March 13, 2009

Maulid Nabi Era Baru


Suasana di Malam Sinar Maulidurrasul 1430 H di Stadium Malawati, Shah Alam baru-baru ini.

Jam menunjukkan pukul 12 malam, mata saya sudah tidak dapat dibuka lagi, tapi ditahan-tahan sebab ada tanggungjawab rasmi belum ditunai lagi.
Malam itu saya sudah terbayang-bayang bantal empuk di rumah. Penatnya usah dikata.
Oh bayangkanlah dari jam 9 pagi lagi, saya dan teman-teman Team Anis sudah terpacak awal di pagi Sabtu untuk membantu mengendali Bengkel Sihat Anggun Dari Wanita Untuk Wanita. Bengkel anjuran Majalah Anis ini menjemput tokoh perubatan tradisional Melayu iaitu Datin Sharifah Anisah Syed Agil Barakbah, Pengerusi Kumpulan Nona Roguy. Belum puas menimba ilmu dari nenek anggun ini saya dan teman terus mengikut jurufoto ke Stadium Malawati Shah Alam, Selangor.
Waktu itu rasa letih usah dikata tapi memikirkan misi kami ke sini lebih besar iaitu untuk merakam suasana Malam Sinar Maulidurrasul 1430 H, saya tabahkan hati.
Malam sebelumnya tatkala melihat suasana sekitar rehearsal, kami sempat bertanya Ketua Kumpulan Rabbani, Ust Asri Ibrahim. Katanya dia dan teman-teman sudah berkampung sejak beberapa hari lagi menjelang MSM. Bagi kami yang bergerak dalam media berasaskan dakwah program seperti ini sewajarnya mendapat liputan di ruang halaman Majalah Anis.
Bekerja di belakang tabir, tidak terasa masa berlalu begitu pantas. Bersama teman-teman media yang lain, kami dapat juga menyelitkan diri untuk mengadakan sesi temubual bersama artis-artis yang menjayakan program yang gilang-gemilang ini. Siapa yang tidak kenal dengan artis no. 1 negara iaitu Datuk Hajah Siti Nurhaliza, Mawi, Amy Search dan Akhil Hayy yang punya nama dalam genre muzik masing-masing tapi malam itu mereka semua bersatu demi membesarkan dan memuliakan Rasulullah SAW. Satu gandingan nama yang hebat dan mantap bersatu di atas pentas menjadi petanda bermulanya revolusi baru dalam acara maulid Nabi yang sebelum ini dilakukan secara tradisi di surau-surau dan di masjid-masjid.
Pujian juga harus diberikan kepada Dato' Ustazah Siti Nor Bahyah Mahmood. Kepetahan beliau menghidupkan suasana. Kisah sirah junjungan Nabi yang disampaikan begitu menghayat hati para hadirin hingga ramai yang menitiskan air mata ketika dikisahkan detik-detik kewafatan Rasulullah SAW.
Tahniah diucapkan buat Kumpulan Rabbani yang telah mula mengorak langkah pertama di tahun 2006. Semoga penganjuran kali kedua ini dapat dilakar kembali untuk tahun-tahun seterusnya.

p/s: Majalah Anis turut merakam suasana Maulid Nabi di sekitar tanahair dan di luar negara. Jangan lupa dapatkan Anis keluaran Mei 2009 nanti...

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...