May 22, 2017

Travelog Aceh 2017 - Part 1


Gumpalan awan yang indah menata pandangan mata mengiringi kembara ke Aceh buat kali kedua. 
Memandang ke luar, perasaan saya berdebar-debar dan sangat teruja!

23 Mac 2017
Syukur saya panjatkan kepada-Mu ya Allah, yang telah mengabulkan hajat ini. Hajat apakah itu?
Dahulu... 2009 – bukanlah satu tempoh masa yang singkat. Ini bererti sudah tujuh tahun berlalu pergi ketika mana saya mengembara buat kali pertama ke bumi Aceh. 

Aceh Darussalam - satu destinasi yang tidak ada dalam kamus hidup saya sama sekali. Namun sebuah filem berjudul Cut Nyak Dien menjadi pemangkin semangat saya untuk mencedok sedikit sebanyak tentang keistimewaan bumi Aceh.

Apa lagi selepas itu Tsunami Aceh yang cukup menggemparkan seluruh dunia dengan angka korban sebanyak 280,000 jiwa turut menghentak minda separa sedar saya tentang apa yang ada di sebalik daerah istimewa ini. Selepas kejadian ini banyak negara termasuk Malaysia berpusu-pusu menghulur tangan membantu Aceh yang bagaikan padang jarak padang terkukur selepas ditimpa musibah maha dahsyat ini. Aceh yang sebelum ini bagaikan tertutup dan terselindung dari perhatian dunia dek konflik perang yang berpanjangan, membuka gerbang pintunya seluas-luasnya kepada seluruh dunia! 

Sungguh, saya masih terbayangkan wajah anak-anak yatim yang saya temui, sewaktu melewati kota Meulaboh. Kota ini terletak kira-kira 400 lebih kilometer dari Banda Aceh. Perjalanan enam jam meredah gunung ganang dan lurah untuk sampai ke sana ternyata cukup mencabar minda!  Di sana saya menemui dua sosok tubuh anak yatim yang kerinduan kasih sayang ibu bapa mereka yang hilang bersama arus tsunami. Cut Meutia dan Jasman Abu Bakar; kedua-dua wajah anak yatim ini menjadikan jantung hati saya robek lalu gugur air mata kerana teringatkan nasib anak sendiri di tanah air.

Sehingga saat ini, kotak fikiran saya belum mampu melupuskan kisah-kisah bebaur emosi  mangsa-mangsa tsunami yang terselamat dari tragedi tsunami yang terjadi pada detik jam 8.25 pagi tanggal 26 Disember 2004. Meulaboh yang menjadi ibu kota Kabupaten Aceh Barat dilanda kemusnahan yang teruk iaitu 70 peratus berikutan posisinya yang begitu hampir dengan pusat gempa.

Semua kisah tersebut sentiasa tersemat dalam hati lantas saya semadikan untuk tatapan umum dalam makalah Anis bersempena lima tahun tsunami Aceh (keluaran September dan Oktober 2009) Pemergian saya ke sana bersama team NGO iaitu Islamic Relief Malaysia dan turut berkolaborasi dengan Islamic Relief Indonesia yang menjalankan aktiviti membantu mangsa-mangsa tsunami di Aceh. Saya satu-satunya jurnalis wanita selain Zarita Kassim yang merupakan penerbit rancangan Secangkir Kasih - radio IKIMfm. Bersama grup kami juga Helmi Mohd Fuad (Utusan) dan Farouq (IRM) serta Ibu Herawati, Senior Officer IRI.

Satu team lagi diwakili Abang Mat (jurufoto RTM), Kamaruzzaman (Metro), Tuan Asmawi, Farish (Bernama TV) dan Kak Mariah serta Tuan Zawahir (Pengerusi IRM) ketika itu. Beliau sekarang mengemudi Islamic Aid Malaysia. 

Selepas enam hari (dari 21 hingga 26 Jun 2009) kami menjelajah dan dalam masa yang sama menghayati keindahan hutan Aceh bermula dari pekan Inderapuri kemudian Tangse terus ke Meulaboh, kami kemudian kembali semula ke Banda Aceh dengan menyusuri jalan pantai di sepanjang Parat Barat Aceh. Kami sempat singgah tidur semalam di Hotel Pantai Barat, Calang. Calang merupakan ibu kota Aceh Jaya yang total musnah (99%) dalam tsunami. Sewaktu kami sampai ia ibarat pekan koboi (kecil sekali) dan malamnya begitu sunyi sepi.

Sepanjang melalui jalan pantai yang kedua terpanjang di dunia ini (menurut Ustaz Mujiburrizal ketua grup Musafir Travel & Tours di Aceh) ini, sukar sekali saya nyatakan perasaan hati ini tatkala melihat tinggalan rumah-rumah, sawah bendang, stesen minyak dan hanya tinggal tiang dan tapaknya saja. "Allah... Allah... Allah..." hati terus sebak memikirkan dahsyatnya hentaman tsunami ini dan diri terpaku seketika dengan kebesaran Allah yang boleh menjadikan sesuatu itu berlaku hanya dengan berkata 'kun' (jadi) fayakun (jadilah).

Tinggalan rumah yang dimusnah oleh Tsunami Aceh 26 Disember 2004. 

Selepas pulang, sya mengira itulah lawatan pertama dan terakhir saya ke bumi Tanah Rencong dan digelari Serambi Mekah ini. Walaupun pada hakikatnya, hati saya sentiasa merindui untuk kembali ke sini lagi. Saya tidak pasti bila...

Masya-Allah, Tabarakallah... Allah yang Maha mengetahui setiap detik hati ini - impian untuk kembali lagi menjadi satu kenyataan rupanya. Seakan tidak percaya apabila saya mendengar kapten kapal terbang AirAsia KL-Banda Aceh membuat pengumuman mengatakan kapal terbang Air Asia yang saya naiki bersama teman-teman musafir bakal mendarat tidak lama lagi.

Kami yang telah berkumpul dari jam 11 pagi (disertai dua grup dari Sabah dan Semenanjung) bertolak tepat jam 1.00 tengahari waktu Malaysia dari KLIA2 dan dijangka tiba tepat pada 1.50 petang waktu tempatan. Cuaca sangat baik hari itu tetapi agak panas dengan suhu mencecah 29 Celsius.

Saat hampir tiba, saya memandang ke bawah. Hamparan hijau seumpama rumput baldu bakal menyambut ketibaan saya dan rakan-rakan. Awan-awan indah menghasilkan lukisan alam bagai menyahut kami agar segera turun.

Bila mana kaki pesawat mencecah dan menyentuh lantai bumi Aceh di Bandara Sultan Iskandar Muda dengan selamat, saya sudah tidak sabar-sabar lagi. Saya segera mengeluarkan beg sandang yang sarat dengan buku nota juga kamera, pita rakaman untuk merakam setiap detik perjalanan ini. 
"Sabar dulu... biar kita tunggu semua orang turun," pujuk Kak Azian Ahmad, kakak dan juga sahabat baik yang beria-ria mengajak kami menjejak kembali kebesaran Allah di bumi Aceh.  

Terima kasih ya Allah, sudi mengabulkan hajat hamba ini.

Sungguh benar firman-Mu, "Dan tiadalah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang Kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka. Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?"

(Yusuf: ayat 109)


Kenangan ke Banda Aceh-Meulaboh-Calang bersama Friska, Yanti dan Herawati serta Farouq (petugas IRM). Kami bergambar kenangan di Suak Pandan, melihat sumbangan NGO ini pada penduduk tempatan.

Rombongan Cik Kiah dari KL. Pn Azian yang sediakan kari ikan sedap...!
Seronokkan berkelah beramai-ramai, isi perut sebelum kita sampai ke destinasi. 



Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...