September 23, 2014

Mencari Mr. & Mrs. Perfect



“Kak, majlis pernikahan kami yang sepatutnya diadakan hujung bulan ini akan bertukar jadi majlis pertunangan!” getus Sofiah, mahasiswi yang baru saya kenali dalam nada ‘kurang ceria’. 
 “Hai... kenapa pula macam tu?”
“Biasalah bila dah berunding semula, emak ayah kata tak mahu cepat sangat, nanti apa orang kampung kata!” keluhnya lagi memikirkan persiapan yang sudah siap diatur.
Niat mahu cepat melangsungkan perkahwinan tertangguh gara-gara campur tangan keluarga.

Berlainan pula dengan kisah Arissa dan pasangannya Azmil. Pelajar cemerlang ini berpeluang menuntut ke Korea. Oleh kerana kedua-duanya selalu berurusan antara satu sama lain sejak di tanah air lagi, kedua-dua orang tua mereka berpakat untuk menikahkan anak mereka dengan segera. Setahun selepas selamat disatukan di luar negara baharulah majlis perkahwinan dibuat ketika mereka pulang bercuti. 

Ini adalah antara sketsa cinta orang muda hari ini. Ada yang cepat bertemu jodoh dan ada yang masih belum bertemu calon yang sesuai. Malah walau ada calon yang sudah sesuai, masih panjang liku-liku yang harus ditempuhi. Ada yang terpaksa makan hati dek hantaran tinggi. Keluarga tidak kisah anaknya bergolok gadai dan berhutang sana sini asal kenduri kahwin cukup ‘grand’ dan meriah. Hujahnya, kalau tak meriah, nanti apa orang kata.  

Buat para ibu bapa usah terlalu sibuk dengan tema baju yang mahu disarung, tetapi lebih baik kita risau soal lain yang lebih utama. Tanyakan diri; sempurnakah ilmu fardu ain dan ilmu rumah tangga anak kita yang bakal jadi ketua keluarga? Berapa buku dan seminar rumah tangga yang mereka hadiri dan khatamkan sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan?   

Bagi yang bakal bergelar suami isteri, inilah pakej yang patut dirisau-risaukan dan disematkan dalam agar tampil sebagai Mr. & Mrs. Perfect dambaan setiap hati. Sudahkah dipenuhi ciri-ciri yang disebut Nabi SAW, “Jika datang kepada kamu orang yang kamu redha agama dan akhlaknya, maka nikahilah dia. Jika tidak, akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.” (Riwayat Tirmizi) 

Banyak lagi kupasan menarik mengenai jodoh diselongkar dalam ANIS bulan ini. Dengan tema Kalau Sudah Jodoh, insya-Allah pelbagai tip hebat mengenali ciri-ciri calon suami dan isteri ideal diberikan pendakwah terkenal iaitu Al Fadhil Ustaz Mohd Kazim Elias.

Ingatlah, cepat atau lambat bertemu jodoh atau tidak bertemu langsung jodoh; itu semua adalah ujian daripada Allah. Bagaimanapun sebagaimana hamba, kita boleh berusaha dengan terus berdoa dan amalkan solat Istikharah. Yang penting, selain restu ibu bapa, sama-sama memasang niat mencari keredhaan Allah Taala dalam mahligai yang dibina. Demikian pesan Nor Salima Habibi, Personaliti Anis bulan ini yang bertemu jodoh dengan seorang pendakwah.

Dapatkan segera Anis Oktober 2014. Masih hangat di pasaran! 
 

September 15, 2014

Reviu Buku di Majalah Asuh


Jutaan terima kasih buat Majalah Asuh kerana memberi ruang untuk reviu buku comel saya ini - Himpunan 40 Kisah Ilmuwan Islam. Moga-moga manfaatnya dapat sampai kepada semua pembaca Asuh yang berada di seluruh tanah air. Moga-moga anak-anak pewaris negara kita terus gemilang bukan saja dengan pencapaian akademik, tetapi gemilang juga dengan kemajuan akhlak dan peribadi.  Bak kisah Ilmuwan Islam yang ditampilkan melalui buku ini.

Terima kasih tidak terhingga juga buat Puan Rina Azlin, Pensyarah UNITEN, Selangor. Beliau merupakan pembaca pertama yang memberi komen mengenai buku ini. 
Wah, tak sangka ya, bukan sahaja bermanfaat untuk anak-anak, tetapi orang-orang dewasa juga membaca dan meminatinya. Malah dalam sembang saya selepas itu, beliau menantikan kemunculan sekuel buku ini. Hmm.... ini suatu motivasi buat si penulis.

Kepada anda yang pernah membaca dan mahu memberi komentar mengenai buku ini, saya mengalu-alukannya dan insya-Allah, ada hadiah misteri menanti anda. Boleh terus PM ke Facebook Himpunan 40 Kisah Ilmuwan Islam. 







Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ...