October 24, 2012

Dato' Sarimah Ahmad Kembali

Petang semalam saya menerima panggilan telefon. Memanggil pihak media untuk membuat liputan mengenai produk terbaharu daripada Dato' Dr. Hj Sarimah Ahmad. Siapa yang tidak kenal dengan primadona tanah air ini yang amat diingati dengan watak Marjina dalam filem Ali Baba Bujang Lapok. Siapa yang melihatnya pasi kagum dengan kecantikan semula jadinya itu.

Allahu Akbar  ... secara peribadi saya mengenali beliau dengan lebih dekat pada tahun 2001 kala bertugas dengan Majalah Anis. Saya berkesempatan menemuinya di sebuah majlis bedah buku novel tulisan Hj. Abu Hassan Morad iaitu 'Cinta Madinah', anjuran Dewan Bahasa Pustaka. Aduhai terkasima sekali dengan kejelitaannya yang tidak dimamah usia. Kala itu Dato' Sarimah Ahmad menyumbang suaranya untuk salah satu watak utama novel ini yang berkisar mengenai hidup seorang wanita yang kehilangan suaminya. Rupa-rupanya suaminya yang disangka telah hilang dan meninggal dunia itu bermastautin dan menetap di bumi Madinah. Pengakhiran cerita cinta tragis ini berakhir apabila kedua-duanya bertemu kembali tatkala pergi menunaikan umrah di Tanah Suci.

Perkenalan GISB dengan primadona ini bermula tatkala kru Anugerah Media Network (syarikat bersekutu GISB) melebarkan sayap penggambaran ke negara Brunei Darussalam. Kru rancangan 'Salam Nusantara' diketuai oleh Hj. Abu Hassan Morad itu turut membawa suami saya sebagai wartawan dan penyelidik untuk program dokumentari ini. Di sanalah detik ukhuwah mula bersemi antara kami dan primadona ini yang memilih kesederhaan hidup biarpun pernah diulit dengan dunia glamor.

Kisah kehidupannya itu kami kongsikan dalam Majalah Anis dan  wajahnya kami abadikan sebagai Penghias Kulit Anis Januari 2002. Manakala untuk Penghias Kulit Anis sekitar tahun 2005 pula dipaparkan selepas Dato' Sarimah membintangi drama 'Cinta Madinah'. Siapa sangka berkat masin mulutnya yang pernah berkata kepada Tn Hj Abu Hassan, "Kalaulah cerita ini mahu difilemkan atau didramakan Kak Mah hendak berlakon," akhirnya menjelma menjadi realiti apabila beliau bersama pelakon utama drama ini iaitu Allahyarham Shukri Hashim, Zul Yahya, Wardina Safiyyah, Hamidah Wahab, Normala Hamzah dan Zulkifli Zain terbang ke Tanah Suci untuk sesi penggambaran.

Selama dua puluh hari kru kami diketuai Hj Abu Hassan Morad berkampung di sana. Lebih memeranjatkan mereka kerana penggambaran ini dilaksanakan di dalam sebuah kebun kurma milik Pak Long Isa - anak jati Kedah yang telah pun menjadi warga Madinah. Rombongan ini turut disertai Hajah Aliyah Sijari dan Hajah Jalilah yang terus menjadi rakan karib primadona ini sehingga ke saat ini. Perhubungan kami dengannya tidak putus walaupun tidak bersua muka. SMS dan panggilan telefon sering menjadi pengubat rindu antara satu sama lain.

Alhamdulillah, setelah sekian lama menyepikan diri, hari ini saya dan team media yang lain dapat berkongsi kisah beliau yang kembali tampil ke depan. Beliau yang menderita penyakit kanser sebelum ini telah kembali sihat seperti sedia kala. Namun kembalinya bukan dengan tangan kosong lantaran janjinya di hadapan Kaabah (sewaktu menunaikan umrah dalam keadaan sakit) ialah untuk berkongsi nikmat sekiranya beliau dipanjangkan umur. Perjuangannya mencari penawar kanser yang dideritai mulai bulan April 2010 yang lalu akhirnya bertemu nokhtah dengan penemuan ubat-ubatan berasaskan tumbuh-tumbuhan. Lantaran itulah dia ingin berkongsi dengan semua lapisan masyarakat dengan niat dapat membantu ramai insan lain yang mungkin menghadapi dugaan yang sama.

Sebenarnya banyak lagi yang mahu saya ceritakan dan  insya-Allah, akan saya kongsikan di Majalah Anis tidak lama lagi. Kata-kata beliau di sidang media kala ditebak soalan mengenai corat-coret penderitaannya pasti saya akan kenangi,
"Sakit itu satu nikmat, garis-garis kedut di muka itu melambangkan anugerah-Nya. Setiap sesuatu yang berlaku ada hikmahnya."
"Saya juga bukan mahu rumah banglo yang mewah, bukan juga kereta yang menjalar tapi niat untuk berkongsi nikmat kesihatan yang Allah anugerahkan kembali pada saya kerana itulah janji saya ketika dilanda sakit dahulu. Setiap hamba Allah perlu mempunyai fizikal yang sihat untuk kita cergas beribadah kepada-Nya di samping menunaikan tanggungjawab sesama manusia."

Ternyata, primadona yang saya kagumi ini dianugerahkan bukan saja kecantikan lahiriah namun kecantikan dalaman yang tiada tandingan.

Dato' Sarimah Ahmad (dua dari kiri) bersama Dato Freddie Fernandez dan orang kuat Primadona  Worldwide Sdn. Bhd.
Masih anggun biarpun di usia emas. 

Sidang media di Dewan Gulam, Kota Damansara. 

Menunggu teman media yang belum tiba, sempat makan yang ringan-ringan dahulu tapi terus kenyang kala menatap Dato' Sarimah yang kembali cergas dan aktif seperti dahulu. 

October 22, 2012

Temubual bersama Yatt Hamzah

Penghias Majalah ANIS isu november ialah Yatt Hamzah. Lokasi penggambaran diadakan di Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara Kuala Lumpur.

Kepada anda yang ingin mengetahui perkembangan beliau silalah ke channel Galeri Ilmu Sdn Bhd di youtube.



Saksikan temubual antara wartawan ANIS, Hajidah Hassan yang menemubual beliau dengan beberapa soalan yang pasti membuatkan anda tersenyum.

Jangan lupa dapatkan Majalah ANIS di pasaran.


Nantikan kandungan menarik Majalah ANIS setiap bulan. Jadi kawan saya di facebook!

Kunjungan Al-Habib Syech As-Saqaf ke GISB

Masya-Allah, GISB hari ini menerima seorang tetamu besar iaitu Al-Habib Syech bin Abdul Qadir As Sagaf. Beliau adalah dari keturunan Rasulullah SAW dari keluarga As Sagaf. Tokoh yang alim ini merupakan imam Masjid Jami'Assegaf di Pasar Kliwon Solo. 

Buat anda yang biasa mendengar lantunan lagu Ya Hanana, nah inilah perintis pada bait-bait indah tersebut dan kian tersebar di negara kita yang tercinta. Namun buat warga kerja GISB Al-Habib Syech bukan saja sudi melantunkan lagu yang sungguh merdu ini, namun sempat memberikan sedikit tazkirah. 

Pada pertemuan yang sangat ringkas ini, beliau sempat menyampaikan butir-butir mutiara berkenaan kecintaan kepada Rasulullah SAW. Menurutnya kecintaan kita terhadap Rasulullah SAW mestilah dipupuk semenjak usia masih kecil. Semua kebaikan yang kita lakukan, sandarannya kerana kita mencintai Rasulullah SAW.

Saya paparkan info dan foto yang dikongsikan dari FB Diari Galeri Ilmu. Sayang sekali saya tiada di ofis tengah hari tadi kerana berurusan dengan seorang tetamu GISB yang lain. Moga-moga haruman tokoh ini memberi memercikkan aura kecintaan kami kepada Junjungan Mulia Sayidiuna Muhammad SAW. Dan moga-moga saya diizinkan-Nya untuk bertemu dengan tokoh ini di lain masa. 


Memberi tazkirah di hadapan warga kerja GISB. 

Staf wanita tidak ketinggalan mahu berfoto bersama Habib Syech. 

Kumpulan In-Team membawa Habib Syech ke GISB. Terima kasih  atas usaha anda.

 Insya-Allah, tazkirah yang disampaikan oleh Habib Syech ini akan dimasukkan dalam Majalah Anis untuk isu seterusnya. Jangan lupa dapatkannya nanti. 

October 19, 2012

KANDUNGAN MENARIK ANIS NOVEMBER 2012 (BIL: 183)


Apakah kandungan menarik Anis isu November 2012 yang baru menjengah pasaran? Saya kongsikan di sini:

1.      Rencana Kulit / Transformasi Diri (ms: 33)

Hijrah Menuju Fitrah
Sempena menyambut Maal Hijrah 1434, ANIS menyingkap rasa hati artis-artis yang telah berhijrah dan menemui kebahagiaan baru ini. Untuk itu, pertemuan diatur dengan dua orang sahabat artis, Haryati Hamzah atau Yatt dan Nurdiyana Amir Hashim atau  Diana Amir.  Bukan lagi rahsia apabila umum mengetahui kisah di sebalik transformasi diri kedua-dua pelakon ini. Biarpun dicerca dan diperli, mereka enggan menoleh ke belakang lagi, di samping membiarkan saja dunia silam mereka berlalu pergi. Kini mereka berdua, bersama beberapa teman seni yang lain, seiring menyertai program usrah yang diadakan khusus untuk mereka. Perkumpulan yang dibentuk hujung tahun lalu, yang dikenali sebagai Usrah Fitrah (UF) ini bertujuan memberi kefahaman Islam, di samping meningkatkan tahap keimanan di kalangan mereka.

2.      Fokus Utama (ms: 16-21)

Hati Hidup Dengan Ilmu
Keperluan hati manusia terhadap cahaya ilmu merupakan keperluan yang sangat utama. Sebagaimana perlunya  bumi kepada hujan tatkala musim kemarau panjang. Ilmu adalah mutiara yang sangat berharga bagi setiap Muslim. Dengan ilmu, jiwa manusia akan hidup. Sebaliknya tanpa ilmu, jiwa manusia akan mati. Sebahagian orang-orang yang arif berkata “Bukankah orang sakit akan mati jika dilarang daripada makan, minum dan ubat-ubatan? Maka dijawab, “Tentu saja.” Mereka berkata, “Begitu juga dengan hati jika terhalang daripada ilmu dan hikmah, ia akan mati.”
Hujjatul Islam, Al-Imam al-Ghazzali Rahimahullah di dalam kitabnya Manhajul ‘Abidin menggariskan bahawa setiap hamba Allah akan menempuh dan merentasi  tujuh halangan atau gunung  berikut sebelum amalan-amalannya diterima oleh Allah SWT. Tujuh halangan tersebut adalah;
·         Taubat
·         Ilmu
·         Penghalang Ibadah
·         Perintang Ibadah
·         Peningkat Ibadah
·         Pencacat Ibadah
·         Syukur.
Melihat kepada susunan di atas, jelaslah bahawa Imam al-Ghazzali meletakkan halangan ILMU sebagai halangan yang kedua terpenting selepas taubat. Imam al-Ghazzali tentu sahaja menggariskan panduan penting ini berdasarkan pengalaman mujahadah dan rohani beliau yang bertahun-tahun lamanya.
Maknanya, kesedaran dan keinsafan yang mendalam hasil taubat yang murni tidak harus dibiarkan begitu sahaja. Sebaliknya ia hendaklah dibaja agar terus subur, terjaga dan terpelihara. Maka, baja dan pagar itu adalah ilmu pengetahuan. Fokus Utama ANIS kali ini akan  menghurai 13 Keistimewaan Penuntut Ilmu dan Jahil Itu Bahaya.

3.      Interviu Fokus (ms: 22)

Wanita Wajib Menuntut Ilmu
Dalam melayari alam rumah tangga, perkara utama yang perlu diambil perhatian ialah pendidikan agama. Baik suami, mahupun isteri perlu ada ilmu agama yang baik dan sempurna. Jika si isteri tidak berilmu, menjadi tanggungjawab suami mendidik isterinya dengan baik. Sebaliknya jika suami tidak berilmu, bagaimana dia mahu mendidik isteri dan seterusnya anak-anak yang bakal lahir menjadi insan berilmu? Sehubungan itu, isteri perlulah juga mempersiapkan dirinya dengan ilmu di dada, di samping selalu meningkatkan kefahaman sebagai persediaan jika wujudnya senario seperti ini dalam rumah tangganya. Pensyarah di Jabatan Dakwah dan Pengurusan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS),Ustazah Nor Saleha Mohd Salleh memberi ulasan lanjut mengenai isu ini. Di samping itu para Muslimah perlu juga ketahui apakah adab yang perlu dititikberatkan ketika melangkah ke majlis ilmu.

Eksklusif: Usrah Fitrah & Kumpulan Al-Mawlid: Majlis Pengajian Di Kalangan Artis - 

Usrah Fitrah:
Team ANIS meninjau sendiri kelas pengajian yang dinamakan Usrah Fitrah yang diadakan di Wangsa Melawati, Kuala Lumpur. Adat orang yang ingin melakukan kebaikan, pasti dihujani dengan ujian. Di kala hati sedikit goyah, kumpulan Usrah Fitrah yang dibentuk di kalangan para penggiat seni tanah air ini menjadikan mereka terus bermotivasi. Di sini, mereka membina kekuatan bersama-sama di samping meningkatkan tahap pengetahuan dan ilmu agama. Masing-masing pernah merasai dunia glamour dan memahat nama di persada seni negara. Penghijrahan yang dilakukan kini bukan alasan untuk mereka meninggalkan terus kerjaya mereka, tetapi menjadikan mereka lebih berhati-hati. Ikuti rasa hati Irma Hasmie, Zoey Rahman, Siti Nor Dina (Nana) setelah mengikuti Usrah Fitrah. Begitu juga pandangan tenaga-tenaga pengajar mereka.

      Kumpulan Al-Mawlid:
Amer Munawer Yusoff, 35, bekas anggota kumpulan Ruffedge berkongsi detik-detik penghijrahannya pada tahun 2007. Penghijrahan Amer menjadi pemangkin kepada penghijrahan sahabat-sahabatnya yang  turut sama mencari sesuatu yang tidak dapat mereka temui dalam dunia mereka sebelum ini. Penghijrahan ini menyatukan mereka semua dalam satu kumpulan yang dinamakan Al-Mawlid. Kini, mereka selesa duduk bersama-sama mendalami ilmu agama serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Amer yang mewakili kumpulan itu berkata, mereka kini giat mengikuti  Majlis Taklim Darul Murtadza pimpinan Habib Ali Zaenal Abidin yang diadakan pada hari Jumaat setiap minggu di Masjid Muadz bin Jabal, Setiawangsa.

Adab (ms: 30)

Beradablah...
Beradablah sebelum menuntut ilmu. Beradablah ketika menuntut ilmu. Beradablah juga setelah menuntut ilmu. Itulah pesanan berharga daripada ulama-ulama silam yang soleh. Kita sering menyebut ketinggian ilmu yang dimiliki oleh Imam Syafi’i, Imam Abu Hanifah dan Imam Bukhari. Kita juga sering mendendangkan kehebatan tokoh-tokoh  ilmuwan pada zaman Abbasiah. Namun, berapa ramai  di kalangan kita yang benar-benar menyelusuri lembaran perjalanan mereka dalam menuntut ilmu lantas mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

Hasanah (ms: 43)

Umur Kedua
Walaupun ramai orang tidak gemar bercakap fasal mati, setiap orang pasti menuju ke sana. Orang Islam patut selalu berfikir fasal mati, kerana dia tahu hidup di dunia ini sementara. Apabila berfikir tentang umur, tentang hidup, dia berfikir juga fasal mati. Kerana selepas mati, setiap orang akan diberi ‘umur kedua’ iaitu hidup di alam kubur dan alam akhirat. Keadaan seorang hamba di umur kedua ini, sama ada berbahagia atau celaka, ditentukan oleh umur pertama di dunia. Dalam bahasa mudah, umur pertama di dunia adalah kesempatan yang diberi oleh Allah untuk mencorak umur kedua di akhirat.

Manja Sihat (ms: 90)

Pertumbuhan Gigi Bayi
Suatu masa dulu, ramai menyangka bahawa jika bayi mempunyai gigi ketika dilahirkan, ia adalah petanda buruk. Pada hal, proses pembentukan gigi bermula semenjak mereka di dalam rahim lagi. Semua ini takdir Allah dan tidak ada kena mengena dengan nasib manusia. Gigi yang keluar ketika bayi disebut sebagai ‘gigi susu’ adalah gigi yang sementara sebelum digantikan dengan gigi yang lebih kuat. Pertumbuhan gigi tidak akan mengoyakkan gusi, namun gusi hanya akan membengkak dan kemudian lembut bagi memudahkan laluan untuk pertumbuhannya. Ramai ibu bapa yang risau apabila bayi mereka agak lambat mengeluarkan gigi berbanding dengan bayi-bayi yang lain. Mereka seharusnya tidak perlu risau. Berilah masa untuk bayi anda mengeluarkan gigi mereka.  

Pra-Nikah (116)

Cinta Allah Pun Bersyarat!
Musibah itu ada dua jenis. Ada yang datang ‘diundang’ dan ada yang datang ‘tidak diundang.’ Jika musibah tetap terjadi meskipun kita sudah pun mengambil langkah pencegahan dan langkah berhati-hati, ia suatu musibah ‘tidak diundang’. Sudah tentu rahmatnya besar di sisi Allah. Keadaan ini lebih baik daripada gagal membuat jangkaan dan mencegah datangnya musibah, kerana risiko berlakunya musibah pada bila-bila masa jauh lebih besar. Rasa tidak tenang lebih kerap hadir. Sebelum bernikah, kita sepatutnya sudah bijak membaca kriteria pasangan yang berpotensi untuk curang setelah bernikah.

Fikah Wanita

Mesin Automatik @ Semi-Auto: Cucian Mana Lebih Bersih?
Soalan: Ada sesetengah orang berpendapat kain yang dibasuh dengan mesin automatik tidak bersih berbanding kita mencucinya menggunakan mesin semi-auto (separuh automatik). Bagaimana pandangan ustazah, pandangan yang mana satukah mahu kita gunakan? Ikuti penjelasannya dalam ruangan ini.

Ruangan Baharu:

      1. Tinta Wardina – Wardina Safiyyah (Pengacara, Pelakon & Selebriti TV) mengungkapkan mengenai keindahan berusrah dalam ruangannya ini. Selalu kita dengar apa itu usrah – tertanya-tanya apa kepentingannya, jadi untuk mengetahui rahsia keindahannya bacalah perkongsian daripada beliau.
      
2   2. Warkah Buat ANIS – Nukilan Pn. Roza Roslan iaitu isteri Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim yang sebelum ini mengisi kolum Sekali Air Bah dan Bukan Sekadar Resipi – berkongsi kisah penghijrahan dan pengalaman beliau dan keluarga berhijrah ke bumi Madinah al-Munawwarah. Sekarang beliau bertugas sebagai Pensyarah di Universiti Taibah – pasti banyak kisah-kisah menarik ditempuhi dan ingin dikongsi bersama pembaca ANIS.


October 15, 2012

Idea ibarat burung jinak

Artikel bertajuk 'Mahu Tulis apa?" saya petik daripada blog Zakaria Sungib yang merupakan sifu penulisan Islami Galeri Ilmu.


Tulis sahaja apa yang terlintas di fikiran
Saya teringat untuk menulis satu perkara, tetapi saya lupa perkaranya. Ya, ketika saya sudah duduk untuk menulis perkara yang saya mahu tulis, tiba-tiba saya terlupa apa perkaranya.

Baiklah, terlanjur saya sudah duduk menulis, ada satu perkara yang saya boleh kongsikan yang ada kaitan dengan apa yang berlaku pada saya. Buku nota ialah dompet penulis, dan pena ialah duitnya. Seperti orang yang hendak mendapatkan satu-satu barang di kedai, dia akan mengeluarkan dompet dan mengeluarkan duit dari dompet. Jika hanya ada dompet dan duit tetapi tidak dikeluarkan, dompet dan duit tidak akan berguna untuk mendapatkan barang itu. Itulah yang terjadi pada saya.

Saya memiliki buku nota dan pen, tetapi apabila terlintas idea dalam fikiran, saya tidak terus mencatatnya. Saya fikir, ah tidak mengapalah, nanti saya tulislah terus di komputer. Sekarang ketika saya hendak menulis, saya sudah lupa apa yang saya hendak tulis itu.

Mungkin pernah saya kongsikan, apabila idea yang datang tidak ditampung, berkemungkinan besar ia akan hilang untuk tidak kembali. Sekarang saya merasai betul kebenarannya.

Ya Allah, Maha Suci Engkau yang tidak tidur dan tidak lupa.

October 11, 2012

Kelahiran Yang Ditunggu

Anis isu November 2012. 

Setiap bulan, saat-saat yang ditunggu dan dinantikan oleh warga kerja ANIS ialah kelahiran majalah terbaharu. Lazimnya seminggu selepas ia dihantar cetak, wajah-wajah kami akan tersenyum ceria. Ibarat seorang ibu yang melahirkan anak, setelah bersusah payah mengandungkannya selama sembilan bulan, begitulah juga dengan perasaan kami. Segala susah payah dan penat lelah bersengkang mata dalam merancang isu, menyunting bahan, diikuti proses pruf, seterusnya sehingga ia selesai dicetak, sirna kepenatan hilang begitu sahaja sebaik sahaja ia dipegang dan ditatap.
Dan buat ke sekalian kalinya, rasa bahagia mula menyelinap ke jiwa dan melahirkan suatu semangat baru untuk terus berusaha memberi komitmen yang terbaik untuk keluaran seterusnya. Harapan kami agar mana yang 'baik-baik' dapat dijadikan teladan dan semoga kami yang bekerja di belakang tabir majalah ini turut sama mendapat saham di sana.
Buat pembaca ANIS yang disayangi sekalian, jangan lupa dapatkan isu ANIS November 2012 (Bil. 183) ini yang mengulas topik HATI HIDUP DENGAN ILMU - Rebut 13 Keistimewaan Penuntut Ilmu. Sempena Maal Hijrah 1434H yang bakal tiba. Semoga pertambahan usia kita jalani dengan azam untuk menjadi seorang pencinta ilmu. Selamat membaca.

October 09, 2012

Teknik Menulis Tanpa Sedar


Artikel yang bertajuk "Kemahiran Menulis Di Luar Sedar" ini saya petik daripada blog Tuan Hj Zakaria Sungib.

Semoga ada manfaatnya untuk pembaca.

Ketika memulakan sesi bengkel penulisan untuk ahli-ahli jemaah pengajian Yayasan PAKSI di Alor Setar pada Jumaat dan Sabtu kelmarin, saya berkongsi dengan 30 orang peserta tentang empat tahap pembelajaran. Empat tahap pembelajaran (learning stage) ini merujuk kepada empat tahap yang perlu dilalui oleh seseorang yang hendak menguasai sebarang bentuk kemahiran (skill). Dalam konteks ini, kemahiran menulis.

Empat tahap itu (memetik daripada buku Speak To Influence oleh Susan Berkeley) adalah:

1. Unconscious incompetence

Di tahap ini, seseorang itu tidak tahu apa yang dia tidak tahu. Dalam konteks menguasai kemahiran menulis, dia tidak tahu apa yang dia tidak tahu berkaitan dengan penulisan.

2. Conscious incompetenceDi tahap ini, seseorang calon penulis mula sedar dan tahu apa yang dia tidak tahu. Timbul keinginan untuk mempelajari dengan lebih mendalam ilmu-ilmu penulisan. Peserta-peserta bengkel atau kursus penulisan akan berada di tahap ini.

3. Conscious competence

Apabila sampai ke tahap ini, calon penulis sudah mula menulis dan sudah mula menguasai kerja menulis, tetapi masih di peringkat 'dalam sedar'. Ibarat seorang pelatih memandu, dia sudah boleh memandu tetapi masih melatih-latih diri untuk mengawal pemanduan seperti memastikan kaki kanannya sentiasa bersedia untuk menekan brek jika perlu berhenti mengejut atau memastikan gear berada di posisi yang betul.

Bagi seorang penulis, di tahap ini dia masih melatih-latih diri untuk menjadikan intro tulisannya menarik dan sedap dibaca, untuk memasukkan 'rencah' yang secukupnya dalam tulisannya. seperti memasukkan kisah dan analogi untuk memahamkan pembaca kepada satu-satu saranan atau gagasan, untuk menutup tulisannya dengan penutup yang baik, dan sebagainya. Jika dia menulis novel, dia masih melatih-latih diri untuk memastikan setiap penghujung bab ada elemen 'cliff hanger' atau unsur tanda tanya yang boleh menarik pembaca untuk menyelak ke bab seterusnya, juga untuk memastikan latar cerita memadai, memastikan watak-watak berkembang, dan sebagainya. Semua itu dilakukan dalam sedar atau masih berlatih-latih, belum sebati.

4. Unconscious competence
Di tahap ini, penulis mampu menulis dengan baik 'di luar sedar' (unconsciuos).

Di tahap unconscious competence, penulis tidak lagi 'sedar' dia menulis dengan olahan yang kemas, bahasa yang baik, dan isi yang mantap. Kerja menulis sudah menjadi sebati. Dia sudah benar-benar berkemahiran menulis. Tulisannya mengalir cantik di luar kesedaran. Bahasanya kemas dan indah tanpa dirancang-rancang. Isi tulisannya menarik dan bermanfaat. Ibarat pemandu kereta yang sudah benar-benar mahir, dia mampu mengelak dan membrek secara mengejut apabila berlaku kecemasan. Dia memandu secara santai, malah sambil berbual-bual. Gerak pemanduannya lebih kepada refleks, bukan lagi difikir-fikirkan.

Untuk mencapai tahap unconsciuous competence, seseorang penulis mesti banyak dan konsisten menulis. Untuk mampu menulis dengan baik secara berterusan, penulis mesti banyak membaca, malah mesti lebih banyak membaca daripada menulis. Membaca, membaca, membaca ... dan menulis.

Lama-kelamaan, berlakulah apa yang selalu diungkapkan: Practice makes perfect.

October 08, 2012

Patutkah Seseorang Penulis Mempunyai Blog?



Perlukan bantuan membina blog?
Sebagai seorang penulis genre Islami, memang patut dan sangat patut blog dijadikan sebagai wadah menyebarkan dan melebarkan pengaruh.

Pada masa ini banyak penulis genre Islami mula berkarya untuk lapangan majalah. Sebagai contoh, mereka menghantar karya ke majalah ANIS, ASUH, Q&A dan kepada syarikat penerbitan yang lain.


Ada penulis menyerahkan karya-karya mereka bulat-bulat kepada penerbit. Dengan harapan karya mereka diterima dan menjadi bonus apabila royalti pula memasuki kocek.


Namun kekurangan yang ada kepada mereka ialah mereka tidak mempunyai blog untuk meluaskan pengaruh dan mencipta kesan 'orang suka membaca diri mereka' setiap masa.


Untuk mengelakkan masalah ini penulis mestilah mempunyai blog dan terus menulis apa sahaja pandangan mereka. Melalui blog penulisan dan jenama penulis lebih berpengaruh dan diterima ramai.


Faktor yang menyebabkan penulis masih tidak mempunyai blog:


1. Tidak tahu cara-cara 'setting blog'.
2. Tidak yakin tulisannya akan dibaca oleh ramai orang.
3. Blog tidak berpengaruh, menghantar karya kepada penerbit lebih berpengaruh.
4. Yakin, tanpa blog nama mereka tetap disebut-sebut oleh pembaca
5. Tidak tahu apa itu blog.


Dalam apa jua bidang penulisan, kita wajib mempunyai blog dengan mencipta konsep sendiri supaya orang kenal samada kita ini A atau B.


Dengan konsep yang dibawa, maka akan lebih ramai orang mengenali kita dan banyak pula orang akan mengingati kita.


Terlalu banyak penulis yang menghantar karya kepada majalah ANIS, tetapi mereka tidak mempunyai blog.


Memulakan langkah memerlukan peralatan, skill dan ilmu yang betul.


Selamat membina BLOG!

Di mana medan peperiksaan kita sebenar?



"Jangan panik, jangan panik!"
Insya-Allah esok merupakan hari yang bersejarah buat anakanda keeempat saya, Muhd Nurali Adli yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi tahun 2012. Dalam minggu-minggu terakhir ini saya sering lihat dia sering dilanda resah, fikiran melayang tidak menentu, barangkali memikirkan apakah yang bakal dijawab nanti dalam dewan peperiksaan. Walaupun segala usaha sudah dikerah seperti mengulangkaji bersama guru-guru dan rakan-rakan sekolah.

Seingat saya itulah perasaan yang kita alami suatu ketika dahulu - mengingat kembali takah-takah peperiksaan yang pernah hadir dalam roda hidup dahulu - bermula Penilaian Darjah Lima (kini bertukar UPSR) kemudian ke SRP (kini bertukar PMR) dan seterusnya SPM sebelum melanjutkan ke institusi pengajian tinggi atau IPTS, takah-takah peperiksaan tidak pernah berhenti selagi mana kita mahu bergelar seorang penuntut.

Sebagai ibu apa yang sering saya ingat-ingatkan pada Adli (panggilan manja anak bongsu lelaki saya ini - memang perangainya pun manja yang amat) setelah berusaha dengan segala kudrat yang ada, jangan lupa bergantung kepada Tuhan. Saya sering bisik-bisikkan dalam waktu kritikal seperti ini, jaga solat - amalkan lima waktu tanpa ditinggal kerana bagaimana Allah mahu limpahkan kejayaan kalau dalam masa yang sama kita derhaka kepada-Nya. 

Kita mahu pelbagai perkara dalam hidup kita, tetapi hak kita sebagai hamba sering kita ringan-ringankan. Hak Allah terhadap kita sering dipersoalkan, tetapi bagaimana pula hak kita kepada-Nya yang sengaja kita culaskan tanpa alasan. Dia hanya mendengar dengan senyum sumbing di bibir, kerana apa yang saya perkatakan itu benar belaka.  

Sebagai ibu saya akan tetap mendoakan kejayaan buat setiap anak. Berjaya atau gagal adalah terletak pada usaha yang dilaburkan ... ibarat kata man jadda wa jadda ertinya barangsiapa berusaha dia akan mendapatnya. Namun sebagai hamba yang lemah, kita tidak terlepas daripada pergantungan kepada-Nya. Semoga Adli dan rakan-rakan seperjuangannya diberi ketenangan dan ilham oleh Allah dalam menjawab peperiksaan esok kelak. Namun jangan dilupa kita bakal berdepan dengan 'medan peperiksaan' yang pastinya lebih mendebarkan. 

Medan peperiksaan sebenar
Di mana medan peperiksaan kita yang sebenar? Medan peperiksaan seorang insan tidak akan berakhir di dunia, tidak berakhir apabila jasad dikambus tanah, malah ia berlanjutan ke hari segala perkara akan dihisab.  Dari sekecil-kecil perkara bermula dari soal solat dan lain-lain amalan, segalanya akan di'audit' oleh para malaikat. Pada hari Yaumil Mahsyar itu segala manusia dan jin akan dibaris-bariskan untuk dihitung amalan satu persatu.
Oh ... rupa-rupanya kita sering tersasar dalam pemikiran lalu tersasar dalam tindakan:
1. Selama ini kita resah memikirkan apakah soalan yang bakal ditanya pada hari peperiksaan, sepatutnya kita lebih resah memikirkan soalan-soalan yang bakal ditanya oleh para malaikat pada hari pembalasan. 
2. Kita resah memikirkan kemampuan kita untuk menjawab segala persoalan, sepatutnya kita patut jauh lebih resah memikirkan apakah bekalan kita sudah cukup untuk dibawa ke sana.
3. Kita resah memikirkan hari keputusan bagi peperiksaan, sepatutnya kita patut jauh lebih resah memikirkan apakah kesudahan nasib kita - ke syurga atau ke neraka. 

.... Sepatutnya kita patut lebih resah apakah kita berjaya melalui medan peperiksaan yang debarannya jauh berganda-ganda dahsyatnya. Mampukah kita berjaya melalui titian Siratul Mustaqim dengan jayanya, atau tubuh kita bakal menjadi jilatan dan sambaran api neraka-Nya yang tidak mampu kita bayangkan. Nauzubillah minzalik. 

October 07, 2012

Menulis Novel 30 Hari


Walaupun di mana sahaja anda berada

Entri pada hari ini saya petik daripada blog Tuan Haji Zakaria Sungib, Pengurus Penerbitan buku Galeri Ilmu Sdn Bhd.

Beliau merungkai jawapan tentang kaedah dan teknik yang ditunjukkan oleh mentor beliau tentang bagaimana penulis dapat menulis dalam masa yang singkat. Ya, hanya dalam masa 30 hari sahaja maka penulis dapat menghasilkan sebuah novel.

Sesuatu hakikat penulisan itu memang tidak dapat dicapai tanpa usaha. Berikut adalah salinan daripada blog beliau yang bertajuk "Menulis Novel dalam Masa 30 Hari".


Kalau anda pernah mengikuti bengkel penulisan saya, insya-Allah anda akan mendengar saya berkongsi mengenai teknik-teknik penulisan. Oleh kerana ia merupakan perkara teknikal, ia mungkin serasi dan mungkin juga tidak dengan gaya berkarya seseorang. Untuk memastikan ia serasai atau tidak, kita hanya perlu mencubanya.

Dalam entri ini, saya ingin kongsikan Program Menulis 30 Hari daripada Cikgu Sri Rahayu Mohd Yusop, novelis yang merupakan guru bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Ampang, Selangor. Siapa yang mengikuti Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) setiap tahun, pasti biasa dengan nama beliau. Pada tahun lepas, beliau memenangi hadiah pertama kategori novel remaja HSKU bagi kali keenam berturut-turut.

Dalam Program Menulis 30 Hari beliau, atau mana-mana program dan teknik menulis, perkara paling penting yang perlu ada adalah sasaran dan disiplin menulis. Apabila kita sudah menetapkan sasaran tarikh siapnya karya, kita perlu mendisiplinkan diri menulis untuk mencapai sasaran itu. Saya sarankan kepada calon-calon penulis, terutama yang bercita-cita melahirkan novel tarbiah/Islamiah, supaya mencuba kaedah ini.

Berikut adalah catatan Cikgu Sri Rahayu dalam blog beliau tanpa saya ubah walaupun satu huruf:

Menulis novel adalah sesuatu yang tidak boleh dipaksa-paksakan. Namun, jika hati sudah memasang niat, tapi tidak dipaksa, susah untuk mendapat hasilnya. Jadi, sekadar untuk memberi galakan kepada rakan-rakan penulis, saya ingin kongsikan rahsia ini iaitu Program Menulis 30 Hari.

HARI 1: Fikirkan plot lengkap. Latar tempat, watak, konflik, isu & ideologi. Sebab anda kesuntukan masa, anda tiada pilihan selain memikirkan cerita anda down to the last detail dalam masa SATU hari.

HAR1 2: Bab 1 & 2 (2000 patah. Patah perkataan, bukan abjad. Bahagian ini senang sebab anda baru hendak establish watak - latar, konflik. Touch and go)

HARI 3: Bab 3 (4000 pp) ( Dari sini, lembab sikit)

HARI 4: Bab 4 (6000 pp)

HARI 5: Bab 5 (8000 pp)

HARI 6: Bab 6 (10 000 pp)

HARI 7: Bab 7 (12 000 pp)

HARI 8: Bab 8 (14 000 pp)

HARI 9: Bab 9 (16 000 pp)

HARI 10: Bab 10 (18 000 pp)

HARI 11: Bab 11 (20 000 pp)

HARI 12: Bab 12 (22 000 pp)

HARI 14: Bab 13 (24 000 pp)

HARI 15: Bab 14 (26 000 pp)

HARI 16: Bab 15 (27 000 pp)

HARI17 : Mantapkan Bab 1 & 2

HARI 18: Mantapkan Bab 3 & 4

HARI19: Mantapkan Bab 5 & 6

HARI 20: Mantapkan Bab 7 & 8

HARI 21: Mantapkan Bab 9 & 10

HARI 22: Mantapkan Bab 11 & 12

HARI 23: Mantapkan Bab 13 & 14

HARI 24: Mantapkan Bab 15 & bab tambahan yang tiba-tiba muncul

HARI 25: Intensif tatabahasa & ejaan (Bab 1-7)

HARI 26: Intensif tatabahasa & ejaan (Bab 8-15)

HARI 27: Format

HARI 28: Mencetak

HARI 29: HARI KELUAR DARI GUA

• Lawatan ke kedai fotokopi (Buat salinan & jilidan)

• Lawatan ke pejabat pos

HARI 30: Cari obsesi baru

Seperti kata orang putih: All the Best!

