March 19, 2009

Signal dari Siapa?

Malam itu usai mengaminkan doa, hati terasa sungguh sayu. Aura Malam Sinar Maulidurrasul 1430H yang saya hadiri bersama teman-teman Team Anis (yang bertugas membuat liputan) masih berbekas di hati. Ya, baru tersedar tinggi rendah iman yang bagaikan bermusim.

Baru tersedar di hati ini terlalu sedikit ruang yang diperuntukkan untuk menyemai sebuah cinta hakiki. Masih banyak karat dosa-dosa hingga menutup kalbu untuk selalu mengingati dan menyebut-nyebut namamu Ya Rasulullah.

Malam itu juga ketika hati dalam gelombang alfa, janji diri bersaksikan Kaabah dan Maqam Nabi,untuk sering mengingati dan mencintaimu Nabi terkenang kembali dalam sanubari. Peliknya mengapa hati yang subur dengan cinta ketika itu suram apabila kembali semula ke tanah realiti?

Tiba-tiba saya teringat kembali lembaran selawat yang dihadiahkan Haji Ridwan Amirulsalleh, mutawif saya dan rombongan sewaktu umrah pada Mac 2007. Lembaran selawat karangan tuan gurunya dari Banjamasin, Indonesia dan dikepil pada kami semua untuk jadi amalan apabila pulang kelak ke tanahair. Hadiah untuk kami agar sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW.

Masih saya ingat, selawat itu agak unik kerana ia menceritakan keistimewaan peribadi Rasulullah SAW yang tidak pernah saya dengar dan baca selama ini. Maka saya pun mencari-cari di mana saya letakkan lembaran selawat itu. Tapi malangnya tidak jumpa hingga kesudah. Saya termenung jauh. Dengan berselawat dan memohon doa dengan keberkatan baginda SAW, saya berharap moga-moga saya dapat berjumpa semula dengan lebaran selawat istimewa itu.

Keesokannya, petang Khamis Ustaz Ahmad Lutfi datang ke pejabat kami. Sebelum memulakan kuliah dihadiahkan kami seorang satu kitab kecil berjudul 'Selawat Pilihan'. Termenung seketika saya menatap kitab kecil ini, sambil mengimbas semula doa dan rintihan malam sebelumnya.

Masya-Allah, begitu cepat permintaan diri ini didengari dan dikabulkan. Satu persatu rahsia dan kelebihan selawat yang terdapat di dalam kitab kecil itu diperjelaskan. Menurut tuan guru muda ini, terdapat bermacam selawat. Selawat pertama elok diamalkan ialah Selawat Ibrahimiah yang sering kita baca dalam Tasyahud Akhir.

Kata beliau lagi, selawat ini Rasulullah SAW sebutkan dalam solat sebagai tanda baginda Nabi tidak lupa pada nenek moyang baginda iaitu Nabi Ibrahim a.s.

Khamis seterusnya, Ustaz Ahmad Lutfi datang lagi. Tapi kali ini beliau menceritakan tentang mukjizat dan keistimewaan Rasulullah SAW. Menurut beliau, terlalu banyak keistimewaan dan kelebihan Rasulullah SAW yang jarang dirungkai dan disingkap oleh umat Islam hingga menjadikan diri kita terlalu jauh dengan baginda. Kisah-kisah seumpama ini jarang pula kita kongsikan bersama anak-anak. Maka tidak hairanlah kalau mereka juga tidak kasih dan rindu pada Rasulullah SAW. Sedangkan diri baginda punya 1001 keistimewaan melebihi keistimewaan 'Superman' yang anak-anak kita agung-agungkan itu.

Kitab 'Selawat Pilihan' mengandungi 30 selawat yang dikumpulkan oleh Al Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad Ibn Alawi Al Maliki Al Hasani ini bukan saja sebagai hadiah istimewa di bulan Rabiulawal ini tapi juga satu 'signal' untuk diri ini untuk terus mengingati dan memuji-muji (berselawat) baginda Rasulullah, Sayidina Muhammad Sallahualaihi wassallam.

p/s: Insya-Allah, Kelebihan dan keistimewan Rasulullah SAW ini akan saya kongsikan bersama untuk manfaat kita bersama apabila ia lengkap dikuliahkan kelak...

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...