July 28, 2012

Puasa: Antara Kita & Mereka?

"Maryam mahu dengar cerita," saya mengusik minda anak bongsu yang baru berusia 10 tahun. Abang sulungnya yang sedang leka membaca juga tersentak lalu berhenti membaca buku. Suasana awal Ramadan di pagi hari perlu diceriakan dengan 'mood' ceria. Sudah beberapa hari saya menyimpan cerita ini, kali ini saya mahu kongsikan bersama anak-anak atau sesiapa sahaja yang sudi mendengarnya, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini. Ketika mana perut kosong, hati kita mudah lembut, jadi mudah menerima nasihat yang ingin diberikan. "Pernah dengar nama sahabat Nabi bernama Jaafar As-Siddiq?" saya bertanya lagi. "Oh... yang tangannya terpotong itu ya umi." Abangnya mencelah. Saya tersenyum. "Betul, sebab itu dia dipanggil Jaafar At Tayyar." Ya, anak-anak saya tertanya-tanya apakah kehebatan sahabat Nabi ini. Jaafar At-Tayyar itulah gelaran sepupu Nabi SAW yang dilantik sebagai pemegang panji-panji ketika Perang Mu'tah berlaku. Beliau termasuk salah seorang panglima tiga serangkai yang diamanahkan menjulang panji-panji Islam kala berdepan dengan tentera-tentera musuh. Zaid Haritsah, Jaafar At-Tayyar dan Abdullah ibnu Rawahah diamanahkan Nabi satu pesanan: jika Zaid Haritsah tewas, maka Jaafarlah penggantinya, begitu juga jika Jaafar juga tewas maka Abdullah Rawahahlah pengemudi panji-panji Islam itu. Perang berkecamuk dengan begitu sengit. Jumlah tentera Islam amatlah sedikit berbanding tentera musuh yang berlipat kali ganda. Medan Mu'tah benar-benar medan ujian buat mereka. Kala Zaid Haritsah tewas, Jaafar menyambut panji-panji dengan semangat perwira. Tangan kanannya melibas musuh dan tangan kirinya memegang kejap panji-panji tersebut. Namun bukan sedikit cabaran dihadapinya kerana asakan musuh begitu kuat menghentam kiri kanan untuk merobek panji-panji tersebut. Tiba-tiba libasan pedang menghentam tangan kanan Jaafar. Kuatnya libasan itu menyebabkan tangannya terkulai. Namun kesakitan itu dibiarkan, lalu panji-panji dialih ke tangan kirinya. Oleh kerana daging tangannya terkulai-kulai dan tergantung lantas mengganggu gerakannya, Jaafar mengambil keputusan memijak jari tangannya dan mencantas agar ia terus putus. Serentak dengan itu darah sekali lagi memercik dan menyimbah baju besinya. Namun itu bukan penghalang bagi pemburu gelaran syuhada' sepertinya. Asakannya yang diterima tidak henti-henti. Kini tangan kirinya pula dilibas sang mu suh durjana. Maka tiada apa lagi yang boleh diandalkan. Jaafar mengapit tiang panji-panji tersebut dengan kedua-dua tangan yang masih bersisa. Akhirnya dengan asakan yang bertalu-talu, dia rebah lalu panji-panjinya terus disambut oeh Abdullah Rawahah. Kini di pundak Abdullah Rawahah tergalas amanah untuk kelansungan perjuangan - demi meninggikan agama Allah. Sementara itu Jaafar yang luka parah dibawa ke suatu tempat untuk dirawat. Datang seorang perawat menghulurkan buatnya melepas dahaga seketika. Kata Jaafar, "Aku berpuasa..." Perawat itu memujuknya, "Bukankah tuan dalam keadaan parah begini. Minumlah sedikit air untuk memberi sedikit tenaga." Beliau masih enggan untuk minum malah ingin terus mempertahankan puasanya. "Aku ingin bertemu Tuhanku dalam keadaan aku berpuasa..." ucapnya dalam nada suara yang kian perlahan. Akhirnya sahabat Nabi ini syahid. Begitu juga kedua-dua sahabat tadi iaitu Zaid Haritsah dan Abdullah ibnu Rawahah. "Hebatkan Sahabat Nabi?" Maryam bersuara apabila saya mengakhiri cerita ini. "Hebat... mereka memilih untuk mati dalam keadaan berpuasa walaupun mereka boleh berbuka puasa. Mereka mahu bertemu Allah dalam keadan berpuasa kerana orang-orang yang berpuasa punya tingkatan yang sangat mulia di sisi Allah." Semoga saya, anak-anak dan pewaris generasi saya dapat mencontohi kehebatan perjuangan para sahabat dan salafussoleh. - Sedutan kisah ini dipetik dari ceramah oleh Habib Ali Zainal Abidin sempena Kuliah Ramadan di Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Semoga bermanfaat untuk diambil iktibar dan diperpanjangkan.