Semoga perkongsian ini bermanfaat dalam proses menghasilkan karya yang mudah-mudahan menjadi amal soleh. 

October 05, 2012

Peranan Seorang Editor

Pagi tadi saya diserang migrain lagi. Sebenarnya sudah lama tidak diserang migrain - saya fikir ini pastinya gara-gara penangan 'deadline' yang perlu diselesaikan pada hari ini juga. Aduhai ... nasib seorang Editor, walaupun mahu cuti MC, tapi terpaksa dikorbankan hati dan perasaan.

Kunjungan Pelawat
Saya masuk ke ruang pejabat lebih kurang jam 11 pagi tadi selepas migrain di kepala berkurangan (setelah memaklumkannya melalui SMS kepada Pengurus Majalah). Dalam perjalanan ke ofis yang hanya memakan masa lima minit sahaja saya singgah sebentar membeli panadol di petrol pam berdekatan.
Apabila melangkah masuk, tiba-tiba satu grup pelawat masuk ke ruang Editorial. Sememangnya pejabat GISB sering menjadi pilihan para pelawat yang ingin meninjau lebih dekat proses penerbitan Majalah Anis, Asuh mahu pun Q&A, majalah terbaharu kami.

Proses penerbitan  
Cuma apa yang membanggakan saya apabila dimaklumkan grup pelawat ini merupakan tim Editorial Majalah Sinergi dari syarikat Sinergi Media. Membanggakan apabila mengetahui majalah kompek yang dihulurkan kepada kami ini adalah buah tangan siswa-siswi dari Universiti Teknologi Petronas. Meskipun berbeza jurusan daripada bidang Komunikasi Massa, anak muda ini sama-sama berganding bahu menerbitkan majalah khusus untuk golongan remaja seperti mereka. Malah Editornya iaitu Nurul Rawaida Ain bt. Burhani dan teman-temannya yang lain masing-masing sedang menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dan PhD.  Bermula dengan modal yang diusahakan secara kolektif, cita-cita kecil ini akhirnya berjaya direalisasikan ke pasaran dengan jumlah terbitan terkini sebanyak 10,000 naskhah. Biarpun diterbitkan hanya 4 bulan sekali namun saya amat kagum melihat cita-cita besar mereka dalam mengemudi pemikiran anak muda kita yang kini berdepan dengan pelbagai pancaroba.

Sesi perkongsian
Dalam sembang-sembang santai ini, saya cuba berkongsi peranan seorang Editor dalam membawa hala tuju penerbitan sesebuah majalah. Bermula dari sesi brainstroming hinggalah ke peringkat akhir ia dicetak - segalanya perlukan team-work yang padu dengan dipandu seorang Editor yang perlu tegas dalam mencapai sesuatu 'deadline'. Ayat mudah saya, "By hook or by crook, majalah perlu disiapkan ikut tarikhnya tidak kira kita sakitkah, peningkah, mahu kahwin atau sebagainya ... " sambil disambut ketawa mereka.
Banyak lagi tip-tip yang dikongsi selain proses penerbitan yang amat memberangsangkan minat mereka, bagaimana melakukan promosi dan sebagainya demi memastikan mereka mencapai 'target' pada setiap keluaran.
Nampaknya mereka amat berpuas hati malah menyatakan ingin mendapatkan lagi penjelasan untuk sesi akan datang. Janji saya insya-Allah jika saya punya kelapangan waktu pulang ke Ipoh, Perak (kediaman ibu bapa saya), mana tahu saya diizinkan Allah, saya boleh melencong ke Tronoh untuk bertemu mereka semula.
Pendek kata, saya 'jatuh cinta' dengan semangat dan jiwa anak muda seperti mereka!

Saya kongsikan foto-foto lawatan Team Editorial Majalah Sinergi:
Pertama kali bertentang mata dengan Editor Majalah Sinergi, Nurul Ruwaida Ain (kanan). 

Kagum dengan semangat anak muda yang berwawasan tinggi ini. 

Tn. Hj. Wan Azmin, Pengarah Penerbitan GISB (tiga dari kiri) membawa grup ini ke bilik  DTP Artist. 

Agak-agaknya apa yang sedang diperkatakan Sdra. Amir Hamzah (kiri) Editor Buku GISB ini  ya.






Susahkan Untuk Memberi?

Apa yang selalu anda fikirkan tentang perkataan 'memberi'? Ya, tidak semua daripada kita diberi Allah kemampuan untuk selalu 'memberi', al hasilnya jadilah kita insan yang selalu ingin 'menerima'.

Tahukah anda, rahsia untuk selalu 'menerima' rezeki daripada-Nya, anda mestilah rajin-rajin 'memberi'? Tak percaya? Ramai yang sudah membuktikan kebenaran ini. kalau tak percaya inilah sebahagian rahsia atau rumusan jutawan-jutawan yang bukan saja punya banyak wang tapi kaya hati dan jiwa. Amalan 'memberi' sudah jadi sebahagian daripada kamus hidup mereka dan itulah petuanya mereka selalu 'menerima' rezeki dari-Nya kerana ini sudah dijanjikan Allah Taala.

Tapi, bagaimana kalau anda tidak boleh 'memberi'? Ada satu caranya iaitu tanamkan niat yang baik-baik di dalam hati. Insya-Allah, anda akan ditunjukkan jalan atau kaedahnya bagaimana hendak 'memberi'.
Inilah rahsia yang ingin saya kongsi bersama anda semua.


Mudah bukan?





Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ...