarik ia turut dibantu oleh para sukarelawan masjid yang begitu ramai jumlahnya. Khemah dipasang, tempat duduk dikemaskan. Tetamu dijemput dan diasingkan lelaki dan wanita.
Lepas Solat Asar tetamu sudah mula berbondong-bondong hadir. Disambut oleh para penyambut tetamu. Kesibukan lalu-lintas di jalan terlibat pula dikawal selia oleh Petugas Pengawal Trafik. Parkir disediakan iaitu kira-kira dua kilometer daripada kawasan masjid. Yang hadir pada hari itu lebih kurang 10,000 orang. 16 buah bas membawa tetamu daripada Kuala Lumpur dan Selangor sahaja.  Dan lain-lain termasuk juga yang datang daripada Terengganu, Seremban. Semuanya hadir dengan pakaian serba putih, mengingatkan kami dengan kenangan tatkala wukuf di Arafah.

SANGAT MENJAGA SAF SOLAT...
Tiba waktu solat Maghrib sekitar jalan menghala ke Masjid Ba’alwi telah dipenuhi dengan barisan saf-saf jemaah. Di dalam masjid dalam kawasan Muslimah ada petugas-petugas yang sangat menjaga kepaduan saf. Begitu juga di ruang solat lelaki.
“Rapatkan saf, kita tidak akan menjadi unggul berpadu kalau saf solat berjemaah kita tidak cukup rapat,” ujar seorang petugas wanita.
Memang banyak yang dipelajari daripada pengurusan majlis ini. Antaranya ialah semangat kesukarelawan yang amat tinggi di kalangan umat Islam di Singapura. Saling bekerjasama dalam satu pasukan.
Menghormati tetamu, sangat mengutamakan keselesaan, biarpun dalam jumlah tetamu yang sangat ramai. Menjaga kebersihan persekitaran, berdedikasi dan disiplin yang sangat tinggi.
Inilah tautan ukhuwah yang dikutip dan dihadam sepanjang majlis ini berlangsung.
“Ya Allah, semoga selepas ini kami boleh memantapkan kekuatan takwa di sanubari kami seperti seberkas penyapu lidi yang teguh berbanding dengan sebatang lidi yang keseorangan.”

Sekilas mengenai Masjid Ba’alwi
Menoleh seketika ke belakang perjalanan syarikat Galeri Ilmu Media Group, nama Masjid Ba’alwi yang terletak di No. 2, Lewis Road, Singapura bukanlah hal baru buat kami. Di sini ada tokoh ulama yang sering menjadi dampingan kami. Beliau tidak lain adalah Tn. Syed Hassan bin Muhammad bin Salem Al-Attas atau lebih akrab dengan panggilan Habib Hassan.
Beliau merupakan Pengerusi dan Imam Besar masjid ini yang dibina dalam tahun 1952 oleh ahli keluarga Habib Al’Attas. Malah setiap bulan beliau tidak pernah lupa menitipkan hasil tulisannya di Majalah Q&A.  

Majlis Maulid dan Haul Habib Salem Al-Attas ke-38 dibarisi dengan penceramah-penceramah seperti berikut:
·         Kiyai Salim Na’i dari Jakarta.
·         Dr Abdul Qader bin Muhammad Al-Habshi dari Jakarta.
·         Bapak Kiyai Abdul Halim Musaddad dari Garut Indonesia.
·         Ustaz Ali Al-Bahar dari Jakarta.
·         Shaikh Umar bin Hussein Al-Khatib dari Tarim diterjemahkan oeh Habib Ahmad bin Naufal bin Jindan dari Jakarta.
·         Bapak Kiyai Shukran Makmum dari Jakarta.
·         Shaikh Ahmed Tijani ben Omar dari Ghana.
·         Ustaz Hafiz bin Selamat dari Yayasan Jenderam, Malaysia.
·         Habib Alawi bin Ahmad Alsree dari Abu Dhabi.
·         Prof. Ibrahim Gambari dari United Nation.
·         Shaikh Afifudeen Ibn Mansur al-din Al-Gailani dari Baghdad.
·         Habib Ali Zainul Abideen Al-Hamid.
·         Habib Umar bin Hamid Al-Gailani dari Makkah diterjemahkan oleh Habib Jindan bin Naufal bin Jindan dari Jakarta.

December 08, 2014

Part 4: Travelog Beijing - Mutiara Islam di Beijing



Catatan 8 hingga 12 Disember 2012:

Solat dan makan, itulah dua kalimah yang berlegar-legar di fikiran saya sebelum tiba ke Beijing, China. Walaupun maklum solat boleh sahaja dilaksanakan di mana-mana, namun bagaimana pula dengan makan halal?  
Namun alhamdulillah, MASholidays mengatur jadual perjalanan kami dengan begitu rapi, termasuklah jadual solat dan makan di restoran-restoran halal di sekitar Beijing. Kembara singkat ini cukup memberi pengalaman berharga apabila kami dapat menunaikan solat di masjid-masjid yang cukup bersejarah.  

