Salam Terakhir dari Cik Limah


Selasa 23 hb Oktober 08: Jam menunjukkan 3.30 petang. Sesi fotografi Fesyen Majalah Anis untuk keluaran Disember 08 baru berakhir. Memang sudah terlewat. Perut dah berkeroncong. Berbunyi-bunyi minta diisi. Tapi kerana bermula agak lewat dan buat dua sesi – pakaian pengantin dan pakaian kasual ia agak memakan masa.
Ketika melihat skrin telefon, barulah saya tersedar ada beberapa miss call. “Nombor sape ni?” Inilah masalah hp saya sebab tak ‘appear’ nama pemanggil jadi tak tahu siapa yang call. Cuma terperasaan nombor hp adik saya, Nor. Ketika rakan-rakan lain memesan makanan di Restoran Jom Soru, saya call semula adik. Takut ada hal-hal kecemasan yang berlaku.
Adik saya memaklumkan yang emak saudara kami yang tinggal di Kuala Kangsar, iaitu Cik Limah sudah meninggal dunia pada 11 pagi tadi. Innalillah! Itulah perkataan yang mampu dikatakan. Adik juga beritahu, suaminya dan ibubapa saya sudahpun berada di Sayong Kuala Kangsar untuk urusan pengebumian jenazah. Ketika menghubungi anaknya, Kak Ro, memberitahu ibunya telah dimasukkan ke hospital akibat sakit grastik seminggu selepas Hari Raya. Tetapi tidak disangka sakitnya tenat kembali hingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Ipoh. Dia meninggal sehari sebelum dibedah. Ajal maut di tangan Tuhan, sudah sampai dia pergi meninggalkan kita semua. Suatu hari kita juga akan ke sana juga...
Terasa baru semalam saya berjabat tangan dengan Cik Limah ketika bertamu di rumahnya. Cik Limah ialah isteri bapa saudara saya yang sulong (abang bapa) iaitu Encik Mamat yang telah lama meninggal dunia. (Orang Perak memberi gelaran Encik bagi anak sulong. Ada juga yang menggelarkan Yop dan Yong)

Kak Ro kini menjadi penghuni setia rumah ini.

“Mungkin raya ni kali terakhir kita tengok rumah ni!” kata saya pada suami pada Hari Raya ke 2 sewaktu kami menziarahi sanak-saudara di Kuala Kangsar. Ini kerana tanah dan tapak rumahnya akan diambilalih oleh kerajaan negeri untuk projek pembangunan. (Trip saya tahun ini tak berapa best la sebab saya berkonvoi satu kereta saja. Tak macam tahun lepas semua adik-beradik berkonvoi beramai-ramai ke Kuala Kangsar).
Bagai belum puas menatapi wajah yang kaya pengalaman ini. Sekalipun bersalut seribu kedutan di takah usia 90, Cik Limah berusaha untuk mendekati, bersalam dan mengecam satu persatu anak saya seorang demi seorang. Biasanya hidangan yang saya suka di rumah dia, lemang dan kerepek pisang sebab dibuat sendiri. Kalau balik, siap dibekalkan kami kerepek pisang seorang sepaket. Tahun ini kerepek tak buat, katanya. K Ro pun sibuk menjaga emaknya yang sering tidak sihat sejak kebelakangan ini. Walaupun sakit-sakit dia tetap berpuasa. Cuma beberapa hari aje tertinggal.
Bagi saya rumah ini meninggalkan banyak kenangan manis. Sebab itu saya mesti nak pergi rumah ini. Di ruang tamu rumah ini saya pernah menjalani upacara bertindik bersama dua orang sepupu sewaktu kami kecil dahulu. Upacara bertindik itu berlangsung pada hari perkahwinan Kak Sabariah (anak Cik Limah). Tapi tidak saya sangka kenangan manis itu rupa-rupanya bertukar jadi kenangan pahit. Nak jadi cerita akibat bertindik tu, bekas tempat tindik itu membesar jadi ketumbuhan. Tiga kali saya dibedah, dua tahun saya asyik berulang-alik untuk dapatkan rawatan di Hospital Besar Ipoh. Setahun lagi berulang-alik ke HUKM, di bawah Jabatan ENT yang berpusat di HKL. Seksanya Tuhan saja yang tahu. Seksa berulang-alik sampai tinggalkan sekolah, termasuk seksa kena suntikan jarum setiap kali sesi rawatan. Tapi Alhamdulillah selepas pembedahan kali ketiga ia tidak membesar lagi dan sembuh sepenuhnya. Ini semua dah tercatat dalam ketentuan hidup dan memperkayakan lagi pengalaman saya. Apa hikmahnya, Allah Al-Alim juga yang maha mengetahuinya.

Sebelum pulang anak-anak sempat kutip jambu di halaman rumah Cik Limah. Pokok jambu putih dan merah masak ranum di dahan pokok. ”Ambillah tak ada siapa nak makan. Tengok tu habis jatuh bertabur,” katanya. Teruja hati melihat buah-buah jambu bertaburan diterpa air hujan. Kak Ro siap bagi plastik suruh kami isi buah jambu. Dua plastik besar mengisi buah jambu itu yang kemudian jadi rebutan anak-anak saudara di Muar, Johor. Sekelip mata habis semuanya bila dicicah dengan kicap dan cili. Alhamdulillah, kami memanjangkan sedekah Cik Limah.
Tidak sangka pula pertemuan ini menjadi pertemuan terakhir saya dan keluarga bersama Cik Limah. Salamnya menjadi salam terakhir buat kami semua. Al-fatihah buat Cik Limah. Semoga ditempatkan bersama golongan yang beriman. Amin...

Comments

Popular Posts