Showing posts with label Kisah Masyarakat. Show all posts
Showing posts with label Kisah Masyarakat. Show all posts

September 20, 2018

Keunikan Rumoh Aceh


Rumoh Aceh ini adalah rumah adat bagi masyarakat Aceh. Lokasi Rumoh Aceh ini ialah di dalam pekarangan Muzium Nasional Aceh. Rumoh Aceh ini merupakan rumah tradisional yang dipamerkan di Pameran Kolonial di Semarang pada tahun 1914. Ia mempamerkan koleksi peribadi Kurator Muzium Aceh pada waktu itu iaitu F.W. Stammehous selain barangan pembesar Aceh yang lain. Ia memenangi 4 medal emas, 11 perak dan penghargaan kerana menjadi pavilion paling lengkap. Rumah ini dikembalikan ke negeri Aceh yang kemudian dirasmikan pada 31 Julai 1915 sebagai Muzium Aceh.

Apa uniknya Rumoh Aceh ini?

Rumoh Aceh merupakan rumah panggung memiliki ketinggian yang sesuai dengan reka bentuk rumah ini. Kebiasaannya tingginya sekitar 2.5 hingga 3 meter dari atas tanah. Di dalamnya terdapat tiga atau lima ruangan utama. Dengan keluasan rumah ini sudah pasti ia memerlukan tiang yang banyak untuk menyangga iaitu antara 16 tiang ( bagi rumah yang mempunyai 3 ruang) sehingga 28 tiang (bagi rumah yang mempunyai lima ruang).

Bahagian rumah

Rumah ini dibina kepada tiga ruang utama:
1.      Seuramou-keu (serambi depan) – ruang menerima kedatangan tetamu lelaki. Ia juga menjadi tempat tidur dan tempat makan tamu lelaki. Di sini ruang untuk anak-anak belajar mengaji dan dijadikan ruang berkumpul ketika upacara kenduri atau perkahwinan.  

2.      Seramao-likoot (serambi belakang), ruang untuk menerima tamu perempuan dan lokasinya ialah di bahagian belakang rumah. Ia juga boleh menjadi tempat tidur dan makan tamu kaum perempuan.
3.      Rumoh-Inong (rumah induk) terletak di antara serambi depan dan belakang. Posisi lantainya dibina lebih tinggi berbanding kedua serambi di atas. Ruang ini dianggap suci dan sangat peribadi. Di bahagian hujungnya didirikan kamar untuk ketua keluarga dan anak yang sudah mendirikan rumah tangga.

4.      Rumoh-dapu (dapur), yang terletak di bahagian belakang atau bersambung dengan serambi belakang. Lantainya lebih rendah berbanding lantai serambi belakang.

Pembinaan

1.       Sebelum membina rumah secara bergotong-royong, masyarakat gampong akan mengadakan mesyuarat bersama keluarga dan meminta nasihat daripada Tengku (para ulama). 

2.      Atap - ia diperbuat dari rumbia. Jika terjadi kebakaran atap rumbia boleh diturunkan hanya dengan memotong salah satu tali pengikat yang dibuat dari rotan dan ijuk. Jadi ia mengelak api dari cepat merebak.

3.      Pintu masuk – ia terletak di bawah rumah dan setiap orang yang ingin masuk harus menyondol pintu dengan kepala supaya terbuka dan boleh masuk.  

4.      Bahagian bawah rumah dipanggil miyop moh digunakan sebagai ruang bersantai dan melakukan aktiviti seperti menumbuk padi, menenun kain (bagi wanita) dan tempat anak-anak bermain. Pelbagai benda diletak di sini seperti jeungki (penumbuk padi) dan kroeng (bekas menyimpan padi).

5.      Pembinaan rumah ini membuktikan kepakaran seni bina masyarakat Aceh terdahulu kerana ia langsung tidak menggunakan paku, sebaliknya ia hanya menggunakan pasak dan tali rotan. Rumah ini juga dikatakan tahan gempa.

Rumah Aceh yang terdapat di perkarangan Muzium Nasional Aceh Darussalam. 

Dekorasi berasaskan flora dan fauna serta rona yang menyerlah. 

      Rumoh Aceh dibina menghadap arah utara-selatan agar sinar matahari dapat memasuki rumah dari kedua-dua arah dan mengelakkan rumah mudah roboh.
    Semakin indah perhiasan awan larat menentukan kedudukan pemilik rumah di kalangan masyarakat.



Suasana di bahagian Serambi Depan yang khusus untuk menerima kedatangan tetamu lelaki. 

Ruangan dapur yang dipenuhi dengan barangan dapur. Ruang ini biasanya didiami oleh kaum ibu dan anak perempuan. 


Bilik pengantin yang berhias seni tekat Aceh yang menawan hati. 

Apabila anak perempuan Aceh yang sudah berkahwin mereka akan diberikan bilik khas. 

Lampu atau Panyot yang diperbuat daripada tembaga. 

Pintu yang dibina melentang dan berciri keselamatan. 

Penutup kepala masyarakat Aceh mengikut daerah masing-masing. 



1.      

