November 13, 2009

Sms dari Jabal Uhud


Jabal Uhud, bukit kecintaan Nabi Muhammad SAW kini sentiasa dikunjungi penziarah umrah dan haji untuk diambil ibrah dan pengajarannya.
Suasana Maqam Syuhada Uhud yang menempatkan makam 70 orang sahabat Nabi yang gugur termasuk Saidina Hamzah, bapa saudara Nabi SAW.

10 November 2008:
Saya masih ingat satu kejadian menarik yang berlaku pada pagi 10 November 2008. Ketika itu saya sedang menerima seorang tetamu di pejabat GISB, penerbit Majalah ANIS dan ASUH. Tetamu itu ialah Farah Adeeba Mohd Ashraf, pengacara TV3 dan TV9 yang diundang sebagai Penghias Kulit Majalah ANIS Januari 2009.
Sedang sibuk membuat persiapan yang sepatutnya, saya menerima satu sms. Saya buka kotak simpanan dan mula membacanya:
"Sebelah tangan ku hulur ke dalam Maqam Syuhada Uhud, udaranya sejuk nyaman. Sebelah lagi tanganku berada di luar, udaranya panas. Air mataku berlinang. Semangat syuhada Uhud masih hidup..."
Berderau hati membacanya. Bulu roma terus meremang. Lalu saya unjukkan sms itu kepada Farah Adeeba dan Awin, jurusolek bertugas hari itu.
"Masya-Allah!" Kami beberapa kali bertasbih memuji kebesaran Ilahi yang ditujukan buat Hajah Jalilah Abdullah yang ketika itu berada di Tanah Suci.
Sms itu cukup bermakna bagi saya kerana ia memberi kekuatan buat diri saya. Baik yang pergi haji atau yang tinggal di tanahair tetap diberi ujian oleh-Nya. Kerana ia begitu bermakna sms itu saya simpan dan baca semula di musim haji tahun ini. Moga-moga kita terus diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan dengan mata pena hingga ke akhir hayat.

Cerita lengkap mengenai sms ini ditulis oleh Hajah Jalilah Abdullah dalam ruangan Corat-coret Majalah ANIS November 2009 ini:
"Cuaca pada pagi itu agak panas, tatkala para jemaah sibuk membeli-belah pelbagai jenis herba di sekitar kawasan Bukit Uhud itu, saya mengambil peluang untuk berdoa bersendirian di hadapan maqam syuhada.
"Jalilah, cuba rasa udara dalam ni sejuklah." Jemaah bernama Noraziah Alias menghulur kedua-dua belah tangan ke dalam kawasan maqam syuhada. Dia adalah kenalan saya sejak di bangku persekolahan menengah. Tak sangka kami bertemu kembali dalam penerbangan yang sama.
"Betul Jalilah, cepat cuba rasa, udara dalam maqam ni sejuk, di luar ni panas," sampuk Hajah Zubaidah, sahabat baik Noraziah.
Saya segera memasukkan dua tangan ke celah-celah lubang jaring maqam. Memang terasa udara di dalam kawasan maqam tanpa berbumbung itu cukup sejuk dan berangin. Saya keluarkan tangan kanan untuk merasakan perbezaan angin tempat kami berdiri. Memang angin yang berbuai di luar terasa panas sedang tangan kiri saya sejuk dibuai angin bumi pemakaman para Syuhada yang diketuai oleh Sayidina Hamzah, bapa saudara Rasulullah SAW.
Saya terus berdoa dalam rembas air mata yang cukup deras. Saya berdoa semahu-mahunya, "Ya Allah dengan berkat Bukit Uhud yang menjadi saksi kehadiranku di sini, ampun hamba-Mu ini, ahli keluarga dan sahabt-handai serta seluruh jemaah haji yang datang menziarah bukit yang dijanjikan syurga ini. Bukit kecintaan Rasul kesayangan-Mu. Ya Allah, terima kasih kerana menjemput kami menjadi tetamu di rumah-Mu dan rumah Nabi-Mu. Kurniakan kami haji mabrur. Ya Allah, bersaksikan Jabal Uhud dan maqam para syuhada, hamba-Mu merayu sesungguh-sungguhnya. Engkau tiupkanlah semangat roh para syuhada, semangat Sayidina Hamzah ke dalam diriku agar berjuang bersungguh-sungguh menegakkan agamamu. Jadikanlah hati ini sentiasa berzikir dan berselawat setiap kali merakamkan gambar. Bantulah hamba-Mu ini agar dapat merakam gambar yang elok-elok, yang dapat mendidik jiwa manusia yang menatapnya. Hamba-Mu ini tak kuat ya Allah. Ya Allah, berilah hamba-Mu kesihatan yang baik setegap Sayidina Hamzah agr dapat ,menyempurnakan ibadah dan tugas dengan baik. Hamba-Mu insan yang daif yang tak punya apa-apa. Wahai kamera, wahai komputer, kita bekerja kerana Allah dan Rasul, engkau jangan meragam ya."
Saya memeluk erat kamera dan beg galas yang berisi komputer riba. Selepas berdoa saya dna teman-teman terus melangkah ke bas. Saya terasa seperti diberi satu kekuatan baru dan berjanji tidak akan mengalah dengan setiap cabaran yang dihadapi kerana yakin Allah memberi petunjuk..."

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...