March 20, 2009

Yang datang dan yang pergi

Yang Datang:
Lama tidak pulang ke kampung halaman, saya cuba mencuri masa di celah-celah deadline baru majalah yang bakal tiba. Atas satu niat; menunaikan hajat ayah bonda, menunaikan hajat anak-anak yang kerinduan kasih sayang opah dan atuk dan juga menunaikan hajat diri sendiri yang sekian lama dipendam. Jika difikir-fikirkan kerja ofis sampai bila-bila pun takkan habis...
Kali ini rumah ayah dan bonda kembali berseri bukan saja dengan kehadiran cucu-cucu (anak-anak saya) tapi ada cucu baru yang baru menjengah dunia. Seronoknya dapat mencium wajah ahli syurga; Nur Izzati, yang lahir 20 Februari lalu dan kini tersenarai sebagai cucu termuda bagi Hajah Zamimy Hj Mohd Noor dan Hj Abdul Rahman Kulop Karim. Apa lagi saya bertambah kasihan melihat jadual emak yang lebih sibuk dari biasa. Selama ini puas Opahnya bersilat menangani kerenah Nur Izzah, kakak Nur Izzati yang teruja benar kerana mendapat saingan baru dalam merebut kasih sayang ayah ibunya.

Yang bakal datang:
Dalam sibuk menghabiskan cuti (untuk mendapat kesegaran baru) saya dan famili sempat juga bertandang ke majlis kenduri di Kg. Jalong, Sg. Siput. Rumah bisan emak yang lama sudah tidak dikunjungi meriah kembali setelah sekian lama tidak ada majlis perkahwinan. Sambil duduk bersembang bersama saudara-mara yang lama tak bersua muka, kami nikmati nasi minyak seterusnya makan pencuci mulut; bubur kacang dan ais krim. Alhamdulillah pulang bercuti dapatlah saya menghadiri kenduri kahwin di kampung, meskipun ada banyak lagi undangan kenduri kahwin yang diterima di ibukota. Biasalah musim cuti-cuti begini, banyak majlis kenduri kahwin diadakan di sana-sini. Agama mewajibkan kita memenuhi undangan perkahwinan sebagai lambang kita meraikan bersatunya sebuah ikatan suci antara dua hati. Perkahwinan yang menjadi pencetus kelahiran insan-insan baru bakal memeriahkan dunia ini...

Yang Pergi:
Baru dua hari memulakan kerja, saya kembali bergelut menyiapkan artikel yang perlu disiapkan. Petang Khamis saya mendapat sms dari teman berbunyi, "Salamah isteri Azam, teman lama kita sudah meninggal dunia petang tadi. Esok akan dikebumikan di Tasik, Ipoh." Tersentak hati membacanya, maklum saya dahulu pernah tinggal serumah dengannya. Masih terbayang sifat baik dan kelakarnya seorang teman yang kini sudah dipanggil Ilahi. Walaupun asal satu negeri, saya sudah lama terputus hubungan apalagi masing-masing sibuk dengan dunia kerjaya masing-masing. Hanya al-Fatihah mampu dihulurkan sebagai ingatan untuk mereka yang telah pergi...

Dunia ibarat sebuah terminal. Tempat di mana kenderaan datang dan pergi silih berganti. Begitulah juga dengan diri kita sebagai insan ciptaan-Nya. Datang dan pergi kita bagai sudah tersurat dan dijanjikan. Yang bakal dan sudah datang tetapkan tiba pada masa yang dijanjikan. Yang pergi sudahpun menunaikan janji-nya, tinggal kita yang masih diberi ruang masa untuk terus menunaikan janji sepertimana dimeterai dari alam ruh lagi, "Kami bersaksi bahawa Engkau adalah Tuhan kami."

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...