Masjid terbesar dan tertua
Pada hari pertama, kami berhenti solat Jamak Zuhur dan Asar di sebuah masjid yang tertua dan terbesar di Beijing iaitu Masjid Niujie. Masjid ini terletak di Jalan Niujie, dalam wilayah Xuanwu, dikatakan dibina pada tahun 996 oleh Nasurudin, sarjana Islam sewaktu zaman Tonghe dari Dinasti Liao dan mengalami renovasi pada dinasti-dinasti seterusnya.  
Dilihat dari luar, kelihatan tiada apa-apa yang istimewa. Tetapi sebaik memasuki pekarangan masjid ini, saya terkasima seketika melihat gabungan keunikan seni bina China dan Arab Parsi melatari bangunannya. Begitu juga kaligrafi Islam seperti kalimah ‘Lailahaillah’ menghiasi binaan luar dan dalam masjid yang berkeluasan 6000 meter persegi ini.
Masjid ini mendapat namanya daripada perkataan ‘niujie’ bererti lembu, justeru suatu ketika dahulu jalan ini meriah dengan peniaga-peniaga yang menjual daging lembu. 10,000 warga China Islam membentuk satu komuniti di daerah ini yang turut menempatkan satu-satunya pasar raya Muslim di Beijing. 

Populasi umat Islam 
Malah populasi umat Islam di Beijing mencatat jumlah 200,000 orang sepertimana diakui oleh Imam Jumaat, imam Masjid Jalan Jalan Jinshifang ketika kami solat di situ.
Justeru, tidak hairan restoran China Muslim juga banyak terdapat di sekitar daerah ini. Ia mercup tumbuh bak cendawan selepas hujan seiring dengan kebanjiran ramai pelancong asing apabila Republik Rakyat China mula memperkenalkan dasar pintu terbuka kepada negara-negara luar.  


Masjid Jalan Jinshifang
Selain keunikan Masjid Niujie, kami berpeluang melaksanakan solat di Masjid Jalan Jinshifang, iaitu antara empat masjid yang popular di Beijing. Dibina pada tahun 1429 di zaman Dinanti Ming (1368-1644), masjid ini menempatkan ruang solat lelaki dan wanita, rumah tetamu dan lain-lain kemudahan. Ia turut berperanan sebagai pusat Pertubuhan Islam di daerah Xicheng, Beijing.
Hari terakhir pula kami singgah solat di Masjid Dongzhimen yang dibina pada tahun 1271-1368 pada zaman Dinasti Yuan. Ia kemudian diperbesarkan pada zaman Dinasti Qing. 

 
Muazin sedang melaungkan azan di luar Masjid Niujie - masjid tertua dan bersejarah dalam perkembangan Islam di negara Republik Rakyat China ini.

Gabungan senibina Arab dan China tertera pada bangunan masjid bersejarah ini.



Masjid Jalan Jinshinfang menempatkan pusat Islam di Beijing, China.

Bersama Imam Jumaat di sebuah bilik yang menjual peralatan ibadah dan lain-lain.



Kaligrafi tulisan Cina yang cukup cantik tertera di dalam Masjid Dongzhimen.

Berukhwah dengan saudara-saudara Muslim di Beijing. Empat dari kiri ialah imam bagi masjid ini.

December 05, 2014

Tip Penulisan - Sindrom Editor's Block

Assalam, copy paste daripada status terkini di FB saya, mudah-mudahan bermanfaat untuk yang mahu berjinak-jinak dalam dunia penulisan.

'Hari ini semua artikel sudah dihantar kepada artis grafik. Jadi rasa sangat-sangat lega. Kepala pun sudah ringan kembali sebelum berperang dengan deadline baru. Kali ni saya nak kongsi semula tip-tip penulisan. Kita sembang mengenai sindrom yang dialami para editor.

1. Bukan saja penulis dilanda sindrom writer's block, editor juga menghadapinya.

2. Masalah ini boleh diatasi apabila terdapat aliran idea yang baik dan tersusun daripada para penulis. 


3. Penyuntingan artikel dan sebagainya menjadi lebih mudah apabila penulis sudah jelas motif penulisannya. 


4. Penulis yang korup idea memberi efek pada editor juga. Jangan harap sentuhan miracle daripada editor jika unsur 'wow' tidak dicipta oleh penulis terlebih dahulu.


5. Penulis sebaiknya melakukan suntingan awal pada tatabahasa dan gaya bahasanya (self editing)


6. Perap idea dulu kemudian baca. Sebarang kejanggalan pada struktur ayat perlu diperbaiki. Namun ia agak mencabar apabila deadline yang mendesak. 


7. Sentiasa punya rasa ingin memperbaiki penulisan dgn membaca semula artikel yang tersiar. 


8. Banyak membaca dan jadikan tulisan orang lain sebagai rujukan.'

Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ...