October 16, 2014

Ukur Iman Di Pakaian Sendiri?

Auntie, kalau pakai macam ni, boleh terus solatkah?”
“Boleh, apa salahnya. Aurat dah sempurna ditutup, berstoking tebal pula, sudah boleh solat saja,” jawab saya kembali kepada si remaja bernama Iman.  
Jawapan saya itu menyakinkan si anak gadis yang tiba-tiba cuak untuk solat. Setelah betul-betul yakin, akhirnya kami sama-sama solat berjemaah Subuh di satu ruangan lapang di terminal lapangan terbang antarabangsa Beijing. Peristiwa ini berlaku pada musim sejuk Disember 2012. 

Alhamdulillah, terdapat sebuah partition di sebelah kaunter tiket penerbangan. Tandas pula berdekatan, maka kami bergilir-gilir mengambil wuduk dalam suhu sejuk di bawah paras beku. Namun, satu lagi masalah pula timbul kerana tiada sejadah. Tanpa segan silu kami hamparkan jaket-jaket tebal kami sebagai hamparan ketika sujud.  

Apabila bermusafir begini, baharu terasa rahmat dan hikmahnya apabila berhijab. Andainya, pakaian kita itu sudah pun menutup aurat dengan sempurna, kita sudah boleh terus laksanakan solat di mana-mana. Dalam lain makna, sebaiknya pakaian kita itu bukan saja patuh syariah tetapi biarlah mesra solat atau ‘Solat Ready’. 

Pengalaman saya sendiri di tanah air, sudah banyak kali berlaku apabila berhenti di mana-mana masjid, adakalanya telekung disediakan tidak dapat menampung jumlah jemaah wanita yang ramai terutama pada waktu Maghrib.  

Selalu juga berlaku dalam melaksanakan penggambaran majalah yang berlarutan beberapa jam tanpa henti, di tempat yang jauh pula dari masjid atau surau, sekali lagi pakaian sebegini jadi penyelamat diri. Bukankah antara syarat sesuatu pekerjaan itu akan menjadi ibadah apabila tidak melanggar ibadah-ibadah asas seperti solat.  

Sejujurnya, Muslimah hari ini sangat beruntung. Kini sudah ada pelbagai busana Muslimah yang menyediakan aneka pilihan yang patuh syariah. Jadi, tepuk dada, tanyalah iman dalam membuat pilihan. 

Apa yang penting, prioriti dalam berpakaian haruslah berpaksi kepada keimanan kita kepada Allah SWT. Memang wanita dan berfesyen tidak dapat dipisahkan, namun ada pantang larang dan batas-batas yang perlu diketahui Muslimah apabila keluar dari rumah dan berhadapan dengan lelaki bukan mahram. 

Mengambil keberkatan Maal Hijrah 1436H yang bakal menjelang, Sumbu ANIS bulan ini mengupas persoalan - Identiti Muslimah Sejati. Kali ini Bicara Tokoh menampilkan dua orang pendakwah yang disegani ramai – pendakwah bebas dan Juara Imam Muda Musim Pertama, Ustaz Mohd Asyraf Ridzuan  dan Ustazah Fatimah Syarha Mohd Nordin.   

Sesungguhnya perintah berhijab bukan suatu penderaan buat para wanita tetapi ia adalah lambang kasih sayang dan rahmat Allah SWT untuk kita. Ia suruhan yang terkandung 1001 hikmah; bukan saja penyelamat dari gangguan lelaki yang tidak baik, ia juga penyelamat umat dari berlakunya zina yang akan merosakkan keturunan umat manusia. Wallahu’alam.

Salam kasih sayang daripada kami semua. 

- Catatan Editor Anis November 2014 - 

Dapatkan Anis isu November 2014.

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...