July 06, 2012

Al-Fatihah Untuk Sahabatku Seri Amin Rosmini

“Seri, bila anti nak pergi umrah? Ana mahu kirim doa.”
“Insya-Allah, nanti apabila nak bertolak, ana akan telefon anti. Ana akan ingat anti...”
Itulah perbualan terakhir saya bersama seorang teman beberapa bulan yang lalu. Rasanya masih terngiang-ngiang lagi di cuping telinga ini. Saya dapat rasakan gelojak hatinya yang begitu rindu untuk bertamu di rumah Allah. Hajat untuk tunaikan haji tahun ini yang tidak kesampaian mahu ditebus dengan menunaikan umrah bersama suami dan anak-anak.
Penghujung Mei lalu... saya terkasima apabila mendapat khabar sahabat saya itu, Seri Amin Rosmini Hj Othman, telah pergi mendahului kami akibat penyakit Lupus Eritematosus Sistemik (SLE). Kali ini penyakit yang sudah lama dideritai itu menyerang paru-parunya dan beliau koma di hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Mengingati momen indah bersamanya, dialah antara teman semusafir yang paling akrab sewaktu kembara umrah saya pada Mac 2007. Bayangkan kali pertama menunaikan umrah tanpa mahram dan di bahu tergalas cabaran untuk membuat liputan sepanjang kembara rohani di Tanah Suci, hati saya berdebar-debar. Sebelum bertolak, saya sering berdoa agar musafir saya dipermudahkan oleh Allah. Rintihan hati ini rupanya Allah jawab. Sejak di lapangan terbang di Madinah lagi, Seri sudah perasaan saya datang seorang diri. Lantas dia hulurkan bantuan bersama suami, mengangkat beg saya yang berat dan sebagainya. Wataknya yang ceria dan suka membantu sering mewarnai perjalanan kami selama dua minggu. Malah saya tidak rasa keseorangan kerana semua ahli rombongan bagaikan keluarga sendiri.

Teman tawa dan tangis
Namun bantuan yang dihulurkan Seri bantuan luar biasa. Dia teman tawa dan tangis ketika kami sama-sama bertawaf, bersa’i dan bertaqarub di depan Kaabah. Malah lebih dari itu,Seri sanggup menemani saya (setelah meminta izin suaminya) memanjat tangga-tangga kecil di sekitar Jiyad Sud ketika saya mencari keluarga Melayu Patani yang mendiami kota Makkah. Rencana itu tersiar dalam ruangan Eksklusif untuk isu Julai 2007. Saya terhutang budi dengan jasanya. Ketika dikhabarkan pemergiannya, saya bertafakur, ‘Ya Allah, seorang lagi sahabat baikku telah pergi mendahului ... .’
Bagi saya, Allahyarhamah Seri Amin Rosmini dan rakan-rakan seumrah yang lain adalah pejuang-pejuang yang tidak didendang tapi kerana peranan mereka yang cukup penting, kami para wartawan dan penggiat media dapat terus menulis dan berkongsi sesuatu untuk masyarakat. Semoga apa yang mereka lakukan menjadi amal jariah yang bekalan di alam sana. Amin.

Al-Fatihah buat sahabatku, semoga kita dapat bertemu di Syurga Firdausi hendaknya.


Allahyarhamah Seri Amin Hj Rosmini (4 dari kanan, memegang tape-recorder) milik saya ketika bersama jemaah umrah sewaktu mendengar tazkirah di lereng Jabal Tsaur - Mac 2007.

3 comments:

Abejie said...

Salam, adakan sri amin ini staff Telekom?

Abejie said...

salam,

adakan sri amin ini staff telekom malaysia?

Abejie said...

Salam, adakah sri amin ini staff Telekom Malaysia?

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...