Showing posts with label Kembara Tanah Suci. Show all posts
Showing posts with label Kembara Tanah Suci. Show all posts

February 06, 2013

Cinta Ilmu Mengatasi Rasa Rindu (Siri 2)


Bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga, pasangan yang dikurniai enam orang anak ini turut melakukan pelbagai pekerjaan. Hj. Abd Rahman sendiri setiap tahun mengambil upah sebagai mutawif sebaik tiba musim haji. Setiap bulan dia diberi gaji bulanan oleh sebuah agensi haji dan umrah untuk membimbing jemaah dari Malaysia.

“Mak cik dulu pernah berniaga kain tudung semasa musim haji. Mak cik juga pernah membantu syarikat katering untuk keperluan jemaah haji dan umrah,” sampuk Hjh Che Wa yang berasal dari Menara, Bachok dalam wilayah Narathiwat, Thailand. Berada jauh di perantauan tidak terasa asing meski pepatah ada menyebutkan, ‘Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.’

“Di sini ramai orang Melayu Pattani. Pada setiap malam minggu atau pada malam Jumaat kami dapat berjumpa sesama kaum ibu sewaktu diadakan majlis bacaan Yasin,” cerita Hjh Che Wa mengenai aktiviti kaum wanita Pattani yang mempunyai jalinan silaturahim yang begitu erat.

“Walaupun kami bertutur Bahasa Melayu di rumah, kami ajar anakanak berbahasa Arab kerana dasar pendidikan di sini mengkehendaki anak-anak yang ingin bersekolah, mesti pandai berbahasa Arab,” jelas Hj. Abd Rahman yang dikurniai enam cahaya mata – Anuar (27 tahun), Arshad (25), Ismail (22), Abd Azit (22), Fathiah (17) dan Akram (15). Beberapa orang anak mereka sudah mulai bekerja dan dapat membantu menampung keperluan keluarga.

BAWA JEMAAH KE TEMPAT BERSEJARAH
Suatu keberuntungan bagi Hj. Abd Rahman ini kerana di samping membimbing jemaah, dia juga dapat mengerjakan haji setiap tahun. Inilah nikmat yang tiada tolok banding apabila tinggal di tanah suci ini.
Silaturrahim beliau dan para jemaah haji juga tidak pernah terputus kerana rumahnya masih menerima kunjungan mereka. Beliau sekeluarga pasti tidak lupa membalas kunjungan mereka jika berpeluang datang ke Malaysia.

“Sebagai mutawif saya akan membawa para jemaah menyusuri tempat-tempat bersejarah. Antaranya ke Masjid Kucing, kerana di situlah letaknya perkampungan Bani Hasyim dan Bani Mutalib suatu ketika dahulu. Jemaah juga dibawa ke Maktabah (khutub khanah) iaitu tempat maulid (kelahiran) junjungan Nabi Muhammad s.a.w, selain ke Jabal Tsur dan Padang Arafah. Dalam perjalanan ke Arafah kita akan nampak sebuah bukit dinamakan Gunung Maskutah. Dinamakan begitu kerana ia menyerupai perempuan yang ditukar menjadi batu. Wanita inilah yang membocorkan rahsia kepada orang kafir Quraisy yang sedang memburu Nabi Muhammad s.a.w. dalam perjalanan hijrah ke Madinah. Sayangnya gunung itu sudah diletupkan. Di Mina, tempat jemaah melontar jamrah, saya membawa mereka ke sebuah tempat Nabi Ibrahim menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s.”

Beliau juga akan membawa para jemaah ke perigi Hudaibiyah. Di situ dahulu ada sebuah masjid dan sebatang pokok di sebuah tempat sebelum tibanya jemaah ke Masjid Hudaibiyah sekarang. 

“Rasulullah s.a.w pernah menggunakan air perigi itu dan pokok itu dikenali dengan gelaran Mubaiah Sajarah, kerana baginda dan Sahabatsahabat berbaiah di situ. Mereka berbaiah sekiranya tidak dapat masuk ke Makkah, mereka akan berperang. Tapi pokok itu kemudian ditebang oleh Sayidina Usman ibnu Affan kerana takut menjadi khurafat. Masjid itu pula dirobohkan kerana semasa bulan puasa, ia dipenuhi oleh orang Badwi sehingga mereka tidak pergi solat di Masjidil Haram.”

Hj. Abd. Rahman juga membawa jemaah melawat Perigi Tuwa dan kawasan perkuburan Ma’ala di mana terletaknya Lembah Ummul Mukminin. 

“Kita akan nampak sebuah pintu hijau, bersambung dengan terowong, di situlah letaknya makam Sayidina Siti Khadijah r.a. Di situ juga terletaknya makam Asma’ binti Abu Bakar dan suaminya Zubair bin Awwam," ujarnya beria-ia dan penuh semangat. Saya dan sahabat, Seri Amin mengangguk. Ada sebahagian tempat yang dinyatakan itu saya telah pergi bersama rombongan umrah. Manakala ada yang kami sekadar melaluinya sahaja seperti makam Siti Khadijah r.a., iaitu isteri kesayangan Baginda SAW. Namun syukur Anuar sempat membawa saya dan sahabat ke situ sebelum perjalanan kami ke rumahnya di Jiyad.  

Kisah yang disampaikan Hj. Abd Rahman menambahkan lagi maklumat saya dan teman tentang tempat-tempat bersejarah di sini. Terasa sungguh bertuahnya kami dapat mendengar sendiri cerita-cerita sejarah di Tanah Suci. Sebahagiannya kisah-kisah sirah Nabawiyyah ini diperolehi oleh Hj Abd Rahman dari cerita-cerita warga Makkah yang telah lama mendiami kota suci ini. Ia diperturunkan dari generasi ke generasi. Namun kesan pembangunan akan menghapuskan satu demi satu lokasi yang cukup bersejarah. Apa yang akan dilihat oleh generasi terkemudian daripada kita?

Menurut Hj. Abd Rahman, banyak kesan sejarah yang terlupus oleh pembangunan. Ini sesuatu yang menyedihkan. Saya sendiri dihambat pilu tatkala melihat tapak rumah s.a.w. dan Siti Khadijah r.a.  mengalami nasib serupa sewaktu mutawif membawa kami menyusuri sejarah Nabi di sekitar Masjidil Haram.  
Masih wujudkan lagi maktabah di pinggir Masjidil Haram ini yang dahulunya merupakan tempat maulid (kelahiran )  Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW? (Gambar Hiasan)

MAJLIS KULIAH DI RUMAH
Sejak dua tiga tahun kebelakangan ini pergerakan Hj. Abd. Rahman agak terbatas lantaran diserang strok. Khidmatnya sebagai mutawif terpaksa dihentikan buat sementara waktu. Kini dia banyak berehat di rumah. Namun dalam keadaan kesihatan yang kurang stabil itu, nalurinya tetap ingin meneruskan amal jariah, dengan mengajar di rumah. Biarpun gelanggangnya hanya di rumah, rumahnya akan dipenuhi anak-anak murid yang datang menadah ilmu. “Sekarang ni pak cik isi masa dengan mengajar di rumah. Setiap Sabtu dan Ahad, pak cik mengajar tauhid. Pada hari Isnin dan Selasa pula mengajar kawaid al-Quran dan hadis (kaedah memahami al-Quran dan hadis). Kaum lelaki belajar di bilik ini, sementara perempuan di bilik sebelah,” sambungnya sambil menunjuk ruang tamu di sebelah, ruang yang mula-mula kami lihat sebelum masuk ke ruang tamu ini. Sebelum kami berangkat pulang, Hj. Abd Rahman sempat berkongsi ilmunya. Dia mensyarahkan sebuah hadis mengenai perbuatan bidaah. Bahasannya cukup terperinci dan dikupas satu persatu. Melihatkan saya dan teman mempunyai pengetahuan asas dalam Bahasa Arab, sempat dia menitipkan pesanan, “Teruskan belajar bahasa Arab. Belajar Bahasa Arab ni tidak boleh berhenti sehingga ke mati...” ✻

February 01, 2013

Part 1 - Travelog Tanah Suci CINTA ILMU MENGATASI RASA RINDU


Dua hari sebelum tarikh berangkat pulang ke tanahair setelah selesai mengerjakan umrah, saya cuba meninjau kehidupan orang Melayu Pattani yang bermastautin di kota suci Makkah. Seperti juga komuniti Melayu lainnya, komuniti orang Melayu Pattani sudah lama bertapak di kota haramaian ini.

Asalnya mereka merantau ke sini untuk menuntut ilmu dan menadah isi kitab dengan ulama-ulama di sekitar Masjidil Haram. Ramai yang betah meneruskan kehidupan di sini, demi cinta kasih mereka pada kota kerinduan seluruh umat Islam ini.

Hingga kini telah lahir beberapa generasi Melayu Pattani di Makkah. Menariknya, identiti dan wajah mereka tetap sama seperti kita, namun lidah mereka petah berbicara bahasa al-Quran. Biar jauh meninggalkan ibu pertiwi dan mengatur kehidupan di bumi Makkah ini, kehidupan mereka masih tidak jauh terpisah dari adat resam dan budaya warisan.

Saya dan teman serombongan, Seri Amin Hj. Othman (sudah kembali ke rahmatullah tahun lalu) dipelawa Anuar Hj. Abd Rahman, 27 tahun, untuk bertemu keluarganya. Anak muda ini saya kenali ketika kami berurusan dengan petugas-petugas Andalusia Travel and Tours di Hotel Najmah Al Azhar yang kebanyakannya bersusur-galur Melayu Pattani. 

Petang Rabu itu selepas solat Asar, kami bertolak dengan kereta yang dipandu Anuar, menyusuri jalan yang sibuk melalui Terowong Assulaimaniyah. Anuar membawa kami singgah sebentar menziarahi perkuburan Ma’ala. Di sini letaknya makam isteri Nabi s.a.w. yang amat dikasihi, Sayidatina Khadijah r.a. Sempat saya mengambil foto lebih dekat tempat maulid (kelahiran Nabi) dan Masjid ar-Rayah (bendera) atau lebih dikenali dengan nama Masjid Kucing. Rumah keluarga Anuar letaknya berhampiran Masjid Kucing ini.

Kereta meluncur laju menuju Jalan Ajyad selepas melalui Terowong Sheab dan berhenti di satu simpang jalan berbukit. Selepas memarkir kereta di situ, kami berjalan kaki menuju ke atas bukit. Tercungap-cungap juga kami menurut langkah Anuar yang sudah biasa dengan lokasi berbukit.

Dari lorong yang berbukit itu, kami seterusnya mendaki lorong bertangga kecil sehingga menemui pintu rumah pangsa bertingkat-tingkat. Langkah kaki terus diatur memanjat anak tangga ke tingkat tiga. Tiba di sebuah pintu rumah, Anuar mempelawa kami masuk dan duduk di ruang tamu. Melihatkan suasana dari luar, saya sendiri tidak menyangka rumah yang mereka diami ini besar dan luas. Selesa bagi sebuah keluarga yang ramai ahlinya.

Sementara menunggu kemunculan tuan rumah (ibu bapa Anuar), pandangan mata tertarik melihat barisan kitab-kitab yang tersusun rapi di rak buku, mencerminkan kecintaan tuan rumah pada ilmu. Tidak lama kemudian muncullah susuk tubuh seorang wanita yang berusia lewat 40-an. Salam dihulur bersambut senyuman manis seorang ibu. 

Selepas bertanya khabar dan menyatakan hasrat ingin mencungkil sedikit sebanyak pengalaman keluarga ini tinggal di rantau orang, Hjh Che Wa keluar dan masuk semula ke ruang tamu. Kali ini beliau bersama suaminya, Hj. Abd Rahman b. Daud Pattani, 58 tahun. Haji Abd Rahman duduk di sofa menghadap saya dan teman. 

Tiga puluh tahun yang lalu, pasangan ini merantau ke kota suci Makkah ini dengan hasrat mahu menadah ilmu sebanyak mungkin. Hj. Abd Rahman sendiri merantau ke sini ketika usianya masih muda. Sementara Hjh Che Wa pula menyusul kemudian dalam usianya 15 tahun, selepas kedua-duanya diikat oleh tali pernikahan oleh orang tua mereka.

“Hajat di hati masa itu nak sambung pengajian ke Mesir, tapi tidak dapat lalu saya terus datang ke Makkah,” ujar Hj. Abd Rahman mengimbau kisah penghijrahannya ke kota suci ini. Semangat membara di dadanya ketika usia masih muda dimanfaatkan dengan tekun mencari guru. Beliau sempat berguru dengan ramai guru yang mengajar di sekitar Masjidil Haram. Antaranya, Allahyarham Ustaz Soleh Kenali dan Allahyarham Syeikh Abdul Rahman Kubang Siam yang mengajar bahasa Arab, tafsir dan hadis.

Suasana pembelajaran yang diikutinya tidaklah formal seperti di pusat pengajian tinggi. Menurut Hj. Abd Rahman kebanyakan pelajar akan datang menadah kitab selepas solat Maghrib dan Isyak. Selain mengaji di sekitar Masjidil Haram, pengajian juga bersambung ke madrasah dan di rumah-rumah penduduk di sekitar Jiyad. Sehingga kini, menurut Hj Abd Rahman, pengajian bentuk begini masih terus aktif dan berjalan seperti biasa.

“Kaum wanita Melayu juga ada pengajian mereka sendiri. Biasanya mereka belajar al-Quran di rumah-rumah. Sebab itu mereka mahir dan boleh mengajar al-Quran,” ulasnya
sambil memandang isterinya. Hjh. Che Wa mengangguk, sambil tersenyum manis, mengiyakan cerita suaminya.

Yang menarik hati saya, apabila diberitahu pengajian kitab Arab turut disyarah atau dibahaskan dalam Bahasa Melayu. Ini mengiyakan cerita seorang teman, di mana dia dan suaminya sempat berteleku mendengar syarahan kitab Arab dalam Bahasa Melayu di satu sudut dalam Masjidil Haram selepas mereka menunaikan solat Maghrib.

Rupa-rupanya sehingga kini Bahasa Melayu terus menjadi bahasa perantara wacana ilmu. Mungkin inilah pencetus sebab mengapa ia terus dijulang tinggi oleh pewaris bahasa ini di kota suci Makkah. Justeru tidak hairan saya melihat masyarakat Melayu Pattani masih terus kukuh memelihara bahasa ibunda mereka. 

Bersambung...

Petikan artikel Anis Julai 2007 dalam ruangan Eksklusif Bersama Melayu Pattani di Makkah. 

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...