May 27, 2015

#Throwback PBAKL 2015

Assalam, 
Sudah lama kemeriahan PBAKL 2015 berlalu, baru sempat nak 'update' dalam blog ni. Haha.. biasalah apa lagi alasannya sibuk kejar 'deadline' kan.. . 

Sebenarnya untuk maklumat, setiap kali menjelang PBAKL, Team Majalah memang akan berlipat kali ganda sibuknya. Editor-editor Buku mungkin sudah bernafas lega dan tersenyum simpul menanti kunjungan para pencinta buku di sepanjang pesta buku ini. Namun tidak bagi kami. 

Tarikh Pesta Buku selalunya bertembung dengan jadual majalah yang 'cramp' di hujung bulan, maka pandai-pandailah kami nak atur jadual agar stamina sentiasa berada di tahap tertinggi... Namun, itulah perjuangan namanya! Apapun kegembiraan bertemu para pembaca Anis dan Asuh serta buku-buku terbitan Galeri Ilmu mengatasi segala kepenatan. 

Kali ini saya kongsikan foto-foto seputar slot BICARA ANIS dan MESRA BERSAMA ANIS yang diadakan sepanjang PBAKL 2015 ini. 


 

Slot BICARA ANIS pada Sabtu 25 hb April menampilkan dua kolumnis yang berpengalaman dalam bidang masing-masing. Tajuk yang dibawa ialah Bagaimana Menjemput Barakah dalam Rumah Tangga. Terima kasih Ustaz Hamizul Abd Hamid (Kolumnis Bijak Zakat) dan Pn Sharifah Mohd Jahaya (Kolumnis Kamar Syariah). 


Jam 2.30 petang pula, tampil Chef Adu Amran yang merupakan Juri rancangan MasterChef terbitan Astro. Beliau juga merupakan Kolumnis ruangan Pesan Chef. Banyak perkongsian yang dikongsikan - daripada kisah detik awal menceburi bidang masakan, tip-tip masakan termasuklah nasihat buat adik-adik yang berminat menceburi bidang kulinari. 



Wah, selepas sesi perkongsian, bukan main lagi ramai yang mahu bergambar. Anak-anak muda dan kakak-kakak yang mengikuti perkembangan beliau. 


Pada Sabtu 2 Mei 2015, sekali lagi BICARA ANIS memecah suasana di booth Galeri Ilmu di aras 4, Dewan Tun Razak, PWTC. Kali ini Ustazah Maznah Daud dan Bonda Nor bergandingan membicarakan topik isu Apabila Ibu Melahirkan Tuan (Anis Mei 2015). Terima kasih atas kehadiran Ustazah dan Bonda Nor yang selepas itu terbang terus ke Kuala Terengganu. 



Sesi Mesra Bersama Anis bersama Pak Utih yang terkenal dengan kolumnya Hai Darling. Wah, kali ini kami buat adakah kuiz sekali. Ramai yang berebut-rebut membeli Anis dna Asuh terbaharu dan bergambar dengan Pak Utih. 


Saya, Pak Utih, Puan Marzhatul Syima (Editor Asuh) dan Noor Hajidah Hassan, wartawan Anis selepas slot ini. 


Dr. Tengku Asmadi turut mempromosikan Majalah Anis di booth Galeri Ilmu. 


Ust Abd Wahab Ali, Kolumnis Aksara Hati datang jauh dari Kuala Terengganu. Sempat mempromosi Majalah Anis dan bukunya, Juha. 


Pasangan penulis yang paling komited, Prof Muhd Kamil Ibrahim dan Pn Roza Roslan - sentiasa berada di booth Galeri Ilmu dan UMKi di sepanjang PBAKL 2015 ini. 



Derhaka Tanpa Sedar


Luhurnya kasih sayang seorang ibu pernah membuatkan Sayidatina Aisyah bt. Abu Bakar menitiskan air mata. Dalam sebuah kisah diriwayatkan oleh Ahmad, Sayidatina Aisyah r.a. pernah menceritakan kisah seorang ibu dan dua orang anaknya. Mereka datang meminta makanan. 

Sayidatina Aisyah r.a. berkata, “Saya pun beri tiga biji kurma kepada si ibu. Si ibu membahagi-bahagikan kurma itu sesama mereka. Semasa si ibu menyuapkan kurma itu ke mulutnya, tiba-tiba anak-anaknya memandang ke arah ibu mereka. Ibu itu meluahkan kembali kurma itu lalu membelahnya. Setiap anaknya itu mendapat separuh daripada kurma milik si ibu. Hatiku tersentuh lalu mataku basah melihat mereka.

Tiba-tiba Nabi Muhammad SAW masuk dan bertanya, “Mengapa kamu menangis, wahai Aisyah?” Saya menjawab, “Wahai pesuruh Allah, saya terharu melihat kasihnya ibu pada anak-anaknya. “Saya pun menceritakan peristiwa yang baru berlaku sebentar tadi.”  




Begitulah fitrah kasih seorang ibu – di hatinya tersemadi kasih sayang yang tidak pernah  bernoktah! Di sebalik kelembutan, dia mempunyai kekuatan yang amat luar biasa. Dengan kekuatan emosi yang Allah anugerahkan, seorang ibu sanggup mengorbankan kesenangan dirinya demi membahagiakan insan-insan di sekelilingnya termasuklah anak-anak.  

Mengenang pengorbanan dan kasih sayang ibu, bukan sahaja agama Islam, agama mana pun melarang sama sekali penganutnya menderhakai kedua-dua ibu bapa. Al-Quran menukilkan perintah ini dalam firman-Nya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, dan (ingatlah) kepada Aku-lah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”. (Luqman: 14)

Sempena Hari Ibu yang diraikan bulan ini, ANIS mengangkat tema APABILA IBU MELAHIRKAN ‘TUAN’, bagi menghurai fenomena lahirnya anak-anak derhaka sebagai petanda akhir zaman. Fenomena yang disebut dalam hadis Nabi SAW ini akan dikupas secara terperinci oleh Ustaz Khafidz Soroni dan juga Ustazah Maznah Daud dalam Sumbu ANIS bulan ini.

Pendakwah bebas iaitu Ustaz Abdullah Mahmud juga menghurai lebih lanjut ciri-ciri kederhakaan seorang anak yang boleh menyebabkan kita terjebak dalam lembah kemurkaan-Nya. Antara lain, beliau mengupas istilah ‘anak derhaka’ yang sering disalah tafsir kepada sikap seorang anak terhadap ibu bapa yang masih hidup sahaja. 

Sedangkan kederhakaan seorang anak itu masih boleh terus berlaku walaupun setelah kedua orang tua meninggal iaitu apabila anak-anak tidak melakukan ketaatan kepada perintah Allah. Nauzubillah min zalik. Mudah-mudahan kita dijauhkan daripada melakukan sifat derhaka ini tanpa sedar. Insaflah, walau sebesar mana pun jasa dicurahkan kembali si anak, tidakkan mampu membalas pengorbanan seorang ibu hatta setitis air susunya. Wallahu’ alam. 

Akhir kata, bingkiskan selalu doa ini;
“Ucapkanlah wahai anak, ‘Ya Tuhanku, kasihilah kedua-dua ibu bapaku sepertimana mereka berdua mengasihi aku sewaktu aku kecil’.” (Al-Isra’ : 24)


Catatan Editor Anis Mei 2015

Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ...