Showing posts with label Kandungan Menarik ANIS. Show all posts
Showing posts with label Kandungan Menarik ANIS. Show all posts

October 21, 2015

Dari Kaca Mata ‘Insan Istimewa’


Saya sempat menemui Ummu Naufal atau nama sebenarnya Zahriah @ Nur Azura Mohd Faiz iaitu beberapa hari sebelum dia berangkat pulang ke Yanbu, Arab Saudi. Dia sempat meminta komen saya terhadap buku tulisannya, Balqis Di Mata Kami, Di Sisi-Nya. Sungguh... lidah saya ‘kelu’, tiada kata yang boleh menggambarkan perasaan sebenar!

“Bagi saya hanya insan terpilih sahaja yang boleh melalui ujian begini dan Allah Maha Mengetahui siapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang layak memikulnya... .”
Dia hanya tersenyum mendengarnya. Namun di sebalik senyuman manisnya itu saya fahami beban yang ditanggung pasti berganda-ganda berbanding saya yang hanya mampu sebak dan ‘menangis’ menghayati bait-bait katanya dalam buku ini.

Bersama Ummu Naufal (tengah), Penulis buku Balqis. 

Menghayati kisah benar ibu bapa yang membesarkan anak-anak Cerebral Palsy pada bulan ini (dalam kolum Eksklusif) pandangan mata hati kita bagai disingkap untuk melihat kehadiran anak-anak syurga (anak-anak kelainan upaya) dari sisi yang lain. 

Sebenarnya, ramai lagi insan-insan istimewa yang dipilih Allah menerima dugaan ini. Masih ingat kisah Meliah Md Diah yang berusia 101 tahun yang pernah menjadi viral di laman sosial. Warga emas ini tetap tabah menguruskan anak lelaki bongsunya sehingga akhir hayat.   

“Tak rasa beban nak jaga dia (Abd Rahman yang berusia 63 tahun). Dari dulu lagi mandi, makan, pakai baju semua tok (Meliah) buat. Kalau boleh nak jaga dia sampai bila-bila. Sayang dekat dialah ... tak mau pi (pergi) mana-mana nak dok (duduk) dengan dia sajalah," katanya kepada Bernama yang melaporkan berita ini.    

Sebagai seorang ibu, beliau tidak pernah menyesali nasib yang menimpanya dalam menjaga anak yang tidak sempurna seperti orang lain, sebaliknya tetap bersyukur dengan kurniaan dan dugaan yang melanda. Namun, ibu ‘istimewa’ ini pergi jua menyahut panggilan Ilahi pada 7 Ogos lalu dengan wasiat agar kebajikan anaknya itu terus dipelihara.

Sungguh – jika kita berada di dalam situasi begini – bagaimana pula reaksi kita? Redha atau mempersoalkan takdir menimpa? ANIS bulan ini cukup bertuah kerana dapat menemu bual pendakwah bebas dan juga Pengurus Besar KUISCELL iaitu Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.  Siapa menyangka beliau juga mempunyai pengalaman membesar bersama adik istimewa yang cacat pendengaran namun tetap cemerlang dalam akademik.

Pesannya, pada ibu bapa yang menerima anak kelainan upaya, jangan terlalu ‘fokus’ pada kelemahan si anak sehingga mengabaikan kelebihan-kelebihan lain yang ada pada si anak. Atas dasar itulah, rancangan 30 Minit Ustaz Don menyediakan khidmat jurubahasa isyarat bagi keperluan orang-orang istimewa mendalami agama. Hasilnya, jumlah penonton dari kalangan insan mreka semakin meningkat.

Ustaz Don Daniyal turut mengajak kita memandang anak-anak syurga ini dengan pandangan ilmu, kerana kedudukan istimewa mereka di sisi Allah. Ini kerana pada setiap penciptaan-Nya pasti terkandung rahsia yang ingin disampaikan. Insya-Allah, jika ini difahami maka tidak akan timbul lagi kisah-kisah golongan istimewa dipinggirkan dan disisihkan. Jadilah kita masyarakat yang saling mengasihi dan membahagiakan antara satu sama lain sejajar apa yang dituntut al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. 


October 13, 2015

Catatan Dari Yanbu, Arab Saudi

Seminggu yang lalu, saya membuka laman Facebook. Apabila musim 'deadline' menjelang, saya hanya mampu membaca status rakan-rakan terkini sepintas lalu. Letih minta menatap aksara demi aksara membuatkan saya seringkali hilang 'mood' untuk menulis di laman sosial. Allahu Akbar, faktor usia barangkali. 

Tiba-tiba mata tertancap pada catatan rasa di Timeline Ummu Naufal. Respon beliau dari yang kejauhan iaitu di Yanbu, Arab Saudi amat menyentuh hati saya, malah hati tiba-tiba sebak dan mahu luruh air mata dibuatnya. 

Dan sebelum menyambung kembali rutin kerja saya menyemak dan menyelia artikel-artikel untuk isu November 2015 ini, saya menarik nafas panjang lalu mengaminkan doa tulus ikhlas yang dititipkan buat kami warga kerja Majalah Anis dan seluruh kakitangan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. 

"Ya Allah, Kau jadikan ini sebagai saksi-saksi yang akan kami bawa ketika mana menghadap-Mu. Moga Kau jadikan ini sebagai amal yang ikhlas di sisi-Mu. Amin... ."

ANIS OKTOBER 2015 yang menampilkan kisah-kisah insan terpilih iaitu Ummu Naufal, Hassan Suyut, Afidah Ayob dan Anis Maya - bacalah dan hayatilah bagaimana mereka mencipta bahagia dalam membesarkan anak-anak syurga. 

 Alhamdulillah, akhirnya Majalah Anis keluaran Oktober 2015 ini sampai jua ke bumi Saudi. Saya membelek satu persatu helaian Majalah Anis ini. Keluaran bulan ini begitu sarat dengan kisah-kisah Anak Istimewa, Anak Syurga.

Saya yakin pihak Galeri Ilmu begitu 'committed' dalam membawa kesedaran perihal anak-anak ini dalam masyarakat kita. Malah enam  tahun yang lalu, melalui majalah Anis inilah saya mendapatkan buku 'Kembara Atiq Wazif 1: Satu Anugerah' lalu pengalaman mereka sekeluarga dijadikan panduan buat kami sekeluarga pula dalam mendapatkan rawatan Balqis hingga ke Amerika.

Kini siapa sangka, kisah Balqis pula dipaparkan di ruangan Eksklusif - menceritakan pengembaraan kami sekeluarga, juga kisah perkongsian pengalaman Anis Maya dan Afidah Ayob dalam membesarkan anak Cerebral Palsi di dalam keluarga mereka. Diharap agar ramai lagi ibu bapa di luar sana yang juga punya anak istimewa mendapat panduan dan motivasi diri yang luar biasa. Juga agar masyarakat bertambah prihatin dan mudah menyantuni serta memahami keperluan kehidupan yang berbeza yang dilalui oleh anak istimewa dan keluarga mereka.

Membaca Catatan Editor awal-awal lagi sudah membuatkan saya berair mata;
"Dia hanya tersenyum mendengarnya. Namun di sebalik senyuman manisnya itu saya fahami bebanan yang ditanggung pasti berganda-ganda berbanding saya yang hanya mampu sebak dan menangis menghayati bait-bait katanya dalam buku ini."

Benarlah kata-kata 'dari mata jatuh ke hati'. Tidak disangka mata yang melihat senyuman yang saya hulurkan ketika pertemuan saya bersama Editor Anis Puan Norhashimah, beberapa hari sebelum saya berangkat pulang ke Saudi, sampai ke lubuk hatinya. Dari senyuman itu beliau dapat membaca apa yang tersimpan rapi, yang sukar dinyatakan dengan kata-kata lalu cuma senyuman dapat dilemparkan sebagai pengubat jiwa. Sungguh tidak saya duga, ia tetap boleh dibaca. Maka catatan ringkas beliau di ruang ini sudah cukup membuatkan menitisnya air mata saya. Subhanallah.

Di ruang Dari Menara UniKL, Prof Kamil pula menulis dari hatinya;
"Akhirnya saya pasti Balqis, Aiman dan Atiq Wazif akan kembali ke syurga, insya-Allah dan saya doakan ibu bapa mereka bersama adik-beradik yang lain mengikut sama. Kami meyakini mereka akan menunggu kesemua mereka yang melayani beliau sebagai ujian Allah dengan senyuman dan ucap selamat seumpama mereka yang lain. Mudah-mudahan kami dapat memerhatikan saat-saat indah ini."

Lalu menitis-nitis lagi air mata ini selesai mengakhiri membaca perenggan terakhirnya.
Segala ilmu dan maklumat yang dikongsikan di dalam Majalah Anis ini dan segala yang diusahakan oleh pihak Galeri Ilmu Sdn. Bhd. untuk ummah ini, saya yakin sungguh besar ganjaran di sisi-Nya. Semoga setiap warga mereka dianugerahkan syurga-Nya di sana.

Ummu Naufal ~Dari Yanbu Kami Bercerita~

Akhir kata, sebelum mengundurkan diri, saya inign mengucapkan Salam Maal Hijrah 1437H buat semua pembaca blog ini. Sempena Maal Hijrah ini, marilah sama-sama kita berazam untuk berhijrah menuju Allah. 



September 09, 2015

Kisah Benar Lelaki 'Terlajak Laris'!

Sepetang bertemu dan berbual-bual bersama Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman, pengasas syarikat kosmetik yang terkenal dengan tagline ‘Terlajak Laris’ saya dan team ANIS akhirnya mengakui satu perkara. Benarlah yang bulat tidak akan datang tergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.

Saya yakin, kebanyakan kita mengkagumi pencapaian tokoh usahawan ini yang berjaya bergelar jutawan pada usia 28 tahun. Ironisnya, ramai yang tidak nampak kegagalan demi kegagalan yang beliau tempuhi sebelum menempah tiket kejayaan. Sebagai insan berjiwa besar, beliau akui tidak terkesan dan ambil pusing dengan segala kata-kata nista, cemuhan, termasuk pernah diludah dan menerima ugutan bunuh. Dugaan juga datang dalam bentuk dibomohkan dan disihirkan (sila baca penuh kisah beliau di kolum Personaliti ANIS di ms: 32).

Apabila direnungkan kisah-kisah sebegini, ia bukan sesuatu yang diragui. Manusia-manusia yang diserang gejala Phd (penyakit hasad dengki) tetap wujud sampai bila-bila. Lantaran itu Allah mengingatkan manusia tentang bahaya sifat hasad dengki dan iri hati apabila tidak dikawal dengan iman. 

Al-Quran ada menceritakan bagaimana Iblis yang asalnya adalah ketua bagi malaikat sanggup ‘berpatah arang’ apabila diminta sujud kepada Nabi Adam a.s. Dek percaya asal-usul dirinya lebih mulia berbanding Adam a.s., maka ia mengisytiharkan permusuhan sehingga hari kiamat.

Serangan licik Iblis laknatullah bermula apabila Adam a.s. dan isterinya Hawa tersingkir daripada syurga. Namun dendamnya tidak akan puas lalu melalui konco-konconya, jin dan syaitan akan terus menyerang makhluk manusia dengan pelbagai cara.

Berdepan dengan musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, Rasulullah SAW tinggalkan kita al-Quran dan as-Sunnah sebagai pedoman hidup. Sunnah Nabi SAW itu sendiri bukan saja mendidik kita menjadi hamba Allah yang kamil (sempurna) tetapi ia benteng yang ‘original’ dan paling ampuh menangkis serangan sihir, ilmu hitam dan segala penyakit berkaitan. Umpamanya, ucapan salam yang diucap sebelum memasuki rumah secara automatik ia adalah benteng agar syaitan tidak dapat masuk. Begitu juga adab-adab dan doa yang Baginda SAW anjurkan sebagai amalan.

Semua kupasan mengenainya akan dikupas satu persatu oleh Al-Fadhil Ustaz Muhadir Hj Mohd Joll selaku Penasihat Syariah Galeri Ilmu Media Group. Antara yang dikupas ialah kenapa wanita sering menjadi sasaran makhluk halus? Bagaimana membenteng diri daripada penyakit ‘ain – sihir yang disampaikan melalui pandangan mata. Apakah amalan-amalan untuk pagar diri, keluarga dan rumah? Semuanya akan terjawab dalam SUMBU ANIS bulan ini – BENTENG DIRI DARI SIHIR.  Akhir kalam, selamat menyambut Aidil Adha daripada kami semua.  

Berikut ialah foto-foto seputar sesi fotografi Team ANIS bersama Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman di Wisma D’Herbs yang terletak di Kota Damansara, Selangor. 

Kenalkah siapa insan ini?

"ANIS Majalah terlajak hebat!" kata Dato' Aliff Terlajak Laris. 

Semuanya tersenyum ceria biarpun agak kepenatan bilamana penggambaran selesai jam 5.00 petang pada bulan Ramada lalu. 


 
Akhirnya inilah pilihan terbaik cover ANIS September yang menampilkan Dato' Aliff Syukri dan isteri. Nak tahu kenapa beliau diancam dapatkan jawapannya dalam ANIS. 

August 10, 2015

Masam Manis Alam Pertunangan


”Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami).” (Adz-Dzariyat 51: 49)

Fitrah insan untuk saling punya pasangan memang diciptakan sejak kejadian Adam dan Hawa. Apabila hati sudah berkenan – maka syariat hadir untuk mengindahkan lagi perjalanan hidup bakal suami isteri yang akan memakmurkan bumi Allah ini dengan generasi soleh dan solehah.

Selepas melamar atau peminangan terjadi antara seorang lelaki kepada seorang wanita, maka proses seterusnya ialah pertunangan. Perlu kita fahami, pada asalnya majlis pertunangan bukanlah sesuatu yang dituntut. Ia lebih kepada adat bertujuan untuk menyatakan bahawa kedua-dua pihak benar-benar serius dan bersetuju untuk mendirikan rumah tangga pada satu masa yang persetujui bersama. Namun, ia tidak salah diikuti asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Hari ini kita melihat pelbagai fenomena terjadi dalam masyarakat moden yang serba canggih dan ’advance’ dalam setiap perkara. Tujuan majlis pertunangan dan pengisiannya tidak lagi seperti dahulu. Seingat saya, dahulu si jejaka sama sekali tidak dibenarkan ikut serta. 

Hari ini si lelaki dan perempuan siap disandingkan di atas pelamin walaupun masih bukan mahram. Bagi yang berkemampuan, mungkin mampu mengadakan majlis pertunangan secara besar-besaran bak majlis perkahwinan. Malah, ada pula yang mengadakan majlis pertunangan sejam sebelum majlis pernikahan berlangsung.

Seboleh mungkin biarlah ia berlangsung dalam suasana sederhana. Tanpa pembaziran, tanpa menyusahkan mana-mana pihak biarpun kita berkemampuan. Bayangkan berapa banyak wang dibelanjakan demi sebuah majlis pertunangan? Itu belum lagi majlis perkahwinan yang sudah pasti memakan belanja yang bukan sedikit. Begitulah yang terjadi dan akan berterusan selagi mana kita bahagia melayani kehendak selera.

Apa yang perlu dititikberatkan ialah pengisian kedua-dua belah pihak semasa tempoh pertunangan. Sebagai orang tua, kitalah yang mengemudi hidup anak; pesan-pesankan agar menjaga batas pergaulan kerana bertunang bukan ‘tiket’ halal untuk bebas berdua-duaan. Pasakkan dalam fikiran agar sepanjang tempoh pertunangan, beriltizamlah untuk mempersiapkan diri ke arah lebih baik sebelum menuju ke gerbang perkahwinan.

Itulah keutamaan yang perlu ditanamkan kepada kedua-dua bakal suami isteri agar rumah tangga dibina kelak sentiasa dalam barakah-Nya. Moga-moga dengan pencerahan Sumbu ANIS kali ini iaitu Saya Dah Bertunang...! menjadi bekal bermakna sepanjang perjalanan. Keberkatan dalam rumah tangga mesti diusahakan dengan menjaga sekecil-kecil perkara kerana insya-Allah, nikmat ketenangan akan dirasai sepanjang usia perkahwinan. 

Kepada pembaca setia ANIS, JANGAN lupa dapatkan naskhah terbaharu ini. Jika ada sebarang komen atau cadangan sila emelkan ke: majalahanis@yahoo.com atau shimahabdulrahman@gmail.com. 




June 05, 2015

'Hati’ Kita vs ‘Hati’ Mereka


Seorang gadis bersimpuh di satu sudut dengan penuh anggun. Di wajahnya terpancar seribu resah. Persalinan indah yang membalut tubuh tidak dapat merawat gundah gulana di hati – dalam saat menanti detik-detik bersejarah diri bakal diijabkabulkan. 

Di sudut yang lain pula si jejaka yang bakal bergelar suami, juga sedang ‘berperang’ hebat dengan debar rasa yang tidak ketahuan. Jika digenggam jari-jemarinya, seram sejuk boleh dirasai.

Demikian pengalaman hebat yang boleh dikatakan dialami setiap insan yang pernah melangkah ke gerbang perkahwinan. Ia satu perasaan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Peralihan satu fasa baru dalam hidup di mana air mata boleh menitis dan jatuh berderai walaupun ditahan-tahan. 

Ia juga satu fasa yang disambut penuh syukur apabila masing-masing selamat bergelar suami dan isteri. Kelegaan membayangkan betapa ‘peritnya’ persiapan yang telah diatur begitu rapi. Berbulan-bulan, bahkan mungkin bertahun-tahun untuk bersama dengan orang yang dicintai sepenuh hati.  

****** 

Bagaimana pula dengan perasaan kita di saat menanti Ramadan yang bakal menjelang? Apakah perasaan teruja kita juga sebegitu rupa? Bagaimana pula cara kita menyambut ‘ganjaran’ istimewa yang dijanjikan Allah dengan pahala berlipat kali ganda? Apakah  keghairahan kita menyambut ‘tetamu agung’ ini semakin meningkat dari tahun ke tahun? Persoalan-persoalan inilah yang mahu kita tanyakan pada hati.

Justeru, ANIS kali ini mahu mengajak diri kami dan juga  semua pembaca untuk muhasabah diri. Semaklah ‘riak’ hati kita dalam menanti detik-detik Ramadan Karim. Semakin dekat Ramadan menjelang, adakah semakin hebat jiwa bergelodak?  

Pada bulan ini, Ustaz Muhadir Hj Joll akan memberi kupasan dan pencerahan yang terperinci bagaimana persiapan diri para Sahabat dan Salafusoleh dalam menyambut bulan yang penuh barakah ini.

Antaranya, beliau menulis, “Sejak enam bulan Ramadan, mereka telah berdoa supaya bertemu dengan Ramadan dan diberi kesihatan dan kesempatan beramal di dalamnya, dan enam bulan bermula selepas Ramadan, mereka berdoa supaya diterima amal kebaikan yang dilakukan di bulan Ramadan.”

*******

Allahu Akbar, ini baru satu kisah. Banyak lagi kisah-kisah menarik para Sahabat dan Salafussoleh yang dikongsikan dalam lembaran bulan ini. Kesimpulannya, hanya orang-orang yang tahu hakikat Ramadan, akan girang gembira menanti kedatangannya, menangisi pemergiannya jua merindu ketiadaannya. Menelusuri sirah mereka, terasa betapa jauhnya hati kita dan hati mereka. 

Namun, untuk mendapatkan hati seperti mereka, kita perlulah mujahadah. Tanpa mujahadah, kita tidak akan berjaya mendidik nafsu yang mana sifatnya suka bermalas-malas untuk berbuat kebaikan, tetapi teruja dan seronok untuk berbuat kejahatan.
 

Maka, Ramadanlah satu-satunya bulan yang akan menyucikan kembali jiwa kita agar kembali ‘bercahaya’ dan bersinar bak hati orang-orang yang soleh. Ahlan wa sahlan ya Ramadan.    

Norhashimah Abd Rahman - Catatan Editor Anis Jun 2015

May 27, 2015

Derhaka Tanpa Sedar


Luhurnya kasih sayang seorang ibu pernah membuatkan Sayidatina Aisyah bt. Abu Bakar menitiskan air mata. Dalam sebuah kisah diriwayatkan oleh Ahmad, Sayidatina Aisyah r.a. pernah menceritakan kisah seorang ibu dan dua orang anaknya. Mereka datang meminta makanan. 

Sayidatina Aisyah r.a. berkata, “Saya pun beri tiga biji kurma kepada si ibu. Si ibu membahagi-bahagikan kurma itu sesama mereka. Semasa si ibu menyuapkan kurma itu ke mulutnya, tiba-tiba anak-anaknya memandang ke arah ibu mereka. Ibu itu meluahkan kembali kurma itu lalu membelahnya. Setiap anaknya itu mendapat separuh daripada kurma milik si ibu. Hatiku tersentuh lalu mataku basah melihat mereka.

Tiba-tiba Nabi Muhammad SAW masuk dan bertanya, “Mengapa kamu menangis, wahai Aisyah?” Saya menjawab, “Wahai pesuruh Allah, saya terharu melihat kasihnya ibu pada anak-anaknya. “Saya pun menceritakan peristiwa yang baru berlaku sebentar tadi.”  




Begitulah fitrah kasih seorang ibu – di hatinya tersemadi kasih sayang yang tidak pernah  bernoktah! Di sebalik kelembutan, dia mempunyai kekuatan yang amat luar biasa. Dengan kekuatan emosi yang Allah anugerahkan, seorang ibu sanggup mengorbankan kesenangan dirinya demi membahagiakan insan-insan di sekelilingnya termasuklah anak-anak.  

Mengenang pengorbanan dan kasih sayang ibu, bukan sahaja agama Islam, agama mana pun melarang sama sekali penganutnya menderhakai kedua-dua ibu bapa. Al-Quran menukilkan perintah ini dalam firman-Nya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, dan (ingatlah) kepada Aku-lah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”. (Luqman: 14)

Sempena Hari Ibu yang diraikan bulan ini, ANIS mengangkat tema APABILA IBU MELAHIRKAN ‘TUAN’, bagi menghurai fenomena lahirnya anak-anak derhaka sebagai petanda akhir zaman. Fenomena yang disebut dalam hadis Nabi SAW ini akan dikupas secara terperinci oleh Ustaz Khafidz Soroni dan juga Ustazah Maznah Daud dalam Sumbu ANIS bulan ini.

Pendakwah bebas iaitu Ustaz Abdullah Mahmud juga menghurai lebih lanjut ciri-ciri kederhakaan seorang anak yang boleh menyebabkan kita terjebak dalam lembah kemurkaan-Nya. Antara lain, beliau mengupas istilah ‘anak derhaka’ yang sering disalah tafsir kepada sikap seorang anak terhadap ibu bapa yang masih hidup sahaja. 

Sedangkan kederhakaan seorang anak itu masih boleh terus berlaku walaupun setelah kedua orang tua meninggal iaitu apabila anak-anak tidak melakukan ketaatan kepada perintah Allah. Nauzubillah min zalik. Mudah-mudahan kita dijauhkan daripada melakukan sifat derhaka ini tanpa sedar. Insaflah, walau sebesar mana pun jasa dicurahkan kembali si anak, tidakkan mampu membalas pengorbanan seorang ibu hatta setitis air susunya. Wallahu’ alam. 

Akhir kata, bingkiskan selalu doa ini;
“Ucapkanlah wahai anak, ‘Ya Tuhanku, kasihilah kedua-dua ibu bapaku sepertimana mereka berdua mengasihi aku sewaktu aku kecil’.” (Al-Isra’ : 24)


Catatan Editor Anis Mei 2015

March 02, 2015

Cinta Secangkir Kopi






Mutakhir ini, ada pelbagai jenama kopi di pasaran. Kopi Tongkat Ali, Kopi Radix antara jenama kopi popular berkonsepkan ‘3 in 1’ yang sempat diingati. Sungguh, tak terbayang dalam fikiran melihat kopi berubah wajah begitu sekali. 

Sebagai anak kampung, suatu ketika dahulu hanya melihat kopi dihasilkan oleh orang-orang kampung - dari usaha menanam, memetik, menjemur kemudian memanggang kopi dan akhir sekali kopi tersebut ditumbuk demi mendapatkan serbuknya. Apabila dibancuh, aduh... baunya cukup menambat sukma!

Kini, walau zaman sudah berubah dan kopi telah bertukar wajah, namun perisa utamanya iaitu serbuk kopi tetap menjadi ‘hard core’ dalam pembuatannya.  Biar apapun jenama yang bakal hadir, namun keistimewaan perisa utamanya tetap ‘maintain’ sampai bila-bila. 

Falsafah keunikan kopi ini boleh dikaitkan dengan kehidupan berumah tangga. Tanyalah pada mana-mana pasangan di dunia ini – pasti semuanya mengakui (hatta dalam diam) hidup berumah tangga tak seindah apa yang dibayangkan sewaktu alam perkenalan mahupun alam percintaan. 

Nyata, semakin jauh melangkah, semakin banyak liku-liku yang pernah ditempuhi.  Dan secara realiti, setiap era dan fasa perkahwinan tersebut punya takah-takah ujian tersendiri. Di sinilah kepercayaan, kesetiaan dan keserasian setiap pasangan akan teruji!  

Sumbu ANIS kali ini mengupas isu 3’K’ Resipi Bahagia iaitu bagaimana mencipta dan menyuburkan kepercayaan, kesetiaan dan keserasian dalam rumah tangga. Tidak dinafikan, cabaran dunia hari ini begitu rumit. Interaksi begitu mudah terjalin dan ia menjadi salah satu faktor kes-kes kecurangan rumah tangga. 

Perasaan syak wasangka dan macam-macam rasa lagi boleh menjadi racun yang menghancurkan kebahagiaan. Namun apakah tidak salah menaruh syak wasangka kepada pasangan sebagai langkah berjaga-jaga? Dan andai kata cinta dan kasih sayang dikhianati, apakah tindakan yang patut diambil?  
Insya-Allah, melalui temu bual Bicara Tokoh bersama dua orang tokoh pendakwah dan perunding motivasi iaitu Dr. Robiah K Hamzah dan Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah, pelbagai tip dirumuskan sebagai benteng diri menghadapi cabaran dalam rumah tangga dalam penuh gelora.

Secara kesimpulan empat tip di bawah elok diamalkan bagi membina dan memupuk 3K tersebut ialah:
1.      Renungkan makna perkahwinan itu sendiri yang diikat dengan kalimah Allah SWT.
2.      Suami isteri adalah pakaian antara satu sama lain.
3.      Setiap pasangan mesti berkorban membuang perkara yang menimbulkan ketidakselesaan pada pasangan.
4.      Insafi, hidup ini hanya sementara. 

Untuk mempertahankan rasa cinta, setiap pasangan haruslah membangunkan cinta abadi kepada Pemilik Cinta yang hakiki iaitu Allah Yang Maha Pencipta. Untuk mempertahankan kesetiaan dan kepercayaan tidak cukup hanya pada pasangan, tetapi pupuklah kesetiaan terhadap Allah SWT.    
Insya-Allah, usaha dan ikhtiar perlu diselarikan dengan doa dan harapan pada-Nya agar kita dapat melangkah sama-sama ke syurga idaman yang dijanjikan.  Amin. 

Selamat membaca. 

Dapatkan Anis edisi Mac 2015 yang menampil blogger Sepet sebagai penghias cover.

February 12, 2015

Sedekahnya Ibarat Angin Kencang

Anis Februari 2015 yang menampilkan blogger Maria Elena Zarul yang berkongsi panduan kepada para blogger.

“Apa aku akan dapat? Aku pun susah juga, tak ada siapa pun nak tolong... .” Dialog hati seperti ini sering merantai hati. Itulah sifat hati - mahu buat baik tetapi masih berkira-kira.
 
Oleh itu, formula utama untuk suburkan sifat pemurah dan suka memberi, kita perlu selalu mujahadah. Mula-mula terasa sakit, tetapi bila sudah selalu dibuat, pasti terasa manisnya. Dalam soal bersedekah, sering ingatkan janji-janji Allah yang pasti tidak akan dimungkiri. 

Firman-Nya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji, dan (ingatlah), Allah akan melipat-gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnianya, lagi meliputi ilmu pengetahuannya.” (Al-Baqarah 2: 261)

Dalam kitab Syamail Rasulullah SAW, Cahaya Di Atas Cahaya yang disunting dan disempurnakan oleh Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam, yang dipetik daripada kitab Sairus Salikin susunan Syeikh Abdus Samad al-Falimbani diperjelaskan satu persatu sifat pemurahnya Rasulullah SAW. Baginda tidak pernah menghampakan sesiapa yang berhajat kepadanya. Malah sifat pemurah Baginda itu dikatakan begitu kencang di bulan Ramadan, hingga diibaratkan seperti angin kuat yang berhembus.  

Pernah suatu ketika Baginda SAW menerima wang sebanyak 90 dirham, lalu diletakkan di atas tikar dan wang itu dibahagi-bahagikan. Tiada seorang pun yang meminta melainkan dibahagikan dan dihabiskan semuanya. Tiba-tiba datang seorang lelaki dan meminta sesuatu kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda, “Sayang sekali saya sudah tidak punyai apa-apa lagi, tetapi belilah sesuatu dengan berhutang dan hutangnya itu di bawah tanggungan saya. Saya akan membayarnya.”

Sayidina Umar Ibnu al-Khattab yang menyaksikan peristiwa itu menegur Nabi, “Ya Rasulullah, Allah SWT tentunya tidak akan memaksa sesuatu yang tuan tidak mampu melakukannya.” Nabi SAW ternyata kurang senang mendengar ucapan Sayidina Umar r.a. 

Tiba-tiba lelaki tadi bersuara, “Belanjakanlah hartamu dan janganlah kamu takut kekurangan dari Tuhan yang menguasai Arasy.” Mendengarnya, terpancar kegembiraan yang jelas terukir pada wajah Baginda yang mulia itu.  

SUMBU ANIS bulan ini mengangkat tema kelebihan sifat memberi dan bersedekah. Insya-Allah, semakin kita memberi semakin murah rezeki kita. Dapatkan tip-tip untuk mengikhlaskan hati dalam memberi dan bagaimana wanita selaku isteri dan ibu mahu terapkan sifat baik ini kepada sesama ahli keluarga. Sama-samalah kita menyuluh diri.







December 31, 2014

Selamat Datang 2015!



Assalamualaikum wrt dan salam sejahtera. 
 
Anak-anak perempuan sememangnya menggemari kisah-kisah sang puteri. Cinderella, Snow White, Rapunzel antara contohnya. Malah, alam Melayu juga punya kisah-kisah menarik begini. Masih terbayang-bayang kesedihan hati membaca kisah Bawang Putih Bawang Merah, juga si Melor dan Tanggang yang menjadi anak yatim piatu apabila ibu mereka ditelan batu belah batu bertangkup.
Bagaikan suatu kebetulan - semua kisah-kisah ini berputar pada permulaan kisah tragis dan sedih belaka. Anak tiri yang diseksa dan bernasib malang namun takdir hidup mereka berubah seratus peratus apabila dikahwini anak raja. Tidak dinafikan kisah-kisah begini ada pengajaran dan nilai murninya. Anak-anak kita dididik agar tidak bersikap sombong dan angkuh serta menganiaya orang lain. Di samping itu, kesusahan dan dan kesulitan seorang insan itu pasti diganjari dengan kemudahan dan kesenangan di kemudian hari, insya-Allah.

Agak saya kisah-kisah ‘happy ending’ – membina bahagia dengan bertemu cinta sejati kemudian hidup senang-lenang dan kaya raya - menjadi faktor  ia menjadi kegemaran ramai hatta sehingga ke hari ini. Namun bagaimana pula agaknya jika kisah-kisah ‘sad ending’ seperti si puteri yang asalnya kaya raya tetapi sanggup berkorban apa sahaja untuk cinta sejati (true love) yang ditemui?  
SUMBU ANIS bulan ini akan mengangkat tema cinta luhur antara Sayidatina Siti Khadijah r.a. dengan Nabi Muhammad SAW. Cinta Khadijah bukan cinta biasa-biasa kerana berpaksikan keimanan yang mutlak terhadap Allah SWT. Maka tidak hairanlah Nabi SAW tetap menyanjungi dirinya biarpun dia sudah tiada.
Itulah salah satu keunggulan ‘first lady’ di hati Baginda SAW yang mekar dan mengharum jasanya dalam dunia Islam. Khadijah r.a. - bukan saja wanita pertama memeluk Islam tetapi keindahan peribadinya yang bukan saja rupawan tetapi hartawan dan dermawan. 
Keberadaannya di sisi Baginda SAW umpama perisai yang setia - membelai, memujuk, mendorong malah berkorban segala apa yang dia miliki demi melihat sinar Islam tegak di muka bumi. Moga-moga dalam visi dan azam menjadi ‘supermom’ yang serba boleh di era milenium ini, nama Ummahatul Mukminin ini menjadi contoh teladan di ranking pertama!

Selamat Datang 2015
Jendela 2015 kini semakin terbuka. Tahun ini bermakna ANIS memasuki ambang ke-18 tahun dalam dunia penerbitan tanah air. Bermula dengan niat untuk mengajak para wanita menghayati peranan sebenar tugas seorang isteri dan ibu dalam mencorak keluarga bahagia, sokongan yang kami terima daripada para pembaca dan seluruh masyarakat tidak berbelah bahagi. 
Insya-Allah, Team ANIS akan sama-sama berusaha untuk sentiasa meng’upgrade’ ANIS agar bertambah mantap dan berkualiti dari semasa ke semasa. Mulai isu Januari 2015 ini terdapat 15 kolum baharu diperkenalkan dengan barisan panelis dari pelbagai lapangan. Antara kolum-kolumnya ialah :
Ragam Anak Muda, 
Mahmudah vs Mazmumah, 
Aksara Hati, Kamus Taharah, 
Tarbiyatul Aulad, 
Inspirasi Asmaul Husna, 
Biar Berbekas, 
Dari Menara UniKL
Bijak Zakat, Ma Ma’na, 
Wanita & Hadis, 
Akidah Mukmin, 
Ya Badratin dan  
Zikir Harian. 

Selamat membaca. Kami mendoakan agar mudah-mudahan ilmu, iman dan takwa kita akan bertambah mantap seiring meniti perjalanan menuju destinasi abadi. Amin.  

Jangan lupa dapatkan Anis Januari 2015 yang berwajah baharu.

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...