June 07, 2017

#NakTulisApa?

Salam 13 Ramadan

Niat asal saya untuk lebih banyak mendiamkan diri di bulan Ramadan ini tidak berjaya. Lalu titik muhasabah itu bertukar dengan niat untuk terus berkongsi ilmu khususnya mengenai penulisan. Ini antara posting yang saya muatkan dalam Facebook yang saya kendalikan iaitu Nota Editor: 

Baru-baru ini seorang pensyarah IPTA datang menjengah ofis. Saya agak terkejut, maklumlah datang tanpa temu janji dan dalam masa yang sama sedang kalut menguruskan sesi fotografi yang sudah ditetapkan.

Rupa-rupanya dia datang untuk bertanya prosedur untuk menghantar tulisan. Beliau mengunjuk kad yang tertera nama dan kelulusannya. Kami berdua bersembang panjang juga, apa tah lagi saya tertarik mendengar kajian tesis beliau mengenai pembentukan kolesterol dan penyakit berkaitan dengannya. Saya memberi sedikit pendapat tentang apa yang perlu dan tidak perlu untuknya sewaktu hendak menulis:
1. Tulis dahulu mengenai bidang/ kemahiran yang kita tekuni/ kuasai. Pendek kata kongsilah ilmu yang mana kita benar-benar arif mengenainya. Apabila menulis sesuatu yang kita arif dan mahir, ini mengurangkan masa untuk kita membuat banyak kajian mengenai topik yang ditulis. 
2. Sebelum menulis, lakukan sedikit kajian mengenai majalah-majalah yang berada di pasaran. Ambil sedikit info tentang isu apa yang disentuh oleh majalah tersebut. Jika Majalah Anis, sudah pasti tumpuannya ialah pada isu-isu kekeluargaan yang dekat dengan pembaca wanita. 
Jika anda berminat menulis buku, dapatkan gambaran corak dan gaya penulisan yang diamalkan oleh penerbit-penerbit yang sedia ada seperti Galeri Ilmu, Karangkraf, PTS dan lain-lain. 
3. Menulis dengan bahasa Melayu Tinggi. Elakkan penggunaan bahasa yang berat dan sukar difahami, lebih-lebih lagi yang melibatkan istilah saintifik dan agama. Sedapat mungkin cari terjemahan maksud dalam bahasa Melayu. Ingat ya, penulis adalah perantara yang memudahkan penyampaian ilmu kepada pembaca. Semakin sukar kalimah yang ditemui, semakin menjauhkan jarak penulis dengan pembaca.
4. Kenal pasti siapa khalayak pembaca. Rajin-rajinlah membuat kajian dengan bertanyakan pendapat orang lain, apakah isu-isu yang mereka mahu tahu (yang berkaitan dengan bidang dan kemahiran kita). Kadangkala hal-hal yang kita rasakan remeh-temeh dan 'simple' pun masih ramai yang tidak tahu. Di situ peluang bagi penulis untuk mengetengahkan dan memberi solusi terbaik bagi sesuatu isu yang diutarakan. 

Penulisan ialah proses mengalih pengalaman/ kemahiran kepada bentuk perkataan. Alhamdulillah, selepas ke Beijing pada Disember 2012, lahir artikel saya berjudul Mencari Lelaki Sejati di Beijing. Wau... siapakah lelaki tersebut, sudah pasti ia berkaitan dengan Tembok Besar China ini. 

No comments:

Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ...