Seorang gadis bersimpuh di
satu sudut dengan penuh anggun. Di wajahnya terpancar seribu resah. Persalinan
indah yang membalut tubuh tidak dapat merawat gundah gulana di hati – dalam
saat menanti detik-detik bersejarah diri bakal diijabkabulkan.
Di sudut yang
lain pula si jejaka yang bakal bergelar suami, juga sedang ‘berperang’ hebat dengan
debar rasa yang tidak ketahuan. Jika digenggam jari-jemarinya, seram sejuk
boleh dirasai.
Demikian pengalaman hebat
yang boleh dikatakan dialami setiap insan yang pernah melangkah ke gerbang
perkahwinan. Ia satu perasaan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.
Peralihan satu fasa baru dalam hidup di mana air mata boleh menitis dan jatuh berderai
walaupun ditahan-tahan.
Ia juga satu fasa yang disambut penuh syukur apabila
masing-masing selamat bergelar suami dan isteri. Kelegaan membayangkan betapa
‘peritnya’ persiapan yang telah diatur begitu rapi. Berbulan-bulan, bahkan
mungkin bertahun-tahun untuk bersama dengan orang yang dicintai sepenuh hati.
******
Bagaimana pula dengan perasaan
kita di saat menanti Ramadan yang bakal menjelang? Apakah perasaan teruja kita
juga sebegitu rupa? Bagaimana pula cara kita menyambut ‘ganjaran’ istimewa yang
dijanjikan Allah dengan pahala berlipat kali ganda? Apakah keghairahan kita menyambut ‘tetamu agung’ ini
semakin meningkat dari tahun ke tahun? Persoalan-persoalan inilah yang mahu
kita tanyakan pada hati.
Justeru, ANIS kali ini
mahu mengajak diri kami dan juga semua
pembaca untuk muhasabah diri. Semaklah ‘riak’ hati kita dalam menanti
detik-detik Ramadan Karim. Semakin dekat Ramadan menjelang, adakah semakin
hebat jiwa bergelodak?
Pada bulan ini, Ustaz
Muhadir Hj Joll akan memberi kupasan dan pencerahan yang terperinci bagaimana
persiapan diri para Sahabat dan Salafusoleh dalam menyambut bulan yang penuh
barakah ini.
Antaranya, beliau menulis,
“Sejak enam bulan Ramadan, mereka telah berdoa supaya bertemu dengan Ramadan
dan diberi kesihatan dan kesempatan beramal di dalamnya, dan enam bulan bermula
selepas Ramadan, mereka berdoa supaya diterima amal kebaikan yang dilakukan di
bulan Ramadan.”
*******
Allahu Akbar, ini baru
satu kisah. Banyak lagi kisah-kisah menarik para Sahabat dan Salafussoleh yang
dikongsikan dalam lembaran bulan ini. Kesimpulannya, hanya orang-orang yang
tahu hakikat Ramadan, akan girang gembira menanti kedatangannya, menangisi
pemergiannya jua merindu ketiadaannya. Menelusuri sirah mereka, terasa betapa
jauhnya hati kita dan hati mereka.
Namun, untuk mendapatkan
hati seperti mereka, kita perlulah mujahadah. Tanpa mujahadah, kita tidak akan
berjaya mendidik nafsu yang mana sifatnya
suka bermalas-malas untuk berbuat kebaikan, tetapi teruja dan seronok untuk
berbuat kejahatan.
Maka, Ramadanlah satu-satunya
bulan yang akan menyucikan kembali jiwa kita agar kembali ‘bercahaya’ dan
bersinar bak hati orang-orang yang soleh. Ahlan wa sahlan ya Ramadan.
Norhashimah Abd Rahman - Catatan Editor Anis Jun 2015
No comments:
Post a Comment