November 10, 2014

Emak dan Kisah Kain Perca



Pulang ke kampung halaman, emak mengajak saya ke kedai sahabatnya, Kak Mah dan Abang Li yang berniaga roti canai. Pasangan ini dahulu berjiran dengan kami. Menguli dan menebar roti canai menjadi kemahiran Abang Li dalam mencari nafkah keluarga. Sehingga kini saya gemarkan roti canai mereka kerana walaupun sudah sejuk ia masih gebu dan enak dimakan. Ketika kami menikmati sarapan pagi, Kak Mah sempat meluahkan rasa hatinya.
 
“Alhamdulilah, dahulu kami ada jiran yang baik macam Cik Mimi. Sewaktu awal berniaga memang susah, kalau anak-anak bangun dan tiada apa nak dimakan, saya cakap dengan mereka, ‘Pergilah rumah Cik Mimi, tengoklah kut ada apa-apa... .“  Saya tersentak mendengarnya. Hati emak begitu murni. Seingat saya masa itu emak pun berniaga kecil-kecilan dengan membuat kuih-muih seperti karipap, kuih gelang, seri muka dan lain-lain di surau taman kami. Jiran-jiran sukakan kuih-muihnya yang diadun cukup lemak dan rasa.

Kreativiti mencari duit sendiri telah bersemadi sejak kecil dengan niat membantu adik-adik di bangku sekolah. Apabila berumah tangga ada sahaja perkara yang dibuat membantu pendapatan bapa yang hanya bekerja sebagai pembantu hospital. Waktu dulu gaji memanglah kecil. Dengan berniaga sampingan menjual ikan waktu pagi, emak pula berjualan kuih-muih. Hidup berjimat cermat menjadi basahan hidup mereka dalam menyara kami sekeluarga. Apa saja yang boleh dihasilkan menjadi pendapatan sampingan. Kain-kain perca yang tidak digunakan tukang jahit diambil dan dibuat kain selimut tampal. Memang selesa memakainya. Kadang-kadang dibuat pelapik kaki pelbagai bentuk. Selalunya ada saja jiran datang menempah sehingga tidak menang tangan.

Pernah saya membawa ke Kuala Lumpur untuk dijual kepada rakan-rakan, dia berpesan, “Tak payah jual mahal-mahal.” Saya mengangguk, walaupun dalam hati terasa macam tak berbaloi kerana hendak membuatnya memakan masa sehari suntuk. ‘Bilalah nak untung?’ fikir saya. Rupa-rupanya emak sedang menitipkan suatu didikan pada diri saya. Baginya dalam berniaga pun perlu terapkan sifat untuk beramal jariah. Pahala orang memakainya akan sampai kepada kita sampai bila-bila. Lantaran itu saya lihat walaupun hidup tidak mewah dan emak hanya seorang suri rumah tetapi ada sahaja sumber ‘rezekinya’ yang tidak diduga. Padanya walaupun kita susah, pasti ada orang lain yang lebih susah yang perlu dibantu. 

Secebis kisah ini saya coretkan untuk peringatan diri ini dan juga sesama rakan pembaca yang dikasihi. Kalau kita resah soal rezeki, ingatlah REZEKI KITA MILIK ALLAH. Dan Allah mengatur rezeki kita dengan pelbagai cara. Cuma kita sebagai manusia perlu lebih berusaha dan berikhtiar di samping bertawakal kepada-Nya. Sentiasa pandang kesusahan orang lain, baharulah kita berasa kesusahan kita tidak sebesar mana. Membantu meringankan kesusahan orang lain pun salah satu kunci membuka rezeki.


Emak dan Apak (Hajah Zamimi dan Hj Abdul Rahman) sentiasa menitip 1000 ilmu untuk bekalan anak-anak mengatur kehidupan.

Berkat asuhan dan didikan emak dan Apak, saya berpeluang mengembara dengan bakat penulisan yang dikurniakan. Syukur... .


No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...