November 15, 2010

Apa Erti Sembilan Zulhijjah Pada Kita?


Sebaik gelincir matahari pada tanggal sembilan Zulhijjah di tanah Arab bermulalah ibadah kemuncak bagi jemaah haji yang wukuf di Arafah. Seafdal-afdal doa ialah doa di Arafah. Nabi SAW sendiri diriwayatkan mula berdoa dari waktu gelincir matahari hinggalah terbenam matahari. Inilah waktu kemuncak baginda memanjangkan doa dalam juraian air mata. Haji terakhir baginda bersama umat yang sangat dikasihinya. Panjang doa baginda kerana kemuncak rindu cinta yang amat sangat untuk bertemu dengan Allah. Hiba doa baginda kerana mendoakan kesejahteraan untuk umat yang bakal ditinggalkan sesudah sempurnanya wahyu al-Quran diturunkan. Itu sejarah Nabi kita Muhammad SAW.
Setiap tahun bumi Arafah semakin ramai jumlah umat Muhammad berwukuf. Selepas solat jamak tamam Zohor dan Asar berjemaah, khatib sudah mula membaca khutbah dalam pelbagai bahasa mengikut bangsa yang menjadi tetamu Allah di situ. Rata-rata jemaah bagai anak kecil, sedu-sedan bertangisan menghitung dosa-dosa diri dan keluarga di bawah tanggungannya. Benarlah Arafah bagai padang mahsyar, perhimpunan yang hanya disaluti kain putih dengan hanya satu matlamat, mohon keampunan kepada Allah, mohon jadi orang baru bagai bayi baru dilahirkan. Suci daripada dosa.
Melewati jam 12 tengahari waktu di Arafah bermula gelincir matahari, maka di negara kita ketika itu telah masuk waktu Asar. Andai mata kasar kita boleh melihat, sesungguhnya langit dan bumi Arafah ketika itu hingga waktu Maghrib terasa sungguh sesak dan berasak-asak dengan turunnya ribuan malaikat, roh para Nabi dan roh orang-orang soleh. Semuanya bersesak-sesak di bumi Arafah, sama-sama mengaminkan doa umat Muhammad yang memohon pengampunan daripada Allah SWT. Lebih hebat lagi, Allah Azzawajalla turun ke langit dunia bukan hanya mahu mengangkat doa-doa para jemaah haji sebaliknya mahu sama mengangkat doa hamba-hamba-Nya yang tiada di Arafah, yang tidak pergi haji TETAPI menghadirkan diri dalam suasana Arafah, berhimpun bersama keluarga di rumah masing-masing.
Mari kita ubah budaya yang tidak rasa apa-apa pada hari sembilan Zulhijjah kepada rasa ingin merebut cinta Allah. Bersiap-siaplah kita sekeluarga di rumah bermula pada petang Asar sembilan Zulhijjah dengan membersihkan diri dan berwuduk. Perhimpunan keluarga pada petang itu penuhkan dengan majlis berdoa, berzikir dan mohon ampun dosa-dosa kita kepada Allah. Ketika itu bayangkan diri kita sekeluarga bersama para jemaah berselimut putih di Arafah sedang menangis menadah doa keampunan sebelum menjelangnya berbuka puasa pada hari kemuncak wukuf itu.
Selepas berbuka, kita sekeluarga terus berdoa lagi minta kesejahteraan keluarga dan umat Islam sedunia. Sesungguhnya doa selepas seorang hamba berbuka puasa sangat makbul di sisi Allah SWT. Selepas solat Maghrib berjemaah, mari kita terus bertakbir, berzikir, membaca Quran dan melakukan solat taubat dengan meminta Allah ampunkan dosa kita. Jangan kita cuaikan masa ‘keramat’ yang hanya beberapa jam membawa hingga ke tengah malam dengan sibuk memikirkan perkara-perkara berkait dengan nafsu makan sahaja. Sesungguhnya Arafah adalah lambang cinta kita kepada Allah. Lambang cinta Allah kepada kita.
Salam Aidiladha.

(dipetik dari Catatan Editor Majalah ANIS November 2010)

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...