Saya

Saya dan famili semasa menyambut Aidilfitri pada tahun 2011. Bersama kami ialah dua anak buah saya yang sangat comel (Nurul Izzah dan Izzati). 

Assalamualaikum wr. wb.

Nama saya Norhashimah Hj. Abd Rahman, anak kelima daripada enam adik-beradik, lahir di Kuala  Kangsar, Perak pada 20 Disember 1970. Dibesarkan di sebuah pekan kecil bernama Tg. Rambutan mengikut ayahanda berkhidmat sebagai Pembantu Hospital sejak zaman pra-merdeka lagi. Di situlah universiti kehidupan saya pertama dari sekolah rendah sehinggalah ke peringkat menengah. 

Kini tanpa sedar saya sudah pun melangkah ke alam dewasa dan membina keluarga sendiri bersama suami tersayang. Syukur, kami dikurniakan lima orang cahayamata; empat orang putera dan seorang puteri berusia 10 tahun ke 21 tahun. Alhamdulillah semuanya sihat-sihat belaka dan punya keistimewaan dan keunikan tersendiri.   

Melalui blog ini, saya ingin berkongsi tip dan pengalaman dalam bidang penulisan dan kewartawanan. Begitu juga kisah-kisah kehidupan yang saya jalani sepanjang menceburi dunia penulisan berunsur Islam yang saya ceburi seawal usia 20 tahun iaitu sejak tahun 1990.  

Walaupun tanpa latar belakang penulisan dan kewartawanan, saya seorang yang suka mencuba dan mencabar kebolehan diri. Saya yakin kerana prinsip sedemikian membolehkan saya bertahan hingga ke tahap ini. Bermula dari seorang jurutaip artikel pengarang-pengarang hebat ketika itu, saya mula bertatih dengan menulis dan menjadi wartawan. Dan hasil bimbingan sifu penulisan saya iaitu Pahrol Mohd Juoi (Ketua Pengarang) dan Jaafar Salleh (Ketua Wartawan) ketika itu, tulisan saya banyak mengisi majalah-majalah berunsur Islam sekitar tahun 1990-an; dari majalah kanak-kanak, remaja dan umum dan Muslimah. 


Saya juga pernah menulis buku-buku agama berbentuk panduan, antaranya Panduan Wanita Solehah, Panduan Menamakan Anak (KaryaOne - 1996) Panduan Remaja Bertakwa (Jahabersa - 1997), Buku Kanak-Kanak Cereka Sains berjudul Hujan Oh Hujan (KaryaOne - 1997).

Kerana anak-anak yang masih kecil, pernah saya mengambil keputusan menjadi penulis bebas (freelance writer) dan menulis dari rumah iaitu sekitar 1997 hingga 2001. Namun saya terus giat menulis artikel-artikel untuk Majalah Pendidik dan Cahaya (1998-1999) terbitan JAKIM. Saya juga menyumbang untuk ruangan Tokoh Sains dan Sains Dalam Islam untuk Majalah Arussains terbitan Arus Intelek Sdn. Bhd. Dengan syarikat ini juga saya menyelaras buku-buku KAFA yang perlu ditaip dengan teks Jawi. Syukur kerana pengalaman menjadi jurutaip sewaktu ketika dahulu membantu saya dalam kerja-kerja ini - semuanya ini menambahkan kematangan diri berhubung dengan pelbagai penerbit dan lapisan masyarakat. 

Apabila menceburi dunia penerbitan berunsur Islam, saya mengasah kemahiran dalam pelbagai bidang kerja (multi tasking). Selain menulis, membaca pruf, menjadi wartawan, menjadi jurufoto dan sebagainya. Juga pernah diberi amanah sebagai Pen. Editor mulai Mei 2001 di Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Pada 1 Julai 2012, saya diberi amanah sebagai Editor untuk Majalah Anis di GISB, syarikat tempat saya berkhidmat sejak 2001. 

Kerja-kerja editor melibatkan tugas ‘gate keeping’, menjaga hubungan dengan kolumnis dan responden, merangka konsep majalah baharu dan konsep-konsep ruangan di dalamnya, juga merancang isi dan gaya persembahan untuk memberi ‘wajah baru’ kepada penerbitan sedia ada. Saya menerima amanah ini dengan perasaan berat dan serba-salah. Ini kerana Majalah Anis menjadi rujukan Muslimah bukan sahaja di tanahair malah di negara Brunei dan Singapura.

Namun saya yakin dengan sokongan bos saya Tuan Hj Abu Hassan Morad dan ketua jabatan saya sekarang, Encik Wan Azmin Wan Dolah, serta Hajah Jalilah Abdullah, Pengurus Majalah dan Hajah Aliyah Sijari, mantan editor Majalah Anis pertama yang saya anggap sebagai 'mak guru' saya dalam bidang komunikasi, saya cuba belajar tentang banyak perkara untuk memenuhi tanggungjawab tersebut dengan baik. 

Moga-moga apa yang saya kongsi melalui blog ini ada manfaatnya dan lebih dari itu, ia dinilai sebagai ibadah di sisi Allah. Jika ada pahala dari sumbangan kecil ini, moga Allah perpanjangkan pahala itu kepada kedua-dua ibu bapa saya; Hj. Abdul Rahman b. Kulop Karim dan Hjh. Zamimi Hj. Mohd Noor, juga kedua-dua arwah ibu dan bapa mentua saya; Hj Kasim b. Yasin dan Hjh. Hadijah Mustafa, kepada suami Ismail b. Kassim dan anak-anak; guru-guru saya sama ada yang masih hidup atau sudah meninggal dunia, baik guru dalam pentas kehidupan atau guru dalam bidang penulisan yang terlalu ramai untuk saya sebut satu persatu.

Wassalam.

Salam hormat,


Norhashimah Abd Rahman
23 Oktober 2012/7 Zulhijjrah 1433. 

No comments:

Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ...