November 23, 2012

Jalan-jalanlah Cari Iman


“Masya-Allah, beg-beg kita sudah beranak dan bercucu-cicit rupanya,” gurau seorang mutawif umrah semasa saya dalam perjalanan pulang daripada Tanah Suci suatu ketika dahulu. Para jemaah tersenyum sumbing. Siapa boleh nafikan kehebatan jemaah Malaysia dalam bab membeli-belah (shopping). Sebab itu pelancong Malaysia sentiasa disambut dengan senyum menawan para peniaga di mana-mana negara.

Sebut mengenai shopping ini, saya juga teringat luahan hati seorang ketua rombongan ke bumi Aceh Darul Salam. Beliau berasa hairan kerana ketika masing-masing hendak pulang, terdengar sungutan rasa tidak puas hati. Rupa-rupanya apabila disiasat, jemaah tidak puas hati kerana beg-beg mereka ‘tidak beranak dan bercucu-cicit’.

“Masya-Allah, takkan mereka tidak tahu Aceh itu bukan tempat untuk membeli-belah. Jika mahu shopping, pergilah ke Bandung. Jalan-jalan ke Aceh adalah jalan-jalan ‘mencari iman’,” ujarnya sambil mengusap dahi.
Di Aceh, para pelawat dapat melihat tanda-tanda ‘kiamat kecil’ akibat bencana tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 lalu. Ia begitu menggemparkan dunia kerana telah mengorbankan ratusan ribu nyawa. Walaupun sudah lama berlalu dan Aceh kini sudah semakin maju, namun masih banyak tinggalannya yang boleh diambil iktibar. Apatah lagi apabila menyaksikan masjid-masjid yang tidak terusik dek ombak ganas tsunami. Jika difikirkan secara logik, terasa betapa kerdilnya kita sebagai hamba dan hebatnya kekuasaan dan keagungan Allah SWT.

Mengembara atau melancong itu memang fitrah manusia yang sukakan kedamaian dan ketenangan. Namun begitu, satu misi yang patut kita terapkan dalam merancang percutian atau pelancongan ialah sejauh mana kita mengaktifkan budaya ‘fikir’ dan ‘zikir’ kepada diri kita dan juga ahli keluarga. Natijahnya, percutian atau pelancongan kita itu bukan sahaja menambah ilmu, meluaskan pengalaman serta meramaikan kenalan, tetap ia juga dikira ibadah di sisi Allah Taala. Jadikanlah visi kita; bersama ‘ole-ole barangan’ untuk keluarga yang ditinggalkan, ada juga ‘ole-ole perkhabaran’ yang boleh meningkatkan iman dan takwa kepada-Nya.

Sama-samalah kita hayati Fokus Utama Anis Disember 2012: Cuti-cuti Jadi Ibadah yang dikupas oleh Dr. Nik Yusri Musa, seterusnya diperjelaskan secara terperinci oleh Ust. Muhammad Abdullah, pendakwah bebas yang mempunyai hobi mengembara bertemu ulama, dan Ustazah Asni Mansor yang berkongsi tips-tips percutian untuk para isteri. Yang penting dalam merancang percutian, ukurlah baju di badan sendiri, jangan sampai poket bolos untuk persiapan musim persekolahan dan sebagainya. Insya-Allah, dengan mengikut adab-adab berehlah, percutian kita yang ‘biasa-biasa’ akan menjadi luar biasa. 


 
Kenangan sewaktu berkunjung ke Meulaboh, Aceh pada 2009 - melihat kesan lima tahun selepas tsunami. Di hadapan Masjid Teuku Umar yang tidak musnah oleh ombak tsunami meskipun berada di pinggir pantai. Bukti kehebatan dan keagungan Ilahi. 

No comments:

Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ...