August 18, 2009

Seminggu selepas pemergian Allahyarham Asri Ibrahim


Jenazah Ustaz Asri Ibrahim dikelilingi ibu, isteri dan anak-anak. Semoga rohnya ditempatkan bersama golongan orang-orang soleh. Amin...

11 Ogos:
Entah kenapa kalimah yang diucapkan Allahyarham Asri Ibrahim, vokalis Kumpuan Rabbani benar-benar menyentuh naluri. Aura apakah yang melingkari sidang media Kumpulan Rabbani di Hotel Singgahsana kali ini hingga membuat diri saya rasa terkedu. Terkedu dengan kalimah Allahyarham - kalimah terakhir yang saya dengari dari penasyid yang sering membawa kita mengingati Allah dan Rasul melalui lagu-lagu nasyidnya.
"Setiap kali menjelang puasa, saya akan tertanya-tanya adakah pihak Hotel Singsahsana akan menjemput kami lagi. Bagi saya ibadah puasa saya bagai tidak lengkap andainya tidak dapat menghibur tetamu-tetamu yang datang berbuka puasa di sini," ujarnya ketika itu.
Tiada siapa nafikan, persahabatan Rabbani dengan Hotel Singsahsana yang menjangkau usia 18 tahun sudah pasti berlandaskan ketulusan dan keikhlasan mereka selama ini.
Dalam majlis yang sama, Allahyarham juga berkata, "Bagi saya Hotel Singsahsana benar-benar lekat di hati," katanya tulus menggambarkan dia insan yang komited dengan perjuangan menegakkan dakwah. Allahyarham juga nampak begitu gembira kerana pada kali ini Hotel Singgahsana memberi mereka peluang bercuti 3 hari awal dan 3 hari akhir pada bulan Ramadan ini.
"Bolehlah saya menjadi imam solat Tarawih kerana kadang-kala jiran-jiran nak sangat saya menjadi imam.." Begitulah hajat besar Allahyarham ingin tunaikan tapi nampaknya ia tidak kesampaian kerana beliau sudahpun dipanggil untuk memenuhi undangan yang lebih besar iaitu menemui Allah Rabbul Jalil.

19 Ogos:
Hari ini selepas seminggu Allahyarham meninggalkan kita untuk berehat sebentar dari kelelahan dunia yang fana, telinga kita masih lagi mendengar kisah-kisah kebaikan diri beliau. Dikhabarkan ketika ini Kumpulan Rabbani masih sibuk memenuhi permintaan peminat-peminat Allahyarham untuk membuat majlis dan kenduri tahlil. Orang yang baik pastinya diingati dan dikasihi semua insan.

Namun jangan pula kita lupa, andai hari ini kita mendengar kisah-kisah kebaikan beliau, esok lusa telinga kita pasti mendengar lagi kisah-kisah kebaikan insan lain yang telah memilih laluan hidup yang lurus. Oleh itu marilah kita sama-sama menyubur azam untuk mencontohi kebaikan-kebaikan mereka yang sudahpun menyahut panggilan Ilahi ini dengan seribu kebaikan. Sama-sama kita jadikan Ramadan ini 'turning point' untuk meluruskan kembali 'hubungan kita dengan Allah SWT' dan 'hubungan kita sesama manusia'.

Hayatilah kata-kata sahabat kita yang sudah dijemput Ilahi:
Syurga Selalu Bersamaku
Aku adalah pengejar syurga akhirat,
bagiku dunia ini adalah tempat
mempersiapkan segala sesuatu
untuk meraih syurga akhirat.

Aku yakin bahawa syurga akhirat
tidak akan pernah dapat aku raih
kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.

Maka rumah dan keluargaku
adalah syurga dunia paling indah buatku
Tempat kerja syurga dunia harianku
Tetangga, masyarakat dan bangsa
adalah syurga duniaku yang lebih luas.

Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku….

~ Ustaz Asri

1 comment:

Masshah said...

Semoga Almarhum di tempatkan dikalangan hamba-hambanya yang bertaqwa..Amin..

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...