April 01, 2009

Apabila Bunga Berguguran...

Cuaca semakin hari semakin panas. Bahangnya sudah tidak dapat ditahan-tahan. Menurut laporan akhbar, perubahan cuaca akibat pemanasan global seperti yang kita alami ini dijangka berterusan hingga bulan September. Saya bertanya pada diri, mampukah saya dapat bertahan lagi? Bulan ini pasti bil melambung tinggi kerana siang malam kipas asyik dipasang pada nombor tiga atau empat. Kadang-kala lebih lagi.
Saya persoalkan hati kembali. Kenapa di musim kering begini saya rindukan kedatangan hujan. Oh hujan cepatlah turun, basahi bumi ini, hati saya seakan mahu berteriak. Malangnya nanti apabila tiba di musim tengkujuh, hati yang berteriak itulah yang akan berteriak kembali. Oh matahari bersinarlah engkau! Oh, saya rindukan cuaca panas kembali supaya kain di jemuran cepat kering. Tidak pengap. Tidak berkepuk-kepuk dengan longgokan kain-kain lain yang menanti giliran. Ah! Saya istighfar. Begitulah manusia sifatnya susah untuk bersyukur...
Cuaca kering atau cuaca sejuk pasti ada hikmah di sebaliknya. Hanya Allah al Alim yang maha mengetahui rahsianya. Walaupun tak berselera melihat dedaun pokok yang kekuningan, kering-kontang dan keras kejung disengat bahang matahari, hati saya terhibur seketika melihat halaman rumah saya. Saban hari ia akan dipenuhi bunga-bunga kecil yang berguguran ke bumi. Subhanallah! Cantik sungguh...
Saya kutip bunga ini. Ingatan saya kembali pada peristiwa beberapa tahun yang lalu. Kejadian di mana saya dan team Anis berlari-lari anak mengejar sejenis bunga di Baling, Kedah. Sungguh manis apabila dikenang-kenang kembali. Saya masih ingat ketika itu saya, Hajah Jalilah dan Kak Aliyah Sijari serta jurufoto ke sana bagi memenuhi jemputan dari Dato' Mashitah Ibrahim yang ketika itu berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Baling.
Tiba di sana kami ditempatkan di rumah rehat Baling. Perjalanan lima jam (pipih punggung) cukup mengujakan. Hajah Jalilah berganti-ganti dengan jurufoto memandu kereta. Selepas melelahkan letih seketika, malamnya kami turun ke lobi. Sekumpulan kaum ibu sudah menanti kami dengan hidangan istimewa masing-masing. Kami tertarik sungguh dengan keunikan masakan mereka yang diadun dari pelbagai rahsia alam, antaranya ialah lepat pisang daripada bunga cica. Bunga cica ini kata mereka susah didapati kerana pohonnya sangat tinggi. Ia hanya berbunga pada musim-musim kering seperti sekarang ini. Kata mereka lagi bunga cica akan gugur pada waktu pagi. Dan kalau dilihat memang rupanya seakan sama dengan bunga di halaman rumah saya ini tapi ia berjurai-jurai di tepinya. ia dikisar bersama dengan tepung beras dan dijadikan lepat, memang sedap rasanya dan warnanya sama seperti lepat dari tepung pulut. Jika bunganya masih segar dan basah lepatnya berwarna keunguan sedikit, tapi jika bunga cica itu dijemur hingga kering lepat yang dihasilkan akan berwarna agak hitam. Malam itu kami tidur dengan azam untuk bertemu dengan pokok bunga cica yang dikatakan amat istimewa itu.
Pagi esoknya kami bersiap-siap untuk program sehari bersama masyarakat Baling yang diadakan di sebuah sekolah. Dalam perjalanan kami ternampak seorang lelaki terbongkok-bongkok seolah-olah sedang mengutip sesuatu. "Berhenti, berhenti!" kata Kak Aliyah. Jurufoto kami memberhentikan kereta. "Pak cik kutip apa tu?" tanya kami. "Pak cik kutip bunga cica," jawab pak cik itu. Sebaik mendengar nama bunga cica, apa lagi ketiga-tiga Mak Cik Anis (seperti yang ditulis oleh Hj Bad dalam ruangan Sketsa Majalah Anis) ni pun cepat-cepat melangkah keluar menyeberangi jalan. Kami memandang ke atas. Memang benar kata mak cik yang kami temui malamnya. Pohonnya tinggi sesayup mata memandang. Di celah mentari yang baru menyinar, kelihatan bunga cica berpusing-pusing di bawa angin satu persatu jatuh ke rumput. Tanpa sedar kami berlari-lari anak ke sana ke mari. Kami bagai anak kecil keseronokan mengutip bunga-bunga cica yang jatuh berguguran itu. Puas rasa hati setelah berjaya mendapat apa yang dihajati. Setelah puas kami masuk ke dalam kereta semula dan menyambung ke destinasi kami semula.
Tika mana bertemu dengan ibu-ibu malam tadi, kami kabarkan pada mereka kami sudah berjaya mengutip bunga cica. "Wah! Pandai na!" ujar mereka ketika diunjuk rupa bunga cica yang berjaya kami kumpulkan untuk di bawa pulang ke Kuala Lumpur. Ibu-ibu itu kehairanan bagaimana kami boleh berjaya mendapatkan bunga cica itu. Kami hanya tersenyum. Bagi saya rahsianya hanya satu iaitu deria yang luar biasa. Ya, deria wartawan kebiasaannya lebih peka dan sensitif dari deria orang biasa. Kerana apa? Persekitaran dunia penerbitan itulah yang membentuk mereka menjadi insan yang peka dan sensitif.

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...