       



July 27, 2017

Wanita - Permata Yang Tidak Ternilai

Ada satu peristiwa cukup menjentik hati saya ketika berpeluang ke Beijing hujung tahun 2012. Hari terakhir di sana, Allah izinkan saya dan ahli rombongan bersua dengan seorang saudagar batu permata yang sangat murah hati. Beliau membuka premis perniagaannya berdekatan dengan Stadium Olimpik.

Saudagar ini ternyata sangat gembira apabila mendapat tahu kami datang dari Malaysia.  Awal-awal lagi beliau sanggup turun mengalu-alukan kedatangan kami semua ke premis syarikat beliau yang mengadap jalan menuju Stadium National Beijing yang lebih popular dengan bentuk sarang burungnya. 

Malah kedatangan kami juga dikejutkan dengan  hadiah berupa uncang merah berisi loket dari batu jed setiap seorang. Selepas ditunjuk dalam satu ujikaji kami tidak menyangka batu jed yang dihadiahkan itu benar-benar berkualiti tinggi. Lebih dari itu, usahawan ini sanggup memberi diskaun hebat jika kami membeli batu-batu permata di kedainya. Hmm... siapa yang tidak tergoda?

Begitulah hebatnya kuasa memberi, cetus hati saya. Ia bisa mencairkan hati sesiapa saja tanpa mengira bangsa atau agama. Namun perkara sebenar yang ingin saya kongsi ialah rahsia sebenar di sebalik kegembiraan si saudagar itu.  

Katanya, seperti ayahnya yang berasal dari Myanmar, dia juga punyai tiga orang isteri. Dan antara ketiga-tiga isterinya, isterinya yang berasal dari Ipoh, Perak telah memberikannya zuriat lelaki. Anak lelakinya baru berusia dua tahun. Masya-Allah, itulah sebab musababnya....

“Hanya satu yang saya pinta dari kamu semua iaitu doakan anak lelaki saya sihat sehingga dewasa,” ucapnya beberapa kali.

Satu fakta yang tidak boleh dinafikan di kalangan masyarakat Cina ialah mereka amat menyanjung tinggi anak lelaki berbanding anak perempuan. Kehadiran anak lelaki sangat penting kerana ia merupakan penyambung legasi sesebuah keluarga. Ini kisah benar yang berlaku di negara non-Muslim, di sebahagian negara-negara Islam yang lain apa kurangnya. Wanita masih dianggap warga kelas kedua kerana memberi ‘liabiliti’ atau beban terhadap keluarga. 

Ironisnya, sebenarnya sejak 1400 tahun lalu wahyu Ilahi telah pun turun menghapuskan pandangan ini. Al-Quran menjelaskan kesaksamaan gender lelaki mahupun wanita sepertimana disebut dalam Surah an-Nur. 

Surah an-Nur; satu surah yang mungkin kita terlepas pandang akan keistimewaannya.  Sedangkan di dalamnya diperincikan kedudukan dan peranan wanita dalam membentuk dan melahirkan generasi yang soleh. 
"
Wanita ibarat bunga-bungaan. Ini merupakan pemandangan di hadapan Stadium Olimpik Beijing yang lebih dikenali sebagai Bird Nest Stadium. 
Wanita ibarat batu pertama yang tiada ternilai harganya asalkan dia pandai menjunjung tinggi maruah dirinya. Lantaran itulah Sayidina Umar al-Khattab pernah menulis surat kepada penduduk Kuffah: “Ajarkanlah wanita-wanita Surah an-Nur.”
Begitu juga pesan Ummul Mukminin iaitu Sayidatina Aisyah r.a.; “Janganlah hanya mengajar anak-anak gadis kamu memegang alat dapur dan mengajar menulis semata-mata, tetapi ajarkanlah anak-anak gadis kamu Surah an-Nur dan menenun benang.” 

Jom kita hayati Surah an-Nur iaitu satu surah yang Allah Taala turunkan sebagai pembela kaum wanita.


May 22, 2017

Travelog Aceh 2017 - Part 1


Gumpalan awan yang indah menata pandangan mata mengiringi kembara ke Aceh buat kali kedua. 
Memandang ke luar, perasaan saya berdebar-debar dan sangat teruja!

23 Mac 2017
Syukur saya panjatkan kepada-Mu ya Allah, yang telah mengabulkan hajat ini. Hajat apakah itu?
Dahulu... 2009 – bukanlah satu tempoh masa yang singkat. Ini bererti sudah tujuh tahun berlalu pergi ketika mana saya mengembara buat kali pertama ke bumi Aceh. 

Aceh Darussalam - satu destinasi yang tidak ada dalam kamus hidup saya sama sekali. Namun sebuah filem berjudul Cut Nyak Dien menjadi pemangkin semangat saya untuk mencedok sedikit sebanyak tentang keistimewaan bumi Aceh.

Apa lagi selepas itu Tsunami Aceh yang cukup menggemparkan seluruh dunia dengan angka korban sebanyak 280,000 jiwa turut menghentak minda separa sedar saya tentang apa yang ada di sebalik daerah istimewa ini. Selepas kejadian ini banyak negara termasuk Malaysia berpusu-pusu menghulur tangan membantu Aceh yang bagaikan padang jarak padang terkukur selepas ditimpa musibah maha dahsyat ini. Aceh yang sebelum ini bagaikan tertutup dan terselindung dari perhatian dunia dek konflik perang yang berpanjangan, membuka gerbang pintunya seluas-luasnya kepada seluruh dunia! 

Sungguh, saya masih terbayangkan wajah anak-anak yatim yang saya temui, sewaktu melewati kota Meulaboh. Kota ini terletak kira-kira 400 lebih kilometer dari Banda Aceh. Perjalanan enam jam meredah gunung ganang dan lurah untuk sampai ke sana ternyata cukup mencabar minda!  Di sana saya menemui dua sosok tubuh anak yatim yang kerinduan kasih sayang ibu bapa mereka yang hilang bersama arus tsunami. Cut Meutia dan Jasman Abu Bakar; kedua-dua wajah anak yatim ini menjadikan jantung hati saya robek lalu gugur air mata kerana teringatkan nasib anak sendiri di tanah air.

Sehingga saat ini, kotak fikiran saya belum mampu melupuskan kisah-kisah bebaur emosi  mangsa-mangsa tsunami yang terselamat dari tragedi tsunami yang terjadi pada detik jam 8.25 pagi tanggal 26 Disember 2004. Meulaboh yang menjadi ibu kota Kabupaten Aceh Barat dilanda kemusnahan yang teruk iaitu 70 peratus berikutan posisinya yang begitu hampir dengan pusat gempa.

Semua kisah tersebut sentiasa tersemat dalam hati lantas saya semadikan untuk tatapan umum dalam makalah Anis bersempena lima tahun tsunami Aceh (keluaran September dan Oktober 2009) Pemergian saya ke sana bersama team NGO iaitu Islamic Relief Malaysia dan turut berkolaborasi dengan Islamic Relief Indonesia yang menjalankan aktiviti membantu mangsa-mangsa tsunami di Aceh. Saya satu-satunya jurnalis wanita selain Zarita Kassim yang merupakan penerbit rancangan Secangkir Kasih - radio IKIMfm. Bersama grup kami juga Helmi Mohd Fuad (Utusan) dan Farouq (IRM) serta Ibu Herawati, Senior Officer IRI.

Satu team lagi diwakili Abang Mat (jurufoto RTM), Kamaruzzaman (Metro), Tuan Asmawi, Farish (Bernama TV) dan Kak Mariah serta Tuan Zawahir (Pengerusi IRM) ketika itu. Beliau sekarang mengemudi Islamic Aid Malaysia. 

Selepas enam hari (dari 21 hingga 26 Jun 2009) kami menjelajah dan dalam masa yang sama menghayati keindahan hutan Aceh bermula dari pekan Inderapuri kemudian Tangse terus ke Meulaboh, kami kemudian kembali semula ke Banda Aceh dengan menyusuri jalan pantai di sepanjang Parat Barat Aceh. Kami sempat singgah tidur semalam di Hotel Pantai Barat, Calang. Calang merupakan ibu kota Aceh Jaya yang total musnah (99%) dalam tsunami. Sewaktu kami sampai ia ibarat pekan koboi (kecil sekali) dan malamnya begitu sunyi sepi.

Sepanjang melalui jalan pantai yang kedua terpanjang di dunia ini (menurut Ustaz Mujiburrizal ketua grup Musafir Travel & Tours di Aceh) ini, sukar sekali saya nyatakan perasaan hati ini tatkala melihat tinggalan rumah-rumah, sawah bendang, stesen minyak dan hanya tinggal tiang dan tapaknya saja. "Allah... Allah... Allah..." hati terus sebak memikirkan dahsyatnya hentaman tsunami ini dan diri terpaku seketika dengan kebesaran Allah yang boleh menjadikan sesuatu itu berlaku hanya dengan berkata 'kun' (jadi) fayakun (jadilah).

Tinggalan rumah yang dimusnah oleh Tsunami Aceh 26 Disember 2004. 

Selepas pulang, sya mengira itulah lawatan pertama dan terakhir saya ke bumi Tanah Rencong dan digelari Serambi Mekah ini. Walaupun pada hakikatnya, hati saya sentiasa merindui untuk kembali ke sini lagi. Saya tidak pasti bila...

Masya-Allah, Tabarakallah... Allah yang Maha mengetahui setiap detik hati ini - impian untuk kembali lagi menjadi satu kenyataan rupanya. Seakan tidak percaya apabila saya mendengar kapten kapal terbang AirAsia KL-Banda Aceh membuat pengumuman mengatakan kapal terbang Air Asia yang saya naiki bersama teman-teman musafir bakal mendarat tidak lama lagi.

Kami yang telah berkumpul dari jam 11 pagi (disertai dua grup dari Sabah dan Semenanjung) bertolak tepat jam 1.00 tengahari waktu Malaysia dari KLIA2 dan dijangka tiba tepat pada 1.50 petang waktu tempatan. Cuaca sangat baik hari itu tetapi agak panas dengan suhu mencecah 29 Celsius.

Saat hampir tiba, saya memandang ke bawah. Hamparan hijau seumpama rumput baldu bakal menyambut ketibaan saya dan rakan-rakan. Awan-awan indah menghasilkan lukisan alam bagai menyahut kami agar segera turun.

Bila mana kaki pesawat mencecah dan menyentuh lantai bumi Aceh di Bandara Sultan Iskandar Muda dengan selamat, saya sudah tidak sabar-sabar lagi. Saya segera mengeluarkan beg sandang yang sarat dengan buku nota juga kamera, pita rakaman untuk merakam setiap detik perjalanan ini. 
"Sabar dulu... biar kita tunggu semua orang turun," pujuk Kak Azian Ahmad, kakak dan juga sahabat baik yang beria-ria mengajak kami menjejak kembali kebesaran Allah di bumi Aceh.  

Terima kasih ya Allah, sudi mengabulkan hajat hamba ini.

Sungguh benar firman-Mu, "Dan tiadalah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar, yang Kami wahyukan kepada mereka. Maka mengapa orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu tidak mengembara di muka bumi, supaya memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka. Dan (ingatlah) sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu mengapa kamu (wahai manusia) tidak mahu memikirkannya?"

(Yusuf: ayat 109)


Kenangan ke Banda Aceh-Meulaboh-Calang bersama Friska, Yanti dan Herawati serta Farouq (petugas IRM). Kami bergambar kenangan di Suak Pandan, melihat sumbangan NGO ini pada penduduk tempatan.

Rombongan Cik Kiah dari KL. Pn Azian yang sediakan kari ikan sedap...!
Seronokkan berkelah beramai-ramai, isi perut sebelum kita sampai ke destinasi. 



October 21, 2015

Dari Kaca Mata ‘Insan Istimewa’


Saya sempat menemui Ummu Naufal atau nama sebenarnya Zahriah @ Nur Azura Mohd Faiz iaitu beberapa hari sebelum dia berangkat pulang ke Yanbu, Arab Saudi. Dia sempat meminta komen saya terhadap buku tulisannya, Balqis Di Mata Kami, Di Sisi-Nya. Sungguh... lidah saya ‘kelu’, tiada kata yang boleh menggambarkan perasaan sebenar!

“Bagi saya hanya insan terpilih sahaja yang boleh melalui ujian begini dan Allah Maha Mengetahui siapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang layak memikulnya... .”
Dia hanya tersenyum mendengarnya. Namun di sebalik senyuman manisnya itu saya fahami beban yang ditanggung pasti berganda-ganda berbanding saya yang hanya mampu sebak dan ‘menangis’ menghayati bait-bait katanya dalam buku ini.

Bersama Ummu Naufal (tengah), Penulis buku Balqis. 

Menghayati kisah benar ibu bapa yang membesarkan anak-anak Cerebral Palsy pada bulan ini (dalam kolum Eksklusif) pandangan mata hati kita bagai disingkap untuk melihat kehadiran anak-anak syurga (anak-anak kelainan upaya) dari sisi yang lain. 

Sebenarnya, ramai lagi insan-insan istimewa yang dipilih Allah menerima dugaan ini. Masih ingat kisah Meliah Md Diah yang berusia 101 tahun yang pernah menjadi viral di laman sosial. Warga emas ini tetap tabah menguruskan anak lelaki bongsunya sehingga akhir hayat.   

“Tak rasa beban nak jaga dia (Abd Rahman yang berusia 63 tahun). Dari dulu lagi mandi, makan, pakai baju semua tok (Meliah) buat. Kalau boleh nak jaga dia sampai bila-bila. Sayang dekat dialah ... tak mau pi (pergi) mana-mana nak dok (duduk) dengan dia sajalah," katanya kepada Bernama yang melaporkan berita ini.    

Sebagai seorang ibu, beliau tidak pernah menyesali nasib yang menimpanya dalam menjaga anak yang tidak sempurna seperti orang lain, sebaliknya tetap bersyukur dengan kurniaan dan dugaan yang melanda. Namun, ibu ‘istimewa’ ini pergi jua menyahut panggilan Ilahi pada 7 Ogos lalu dengan wasiat agar kebajikan anaknya itu terus dipelihara.

Sungguh – jika kita berada di dalam situasi begini – bagaimana pula reaksi kita? Redha atau mempersoalkan takdir menimpa? ANIS bulan ini cukup bertuah kerana dapat menemu bual pendakwah bebas dan juga Pengurus Besar KUISCELL iaitu Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.  Siapa menyangka beliau juga mempunyai pengalaman membesar bersama adik istimewa yang cacat pendengaran namun tetap cemerlang dalam akademik.

Pesannya, pada ibu bapa yang menerima anak kelainan upaya, jangan terlalu ‘fokus’ pada kelemahan si anak sehingga mengabaikan kelebihan-kelebihan lain yang ada pada si anak. Atas dasar itulah, rancangan 30 Minit Ustaz Don menyediakan khidmat jurubahasa isyarat bagi keperluan orang-orang istimewa mendalami agama. Hasilnya, jumlah penonton dari kalangan insan mreka semakin meningkat.

Ustaz Don Daniyal turut mengajak kita memandang anak-anak syurga ini dengan pandangan ilmu, kerana kedudukan istimewa mereka di sisi Allah. Ini kerana pada setiap penciptaan-Nya pasti terkandung rahsia yang ingin disampaikan. Insya-Allah, jika ini difahami maka tidak akan timbul lagi kisah-kisah golongan istimewa dipinggirkan dan disisihkan. Jadilah kita masyarakat yang saling mengasihi dan membahagiakan antara satu sama lain sejajar apa yang dituntut al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. 


October 13, 2015

Catatan Dari Yanbu, Arab Saudi

Seminggu yang lalu, saya membuka laman Facebook. Apabila musim 'deadline' menjelang, saya hanya mampu membaca status rakan-rakan terkini sepintas lalu. Letih minta menatap aksara demi aksara membuatkan saya seringkali hilang 'mood' untuk menulis di laman sosial. Allahu Akbar, faktor usia barangkali. 

Tiba-tiba mata tertancap pada catatan rasa di Timeline Ummu Naufal. Respon beliau dari yang kejauhan iaitu di Yanbu, Arab Saudi amat menyentuh hati saya, malah hati tiba-tiba sebak dan mahu luruh air mata dibuatnya. 

Dan sebelum menyambung kembali rutin kerja saya menyemak dan menyelia artikel-artikel untuk isu November 2015 ini, saya menarik nafas panjang lalu mengaminkan doa tulus ikhlas yang dititipkan buat kami warga kerja Majalah Anis dan seluruh kakitangan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. 

"Ya Allah, Kau jadikan ini sebagai saksi-saksi yang akan kami bawa ketika mana menghadap-Mu. Moga Kau jadikan ini sebagai amal yang ikhlas di sisi-Mu. Amin... ."

ANIS OKTOBER 2015 yang menampilkan kisah-kisah insan terpilih iaitu Ummu Naufal, Hassan Suyut, Afidah Ayob dan Anis Maya - bacalah dan hayatilah bagaimana mereka mencipta bahagia dalam membesarkan anak-anak syurga. 

 Alhamdulillah, akhirnya Majalah Anis keluaran Oktober 2015 ini sampai jua ke bumi Saudi. Saya membelek satu persatu helaian Majalah Anis ini. Keluaran bulan ini begitu sarat dengan kisah-kisah Anak Istimewa, Anak Syurga.

Saya yakin pihak Galeri Ilmu begitu 'committed' dalam membawa kesedaran perihal anak-anak ini dalam masyarakat kita. Malah enam  tahun yang lalu, melalui majalah Anis inilah saya mendapatkan buku 'Kembara Atiq Wazif 1: Satu Anugerah' lalu pengalaman mereka sekeluarga dijadikan panduan buat kami sekeluarga pula dalam mendapatkan rawatan Balqis hingga ke Amerika.

Kini siapa sangka, kisah Balqis pula dipaparkan di ruangan Eksklusif - menceritakan pengembaraan kami sekeluarga, juga kisah perkongsian pengalaman Anis Maya dan Afidah Ayob dalam membesarkan anak Cerebral Palsi di dalam keluarga mereka. Diharap agar ramai lagi ibu bapa di luar sana yang juga punya anak istimewa mendapat panduan dan motivasi diri yang luar biasa. Juga agar masyarakat bertambah prihatin dan mudah menyantuni serta memahami keperluan kehidupan yang berbeza yang dilalui oleh anak istimewa dan keluarga mereka.

Membaca Catatan Editor awal-awal lagi sudah membuatkan saya berair mata;
"Dia hanya tersenyum mendengarnya. Namun di sebalik senyuman manisnya itu saya fahami bebanan yang ditanggung pasti berganda-ganda berbanding saya yang hanya mampu sebak dan menangis menghayati bait-bait katanya dalam buku ini."

Benarlah kata-kata 'dari mata jatuh ke hati'. Tidak disangka mata yang melihat senyuman yang saya hulurkan ketika pertemuan saya bersama Editor Anis Puan Norhashimah, beberapa hari sebelum saya berangkat pulang ke Saudi, sampai ke lubuk hatinya. Dari senyuman itu beliau dapat membaca apa yang tersimpan rapi, yang sukar dinyatakan dengan kata-kata lalu cuma senyuman dapat dilemparkan sebagai pengubat jiwa. Sungguh tidak saya duga, ia tetap boleh dibaca. Maka catatan ringkas beliau di ruang ini sudah cukup membuatkan menitisnya air mata saya. Subhanallah.

Di ruang Dari Menara UniKL, Prof Kamil pula menulis dari hatinya;
"Akhirnya saya pasti Balqis, Aiman dan Atiq Wazif akan kembali ke syurga, insya-Allah dan saya doakan ibu bapa mereka bersama adik-beradik yang lain mengikut sama. Kami meyakini mereka akan menunggu kesemua mereka yang melayani beliau sebagai ujian Allah dengan senyuman dan ucap selamat seumpama mereka yang lain. Mudah-mudahan kami dapat memerhatikan saat-saat indah ini."

Lalu menitis-nitis lagi air mata ini selesai mengakhiri membaca perenggan terakhirnya.
Segala ilmu dan maklumat yang dikongsikan di dalam Majalah Anis ini dan segala yang diusahakan oleh pihak Galeri Ilmu Sdn. Bhd. untuk ummah ini, saya yakin sungguh besar ganjaran di sisi-Nya. Semoga setiap warga mereka dianugerahkan syurga-Nya di sana.

Ummu Naufal ~Dari Yanbu Kami Bercerita~

Akhir kata, sebelum mengundurkan diri, saya inign mengucapkan Salam Maal Hijrah 1437H buat semua pembaca blog ini. Sempena Maal Hijrah ini, marilah sama-sama kita berazam untuk berhijrah menuju Allah. 



May 27, 2015

Derhaka Tanpa Sedar


Luhurnya kasih sayang seorang ibu pernah membuatkan Sayidatina Aisyah bt. Abu Bakar menitiskan air mata. Dalam sebuah kisah diriwayatkan oleh Ahmad, Sayidatina Aisyah r.a. pernah menceritakan kisah seorang ibu dan dua orang anaknya. Mereka datang meminta makanan. 

Sayidatina Aisyah r.a. berkata, “Saya pun beri tiga biji kurma kepada si ibu. Si ibu membahagi-bahagikan kurma itu sesama mereka. Semasa si ibu menyuapkan kurma itu ke mulutnya, tiba-tiba anak-anaknya memandang ke arah ibu mereka. Ibu itu meluahkan kembali kurma itu lalu membelahnya. Setiap anaknya itu mendapat separuh daripada kurma milik si ibu. Hatiku tersentuh lalu mataku basah melihat mereka.

Tiba-tiba Nabi Muhammad SAW masuk dan bertanya, “Mengapa kamu menangis, wahai Aisyah?” Saya menjawab, “Wahai pesuruh Allah, saya terharu melihat kasihnya ibu pada anak-anaknya. “Saya pun menceritakan peristiwa yang baru berlaku sebentar tadi.”  




Begitulah fitrah kasih seorang ibu – di hatinya tersemadi kasih sayang yang tidak pernah  bernoktah! Di sebalik kelembutan, dia mempunyai kekuatan yang amat luar biasa. Dengan kekuatan emosi yang Allah anugerahkan, seorang ibu sanggup mengorbankan kesenangan dirinya demi membahagiakan insan-insan di sekelilingnya termasuklah anak-anak.  

Mengenang pengorbanan dan kasih sayang ibu, bukan sahaja agama Islam, agama mana pun melarang sama sekali penganutnya menderhakai kedua-dua ibu bapa. Al-Quran menukilkan perintah ini dalam firman-Nya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, dan (ingatlah) kepada Aku-lah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”. (Luqman: 14)

Sempena Hari Ibu yang diraikan bulan ini, ANIS mengangkat tema APABILA IBU MELAHIRKAN ‘TUAN’, bagi menghurai fenomena lahirnya anak-anak derhaka sebagai petanda akhir zaman. Fenomena yang disebut dalam hadis Nabi SAW ini akan dikupas secara terperinci oleh Ustaz Khafidz Soroni dan juga Ustazah Maznah Daud dalam Sumbu ANIS bulan ini.

Pendakwah bebas iaitu Ustaz Abdullah Mahmud juga menghurai lebih lanjut ciri-ciri kederhakaan seorang anak yang boleh menyebabkan kita terjebak dalam lembah kemurkaan-Nya. Antara lain, beliau mengupas istilah ‘anak derhaka’ yang sering disalah tafsir kepada sikap seorang anak terhadap ibu bapa yang masih hidup sahaja. 

Sedangkan kederhakaan seorang anak itu masih boleh terus berlaku walaupun setelah kedua orang tua meninggal iaitu apabila anak-anak tidak melakukan ketaatan kepada perintah Allah. Nauzubillah min zalik. Mudah-mudahan kita dijauhkan daripada melakukan sifat derhaka ini tanpa sedar. Insaflah, walau sebesar mana pun jasa dicurahkan kembali si anak, tidakkan mampu membalas pengorbanan seorang ibu hatta setitis air susunya. Wallahu’ alam. 

Akhir kata, bingkiskan selalu doa ini;
“Ucapkanlah wahai anak, ‘Ya Tuhanku, kasihilah kedua-dua ibu bapaku sepertimana mereka berdua mengasihi aku sewaktu aku kecil’.” (Al-Isra’ : 24)


Catatan Editor Anis Mei 2015

February 23, 2015

Part 5: Travelog Beijing - Mak Angkat di China



Mak angkat saya di China... .


Tandas selalu menjadi isu yang cukup sensitif. Bukan saja ketika mahu berkelana ke mana-mana negara, di tanah air sendiri pun ia boleh bertukar menjadi isu yang emosional. Ketika trip ke Beijing dahulu, saya tidak boleh lupakan ungkapan ini, “Don’t worry, don’t worry, four star...!” Namun, realitinya, Allahu Rabbi.. . Tapi, tidak mengapa lain padang lain belalang. Pujuk hati saya. Itulah asam garam yang perlu kita lalui. 

Namun, jangan bimbang kerana bukan semua tempat begitu. Apa yang boleh saya katakan rata-rata tandas yang terletak di dalam masjid-masjid di sekitar bandar Beijing, boleh diberi angka lima bintang. Agak saya, ini adalah buah ataupun hasil dari garapan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya menjaga kebersihan, tidak kira di benua mana mereka berada. Ironisnya, apa agak pula tanggapan orang bukan Islam andai datang ke negara kita, kemudian melihat betapa kotornya tandas-tandas kita!

