Showing posts with label Kenangan Bersama ANIS. Show all posts
Showing posts with label Kenangan Bersama ANIS. Show all posts

February 12, 2015

Nantikan 14 Februari 2015 Ini


4 Februari 2015:


10.30 pagi: 

Saya dan Zuarida Mohyin dari Meja Agama Utusan antara yang awal tiba.  Kami berdua terus menulis kedatangan masing-masing di kaunter hadapan. Hajah Jalilah masih mundar-mandir mencari ‘parking’ yang sudah penuh di sekitar Restoran Rebung, Bangsar.  

Agak lama kami menunggu, akhirnya ikon yang dinanti-nantikan sudah pun tiba. Khabarnya mereka baru saja tiba dari Kuching, Sarawak lantas terus bergegas ke lokasi sidang media ini.
Noh Salleh (Hujan) dan isterinya, Mizz Nina tampil kacak dan anggun dan manis sekali.  Kehadiran mereka berdua adalah sebagai ikon bagi Kempen ‘Cantik Di Mata…’ pada saya begitu tepat sekali. Ini memandangkan kedua-duanya telah berhijrah sekembali dari ibadah haji yang menyaksikan transformasi diri anak seni ini.  

Kini, atas tiket untuk beramal dan melaksanakan dakwah-street, pasangan ini sudi berkerjasama dengan Islamic Aid Malaysia (sebuah pertubuhan NGO), sukarelawan dari kumpulan MOCA (Malaysian’s On Covering Aurah) dan Salam.fm JAKIM untuk sama-sama mengadakan kempen ini serentak  pada 14 Februari 2015 ke seluruh Malaysia. Malah Majalah Anis khususnya sudi menjadi rakan media program ini bagi memperluaskan dan menguar-uarkan kempen ini yang sewajarnya diteruskan pada masa akan datang.  

Dalam ucapan perasmian, YBhg Dato’ Ismail Noor, Penolong Pengarah Kanan, Media JAKIM berkata, tujuan kempen ini ialah untuk memberi kesedaran kepada seluruh masyarakat Malaysia khususnya golongan belia mengenai larangan menyambut Hari Kekasih. 

“Hari Kekasih atau Valentine Day itu sebenarnya diambil daripada nama paderi bernama Valentino yang membantu golongan Kristian diketuai Ratu Isabella untuk menjatuhkan kerajaan Islam di Sepanyol. Oleh itu fatwa mengenai larangan menyambut Hari Valentine ini sudah diuar-uarkan sebelum ini diharap diambil berat dan sewajarnya generasi muda tidak terikut-ikut dengan budaya yang bertentangan agama ini,” ujarnya.

Kata beliau lagi, pada kempen ini pihak penganjur akan menggunakan ruang tersebut untuk memberi pendedahan kepada golongan bukan Muslim khususnya, tentang kelebihan menutup aurat serta cara menutup aurat yang betul supaya kelihatan cantik di mata baik untuk golongan Muslimin ataupun Muslimah. 

Kempen ini akan dilaksanakan serentak pada 14 hb Februari 2015 di 14 buah lokasi yang berbeza dan melibatkan aktiviti dakwah jalanan atau street-dakwah dengan pengagihan risalah dan barangan percuma kepada orang ramai.

Untuk makluman, kempen program ini akan berjalan serentak di seluruh negara di mana majlis pelancaran kempen ini adakan diadakan di lokasi berikut:

Lokasi: Ruang Legar, Masjid Putra, Putrajaya.

Tarikh: 14 Februari 2015

Masa : 9.30 pagi hingga 12.30 tengahari.

Lokasi Kempen?
1. Johor – Plaza Kotaraya, Jalan Trus, Johor Bharu.
2. Sabah – Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu.
3. Perlis – Kompleks Arau, Perlis.
4. Kedah – Taman Jubli Emas, Alor Star.
5. Melaka – Mahkota Parade
6. Sarawak – Waterfront Kuching & India Street
7. Kelantan – KB Mall, Kota Bharu.
8. Kuala Lumpur – Sogo & Masjid India
9. Trengganu – Pantai Batu Buruk
10. Pahang – Telok Chempedak
11. Penang – Sunway Carnival, Seberang Jaya
12. Selangor – AEON, Kajang, Selangor
13. Negeri Sembilan – Terminal One, Seremban
14. Perak – Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh. 
  
      JOM BERSELFIE/ WELFIE:
Kempen ini juga menggunakan pendekatan media sosial dengan menggalakkan orang ramai menghantar gambar dengan cara berikut:
1.       Gambar Berselfie atau Berwelfie yang dihantar hendaklah dalam keadaan sopan dan menutup aurat. (kempen ini juga terbuka kepada lelaki dan wanita bukan Muslim)
2.       Mesej yang disampaikan tidak melebihi 30 patah perkataan. Contoh: #SayaTutupAurat kerana….
3.       Anda boleh menghantar seberapa banyak penyertaan tetapi hanya satu penyertaan yang akan disenarai pilih oleh pihak penganjur.
4.       Gambar yang dihantar mestilah gambar asli dan bukan gambar yang telah dimuat turun dari internet atau milik orang lain.
5.       Gambar yang diedit tidak diterima pakai.
6.       Gambar dan mesej yang disampaikan tidak boleh menyentuh sensitiviti agama atau bangsa lain.
7.       Sila like Page Islamic Aid Malaysia sebagai syarat kelayakan penyertaan dan hantar gambar dan mesej tersebut dan taip #iam4humanity


Ganjaran Untuk Pemenang?
Islamic Aid Malaysia akan memilih 3 gambar ‘berselfie atau berwelfie’ berserta mesej yang terbaik dan layak menyertai misi kemanusiaan Islamic Aid Malaysia di luar Negara bersama ikon kempen ‘Cantik Di Mata…’ pada satu tarikh yang ditetapkan. 

Ayuh bersama kami di ruang legar Masjid Putra, Putrajaya pada 14 Februari ini. Kredit foto kepada Islamic Aid Malaysia.



April 10, 2013

Kita Juga Akan Jadi Kenangan

8 Mac 2013 yang lalu.
Tepat jam 1 tengahari. Saya dan empat rakan (Hjh. Aliyah, Hjh Jalilah, Shamsiah Puad, Hapisah Dulasang) betul-betul tiba di hadapan Masjid Sultan Singapura. Hari itu hari Jumaat, bacaan Quran berkumandang dan ramai jemaah lelaki sudah mula memasuki masjid.

Kami terus ke sebuah restoran di situ. Perut betul-betul berkeroncong, maklum semenjak keluar dari penginapan di Raffles Town Club, tersesat barat kerana tersilap bas untuk ke Makam Habib Noh di Palmer Road, kami benar-benar terasa keletihannya.

Tanpa peduli pada sekumpulan lelaki yang sedang rancak berborak, kami lihat ada empat kerusi dikosongkan. “Encik boleh kami duduk di sini?” tanya kami. “Oh, duduklah, mereka itu hendak pergi merokok saja,” ucap mereka berbahasa-basi.

Sebaik dapat melabuhkan pinggul dan melepaskan lelah, telefon Hjh Aliyah berdering. Terdengar dia bercakap-cakap dengan seseorang. Dan selepas itu dalam nada cemas dia  terus segera memberitahu, “Ustaz Rujhan sudah meninggal dunia. Aina yang telefon memberitahu, katanya Cikgu (Tn Hj Abu Hassan) sedang bersiap-siap mengumpulkan staf ke Jerantut, Pahang untuk majlis pengkebumian.”

Agak terkedu kami semua yang mendengar. Ia sungguh mengejutkan, maklum beberapa bulan lalu kami ada menziarahinya di rumahnya di Kuala Tahan, Jerantut, Pahang. Masih terbayang wajahnya yang menitiskan air mata tatkala menguak pintu meraikan kedatangan kami.

"Hari ini ada orang-orang hebat dari Galeri Ilmu nak datang," pesannya pada ibunya.

Kami dijamunya sungguh-sungguh dengan ikan patin masak tempoyak. Malah dibekalkan lagi ikan patin yang masih mentah. Masya-Allah begitu murah hatinya. Dan sekali lagi kala kami menggamit pulang, dia sekali lagi menitiskan air mata. Siapa sangka rupa-rupanya itulah pertemuan pertama dan terakhir kami di rumahnya yang terletak berhampiran Kuala Tahan, walaupun banyak kali bertemu di Kuala Lumpur bila dia ada urusan menyampaikan ceramah.  

Apabila kami sampai di rumahnya, kami cukup jauhnya jarak dia berulang-alik ke ibu kota apabila memenuhi jemputan ceramah. Kata penduduk kampung kalau nampak kereta masuk lewat malam ke kampung tahulah mereka itulah kereta milik Ustaz Rujhan. Malah kami diberitahu ibunya, kerana tidak tahan dengan jadual pendakwah ini yang keluar berdakwah awal pagi dan sampai semula waktu dinihari, pernah pemandu keretanya berhenti kerja.

Seminggu sebelum dia pergi ke rahmatullah, saya sempat menghantar SMS mengingatkan tentang deadline Majalah Anis setelah dia mula kembali rancak menulis. Sempat dia membalas dan memberitahu akan keuzurannya. Saya jawab kembali, “Pembaca Anis sentiasa menanti tulisan ustaz yang sangat bermakna itu.” Dan dia menjawab, “Insya-Allah.” Jelas kesungguhannya untuk terus berdakwah biarpun kata isterinya dia agak uzur kebelakangan ini. Akalnya cergas namun fizikalnya tidak mampu bertahan lagi. Dan sebelum melafazkan nafas terakhir dia sempat menitipkan kata-kata motivasi buat anggota keluarganya, "Allah tarik sedikit nikmat dunia untuk beri lebih banyak di akhirat." 

Sempat mempromosikan Majalah QA.

Kami berkesempatan bertanya khabar melalui ibunya. Rumah Ust Rujhan dan rumah kedua-dua ibubapanya dan adik-beradik lain berdekatan. 

Menurut ibunya, anaknya ini memang ulat buku dari usia kecil lagi.

Kami dihidangkan dengan masakan istimewa negeri Pahang - ikan patin asam tempoyak. Berselera kami makan  apatah lagi diganding bersama sambal bilis belimbing buluh. 

Kenangan terakahir - foto yang mahu dimasukkan dalam Anis tetapi terlupa hingga  ke sudah. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Allahyarham. 

Untuk anda pembaca setia Anis, dapatkan bingkisan sajak khas yang ditulis Sdra Zuraimi Ismail kepada Ustaz Rujhan yang dianggap mualim dan juga teman rapatnya. Dapatkannya dalam Anis Mei 2013 ini di mana beliau sempat menukilkan artikel terakhir dalam ruangan Kata & Makna.  

Al-Fatihah untuk insan yang bersama-sama kami dalam perjuangan Anis selama ini. Mudah-mudahan Allah melapangkan kuburnya dan rohnya digolongkan bersama orang-orang yang soleh. Amin.

April 01, 2009

Apabila Bunga Berguguran...

Cuaca semakin hari semakin panas. Bahangnya sudah tidak dapat ditahan-tahan. Menurut laporan akhbar, perubahan cuaca akibat pemanasan global seperti yang kita alami ini dijangka berterusan hingga bulan September. Saya bertanya pada diri, mampukah saya dapat bertahan lagi? Bulan ini pasti bil melambung tinggi kerana siang malam kipas asyik dipasang pada nombor tiga atau empat. Kadang-kala lebih lagi.
Saya persoalkan hati kembali. Kenapa di musim kering begini saya rindukan kedatangan hujan. Oh hujan cepatlah turun, basahi bumi ini, hati saya seakan mahu berteriak. Malangnya nanti apabila tiba di musim tengkujuh, hati yang berteriak itulah yang akan berteriak kembali. Oh matahari bersinarlah engkau! Oh, saya rindukan cuaca panas kembali supaya kain di jemuran cepat kering. Tidak pengap. Tidak berkepuk-kepuk dengan longgokan kain-kain lain yang menanti giliran. Ah! Saya istighfar. Begitulah manusia sifatnya susah untuk bersyukur...
Cuaca kering atau cuaca sejuk pasti ada hikmah di sebaliknya. Hanya Allah al Alim yang maha mengetahui rahsianya. Walaupun tak berselera melihat dedaun pokok yang kekuningan, kering-kontang dan keras kejung disengat bahang matahari, hati saya terhibur seketika melihat halaman rumah saya. Saban hari ia akan dipenuhi bunga-bunga kecil yang berguguran ke bumi. Subhanallah! Cantik sungguh...
Saya kutip bunga ini. Ingatan saya kembali pada peristiwa beberapa tahun yang lalu. Kejadian di mana saya dan team Anis berlari-lari anak mengejar sejenis bunga di Baling, Kedah. Sungguh manis apabila dikenang-kenang kembali. Saya masih ingat ketika itu saya, Hajah Jalilah dan Kak Aliyah Sijari serta jurufoto ke sana bagi memenuhi jemputan dari Dato' Mashitah Ibrahim yang ketika itu berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Baling.
Tiba di sana kami ditempatkan di rumah rehat Baling. Perjalanan lima jam (pipih punggung) cukup mengujakan. Hajah Jalilah berganti-ganti dengan jurufoto memandu kereta. Selepas melelahkan letih seketika, malamnya kami turun ke lobi. Sekumpulan kaum ibu sudah menanti kami dengan hidangan istimewa masing-masing. Kami tertarik sungguh dengan keunikan masakan mereka yang diadun dari pelbagai rahsia alam, antaranya ialah lepat pisang daripada bunga cica. Bunga cica ini kata mereka susah didapati kerana pohonnya sangat tinggi. Ia hanya berbunga pada musim-musim kering seperti sekarang ini. Kata mereka lagi bunga cica akan gugur pada waktu pagi. Dan kalau dilihat memang rupanya seakan sama dengan bunga di halaman rumah saya ini tapi ia berjurai-jurai di tepinya. ia dikisar bersama dengan tepung beras dan dijadikan lepat, memang sedap rasanya dan warnanya sama seperti lepat dari tepung pulut. Jika bunganya masih segar dan basah lepatnya berwarna keunguan sedikit, tapi jika bunga cica itu dijemur hingga kering lepat yang dihasilkan akan berwarna agak hitam. Malam itu kami tidur dengan azam untuk bertemu dengan pokok bunga cica yang dikatakan amat istimewa itu.
Pagi esoknya kami bersiap-siap untuk program sehari bersama masyarakat Baling yang diadakan di sebuah sekolah. Dalam perjalanan kami ternampak seorang lelaki terbongkok-bongkok seolah-olah sedang mengutip sesuatu. "Berhenti, berhenti!" kata Kak Aliyah. Jurufoto kami memberhentikan kereta. "Pak cik kutip apa tu?" tanya kami. "Pak cik kutip bunga cica," jawab pak cik itu. Sebaik mendengar nama bunga cica, apa lagi ketiga-tiga Mak Cik Anis (seperti yang ditulis oleh Hj Bad dalam ruangan Sketsa Majalah Anis) ni pun cepat-cepat melangkah keluar menyeberangi jalan. Kami memandang ke atas. Memang benar kata mak cik yang kami temui malamnya. Pohonnya tinggi sesayup mata memandang. Di celah mentari yang baru menyinar, kelihatan bunga cica berpusing-pusing di bawa angin satu persatu jatuh ke rumput. Tanpa sedar kami berlari-lari anak ke sana ke mari. Kami bagai anak kecil keseronokan mengutip bunga-bunga cica yang jatuh berguguran itu. Puas rasa hati setelah berjaya mendapat apa yang dihajati. Setelah puas kami masuk ke dalam kereta semula dan menyambung ke destinasi kami semula.
Tika mana bertemu dengan ibu-ibu malam tadi, kami kabarkan pada mereka kami sudah berjaya mengutip bunga cica. "Wah! Pandai na!" ujar mereka ketika diunjuk rupa bunga cica yang berjaya kami kumpulkan untuk di bawa pulang ke Kuala Lumpur. Ibu-ibu itu kehairanan bagaimana kami boleh berjaya mendapatkan bunga cica itu. Kami hanya tersenyum. Bagi saya rahsianya hanya satu iaitu deria yang luar biasa. Ya, deria wartawan kebiasaannya lebih peka dan sensitif dari deria orang biasa. Kerana apa? Persekitaran dunia penerbitan itulah yang membentuk mereka menjadi insan yang peka dan sensitif.

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...