January 22, 2009

'Camping' di PD


Sudah lama saya tidak ngeblog malah kalau dihitung-hitung masanya saya sendiri hampir terlupa saya punya blog yan perlu di ‘up date’ dari masa ke semasa. Disember 2008 memang meributkan. Tanggungjawab di bahu datang bertimpa-timpa. Semenjak Kak Jalilah bertugas di Makkah, saya diminta memangku tugasnya itu. Memang saya tidak punya banyak masa untuk ngeblog (rasanya istilah ni tiada dalam Kamus DBP tapi saya pinjam dari satu blog sahabat).
Kekangan tenaga yang sedia sedikit jumlahnya, kerana sebahagiannya sudah diserap dalam Jabatan Buku, tinggallah saya, Rosmah dan Kak Shamsiah. Mujur Ummu Hani menjadi wartawan Anis di awal Disember, kami tenaga-tenaga Tim Anis agak terbantu.
Dalam mengejar dateline (rasanya dateline yang mengejar kami) saya hampir terlupa bahawa Disember adalah musim cuti sekolah.

“Ummi bila nak balik kampung?” Tanya anak bongsu saya suatu ketika. Tak sanggup melihat wajah-wajah mereka yang boring melihat wajah kepenatan ibu ayah maka saya hanya mampu merancang ke sebuah destinasi popular saya iaitu PD. Cadangnya nak balik kampung di Ipoh langsung ke Pangkor tapi jadual kerja suami pula bertindih. Saya dapat cuti dia pulak banyak kerja, bila saya sambung kerja dia pulak boleh bercuti. Ah tensionnya…apapun syukurlah dapat pergi PD pun jadilah. Apa nak dikato…
Jadi inilah catatan saya semasa ber’camping di PD penghujung Disember 2008.


Sebaik saja tingkap kereta dibuka, bayu PD mula menderu masuk. Nyamannya. Apa lagi matapun mulai layu. Mengantuk! Mana tidaknya, malam sebelum itu saya sibuk membeli barang keperluan untuk ke PD. Saya bersama suami dan teman, Suriati borong sakan hingga jam 12 malam di Giant, Kota Damansara.
Kali ini masuk kali kedua saya dan famili berkhemah ke PD. Kali pertama awal tahun lepas. Masa itu masih ingat lagi saya tak dapat ikut teman-teman sekerja ke PD untuk Staf Day. Ditakdirkan anak saya demam panas, jadi terpaksalah saya berkorban rasa. Seminggu kemudian nak ubati hati, suami dan anak-anak beria-ria ajak ke PD. Tapi yang tak syoknya mereka ajak saya berkhemah. Suami saya dah beberapa kali bawa anak-anak termasuk anak-anak jiran. ‘Adventurous’ katanya.
Sebut pasal ‘camping’ ni bukan saya tak mahu. Masa zaman sekolah dulu pun saya memang suka ber’camping’, apalagi dulu saya aktif dalam Persatuan Pandu Puteri di sekolah. Ber’camping’ dalam hutan tu perkara biasa. Tapi sejak jadi ‘mak orang’ ni susah sikitlah. Saya membayangkan macam-macam kesusahan yang timbul nanti.
Tapi kerana suami dan anak-anak beria-ia jugak nak pergi, terpaksalah saya mengalah. Sampai di PD, saya terperanjat jugak. Sepanjang pantai berderetan khemah di pasang. Apabila merisik khabar dengan orang sebelah, tak sangka jumpa orang sekampung. Dia tinggal di KL jugak. Rupa-rupanya dah empat lima hari mereka anak beranak berkampung kat situ. Siap bawa kayu api untuk masak air dan sebagainya.
Sebelah saya pulak ada sebuah keluarga besar. Mereka pasang tiga empat khemah. Meriah sungguh. Malamnya mereka buat barbeku. Siap menonton TV lagi. Tak tau lah wayer TV itu dicucuk dari mana…
Sejak hari itulah saya mula seronok ber’camping’ semula. Tapi trip saya ke PD baru-baru ini memang best sebab diringi teman-teman sekerja.
“Dah booking penginapan ke?” Tanya En. Halim, bos Admin bertanya apabila dapat tahu kami nak ke PD.
“Tak payah booking, siapa dulu dia dapatlah,” jawab saya.
Sepertimana dijanjikan, kami pun bertolak apabila siap masak-masak di rumah. Sampai saja terus kami pacak tiang khemah. Tak sangka pulak saya dapat di tempat yang sama. Secara kebetulan pula, lepas kami pacak khemah, jiran sebelah dari Putrajaya berkemas-kemas untuk balik. Alhamdulillah, pucuk dicita ulam mendatang. Kami pun terus pacak satu lagi khemah. Tiga khemah kecil untuk orang prempuan satu khemah kenduri untuk orang lelaki.

Nak pasang khemah ke, main cak-cak ni?



Selepas zohor kami mula buat barbeku. Mujur Kak Sham bawa pembakar siap dengan arang. Pembakar hadiah dari Staf Day katanya. Rupanya dibuka di PD jugak. Anak-anak yang dah beberapa kali terjun ke laut mula datang bersama perut yang lapar. Alhamdulillah tengahari itu habis semua ayam bakar dimakan bersama nasi goreng dan bihun goreng.


Sebelah malam, anak-anak tak usik pun nasi putih yang siap dimasak. Kasihan tengok Su yang berusaha hidupkan api (sebab arang dah habis) suami saya pun keluar cari arang dan beli sedikit sosej untuk dibakar bersama kentang. Sekali lagi sesi bakar membakar meriah kembali.
Perut kenyang, hatipun senang. Maryam merengek-rengek ajar tidur. Maklumlah sepanjang hari asyik ke laut. Saya pun berbaring di sebelahnya. Sedar-sedar semua orang dah tiada. Mana perginya?
Rupa-rupanya semua dah ke tengah laut yang sedang surut ketika itu. Entah apalah dicari mereka, saya hanya nampak kerlipan lampu suluh di sana-sini. Kerlipan bintang di langit menambah rasa asyik. Dalam teraba-raba cari kasut, nama saya dipanggil dari jauh.
Saya nampak tiga insan; suami, Suriati, Kak Syam dan suaminya tengah duduk di tepi pantai atas sampan. Tengok anak-anak kami semua join penjelajah-penjelajah laut. Anak saya siap bawa balik ketam, tapi halus-halus je. Kalau besar tu sedap jugaklah boleh dibuat ketam bakar.


Lepas tu saya sambung tidur semula. Suriati kata nak tidur di luar sebab cuaca panas. Tak takut tak apalah. Kalau hujan masuk khemahlah, kata saya.
Keesokan pagi anak-anak semua sudah bangun menikmati air laut. Masa ini memang ‘best’ la mandi sebab air pasang semula. Sambil tengok mereka mandi mak-mak ni ready lah buat apa yang patut. Pagi itu Chef Ismail sedia memasak nasi goreng tiga rasa. Ada tiga jenis masakan yang berlainan diolah ikut apa yang ada. Emm berebut-rebut depa semua makan. Sudah siap makan kami berangkat ke KL semula. Azam tahun depan rasa nak pi camping lagi. Mungkin pi dengan karavan pula boleh pusing satu Malaysia. Harap-harap angan-angan jadi kenyataan…

1 comment:

rapi said...

sedang mencari khemah utk camping? jom ke blog saya http://rapi2u.blogspot.com

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...