Kerana tandas...
Saya bersyukur kerana dek terperangkap di sebuah tandas, membuahkan satu momen indah buat saya. Gara-gara mencari tempat perlindungan dari perangkap cuaca  sejuk yang mencengkam tulang, ketersengajaan ini membuka ruang sesi perkenalan yang dikenang-kenang sampai saat ini.  

Ketika rakan-rakan lain menunaikan solat di ruang solat wanita di Masjid Niujie, saya pula dalam keuzuran syarie, masuk semula ke ruang tandas. Jangan bayangkan tandas di sini umpama tandas di tanah air kita yang spektikal binaannya. Tandas di masjid ini begitu bersih dan dibahagikan kepada dua ruang – satu ruang khas utuk mengambil wuduk dan satu ruang lagi disediakan khas untuk qada hajat. Ada dua bilik khas untuk mandi-manda disediakan. 

Di ruang tengah di depan bilik untuk mandi-manda itulah saya duduk sebentar di kerusi yang tersedia. Saya mula bersapa-sapa ringan dengan Mak Cik Fatimah Ma, 58, yang sedari awal menjadi penyambut tetamu pelancong-pelancong yang singgah di situ. “No kencing, no kencing,” suara kuatnya memberi amaran agar tiada yang buang air kecil di bilik mandi-manda.
Saya mula menegurnya. Pada mulanya kami berdua bercakap umpama ayam dan itik tetapi ia semakin rancak dengan bantuan seorang pemandu pelancong wanita yang kebetulan berada di situ. Pemandu pelancong warga tempatan itu bernama Jenny, mengetuai satu lagi bas rombongan lain dari Malaysia. 

Mak cik Fatimah Ma bercerita tentang kisah hidupnya. Katanya, dahulu dia adalah seorang tukang jahit tetapi kini dia rela menghabiskan sisa-sisa hidupnya dengan berkhidmat di Masjid Niujie terutama untuk membantu keperluaan pelancong wanita. Apatah lagi satu-satunya anak perempuan nya telah pun  mendirikan rumah tangga, maka tidak hairanlah dia banyak meluangkan masanya di sini tanpa mengharap apa-apa bayaran.  

Sebaik menyatakan hasrat hati untuk mencoret kisahnya, dia terus mendakap saya dengan begitu erat. Saya betul-betul terkejut. Dia terus menarik tangan saya lalu mengajak saya keluar.
“Lai... lai... (mari, mari).” Itu saja yang saya faham. Tangan saya ditarik dan akhirnya saya dibawa memasuki satu bilik kecil. Saya begitu teruja mahu lihat apa yang mahu ditunjukkan. 

Rasa kagum menerpa
Mak cik Fatimah terus mengeluarkan sebuah buku kecil dari almari di dinding bilik itu. Terus dia meletakkan di atas meja. Saya membaca judul buku kecil itu yang bertajuk 300 Perkataan Bahasa Melayu. Mak cik Fatimah juga mengeluarkan sebuah buku log panjang yang ditulis dengan kalimah-kalimah dalam tulisan Cina sambil menyebut beberapa kali istilah Bahasa Melayu seperti makan, minum dan lain-lain lagi.
 
Apabila saya membetulkan kembali sebutannya, dia mengangguk dan tersenyum gembira. Masya-Allah, rasa kagum terus meresap ke sanubari.  Kebanjiran pelancong Malaysia ke Beijing turut dimanfaatkan Mak cik Fatimah dengan mempelajari Bahasa Melayu. Usai menunjukkan buku tersebut saya dan rakan-rakan kembara merakam kenangan dengan bergambar beramai-ramai. 
Ketika lensa kamera saya merakam, Mak cik Fatimah terus berteriak beberapa kali dengan bangganya, “Mak China! Mak China!” sambil menepuk dadanya. 

Pada rakan-rakan yang direzekikan bertemu dengan warga emas ini, kirimkan salam sayang saya buatnya. Mudah-mudahan saya dikurniakan rezeki lagi bertemunya di masjid nan bersejarah ini!

Sila lihat foto-foto yang lain. Yang pasti ia meninggalkan memori manis yang sukar dilupakan. 

Seorang diri menunggu di ruang luar solat wanita - cuaca sejuk mencengkam tulang.

Lakonan semula - untuk paparan kolum Jalan-jalan Cari Iman dalam Majalah Anis, tajaan MASholidays.



Buku log Mak Cik Fatimah Ma.

Saya dan Marzhatul Syima (Editor Majalah Asuh) bergambar kenangan dengan Mak Cik Fatimah Ma. Kembara ini mendekatkan kami pada kebesaran-Nya.

February 12, 2015

Nantikan 14 Februari 2015 Ini


4 Februari 2015:


10.30 pagi: 

Saya dan Zuarida Mohyin dari Meja Agama Utusan antara yang awal tiba.  Kami berdua terus menulis kedatangan masing-masing di kaunter hadapan. Hajah Jalilah masih mundar-mandir mencari ‘parking’ yang sudah penuh di sekitar Restoran Rebung, Bangsar.  

Agak lama kami menunggu, akhirnya ikon yang dinanti-nantikan sudah pun tiba. Khabarnya mereka baru saja tiba dari Kuching, Sarawak lantas terus bergegas ke lokasi sidang media ini.
Noh Salleh (Hujan) dan isterinya, Mizz Nina tampil kacak dan anggun dan manis sekali.  Kehadiran mereka berdua adalah sebagai ikon bagi Kempen ‘Cantik Di Mata…’ pada saya begitu tepat sekali. Ini memandangkan kedua-duanya telah berhijrah sekembali dari ibadah haji yang menyaksikan transformasi diri anak seni ini.  

Kini, atas tiket untuk beramal dan melaksanakan dakwah-street, pasangan ini sudi berkerjasama dengan Islamic Aid Malaysia (sebuah pertubuhan NGO), sukarelawan dari kumpulan MOCA (Malaysian’s On Covering Aurah) dan Salam.fm JAKIM untuk sama-sama mengadakan kempen ini serentak  pada 14 Februari 2015 ke seluruh Malaysia. Malah Majalah Anis khususnya sudi menjadi rakan media program ini bagi memperluaskan dan menguar-uarkan kempen ini yang sewajarnya diteruskan pada masa akan datang.  

Dalam ucapan perasmian, YBhg Dato’ Ismail Noor, Penolong Pengarah Kanan, Media JAKIM berkata, tujuan kempen ini ialah untuk memberi kesedaran kepada seluruh masyarakat Malaysia khususnya golongan belia mengenai larangan menyambut Hari Kekasih. 

“Hari Kekasih atau Valentine Day itu sebenarnya diambil daripada nama paderi bernama Valentino yang membantu golongan Kristian diketuai Ratu Isabella untuk menjatuhkan kerajaan Islam di Sepanyol. Oleh itu fatwa mengenai larangan menyambut Hari Valentine ini sudah diuar-uarkan sebelum ini diharap diambil berat dan sewajarnya generasi muda tidak terikut-ikut dengan budaya yang bertentangan agama ini,” ujarnya.

Kata beliau lagi, pada kempen ini pihak penganjur akan menggunakan ruang tersebut untuk memberi pendedahan kepada golongan bukan Muslim khususnya, tentang kelebihan menutup aurat serta cara menutup aurat yang betul supaya kelihatan cantik di mata baik untuk golongan Muslimin ataupun Muslimah. 

Kempen ini akan dilaksanakan serentak pada 14 hb Februari 2015 di 14 buah lokasi yang berbeza dan melibatkan aktiviti dakwah jalanan atau street-dakwah dengan pengagihan risalah dan barangan percuma kepada orang ramai.

Untuk makluman, kempen program ini akan berjalan serentak di seluruh negara di mana majlis pelancaran kempen ini adakan diadakan di lokasi berikut:

Lokasi: Ruang Legar, Masjid Putra, Putrajaya.

Tarikh: 14 Februari 2015

Masa : 9.30 pagi hingga 12.30 tengahari.

Lokasi Kempen?
1. Johor – Plaza Kotaraya, Jalan Trus, Johor Bharu.
2. Sabah – Masjid Bandaraya, Kota Kinabalu.
3. Perlis – Kompleks Arau, Perlis.
4. Kedah – Taman Jubli Emas, Alor Star.
5. Melaka – Mahkota Parade
6. Sarawak – Waterfront Kuching & India Street
7. Kelantan – KB Mall, Kota Bharu.
8. Kuala Lumpur – Sogo & Masjid India
9. Trengganu – Pantai Batu Buruk
10. Pahang – Telok Chempedak
11. Penang – Sunway Carnival, Seberang Jaya
12. Selangor – AEON, Kajang, Selangor
13. Negeri Sembilan – Terminal One, Seremban
14. Perak – Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh. 
  
      JOM BERSELFIE/ WELFIE:
Kempen ini juga menggunakan pendekatan media sosial dengan menggalakkan orang ramai menghantar gambar dengan cara berikut:
1.       Gambar Berselfie atau Berwelfie yang dihantar hendaklah dalam keadaan sopan dan menutup aurat. (kempen ini juga terbuka kepada lelaki dan wanita bukan Muslim)
2.       Mesej yang disampaikan tidak melebihi 30 patah perkataan. Contoh: #SayaTutupAurat kerana….
3.       Anda boleh menghantar seberapa banyak penyertaan tetapi hanya satu penyertaan yang akan disenarai pilih oleh pihak penganjur.
4.       Gambar yang dihantar mestilah gambar asli dan bukan gambar yang telah dimuat turun dari internet atau milik orang lain.
5.       Gambar yang diedit tidak diterima pakai.
6.       Gambar dan mesej yang disampaikan tidak boleh menyentuh sensitiviti agama atau bangsa lain.
7.       Sila like Page Islamic Aid Malaysia sebagai syarat kelayakan penyertaan dan hantar gambar dan mesej tersebut dan taip #iam4humanity


Ganjaran Untuk Pemenang?
Islamic Aid Malaysia akan memilih 3 gambar ‘berselfie atau berwelfie’ berserta mesej yang terbaik dan layak menyertai misi kemanusiaan Islamic Aid Malaysia di luar Negara bersama ikon kempen ‘Cantik Di Mata…’ pada satu tarikh yang ditetapkan. 

Ayuh bersama kami di ruang legar Masjid Putra, Putrajaya pada 14 Februari ini. Kredit foto kepada Islamic Aid Malaysia.



Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...