Kenangan 1 Mac 2013

Minggu ini adalah minggu-minggu kritikal bagi kami Team Editorial di Galeri Ilmu Media Group. Kalau dalam perlawanan bola sepak ia dipanggil waktu kecederaan. Jalan pun asyik menundukkan muka .. . Itu ayat-ayat popular yang sering berlegar di kalangan kami.

Kami semakin hampir ke destinasi akhir iaitu tarikh cetak majalah yang telah ditetapkan iaitu setiap 4 haribulan. Hmm... hari ini dah berapa hari bulan ya? 1 Mac 2013. Besok pula cuti Sabtu dan Ahad. Jawapan yang diberi Pengarah Penerbitan kami, kalau tak boleh final semua kakitangan Jabatan Editorial perlu bekerja esok hari. Noktah. Hmm, berkorban lagi...? Getus hati saya.

Kalau diikutkan rasa hati mahu saja saya bercuti hari ini. Sebab apa? Ini hari ulang tahun perkahwinan saya yang ke-23. Terasa seakan tidak percaya pula. Sudah 23 tahun rupanya aku bergelar isteri, kata hati.  Alhamdulillah, ikatan saya dan encik suami masih bertahan dan semoga ia terus mekar mewangi sehingga hujung nyawa.

23 tahun meredah belukar kehidupan, susah senang pahit derita dikongsi bersama. Sekejap bergaduh dan berbaik semula. Sedar-sedar uban sudah mula penuh di kepala. Anak-anak kami semakin dewasa. Anak-anak sahabat sudah ramai yang mendirikan rumah tangga. Ramai yang mula bertanya bila pula giliran kami bermenantu pula? Itu petanda usia kita semakin di remang senja.

"Ya Allah, kami mahu terus bercinta sehingga ke syurga... " doa saya di pagi Jumaat ini.

Pagi tadi saya pura-pura bertanya kepada encik suami, "Ingat tak hari ini hari apa?" Dia senyum tersipu-sipu. Mujurlah tarikh ini masih ada dalam ingatannya. Kalau tidak... he he ... anda fikirlah sendiri.



Comments

Popular Posts