Showing posts with label Catatan Editor. Show all posts
Showing posts with label Catatan Editor. Show all posts

July 27, 2017

Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ahli rombongan bersua dengan seorang saudagar batu permata yang sangat murah hati. Beliau membuka premis perniagaannya berdekatan dengan Stadium Olimpik.

Saudagar ini ternyata sangat gembira apabila mendapat tahu kami datang dari Malaysia.  Awal-awal lagi beliau sanggup turun mengalu-alukan kedatangan kami semua ke premis syarikat beliau yang mengadap jalan menuju Stadium National Beijing yang lebih popular dengan bentuk sarang burungnya. 

Malah kedatangan kami juga dikejutkan dengan  hadiah berupa uncang merah berisi loket dari batu jed setiap seorang. Selepas ditunjuk dalam satu ujikaji kami tidak menyangka batu jed yang dihadiahkan itu benar-benar berkualiti tinggi. Lebih dari itu, usahawan ini sanggup memberi diskaun hebat jika kami membeli batu-batu permata di kedainya. Hmm... siapa yang tidak tergoda?

Begitulah hebatnya kuasa memberi, cetus hati saya. Ia bisa mencairkan hati sesiapa saja tanpa mengira bangsa atau agama. Namun perkara sebenar yang ingin saya kongsi ialah rahsia sebenar di sebalik kegembiraan si saudagar itu.  

Katanya, seperti ayahnya yang berasal dari Myanmar, dia juga punyai tiga orang isteri. Dan antara ketiga-tiga isterinya, isterinya yang berasal dari Ipoh, Perak telah memberikannya zuriat lelaki. Anak lelakinya baru berusia dua tahun. Masya-Allah, itulah sebab musababnya....

“Hanya satu yang saya pinta dari kamu semua iaitu doakan anak lelaki saya sihat sehingga dewasa,” ucapnya beberapa kali.

Satu fakta yang tidak boleh dinafikan di kalangan masyarakat Cina ialah mereka amat menyanjung tinggi anak lelaki berbanding anak perempuan. Kehadiran anak lelaki sangat penting kerana ia merupakan penyambung legasi sesebuah keluarga. Ini kisah benar yang berlaku di negara non-Muslim, di sebahagian negara-negara Islam yang lain apa kurangnya. Wanita masih dianggap warga kelas kedua kerana memberi ‘liabiliti’ atau beban terhadap keluarga. 

Ironisnya, sebenarnya sejak 1400 tahun lalu wahyu Ilahi telah pun turun menghapuskan pandangan ini. Al-Quran menjelaskan kesaksamaan gender lelaki mahupun wanita sepertimana disebut dalam Surah an-Nur. 

Surah an-Nur; satu surah yang mungkin kita terlepas pandang akan keistimewaannya.  Sedangkan di dalamnya diperincikan kedudukan dan peranan wanita dalam membentuk dan melahirkan generasi yang soleh. 
"
Wanita ibarat bunga-bungaan. Ini merupakan pemandangan di hadapan Stadium Olimpik Beijing yang lebih dikenali sebagai Bird Nest Stadium. 
Wanita ibarat batu pertama yang tiada ternilai harganya asalkan dia pandai menjunjung tinggi maruah dirinya. Lantaran itulah Sayidina Umar al-Khattab pernah menulis surat kepada penduduk Kuffah: “Ajarkanlah wanita-wanita Surah an-Nur.”
Begitu juga pesan Ummul Mukminin iaitu Sayidatina Aisyah r.a.; “Janganlah hanya mengajar anak-anak gadis kamu memegang alat dapur dan mengajar menulis semata-mata, tetapi ajarkanlah anak-anak gadis kamu Surah an-Nur dan menenun benang.” 

Jom kita hayati Surah an-Nur iaitu satu surah yang Allah Taala turunkan sebagai pembela kaum wanita.


October 21, 2015

Dari Kaca Mata ‘Insan Istimewa’


Saya sempat menemui Ummu Naufal atau nama sebenarnya Zahriah @ Nur Azura Mohd Faiz iaitu beberapa hari sebelum dia berangkat pulang ke Yanbu, Arab Saudi. Dia sempat meminta komen saya terhadap buku tulisannya, Balqis Di Mata Kami, Di Sisi-Nya. Sungguh... lidah saya ‘kelu’, tiada kata yang boleh menggambarkan perasaan sebenar!

“Bagi saya hanya insan terpilih sahaja yang boleh melalui ujian begini dan Allah Maha Mengetahui siapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang layak memikulnya... .”
Dia hanya tersenyum mendengarnya. Namun di sebalik senyuman manisnya itu saya fahami beban yang ditanggung pasti berganda-ganda berbanding saya yang hanya mampu sebak dan ‘menangis’ menghayati bait-bait katanya dalam buku ini.

Bersama Ummu Naufal (tengah), Penulis buku Balqis. 

Menghayati kisah benar ibu bapa yang membesarkan anak-anak Cerebral Palsy pada bulan ini (dalam kolum Eksklusif) pandangan mata hati kita bagai disingkap untuk melihat kehadiran anak-anak syurga (anak-anak kelainan upaya) dari sisi yang lain. 

Sebenarnya, ramai lagi insan-insan istimewa yang dipilih Allah menerima dugaan ini. Masih ingat kisah Meliah Md Diah yang berusia 101 tahun yang pernah menjadi viral di laman sosial. Warga emas ini tetap tabah menguruskan anak lelaki bongsunya sehingga akhir hayat.   

“Tak rasa beban nak jaga dia (Abd Rahman yang berusia 63 tahun). Dari dulu lagi mandi, makan, pakai baju semua tok (Meliah) buat. Kalau boleh nak jaga dia sampai bila-bila. Sayang dekat dialah ... tak mau pi (pergi) mana-mana nak dok (duduk) dengan dia sajalah," katanya kepada Bernama yang melaporkan berita ini.    

Sebagai seorang ibu, beliau tidak pernah menyesali nasib yang menimpanya dalam menjaga anak yang tidak sempurna seperti orang lain, sebaliknya tetap bersyukur dengan kurniaan dan dugaan yang melanda. Namun, ibu ‘istimewa’ ini pergi jua menyahut panggilan Ilahi pada 7 Ogos lalu dengan wasiat agar kebajikan anaknya itu terus dipelihara.

Sungguh – jika kita berada di dalam situasi begini – bagaimana pula reaksi kita? Redha atau mempersoalkan takdir menimpa? ANIS bulan ini cukup bertuah kerana dapat menemu bual pendakwah bebas dan juga Pengurus Besar KUISCELL iaitu Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.  Siapa menyangka beliau juga mempunyai pengalaman membesar bersama adik istimewa yang cacat pendengaran namun tetap cemerlang dalam akademik.

Pesannya, pada ibu bapa yang menerima anak kelainan upaya, jangan terlalu ‘fokus’ pada kelemahan si anak sehingga mengabaikan kelebihan-kelebihan lain yang ada pada si anak. Atas dasar itulah, rancangan 30 Minit Ustaz Don menyediakan khidmat jurubahasa isyarat bagi keperluan orang-orang istimewa mendalami agama. Hasilnya, jumlah penonton dari kalangan insan mreka semakin meningkat.

Ustaz Don Daniyal turut mengajak kita memandang anak-anak syurga ini dengan pandangan ilmu, kerana kedudukan istimewa mereka di sisi Allah. Ini kerana pada setiap penciptaan-Nya pasti terkandung rahsia yang ingin disampaikan. Insya-Allah, jika ini difahami maka tidak akan timbul lagi kisah-kisah golongan istimewa dipinggirkan dan disisihkan. Jadilah kita masyarakat yang saling mengasihi dan membahagiakan antara satu sama lain sejajar apa yang dituntut al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. 


September 09, 2015

Kisah Benar Lelaki 'Terlajak Laris'!

Sepetang bertemu dan berbual-bual bersama Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman, pengasas syarikat kosmetik yang terkenal dengan tagline ‘Terlajak Laris’ saya dan team ANIS akhirnya mengakui satu perkara. Benarlah yang bulat tidak akan datang tergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.

Saya yakin, kebanyakan kita mengkagumi pencapaian tokoh usahawan ini yang berjaya bergelar jutawan pada usia 28 tahun. Ironisnya, ramai yang tidak nampak kegagalan demi kegagalan yang beliau tempuhi sebelum menempah tiket kejayaan. Sebagai insan berjiwa besar, beliau akui tidak terkesan dan ambil pusing dengan segala kata-kata nista, cemuhan, termasuk pernah diludah dan menerima ugutan bunuh. Dugaan juga datang dalam bentuk dibomohkan dan disihirkan (sila baca penuh kisah beliau di kolum Personaliti ANIS di ms: 32).

Apabila direnungkan kisah-kisah sebegini, ia bukan sesuatu yang diragui. Manusia-manusia yang diserang gejala Phd (penyakit hasad dengki) tetap wujud sampai bila-bila. Lantaran itu Allah mengingatkan manusia tentang bahaya sifat hasad dengki dan iri hati apabila tidak dikawal dengan iman. 

Al-Quran ada menceritakan bagaimana Iblis yang asalnya adalah ketua bagi malaikat sanggup ‘berpatah arang’ apabila diminta sujud kepada Nabi Adam a.s. Dek percaya asal-usul dirinya lebih mulia berbanding Adam a.s., maka ia mengisytiharkan permusuhan sehingga hari kiamat.

Serangan licik Iblis laknatullah bermula apabila Adam a.s. dan isterinya Hawa tersingkir daripada syurga. Namun dendamnya tidak akan puas lalu melalui konco-konconya, jin dan syaitan akan terus menyerang makhluk manusia dengan pelbagai cara.

Berdepan dengan musuh yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, Rasulullah SAW tinggalkan kita al-Quran dan as-Sunnah sebagai pedoman hidup. Sunnah Nabi SAW itu sendiri bukan saja mendidik kita menjadi hamba Allah yang kamil (sempurna) tetapi ia benteng yang ‘original’ dan paling ampuh menangkis serangan sihir, ilmu hitam dan segala penyakit berkaitan. Umpamanya, ucapan salam yang diucap sebelum memasuki rumah secara automatik ia adalah benteng agar syaitan tidak dapat masuk. Begitu juga adab-adab dan doa yang Baginda SAW anjurkan sebagai amalan.

Semua kupasan mengenainya akan dikupas satu persatu oleh Al-Fadhil Ustaz Muhadir Hj Mohd Joll selaku Penasihat Syariah Galeri Ilmu Media Group. Antara yang dikupas ialah kenapa wanita sering menjadi sasaran makhluk halus? Bagaimana membenteng diri daripada penyakit ‘ain – sihir yang disampaikan melalui pandangan mata. Apakah amalan-amalan untuk pagar diri, keluarga dan rumah? Semuanya akan terjawab dalam SUMBU ANIS bulan ini – BENTENG DIRI DARI SIHIR.  Akhir kalam, selamat menyambut Aidil Adha daripada kami semua.  

Berikut ialah foto-foto seputar sesi fotografi Team ANIS bersama Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman di Wisma D’Herbs yang terletak di Kota Damansara, Selangor. 

Kenalkah siapa insan ini?

"ANIS Majalah terlajak hebat!" kata Dato' Aliff Terlajak Laris. 

Semuanya tersenyum ceria biarpun agak kepenatan bilamana penggambaran selesai jam 5.00 petang pada bulan Ramada lalu. 


 
Akhirnya inilah pilihan terbaik cover ANIS September yang menampilkan Dato' Aliff Syukri dan isteri. Nak tahu kenapa beliau diancam dapatkan jawapannya dalam ANIS. 

August 10, 2015

Masam Manis Alam Pertunangan


”Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami).” (Adz-Dzariyat 51: 49)

Fitrah insan untuk saling punya pasangan memang diciptakan sejak kejadian Adam dan Hawa. Apabila hati sudah berkenan – maka syariat hadir untuk mengindahkan lagi perjalanan hidup bakal suami isteri yang akan memakmurkan bumi Allah ini dengan generasi soleh dan solehah.

Selepas melamar atau peminangan terjadi antara seorang lelaki kepada seorang wanita, maka proses seterusnya ialah pertunangan. Perlu kita fahami, pada asalnya majlis pertunangan bukanlah sesuatu yang dituntut. Ia lebih kepada adat bertujuan untuk menyatakan bahawa kedua-dua pihak benar-benar serius dan bersetuju untuk mendirikan rumah tangga pada satu masa yang persetujui bersama. Namun, ia tidak salah diikuti asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Hari ini kita melihat pelbagai fenomena terjadi dalam masyarakat moden yang serba canggih dan ’advance’ dalam setiap perkara. Tujuan majlis pertunangan dan pengisiannya tidak lagi seperti dahulu. Seingat saya, dahulu si jejaka sama sekali tidak dibenarkan ikut serta. 

Hari ini si lelaki dan perempuan siap disandingkan di atas pelamin walaupun masih bukan mahram. Bagi yang berkemampuan, mungkin mampu mengadakan majlis pertunangan secara besar-besaran bak majlis perkahwinan. Malah, ada pula yang mengadakan majlis pertunangan sejam sebelum majlis pernikahan berlangsung.

Seboleh mungkin biarlah ia berlangsung dalam suasana sederhana. Tanpa pembaziran, tanpa menyusahkan mana-mana pihak biarpun kita berkemampuan. Bayangkan berapa banyak wang dibelanjakan demi sebuah majlis pertunangan? Itu belum lagi majlis perkahwinan yang sudah pasti memakan belanja yang bukan sedikit. Begitulah yang terjadi dan akan berterusan selagi mana kita bahagia melayani kehendak selera.

Apa yang perlu dititikberatkan ialah pengisian kedua-dua belah pihak semasa tempoh pertunangan. Sebagai orang tua, kitalah yang mengemudi hidup anak; pesan-pesankan agar menjaga batas pergaulan kerana bertunang bukan ‘tiket’ halal untuk bebas berdua-duaan. Pasakkan dalam fikiran agar sepanjang tempoh pertunangan, beriltizamlah untuk mempersiapkan diri ke arah lebih baik sebelum menuju ke gerbang perkahwinan.

Itulah keutamaan yang perlu ditanamkan kepada kedua-dua bakal suami isteri agar rumah tangga dibina kelak sentiasa dalam barakah-Nya. Moga-moga dengan pencerahan Sumbu ANIS kali ini iaitu Saya Dah Bertunang...! menjadi bekal bermakna sepanjang perjalanan. Keberkatan dalam rumah tangga mesti diusahakan dengan menjaga sekecil-kecil perkara kerana insya-Allah, nikmat ketenangan akan dirasai sepanjang usia perkahwinan. 

Kepada pembaca setia ANIS, JANGAN lupa dapatkan naskhah terbaharu ini. Jika ada sebarang komen atau cadangan sila emelkan ke: majalahanis@yahoo.com atau shimahabdulrahman@gmail.com. 




June 05, 2015

'Hati’ Kita vs ‘Hati’ Mereka


Seorang gadis bersimpuh di satu sudut dengan penuh anggun. Di wajahnya terpancar seribu resah. Persalinan indah yang membalut tubuh tidak dapat merawat gundah gulana di hati – dalam saat menanti detik-detik bersejarah diri bakal diijabkabulkan. 

Di sudut yang lain pula si jejaka yang bakal bergelar suami, juga sedang ‘berperang’ hebat dengan debar rasa yang tidak ketahuan. Jika digenggam jari-jemarinya, seram sejuk boleh dirasai.

Demikian pengalaman hebat yang boleh dikatakan dialami setiap insan yang pernah melangkah ke gerbang perkahwinan. Ia satu perasaan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Peralihan satu fasa baru dalam hidup di mana air mata boleh menitis dan jatuh berderai walaupun ditahan-tahan. 

Ia juga satu fasa yang disambut penuh syukur apabila masing-masing selamat bergelar suami dan isteri. Kelegaan membayangkan betapa ‘peritnya’ persiapan yang telah diatur begitu rapi. Berbulan-bulan, bahkan mungkin bertahun-tahun untuk bersama dengan orang yang dicintai sepenuh hati.  

****** 

Bagaimana pula dengan perasaan kita di saat menanti Ramadan yang bakal menjelang? Apakah perasaan teruja kita juga sebegitu rupa? Bagaimana pula cara kita menyambut ‘ganjaran’ istimewa yang dijanjikan Allah dengan pahala berlipat kali ganda? Apakah  keghairahan kita menyambut ‘tetamu agung’ ini semakin meningkat dari tahun ke tahun? Persoalan-persoalan inilah yang mahu kita tanyakan pada hati.

Justeru, ANIS kali ini mahu mengajak diri kami dan juga  semua pembaca untuk muhasabah diri. Semaklah ‘riak’ hati kita dalam menanti detik-detik Ramadan Karim. Semakin dekat Ramadan menjelang, adakah semakin hebat jiwa bergelodak?  

Pada bulan ini, Ustaz Muhadir Hj Joll akan memberi kupasan dan pencerahan yang terperinci bagaimana persiapan diri para Sahabat dan Salafusoleh dalam menyambut bulan yang penuh barakah ini.

Antaranya, beliau menulis, “Sejak enam bulan Ramadan, mereka telah berdoa supaya bertemu dengan Ramadan dan diberi kesihatan dan kesempatan beramal di dalamnya, dan enam bulan bermula selepas Ramadan, mereka berdoa supaya diterima amal kebaikan yang dilakukan di bulan Ramadan.”

*******

Allahu Akbar, ini baru satu kisah. Banyak lagi kisah-kisah menarik para Sahabat dan Salafussoleh yang dikongsikan dalam lembaran bulan ini. Kesimpulannya, hanya orang-orang yang tahu hakikat Ramadan, akan girang gembira menanti kedatangannya, menangisi pemergiannya jua merindu ketiadaannya. Menelusuri sirah mereka, terasa betapa jauhnya hati kita dan hati mereka. 

Namun, untuk mendapatkan hati seperti mereka, kita perlulah mujahadah. Tanpa mujahadah, kita tidak akan berjaya mendidik nafsu yang mana sifatnya suka bermalas-malas untuk berbuat kebaikan, tetapi teruja dan seronok untuk berbuat kejahatan.
 

Maka, Ramadanlah satu-satunya bulan yang akan menyucikan kembali jiwa kita agar kembali ‘bercahaya’ dan bersinar bak hati orang-orang yang soleh. Ahlan wa sahlan ya Ramadan.    

Norhashimah Abd Rahman - Catatan Editor Anis Jun 2015

May 27, 2015

Derhaka Tanpa Sedar


Luhurnya kasih sayang seorang ibu pernah membuatkan Sayidatina Aisyah bt. Abu Bakar menitiskan air mata. Dalam sebuah kisah diriwayatkan oleh Ahmad, Sayidatina Aisyah r.a. pernah menceritakan kisah seorang ibu dan dua orang anaknya. Mereka datang meminta makanan. 

Sayidatina Aisyah r.a. berkata, “Saya pun beri tiga biji kurma kepada si ibu. Si ibu membahagi-bahagikan kurma itu sesama mereka. Semasa si ibu menyuapkan kurma itu ke mulutnya, tiba-tiba anak-anaknya memandang ke arah ibu mereka. Ibu itu meluahkan kembali kurma itu lalu membelahnya. Setiap anaknya itu mendapat separuh daripada kurma milik si ibu. Hatiku tersentuh lalu mataku basah melihat mereka.

Tiba-tiba Nabi Muhammad SAW masuk dan bertanya, “Mengapa kamu menangis, wahai Aisyah?” Saya menjawab, “Wahai pesuruh Allah, saya terharu melihat kasihnya ibu pada anak-anaknya. “Saya pun menceritakan peristiwa yang baru berlaku sebentar tadi.”  




Begitulah fitrah kasih seorang ibu – di hatinya tersemadi kasih sayang yang tidak pernah  bernoktah! Di sebalik kelembutan, dia mempunyai kekuatan yang amat luar biasa. Dengan kekuatan emosi yang Allah anugerahkan, seorang ibu sanggup mengorbankan kesenangan dirinya demi membahagiakan insan-insan di sekelilingnya termasuklah anak-anak.  

Mengenang pengorbanan dan kasih sayang ibu, bukan sahaja agama Islam, agama mana pun melarang sama sekali penganutnya menderhakai kedua-dua ibu bapa. Al-Quran menukilkan perintah ini dalam firman-Nya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, dan (ingatlah) kepada Aku-lah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”. (Luqman: 14)

Sempena Hari Ibu yang diraikan bulan ini, ANIS mengangkat tema APABILA IBU MELAHIRKAN ‘TUAN’, bagi menghurai fenomena lahirnya anak-anak derhaka sebagai petanda akhir zaman. Fenomena yang disebut dalam hadis Nabi SAW ini akan dikupas secara terperinci oleh Ustaz Khafidz Soroni dan juga Ustazah Maznah Daud dalam Sumbu ANIS bulan ini.

Pendakwah bebas iaitu Ustaz Abdullah Mahmud juga menghurai lebih lanjut ciri-ciri kederhakaan seorang anak yang boleh menyebabkan kita terjebak dalam lembah kemurkaan-Nya. Antara lain, beliau mengupas istilah ‘anak derhaka’ yang sering disalah tafsir kepada sikap seorang anak terhadap ibu bapa yang masih hidup sahaja. 

Sedangkan kederhakaan seorang anak itu masih boleh terus berlaku walaupun setelah kedua orang tua meninggal iaitu apabila anak-anak tidak melakukan ketaatan kepada perintah Allah. Nauzubillah min zalik. Mudah-mudahan kita dijauhkan daripada melakukan sifat derhaka ini tanpa sedar. Insaflah, walau sebesar mana pun jasa dicurahkan kembali si anak, tidakkan mampu membalas pengorbanan seorang ibu hatta setitis air susunya. Wallahu’ alam. 

Akhir kata, bingkiskan selalu doa ini;
“Ucapkanlah wahai anak, ‘Ya Tuhanku, kasihilah kedua-dua ibu bapaku sepertimana mereka berdua mengasihi aku sewaktu aku kecil’.” (Al-Isra’ : 24)


Catatan Editor Anis Mei 2015

April 21, 2015

Wanita Dulu, Wanita Sekarang

Bolehkah dikatakan cabaran wanita hari ini cukup berbeza dengan wanita zaman dulu?
Pada saya, jawapannya boleh jadi ya dan tidak. Kenyataan ini ada benarnya jika kita merujuk situasi melanda kehidupan wanita era milenium ini.

Saban pagi sudah menjadi satu pemandangan biasa, melihat para wanita sama-sama beriringan keluar rumah untuk sama-sama mencari rezeki. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, saya fikir ramai wanita tidak mampu ‘duduk diam’ dan membiarkan suami  sahaja yang bertungkus-lumus mencari nafkah.

Apakah wanita-wanita dahulu tidak merasai kemelut yang melanda wanita hari ini? Pengalaman dibesarkan ibu yang menjadi suri rumah sepenuh masa pada era 70-an, wanita-wanita era itu juga turut membuat ‘side-income’ sama ada mengasuh anak jiran di rumah, berniaga kecil-kecilan malah apa saja aktiviti untuk membantu kaum bapa.

Itu belum lagi difikirkan kemudahanan prasana yang serba daif. Jika di kampung, penduduknya masih bermandikan air telaga dan berlampukan gasolin di malam hari. Menoreh getah, bersawah bendang dan berkebun - itu antara sumber pendapatan utama sebelum ekonomi negara tumbuh rancak sehingga apa yang dilihat pada hari ini.  

Wanita hari ini lebih bertuah kerana peluang diberikan untuk mereka menerima pendidikan dan seterusnya meluaskan karier dalam bidang yang diminati.  Bahkan ramai wanita hari ini mampu memikul jawatan-jawatan penting sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta.

Sememangnya, Islam tidak menghalang wanita untuk membina karier walaupun pada asalnya isteri tidak dipertangungjawabkan mencari nafkah demi menyara diri apatah lagi keluarga. Namun sekiranya mereka mahu bekerja, wanita wajib patuh pada beberapa syarat:

1.      Mendapat keizinan suami
2.      Keluar dengan menutup aurat
3.      Elakkan pergaulan bebas dan berdua-duan dengan lelaki di tempat kerja
4.      Pastikan pekerjaan itu halal di sisi syarak
5.      Ada persepakatan antara suami dan isteri.

Kedua-dua suami isteri perlu fahami apa yang dilaksanakan isteri adalah untuk membantu suami. Bukannya mengambil alih tugas wajib suami dalam mencari nafkah keluarga. Walaupun isteri kaya atau berkerjaya sekalipun, kewajipan tetap pada suami. 

Walau bagaimanapun, isteri boleh membantu suami sekiranya suami tidak mampu menampung ekoran kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat dan seterusnya menghalang suami dari menunaikan tanggungjawab tersebut.

Pada wanita pula, perbelanjaan yang dicurahkan untuk keluarga hasil titik peluhnya akan dikira sebagai satu sedekah yang pastinya punya ganjaran berlipat kali ganda di sisi-Nya.
Inilah panduan yang perlu dihadamkan bersama agar tidak timbul konflik dan perselisihan berpanjangan di kemudian hari. Insya-Allah, semua persoalan ini bakal dijawab melalui kupasan SUMBU ANIS iaitu Bermudah-mudah Soal Nafkah?

ANIS kali ini mendapatkan dua orang tokoh iaitu Ustaz Shahrizan b Daud At-Turabi dan Dr. Nik Salida Suhaila, untuk berkongsi isu kali ini.

Semoga perkongsian kali ini dapat menghurai kekusutan
Ambillah panduan berlandaskan agama

Insya-Allah, rumah tangga pasti bahagia. 

- Norhashimah Abd Rahman 
Catatan Editor Anis April 2015 - 


Dapatkan isu Anis April 2015 yang menampilkan Ustazah Norhafizah Musa sebagai penghias kaver. Semoga bermanfaat. 

March 02, 2015

Cinta Secangkir Kopi






Mutakhir ini, ada pelbagai jenama kopi di pasaran. Kopi Tongkat Ali, Kopi Radix antara jenama kopi popular berkonsepkan ‘3 in 1’ yang sempat diingati. Sungguh, tak terbayang dalam fikiran melihat kopi berubah wajah begitu sekali. 

Sebagai anak kampung, suatu ketika dahulu hanya melihat kopi dihasilkan oleh orang-orang kampung - dari usaha menanam, memetik, menjemur kemudian memanggang kopi dan akhir sekali kopi tersebut ditumbuk demi mendapatkan serbuknya. Apabila dibancuh, aduh... baunya cukup menambat sukma!

Kini, walau zaman sudah berubah dan kopi telah bertukar wajah, namun perisa utamanya iaitu serbuk kopi tetap menjadi ‘hard core’ dalam pembuatannya.  Biar apapun jenama yang bakal hadir, namun keistimewaan perisa utamanya tetap ‘maintain’ sampai bila-bila. 

Falsafah keunikan kopi ini boleh dikaitkan dengan kehidupan berumah tangga. Tanyalah pada mana-mana pasangan di dunia ini – pasti semuanya mengakui (hatta dalam diam) hidup berumah tangga tak seindah apa yang dibayangkan sewaktu alam perkenalan mahupun alam percintaan. 

Nyata, semakin jauh melangkah, semakin banyak liku-liku yang pernah ditempuhi.  Dan secara realiti, setiap era dan fasa perkahwinan tersebut punya takah-takah ujian tersendiri. Di sinilah kepercayaan, kesetiaan dan keserasian setiap pasangan akan teruji!  

Sumbu ANIS kali ini mengupas isu 3’K’ Resipi Bahagia iaitu bagaimana mencipta dan menyuburkan kepercayaan, kesetiaan dan keserasian dalam rumah tangga. Tidak dinafikan, cabaran dunia hari ini begitu rumit. Interaksi begitu mudah terjalin dan ia menjadi salah satu faktor kes-kes kecurangan rumah tangga. 

Perasaan syak wasangka dan macam-macam rasa lagi boleh menjadi racun yang menghancurkan kebahagiaan. Namun apakah tidak salah menaruh syak wasangka kepada pasangan sebagai langkah berjaga-jaga? Dan andai kata cinta dan kasih sayang dikhianati, apakah tindakan yang patut diambil?  
Insya-Allah, melalui temu bual Bicara Tokoh bersama dua orang tokoh pendakwah dan perunding motivasi iaitu Dr. Robiah K Hamzah dan Ustazah Asni Abu Mansor Al-Hafizah, pelbagai tip dirumuskan sebagai benteng diri menghadapi cabaran dalam rumah tangga dalam penuh gelora.

Secara kesimpulan empat tip di bawah elok diamalkan bagi membina dan memupuk 3K tersebut ialah:
1.      Renungkan makna perkahwinan itu sendiri yang diikat dengan kalimah Allah SWT.
2.      Suami isteri adalah pakaian antara satu sama lain.
3.      Setiap pasangan mesti berkorban membuang perkara yang menimbulkan ketidakselesaan pada pasangan.
4.      Insafi, hidup ini hanya sementara. 

Untuk mempertahankan rasa cinta, setiap pasangan haruslah membangunkan cinta abadi kepada Pemilik Cinta yang hakiki iaitu Allah Yang Maha Pencipta. Untuk mempertahankan kesetiaan dan kepercayaan tidak cukup hanya pada pasangan, tetapi pupuklah kesetiaan terhadap Allah SWT.    
Insya-Allah, usaha dan ikhtiar perlu diselarikan dengan doa dan harapan pada-Nya agar kita dapat melangkah sama-sama ke syurga idaman yang dijanjikan.  Amin. 

Selamat membaca. 

Dapatkan Anis edisi Mac 2015 yang menampil blogger Sepet sebagai penghias cover.

February 12, 2015

Sedekahnya Ibarat Angin Kencang

Anis Februari 2015 yang menampilkan blogger Maria Elena Zarul yang berkongsi panduan kepada para blogger.

“Apa aku akan dapat? Aku pun susah juga, tak ada siapa pun nak tolong... .” Dialog hati seperti ini sering merantai hati. Itulah sifat hati - mahu buat baik tetapi masih berkira-kira.
 
Oleh itu, formula utama untuk suburkan sifat pemurah dan suka memberi, kita perlu selalu mujahadah. Mula-mula terasa sakit, tetapi bila sudah selalu dibuat, pasti terasa manisnya. Dalam soal bersedekah, sering ingatkan janji-janji Allah yang pasti tidak akan dimungkiri. 

Firman-Nya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji, dan (ingatlah), Allah akan melipat-gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnianya, lagi meliputi ilmu pengetahuannya.” (Al-Baqarah 2: 261)

Dalam kitab Syamail Rasulullah SAW, Cahaya Di Atas Cahaya yang disunting dan disempurnakan oleh Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam, yang dipetik daripada kitab Sairus Salikin susunan Syeikh Abdus Samad al-Falimbani diperjelaskan satu persatu sifat pemurahnya Rasulullah SAW. Baginda tidak pernah menghampakan sesiapa yang berhajat kepadanya. Malah sifat pemurah Baginda itu dikatakan begitu kencang di bulan Ramadan, hingga diibaratkan seperti angin kuat yang berhembus.  

Pernah suatu ketika Baginda SAW menerima wang sebanyak 90 dirham, lalu diletakkan di atas tikar dan wang itu dibahagi-bahagikan. Tiada seorang pun yang meminta melainkan dibahagikan dan dihabiskan semuanya. Tiba-tiba datang seorang lelaki dan meminta sesuatu kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda, “Sayang sekali saya sudah tidak punyai apa-apa lagi, tetapi belilah sesuatu dengan berhutang dan hutangnya itu di bawah tanggungan saya. Saya akan membayarnya.”

Sayidina Umar Ibnu al-Khattab yang menyaksikan peristiwa itu menegur Nabi, “Ya Rasulullah, Allah SWT tentunya tidak akan memaksa sesuatu yang tuan tidak mampu melakukannya.” Nabi SAW ternyata kurang senang mendengar ucapan Sayidina Umar r.a. 

Tiba-tiba lelaki tadi bersuara, “Belanjakanlah hartamu dan janganlah kamu takut kekurangan dari Tuhan yang menguasai Arasy.” Mendengarnya, terpancar kegembiraan yang jelas terukir pada wajah Baginda yang mulia itu.  

SUMBU ANIS bulan ini mengangkat tema kelebihan sifat memberi dan bersedekah. Insya-Allah, semakin kita memberi semakin murah rezeki kita. Dapatkan tip-tip untuk mengikhlaskan hati dalam memberi dan bagaimana wanita selaku isteri dan ibu mahu terapkan sifat baik ini kepada sesama ahli keluarga. Sama-samalah kita menyuluh diri.







Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...