February 23, 2015

Part 5: Travelog Beijing - Mak Angkat di China



Mak angkat saya di China... .


Tandas selalu menjadi isu yang cukup sensitif. Bukan saja ketika mahu berkelana ke mana-mana negara, di tanah air sendiri pun ia boleh bertukar menjadi isu yang emosional. Ketika trip ke Beijing dahulu, saya tidak boleh lupakan ungkapan ini, “Don’t worry, don’t worry, four star...!” Namun, realitinya, Allahu Rabbi.. . Tapi, tidak mengapa lain padang lain belalang. Pujuk hati saya. Itulah asam garam yang perlu kita lalui. 

Namun, jangan bimbang kerana bukan semua tempat begitu. Apa yang boleh saya katakan rata-rata tandas yang terletak di dalam masjid-masjid di sekitar bandar Beijing, boleh diberi angka lima bintang. Agak saya, ini adalah buah ataupun hasil dari garapan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya menjaga kebersihan, tidak kira di benua mana mereka berada. Ironisnya, apa agak pula tanggapan orang bukan Islam andai datang ke negara kita, kemudian melihat betapa kotornya tandas-tandas kita!

Kerana tandas...
Saya bersyukur kerana dek terperangkap di sebuah tandas, membuahkan satu momen indah buat saya. Gara-gara mencari tempat perlindungan dari perangkap cuaca  sejuk yang mencengkam tulang, ketersengajaan ini membuka ruang sesi perkenalan yang dikenang-kenang sampai saat ini.  

Ketika rakan-rakan lain menunaikan solat di ruang solat wanita di Masjid Niujie, saya pula dalam keuzuran syarie, masuk semula ke ruang tandas. Jangan bayangkan tandas di sini umpama tandas di tanah air kita yang spektikal binaannya. Tandas di masjid ini begitu bersih dan dibahagikan kepada dua ruang – satu ruang khas utuk mengambil wuduk dan satu ruang lagi disediakan khas untuk qada hajat. Ada dua bilik khas untuk mandi-manda disediakan. 

Di ruang tengah di depan bilik untuk mandi-manda itulah saya duduk sebentar di kerusi yang tersedia. Saya mula bersapa-sapa ringan dengan Mak Cik Fatimah Ma, 58, yang sedari awal menjadi penyambut tetamu pelancong-pelancong yang singgah di situ. “No kencing, no kencing,” suara kuatnya memberi amaran agar tiada yang buang air kecil di bilik mandi-manda.
Saya mula menegurnya. Pada mulanya kami berdua bercakap umpama ayam dan itik tetapi ia semakin rancak dengan bantuan seorang pemandu pelancong wanita yang kebetulan berada di situ. Pemandu pelancong warga tempatan itu bernama Jenny, mengetuai satu lagi bas rombongan lain dari Malaysia. 

Mak cik Fatimah Ma bercerita tentang kisah hidupnya. Katanya, dahulu dia adalah seorang tukang jahit tetapi kini dia rela menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan berkhidmat di Masjid Niujie terutama untuk membantu keperluaan pelancong wanita. Apatah lagi satu-satunya anak perempuan nya telah pun  mendirikan rumah tangga, maka tidak hairanlah dia banyak meluangkan masanya di sini tanpa mengharap apa-apa bayaran.  

Sebaik menyatakan hasrat hati untuk mencoret kisahnya, dia terus mendakap saya dengan begitu erat. Saya betul-betul terkejut. Dia terus menarik tangan saya lalu mengajak saya keluar.
“Lai... lai... (mari, mari).” Itu saja yang saya faham. Tangan saya ditarik dan akhirnya saya dibawa memasuki satu bilik kecil. Saya begitu teruja mahu lihat apa yang mahu ditunjukkan. 

Rasa kagum menerpa
Mak cik Fatimah terus mengeluarkan sebuah buku kecil dari almari di dinding bilik itu. Terus dia meletakkan di atas meja. Saya membaca judul buku kecil itu yang bertajuk 300 Perkataan Bahasa Melayu. Mak cik Fatimah juga mengeluarkan sebuah buku log panjang yang ditulis dengan kalimah-kalimah dalam tulisan Cina sambil menyebut beberapa kali istilah Bahasa Melayu seperti makan, minum dan lain-lain lagi.
 
Apabila saya membetulkan kembali sebutannya, dia mengangguk dan tersenyum gembira. Masya-Allah, rasa kagum terus meresap ke sanubari.  Kebanjiran pelancong Malaysia ke Beijing turut dimanfaatkan Mak cik Fatimah dengan mempelajari Bahasa Melayu. Usai menunjukkan buku tersebut saya dan rakan-rakan kembara merakam kenangan dengan bergambar beramai-ramai. 
Ketika lensa kamera saya merakam, Mak cik Fatimah terus berteriak beberapa kali dengan bangganya, “Mak China! Mak China!” sambil menepuk dadanya. 

Pada rakan-rakan yang direzekikan bertemu dengan warga emas ini, kirimkan salam sayang saya buatnya. Mudah-mudahan saya dikurniakan rezeki lagi bertemunya di masjid nan bersejarah ini!

Sila lihat foto-foto yang lain. Yang pasti ia meninggalkan memori manis yang sukar dilupakan. 

Seorang diri menunggu di ruang luar solat wanita - cuaca sejuk mencengkam tulang.

Lakonan semula - untuk paparan kolum Jalan-jalan Cari Iman dalam Majalah Anis, tajaan MASholidays.



Buku log Mak Cik Fatimah Ma.

Saya dan Marzhatul Syima (Editor Majalah Asuh) bergambar kenangan dengan Mak Cik Fatimah Ma. Kembara ini mendekatkan kami pada kebesaran-Nya.

February 12, 2015

Nantikan 14 Februari 2015 Ini


4 Februari 2015:


10.30 pagi: 

Saya dan Zuarida Mohyin dari Meja Agama Utusan antara yang awal tiba.  Kami berdua terus menulis kedatangan masing-masing di kaunter hadapan. Hajah Jalilah masih mundar-mandir mencari ‘parking’ yang sudah penuh di sekitar Restoran Rebung, Bangsar.  

Agak lama kami menunggu, akhirnya ikon yang dinanti-nantikan sudah pun tiba. Khabarnya mereka baru saja tiba dari Kuching, Sarawak lantas terus bergegas ke lokasi sidang media ini.
Noh Salleh (Hujan) dan isterinya, Mizz Nina tampil kacak dan anggun dan manis sekali.  Kehadiran mereka berdua adalah sebagai ikon bagi Kempen ‘Cantik Di Mata…’ pada saya begitu tepat sekali. Ini memandangkan kedua-duanya telah berhijrah sekembali dari ibadah haji yang menyaksikan transformasi diri anak seni ini.  

Kini, atas tiket untuk beramal dan melaksanakan dakwah-street, pasangan ini sudi berkerjasama dengan Islamic Aid Malaysia (sebuah pertubuhan NGO), sukarelawan dari kumpulan MOCA (Malaysian’s On Covering Aurah) dan Salam.fm JAKIM untuk sama-sama mengadakan kempen ini serentak  pada 14 Februari 2015 ke seluruh Malaysia. Malah Majalah Anis khususnya sudi menjadi rakan media program ini bagi memperluaskan dan menguar-uarkan kempen ini yang sewajarnya diteruskan pada masa akan datang.  

Dalam ucapan perasmian, YBhg Dato’ Ismail Noor, Penolong Pengarah Kanan, Media JAKIM berkata, tujuan kempen ini ialah untuk memberi kesedaran kepada seluruh masyarakat Malaysia khususnya golongan belia mengenai larangan menyambut Hari Kekasih. 

“Hari Kekasih atau Valentine Day itu sebenarnya diambil daripada nama paderi bernama Valentino yang membantu golongan Kristian diketuai Ratu Isabella untuk menjatuhkan kerajaan Islam di Sepanyol. Oleh itu fatwa mengenai larangan menyambut Hari Valentine ini sudah diuar-uarkan sebelum ini diharap diambil berat dan sewajarnya generasi muda tidak terikut-ikut dengan budaya yang bertentangan agama ini,” ujarnya.

Kata beliau lagi, pada kempen ini pihak penganjur akan menggunakan ruang tersebut untuk memberi pendedahan kepada golongan bukan Muslim khususnya, tentang kelebihan menutup aurat serta cara menutup aurat yang betul supaya kelihatan cantik di mata baik untuk golongan Muslimin ataupun Muslimah. 

Kempen ini akan dilaksanakan serentak pada 14 hb Februari 2015 di 14 buah lokasi yang berbeza dan melibatkan aktiviti dakwah jalanan atau street-dakwah dengan pengagihan risalah dan barangan percuma kepada orang ramai.

Untuk makluman, kempen program ini akan berjalan serentak di seluruh negara di mana majlis pelancaran kempen ini adakan diadakan di lokasi berikut:

Lokasi: Ruang Legar, Masjid Putra, Putrajaya.

Tarikh: 14 Februari 2015

Masa : 9.30 pagi hingga 12.30 tengahari.

Lokasi Kempen?
1. Johor – Plaza Kotaraya, Jalan Trus, Johor Bharu.
2. Sabah – Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu.
3. Perlis – Kompleks Arau, Perlis.
4. Kedah – Taman Jubli Emas, Alor Star.
5. Melaka – Mahkota Parade
6. Sarawak – Waterfront Kuching & India Street
7. Kelantan – KB Mall, Kota Bharu.
8. Kuala Lumpur – Sogo & Masjid India
9. Trengganu – Pantai Batu Buruk
10. Pahang – Telok Chempedak
11. Penang – Sunway Carnival, Seberang Jaya
12. Selangor – AEON, Kajang, Selangor
13. Negeri Sembilan – Terminal One, Seremban
14. Perak – Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh. 
  
      JOM BERSELFIE/ WELFIE:
Kempen ini juga menggunakan pendekatan media sosial dengan menggalakkan orang ramai menghantar gambar dengan cara berikut:
1.       Gambar Berselfie atau Berwelfie yang dihantar hendaklah dalam keadaan sopan dan menutup aurat. (kempen ini juga terbuka kepada lelaki dan wanita bukan Muslim)
2.       Mesej yang disampaikan tidak melebihi 30 patah perkataan. Contoh: #SayaTutupAurat kerana….
3.       Anda boleh menghantar seberapa banyak penyertaan tetapi hanya satu penyertaan yang akan disenarai pilih oleh pihak penganjur.
4.       Gambar yang dihantar mestilah gambar asli dan bukan gambar yang telah dimuat turun dari internet atau milik orang lain.
5.       Gambar yang diedit tidak diterima pakai.
6.       Gambar dan mesej yang disampaikan tidak boleh menyentuh sensitiviti agama atau bangsa lain.
7.       Sila like Page Islamic Aid Malaysia sebagai syarat kelayakan penyertaan dan hantar gambar dan mesej tersebut dan taip #iam4humanity


Ganjaran Untuk Pemenang?
Islamic Aid Malaysia akan memilih 3 gambar ‘berselfie atau berwelfie’ berserta mesej yang terbaik dan layak menyertai misi kemanusiaan Islamic Aid Malaysia di luar Negara bersama ikon kempen ‘Cantik Di Mata…’ pada satu tarikh yang ditetapkan. 

Ayuh bersama kami di ruang legar Masjid Putra, Putrajaya pada 14 Februari ini. Kredit foto kepada Islamic Aid Malaysia.



Sedekahnya Ibarat Angin Kencang

Anis Februari 2015 yang menampilkan blogger Maria Elena Zarul yang berkongsi panduan kepada para blogger.

“Apa aku akan dapat? Aku pun susah juga, tak ada siapa pun nak tolong... .” Dialog hati seperti ini sering merantai hati. Itulah sifat hati - mahu buat baik tetapi masih berkira-kira.
 
Oleh itu, formula utama untuk suburkan sifat pemurah dan suka memberi, kita perlu selalu mujahadah. Mula-mula terasa sakit, tetapi bila sudah selalu dibuat, pasti terasa manisnya. Dalam soal bersedekah, sering ingatkan janji-janji Allah yang pasti tidak akan dimungkiri. 

Firman-Nya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji, dan (ingatlah), Allah akan melipat-gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnianya, lagi meliputi ilmu pengetahuannya.” (Al-Baqarah 2: 261)

Dalam kitab Syamail Rasulullah SAW, Cahaya Di Atas Cahaya yang disunting dan disempurnakan oleh Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam, yang dipetik daripada kitab Sairus Salikin susunan Syeikh Abdus Samad al-Falimbani diperjelaskan satu persatu sifat pemurahnya Rasulullah SAW. Baginda tidak pernah menghampakan sesiapa yang berhajat kepadanya. Malah sifat pemurah Baginda itu dikatakan begitu kencang di bulan Ramadan, hingga diibaratkan seperti angin kuat yang berhembus.  

Pernah suatu ketika Baginda SAW menerima wang sebanyak 90 dirham, lalu diletakkan di atas tikar dan wang itu dibahagi-bahagikan. Tiada seorang pun yang meminta melainkan dibahagikan dan dihabiskan semuanya. Tiba-tiba datang seorang lelaki dan meminta sesuatu kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda, “Sayang sekali saya sudah tidak punyai apa-apa lagi, tetapi belilah sesuatu dengan berhutang dan hutangnya itu di bawah tanggungan saya. Saya akan membayarnya.”

Sayidina Umar Ibnu al-Khattab yang menyaksikan peristiwa itu menegur Nabi, “Ya Rasulullah, Allah SWT tentunya tidak akan memaksa sesuatu yang tuan tidak mampu melakukannya.” Nabi SAW ternyata kurang senang mendengar ucapan Sayidina Umar r.a. 

Tiba-tiba lelaki tadi bersuara, “Belanjakanlah hartamu dan janganlah kamu takut kekurangan dari Tuhan yang menguasai Arasy.” Mendengarnya, terpancar kegembiraan yang jelas terukir pada wajah Baginda yang mulia itu.  

SUMBU ANIS bulan ini mengangkat tema kelebihan sifat memberi dan bersedekah. Insya-Allah, semakin kita memberi semakin murah rezeki kita. Dapatkan tip-tip untuk mengikhlaskan hati dalam memberi dan bagaimana wanita selaku isteri dan ibu mahu terapkan sifat baik ini kepada sesama ahli keluarga. Sama-samalah kita menyuluh diri.







Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ...