February 25, 2009

Kerja Kecil Impak Maksima

“Buku apa yang awak pegang tu?” tegur saya pada seorang teman lama.
Teman bernama Razib Abu Bakar kini sudah jadi orang kuat ESQ, menunjukkan saya sebuah buku kecil. Saya perhatikan buku itu. Saiznya macam buku nota sahaja. Sambil menyebut judulnya. (Maaflah saya tak ingat judul buku itu atau nanti kena tanya semula)dia berkata, “Saya sedang baca buku ini. Buku ni menceritakan bagaimana satu perkara kecil yang kita buat tapi memberi impak yang sangat besar pada orang lain.” Ingin saya bertanya lebih lanjut tapi nampaknya pertemuan saya dengannya ditakdirkan setakat itu sahaja, kerana masing-masing ada urusan yang perlu diselesaikan. Fikir saya, nantilah kalau ada masa saya akan cari buku yang dimaksudkan itu.

Kisah nak cari buku itu akhirnya luput dalam fikiran. Tapi baru-baru ini ketika membuat tugasan wartawan, saya akui kebenaran kata-katanya itu. Kerja kecil Impak Maksima – intipati yang saya perolehi dari perbualan yang cukup ringkas tadi.
Kekadang kita terlupa apa yang kita lakukan memberi impak yang begitu besar. Begitu bermakna sekali pada masyarakat di sekeliling kita. Begitu jugalah yang terjadi pada diri saya ni yang kerjanya menginterbiu orang dan kemudian balik ke ofis mengarang cerita. Esoknya artikel itu siap dan satu Malaysia boleh baca artikel yang kita tulis itu. Saban tahun membuat perkara yang sama kadang-kadang kita rasa ia seolah-olah satu rutin hidup pula, sepertimana kita perlu makan-minum, tidur, rehat dan sebagainyalah...
Ketika melawat satu keluarga yang ditimpa kesusahan baru-baru ini, saya menginterbiu dan mengambil gambar untuk dimuatkan dalam ruangan Kami Endah. Esoknya beria-ia anak tuan rumah memujuk saya. “Kak janganlah siarkan kisah keluarga kami. Kami malu dan saya tak mahu mengguriskan perasaan sesiapa,” rayu anak tuan rumah ini.
Masya-Allah, terkejut saya, ya lah selalu orang suka ambil kisahnya tapi si gadis tadi beria-ria tidak mahu. Akhirnya setelah dipujuk-pujuk dia rela. Saya mengajaknya berfikir secara positif sambil menceritakan satu lagi kisah orang susah yang pernah saya jejaki di daerah Muar, Johor kira-kira empat lima tahun yang lalu.
Tanpa saya sedar tulisan saya muatkan itu telah memberi satu kesan yang begitu besar pada seorang insan bernama Yahya yang terpaksa berkorban demi menjaga ibu tua yang uzur. Ketika saya melawat keluarga ini (dibawa oleh kakak ipar), kedua beranak ini dihalau keluar dari rumah sewa akibat tidak mampu membayar sewa. Atas bantuan ehsan saudara-mara dia berpindah ke sebuah rumah pasang siap yang tidak ada api dan air. Bayangkan bagaimana kehidupan kedua beranak itu nanti? Rumah di tengah kebun belantara tanpa api dan air? Ketika itu saya hanya menulis dan berharap agar ada insan-insan berhati mulia tersentuh hati untuk membantu nasib kedua beranak ini. Saya tidak berduit untuk bantu orang-orang seperti ini, hanya tulisan sahaja jadi medium untuk saya membantu mereka.
Selepas artikel itu disiarkan saya tidak menyangka sama sekali pihak TV3 menelefon kerana ingin menyiarkan kisah si anak muda berhati mulia tadi. Saya pun memberi nombor telefon kakak ipar. Sekali lagi kakak ipar saya mengiringi wartawan TV3 ke rumah Yahya. Masya-Allah! Hasilnya bantuan datang mencurah-curah buat dua beranak ini juga. Saya tumpang gembira apabila kakak ipar memberitahu kisah si Yahya. Rumah mereka duduki sudah dibaiki dan dinaik taraf agar lebih selesa.
Ramadan tiga tahun yang lalu, saat umat Islam bersiap sedia menyambut lebaran saya menerima panggilan telefon dari kakak ipar. “Shimah, kau tau tak. Tadi kak dapat panggilan dari seorang perempuan dari Kuala Lumpur. Dia dapat nombor telefon dari wartawan TV3 dulu tu. Kau ingat tak kisah si Yahya tu, dia minta akak carikan dia nak bagi duit bantuan. Akak beritahu mak si Yahya dah meninggal dunia. Lepas itu dia minta akak carikan orang lain. Kak kata dekat rumah kita ni ada seorang perempuan Kemboja yang agak susah hidupnya. Lepas itu dia minta carikan beberapa orang lain.
Akak teringat jugak aku ni orang susah jugak kan, sebab pendapatan suami pun kadang-kala tak tentu. Akhirnya dia pun tolong aku sekali. Tak sangka kita mencarikan orang susah, aku yang susah ini pun dibantu jugak.” Si kakak ipar bercerita panjang lebar sekali.
Terharu sungguh saya mendengar pengakuan kisah benar dari kakak ipar saya ini. Dan sama sekali saya tidak menyangka tulisan yang saya siarkan beberapa tahun yang lalu begitu besar sekali impaknya. Benar kata teman saya tadi, kadang-kala kita terlupa satu perkara kecil yang kita lakukan memberi impak maksima pada orang lain.
Ya Allah! Kau jadikanlah apa jua amalan yang ku lakukan ini sebagai amal pahala dan sebagai jihad di jalan-Mu. Hanya itu doa saya meminta diberi kekuatan oleh Allah untuk terus berjihad dengan mata pena.

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...