May 27, 2010

Bertemu Kerana Sebiji Kurma


Foto biji kurma Nabi yang bertulis kalimah Allah - dihadiahkan oleh Haji Bahasa dan isteri sewaktu mereka datang melawat pejabat GISB tahun lalu.


Satu pagi yang ceria saat bergelut dengan tugasan menyemak artikel ANIS penghujung tahun lalu, tiba-tiba suara Tuan Haji Abu Hassan Morad mengalih pandangan saya dan Tim ANIS yang lain.
“Perkenalkan, ini Haji Bahasa Othman, kawan lama Cikgu masa bujang lagi…” ujar beliau dengan senyum simpulnya. Pengarah Urusan Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB) ini senang membahasakan dirinya sebagai ‘Cikgu’ di kalangan kakitangan.
Kedatangan sepasang suami isteri dari Kajang, Selangor ini kami raikan sepertimana tetamu-tetamu yang lain. Kami saling bertanya khabar dan sempat mengambil gambar mereka. Tapi bagi saya kedatangan mereka cukup unik dan lain dari kunjungan tetamu lain. Mengapa?
Pertemuan Haji Abu Hassan dan Haji Bahasa bukan sekadar pertemuan biasa antara dua sahabat lama yang lama tidak menjengah khabar berita tetapi pertemuan mereka begitu unik kerana mereka dipertemukan oleh sebiji kurma bertulis kalimah ‘Allah’.
Oleh kerana pertemuan di pejabat agak singkat, beberapa hari kemudian saya menelefon dan menemubual Haji Bahasa Othman, 58 tahun mengenai kisah biji kurma ini. Haji Bahasa merupakan bekas Editor Buku Teks Bahasa Melayu dan telah berkhidmat selama 30 tahun dengan Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau sudi menceritakannya renteten peristiwa pelik dan ajaib mengenai biji kurma ini. Ikuti catatan kisah menariknya sepertimana di dalam diari peribadinya.

21 September 1995/ 25 Rabiulakhir 1416 Hijrah
Hari itu hari Khamis. Ketika itu saya demam dan terpaksa mengambil cuti sakit. Badan saya lemah sekali. Selera makan juga hilang. Hanya saya keseorangan di rumah kerana isteri saya bekerja pada hari itu. Saya ke dapur membuka peti ais. Saya ambil beberapa biji kurma yang bercampur-campur dengan buah-buah lain. Saya bawa bekas berisi buah-buahan dari Tanah arab itu ruang tamu. Saya ambil kurma Ajwah atau dipanggil kurma Nabi. Di hadapan TV, saya mula mengunyah kurma itu.
Apabila saya cuba menelan buah kurma itu saya rasa isinya sangat keras hingga saya terpaksa meluahkan kembali. Hati saya berdetik ketika itu, “buah kurma ni muda atau tak elok? Saya luah kembali isi kurma itu dan makan bahagian yang elok sahaja. Masa itulah baru saya tersedar sebelah bahagian pada biji kurma itu bersalut dengan selaput putih. Saya siatkan selaput itu. Ketika itulah saya nampak kalimah Allah di hujung biji kurma itu. Kalimah Allah itu begitu jelas sekali. Saya keluarkan biji kurma itu dan saya belek-belek sekali lagi. Kali ini saya betul-betul yakin ada kalimah Allah tertera di hujung biji kurma itu. Saya terpegun.
Kemudian saya mampir ke belakang rumah sebentar. Saya basuh biji kurma tersebut dengan air zam-zam. Kemudian saya memandang ke luar rumah. Saya mendongak ke langit. Satu keajaiaban berlaku. Saya lihat langit begitu terang benderang, cerah tanpa tompok awan. Perasaan saya tenang sukar hendak diungkap bagaimana.
Selepas itu saya kembali semula ke dalam rumah. Saya ambil tisu dan bungkus biji kurma itu. Saya bawa bungkusan biji kurma itu ke dalam bilik. Saya masukkan dan simpan dalam laci almari solek. Selepas itu saya tidak tengok-tengok lagi biji kurma itu.

13 Tahun Sudah Berlalu...
Saya menjalani kehidupan seperti biasa. Biji kurma yang mengandung kalimah Allah itu juga sudah luput dari kotak fikiran saya. Awal tahun 2009, Masjid Raja Muda Musa yang terletak berhampiran rumah saya menjemput seorang penceramah. Masih segar di ingatan saya di hujung ceramahnya selepas maghrib, penceramah itu berpesan, “Sesiapa di kalangan tuan/puan yang ada ilmu yang boleh dimanfaatkan eloklah dikongsi bersama. Contohnya, sekiranya Allah menganugerahkan perkara-perkara yang ajaib atau tak dijangka di fikiran kita, buat apa disimpan dan sebaiknya dihebah sebagai panduan bersama.”
Mendengar kata-katanya saya terus teringatkan biji kurma yang saya simpan dahulu. Sekembalinya saya ke rumah saya terus meluru ke almari solek di bilik saya. Saya yakin disitulah saya menyimpannya dahulu. Alhamdulillah biji kurma itu masih ada tapi menghairankan sebab biji kurmanya masih elok lagi sedangkan kertas tisu pembalutnya sudah reput dimakan hari. Hanya satu perkara yang terlintas di fikiran saya menerima kejadian tak terduga ini. Sesungguhnya Allah Maha Menjaga dan Memelihara biji kurma yang tertulis kalimah Allah ini sebab tidak ada lipas atau sebarang serangga lain yang memusnahkan sedangkan ia tersimpan rapi selama 13 tahun lamanya di dalam laci almari solek saya. Memang tidak logik tapi inilah kuasa Allah.
Selepas kejadian ini saya berusaha untuk merakam gambar biji kurma ini dan menghebahkannya kepada masyarakat. Rakan setugas saya iaitu Abd Jalil Kassim, seorang jurufoto membantu saya. Saya pun mencuci gambar ini dan orang pertama yang saya beri ialah Bilal Masjid iaitu Haji Ramli. Pada asalnya saya hendak serahkan pada Pak Imam tetapi apabila melihat gambar biji kurma yang unik itu Bilal terus memintanya. Bilal Haji Ramli ini mengaji Quran dengan Tan Sri Hassan Azahari. Ketika dia bertemu dengan Tan Sri Hassan Azahari beliau ternampak gambar biji kurma ini dan bertanya daripada Bilal mendapatkannya? Dalam masa yang sama beliau turut meminta gambar biji kurma ini dan berpesan kepada Bilal Haji Ramli, “Gambar seumpama ini sangat elok dijadikan panduan dalam membentuk akidah anak-anak sebab ini merupakan tanda dan peringatan daripada Allah kepada manusia. Apabila kita nampak kalimah Allah ini ia akan mengingatkan kita pada kebesaran-Nya. Ia membulatkan keyakinan kita agar sepenuh hati mengingati Allah. Perkara ini nampak kecil tetapi motifnya begitu besar dan kenapa kalimah Allah tertulis di situ hanya Allah Taala yang mengetahuinya. Sebagai hamba kita harus yakin ini petunjuk daripada Allah Taala untuk membuktikan bahawa Allah Maha berkuasa mencipta apa yang tidak terfikir di fikiran kita. Perkara yang tiada boleh diadakan dengan kehendak dan iradat-Nya.”
Terus terang saya katakan semenjak saya menyimpan biji kurma bertulis kalimah Allah ini banyak peristiwa yang tak terjangkau di fikiran saya berlaku. Kalau hendak diceritakan terlalu banyak tapi cukuplah saya katakan ia semua adalah bukti kebesaran dan keagungan Allah Azza wajalla. Cuma pertemuan saya dengan Haji Abu Hassan Morad berlaku dalam keadaan yang tidak saya jangka sama sekali. Lain yang saya rancang lain pula yang terjadi.
Sebenarnya saya pernah menyimpan gambar Haji Abu Hassan Morad ketika beliau menerima anugerah Hadiah Sastera Novel Remaja ‘Natasya’ pada tahun 1996. Apabila saya tatap akhbar Utusan Malaysia bertarikh 19 Julai 1997 saya rasa kenal dengan orangnya dan rasa ingin sangat bertemu dengannnya. Saya telefon sahabat saya di Dewan Bahasa meminta diberikan nombor telefon Abu Hassan. Dia terus menghantar pesanan. Saya pun terus menelefon Abu Hassan ini tanpa bertanyakan nama bapanya. Abu Hassan terus bersetuju lalu kami pun mengaturkan pertemuan iaitu di sebuah masjid di Klang, Selangor.
Isnin 5 hb Oktober 2009, itulah tarikh pertemuan kami. Ketika sampai dia terus memeluk tubuh saya dan bergurau, “Lamanya tak jumpa?” Pertemuan kami penuh mesra tapi mengharukan bagai seorang sahabat yang baru bertemu dengan sahabat lama. Saya dan isteri dipelawa ke rumahnya pula.
Sampai di rumahnya, Abu Hassan menceritakan kepada saya dengan nada sedih bahawa isterinya baru meninggal dunia. Ketika itu anak perempuannya datang menghidang makanan. Tanpa melengahkan masa saya pun terus mengunjuk fotonya.
Tiba-tiba Abu Hassan terkejut lalu berkata, “Eh! Ini bukan gambar saya. Saya Abu Hassan bin.....”
Selepas peristiwa ini, dia terus berubah wajah. Cakapnya pun berubah. Perasaan saya malu sungguh, sukar hendak dikata bagaimana. Yang saya cari ialah Abu Hassan Morad tetapi Allah pertemukan dengan insan lain bernama Abu Hassan juga. Bagaimanapun bagi saya ia tetap ada hikmahnya. Lalu saya pun mengeluarkan foto biji kurma itu lalu menghadiahkan kepadanya. Sebaik sahaja melihat gambar ini dia terkedu lalu berkata, “Ya Allah!” beberapa kali.
Pertemuan saya berlangsung begitu saja. Saya dan isteri terus pulang tanpa menjamah makanan yang dihidang. Apapun saya bersyukur kerana tiada perkara negatif yang berlaku malah apabila saya menghadiahkan foto biji kurma terkandung kalimah Allah ini dia terus mengucap takbir beberapa kali. Inilah kebesaran Allah dan gambar ini bukan calang-calang kerana sudah ramai insan dapat merasai kebesaran-Nya.
Akhirnya dengan izin-Nya, saya dapat juga bertemu dengan Abu Hassan Morad, sahabat lama yang saya kenali dari zaman bujang lagi. Selepas menelefon operator telefon dan bertanyakan nombor pejabat Galeri Ilmu Sdn Bhd kami berdua bertemu lalu menggamit memori lama di warung yang letaknya di belakang Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebaik melihat susuk tubuhnya, hati kecil saya berkata, “Inilah dia Abu Hassan Morad yang saya hendak jumpa.”
Pertemuan berlangsung begitu mesra. Di saat itu juga saya menyerahkan gambar biji kurma ini. Dia mengajak saya berkunjung ke pejabat GISB dan alhamdulillah dalam biliknya saya menghadiahkan foto biji kurma tersebut. Saya dan isteri amat berpuas hati kerana akhirnya kami berjumpa dengan orang yang kami cari selama ini. Peristiwa ini menjadi sebahagian peristiwa yang akan sentiasa saya kenang. Ini kerana ia membuktikan kebesaran dan keagungan Allah di sebalik sekeping foto sebiji kurma bertatah kalimah Allah ini. Sebagai manusia saya pulangkan semuanya kepada Allah Maha Esa.Sesungguhnya Allah Taala Maha apakah rahsia dan hikmah di sebalik setiap ciptaan-Nya ini.

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...