July 23, 2012

Tergadai iman di Bazar Ramadan

“Kenapa beli kuih ni, mak kan pandai buat?” Saya terdiam, tiada sepatah kata yang mampu diluahkan. Benar, ibu seorang yang tegas. Biarpun dia membenarkan kami anak-anaknya ke Bazar Ramadan (yang ketika itu sangat jauh dengan kediaman kami) tetapi beliau tidak sekali-kali membenarkan kami membeli kuih-muih yang biasa dibuat. Saya merenung sepotong kuih talam yang dibeli. Terkebil-kebil ibarat ayam berak kapur. Mengapa saya harus membelinya? Saya bertanya diri kembali. Bukannya saya tidak tahu bahawa emak saya memang pakar membuat kuih-muih talam seperti kuih lapis, seri muka dan sebagainya. Belum lagi kuih muih yang lainnya seperti kuih karipap, kuih lopis, kuih tepung pelita dan bengkang. Hmm, saya akuri sebagai anak hingusan kala itu saya kalah dengan godaan Bazar Ramadan. Benarlah pesan orang tua membeli makanan pada waktu perut lapar akan membawa kita pada sifat boros dan berlebih-lebihan. Semuanya nampak sedap belaka, adakalanya apabila dimakan – hampeh! Santannya ke mana, gulanya entah apa rasa. Hikmah Puasa Kala usia semakin menginjak dewasa, kita semakin mengerti apakah hikmah puasa. Puasa bukan sekadar satu ibadat menahan diri daripada lapar dahaga namun ia satu bentuk latihan untuk membentuk jati diri manusia luar biasa. Laparnya kita kerana memenuhi perintah Allah yang menjadikan ‘Syahru Ramadan’ sebagai bulan ibadah, bulan mendidik nafsu dan menahan diri. Dalam persoalan hidup tidak semuanya mampu dicapai walau angan-angan kita setinggi bintang gemelapan di langit malam. Adakalanya kita kecundang dengan kegagalan. Adakalanya kita dihimpit dugaan. Ujian itu datangnya dari pelbagai arah – membelasah kita dari arah kiri dan kanan hingga kita rasa tidak punya daya kekuatan apa-apa. Nah! Di sinilah indahnya ibadat puasa yang difardukan. Mekanisme latihannya bukan saja membentuk diri insan selama sebulan namun ia mampu bertahan sehingga sebelas bulan selepasnya. Umpama bateri super power yang punya kuasa tahan yang tiada tandingan. Tapi kejayaannya tentulah bergantung sejauh mana kita mengecasnya sepanjang tempoh caj tersebut iaitu sepanjang bulan Ramadan. Jika tempohnya benar-benar berkualiti dan mengikut piawaian, bateri itu mampu menjana daya kuasa yang ampuh pada empunyanya. Fitrah seorang ibu Sebagai ibu tidak salah sekiranya kita mahu meraikan kejayaan anak-anak berbuka puasa. Buat anak-anak nikmat paling berharga setelah seharian berhempas pulas menahan lapar dahaga ialah ketika mana mereka berbuka puasa. Namun tidak bermakna kita meraikan kejayaan anak-anak berbuka dengan santapan meja penuh dengan aneka hidangan. Itu tidak menepati malah jauh dari hikmah puasa itu sendiri iaitu untuk melatih diri menahan keinginan. Bayangkan kala berbuka nafsu bagai tidak dapat ditahan-tahan lagi. Keinginannya bagaikan air empangan yang pecah. Makan semahu-mahunya sehingga tersandar kekenyangan di sofa empuk. Gaya pemakanan begini dilarang sama sekali oleh Allah SWT sepertimana firman-Nya: “Dan makan serta minumlah, dan janganlah melampau. Sesungguhnya Dia tidak suka orang-orang yang melampau.” (Al-A’raf 7: 31) Antara tip yang boleh diamalkan untuk mengelak pemborosan ketika berbuka puasa: 1. Sediakan satu dua lauk sahaja dalam satu-satu masa. 2. Jika masak/membeli kuih, pastikan dalam kuantiti sedikit supaya tidak membazir. Jika beli lebih tidak salah niat bersedekah kepada jiran tetangga. Kadangkala kita terperangkap dengan anak-anak yang punya keinginan masing-masing. Disiplinkan mereka hanya membeli satu makanan sahaja dalam hari yang sama. 3. Utamakan makan tamar dan buah-buahan dahulu – menepati sunnah Nabi SAW. Tamar adalah sebaik-baik hidangan ketika berbuka kerana kandungannya yang kompleks dan dapat membekalkan tenaga secepat mungkin ke atas tubuh badan kita yang seharian berpuasa. 4. Sebaik-baik berbuka dengan hidangan ringan kemudian terus melaksanakan solat Maghrib. Barulah disambung dengan memakan makanan yang lebih berat seperti nasi dan lain-lain. 5. Elok juga dibiasakan membawa anak-anak berbuka puasa di masjid atau surau.
Foto: Sumber FB Majalah ANIS.

July 10, 2012

Di mana al-Quran di rumah kita?

Tatkala menatap lembaran surat khabar setiap pagi, dada kita pasti sesak dibuatnya. Kejadian merusuh di merata negara, kes ragut dan simbah asid yang tidak tahu apa motifnya menghiasi minda setiap pagi. Itu belum lagi kes-kes buang bayi dan kes bunuh yang meningkatkan lagi graf masalah sosial membuatkan kita kecut perut. Ini adalah petanda atau natijah daripada amukan jiwa-jiwa manusia yang dibelenggu stres dalam kehidupan. Apabila manusia berada dalam keadaan marah dan tertekan, gelombang diri sudah berada jauh dari daerah kewarasan akal. Mudah benar kita menjadi mangsa kepada iblis dan syaita yang sentiasa membisikkan hasutan ke arah kemaksiatan. Silap memilih jalan menyebabkan hati keluh-kesah, mudah marah dan tertekan hingga ke tahap kronik. Golongan soleh beroleh ketenangan dengan mendampingi al-Quran. Bagi mereka, al-Quran adalah hidangan daripada Allah yang diturunkan melalui lidah Rasul-Nya yang mulia, Nabi Muhammad SAW. Turunnya bukan sahaja sebagai nur hidayah dan membekalkan rahmat seisi alam, malah dengan membaca dan menghayati isi kandungannya, hati beroleh kelazatan dan ketenangan yang tiada tolok bandingnya. Barakah dari al-Quran Namun, barakah daripada bacaan al-Quran ini hanya diperoleh apabila kita berusaha memahami dan menghayati setiap maknanya, satu persatu. Barulah kebesaran dan keagungan Allah dapat kita rasai dan meresap ke hati. Bukan bermakna orang-orang yang melazimi al-Quran itu tidak dilanda masalah hidup tetapi mendampingi al-Quran menjadikan mereka insan yang positif dengan takdir Allah dan boleh bersangka baik sesama manusia. Marilah kita rebut barakah al-Quran sempena ketibaan bulan Ramadan ini. Mari kita membudayakan pembacaan al-Quran bersama keluarga untuk beroleh terapi jiwa dan syafaat di akhirat kelak. Sudah pasti ibu bapa perlu melakukannya dahulu. Jika al-Quran di rumah kita dipinggirkan, maka begitulah nanti sikap anak-anak yang acuh tak acuh pada al-Quran. Apabila al-Quran dijunjung tinggi dan dimuliakan dalam keluarga, maka akan lahir akan generasi kita yang akan memartabatkan al-Quran. Madrasah Ramadan selama sebulan ini sebenarnya masa terbaik untuk kita menggilap hati yang karat dengan dosa-dosa sepertimana hadis Nabi SAW: Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, "Rasulullah SAW bersabda, hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air. Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula? Kata Nabi SAW, "Dengan banyak mengingati mati dan membaca al-Quran."

July 06, 2012

Al-Fatihah Untuk Sahabatku Seri Amin Rosmini

“Seri, bila anti nak pergi umrah? Ana mahu kirim doa.”
“Insya-Allah, nanti apabila nak bertolak, ana akan telefon anti. Ana akan ingat anti...”
Itulah perbualan terakhir saya bersama seorang teman beberapa bulan yang lalu. Rasanya masih terngiang-ngiang lagi di cuping telinga ini. Saya dapat rasakan gelojak hatinya yang begitu rindu untuk bertamu di rumah Allah. Hajat untuk tunaikan haji tahun ini yang tidak kesampaian mahu ditebus dengan menunaikan umrah bersama suami dan anak-anak.
Penghujung Mei lalu... saya terkasima apabila mendapat khabar sahabat saya itu, Seri Amin Rosmini Hj Othman, telah pergi mendahului kami akibat penyakit Lupus Eritematosus Sistemik (SLE). Kali ini penyakit yang sudah lama dideritai itu menyerang paru-parunya dan beliau koma di hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Mengingati momen indah bersamanya, dialah antara teman semusafir yang paling akrab sewaktu kembara umrah saya pada Mac 2007. Bayangkan kali pertama menunaikan umrah tanpa mahram dan di bahu tergalas cabaran untuk membuat liputan sepanjang kembara rohani di Tanah Suci, hati saya berdebar-debar. Sebelum bertolak, saya sering berdoa agar musafir saya dipermudahkan oleh Allah. Rintihan hati ini rupanya Allah jawab. Sejak di lapangan terbang di Madinah lagi, Seri sudah perasaan saya datang seorang diri. Lantas dia hulurkan bantuan bersama suami, mengangkat beg saya yang berat dan sebagainya. Wataknya yang ceria dan suka membantu sering mewarnai perjalanan kami selama dua minggu. Malah saya tidak rasa keseorangan kerana semua ahli rombongan bagaikan keluarga sendiri.

Teman tawa dan tangis
Namun bantuan yang dihulurkan Seri bantuan luar biasa. Dia teman tawa dan tangis ketika kami sama-sama bertawaf, bersa’i dan bertaqarub di depan Kaabah. Malah lebih dari itu,Seri sanggup menemani saya (setelah meminta izin suaminya) memanjat tangga-tangga kecil di sekitar Jiyad Sud ketika saya mencari keluarga Melayu Patani yang mendiami kota Makkah. Rencana itu tersiar dalam ruangan Eksklusif untuk isu Julai 2007. Saya terhutang budi dengan jasanya. Ketika dikhabarkan pemergiannya, saya bertafakur, ‘Ya Allah, seorang lagi sahabat baikku telah pergi mendahului ... .’
Bagi saya, Allahyarhamah Seri Amin Rosmini dan rakan-rakan seumrah yang lain adalah pejuang-pejuang yang tidak didendang tapi kerana peranan mereka yang cukup penting, kami para wartawan dan penggiat media dapat terus menulis dan berkongsi sesuatu untuk masyarakat. Semoga apa yang mereka lakukan menjadi amal jariah yang bekalan di alam sana. Amin.

Al-Fatihah buat sahabatku, semoga kita dapat bertemu di Syurga Firdausi hendaknya.


Allahyarhamah Seri Amin Hj Rosmini (4 dari kanan, memegang tape-recorder) milik saya ketika bersama jemaah umrah sewaktu mendengar tazkirah di lereng Jabal Tsaur - Mac 2007.

July 05, 2012

Setahun Menerajui Anis

1 Julai 2011 - masih segar di ingatan kala menerima surat lantikan sebagai Editor Majalah Anis. Kala itu hati saya berderau. Mampukah saya? Hati saya berdetak.Nyata, ia bukan satu kerja yang mudah kerana ia satu amanah, satu tanggungjawab yang bukan calang-calang. Pengalaman 20 dalam bidang penerbitan selama ini bukan satu alasan untuk saya bersenang-senang dengan amanah baru itu.Anis yang bermula pada Julai 1997 diterajui mantan Editornya, Hajah Aliyah Sijari dan seterusnya, Hajah Jalilah Abdullah telah berada di treknya tersendiri. Melihat gerak kerja mereka berdua dalam menerajui setiap isu ke satu isu yang lain tidaklah sama apabila saya memikulnya sendiri.Apatah lagi kala menerima 'anak' yang berusia 14 tahun itu, Anis sendiri sudah memiliki 'followers'nya tersendiri. Malah tidak silu saya nyatakan, Anis sudah punya pesaingnya tersendiri walaupun kami melihatnya dari sudut positif. Ini kerana kami yakin semakin ramai pihak yang ingin berbuat kebaikan, semakin besarlah impak baik yang melanda masyarakat.

Melawan Arus Perdana
Saya masih ingat respons negatif kala Anis mula memecah pasaran semasa, "Lakukah majalah wanita bertudung?" Ya, tiada siapa nafikan Anis ketika itu ibarat melawan arus perdana. Namun siapa sangka, kini semakin banyak majalah yang meletakkan wanita bertudung sebagai Penghias Kulitnya. Syukur, itu tandanya mesej yang kita cuba sampaikan 15 tahun yang lampau telah berjaya dan memberi kesan pada masyarakat.Alhamdulillah, kini genap setahun menerajui Anis, banyak pembaharuan yang telah kami cuba laksanakan khususnya bagi menjadikan ia terus malar segar di hati pembacanya.
Cover Anis edisi perdana yang diterbitkan pada Julai 1997.

Insya-Allah sesuai dengan kematangannya, banyak lagi perubahan yang bakal dilaksanakan demi memantapkan lagi kandungan majalah kesayangan anda ini. Bagi anda yang sudah mendapatkan Anis edisi ulangtahunnya yang ke-15 Tahun ( menampilkan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid sebagai Penghias Kulitnya), saya ucapkan ribuan terima kasih kerana terus menyokong Anis. Doakan saya dan tim Anis agar terus dipandu Allah dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan khusus melalui media massa. Andai kami ada kelemahan tegurlah, andai kami teralpa, titipkan kata nasihat dan kalungkan doa agar kami tetap berada di trek orang-orang yang mendokong kebenaran. Semoga usaha kecil ini bakal menjadi saham buat kami di sana. Amin...

Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ...