Showing posts with label Gerbang Perkahwinan. Show all posts
Showing posts with label Gerbang Perkahwinan. Show all posts

August 10, 2015

Masam Manis Alam Pertunangan


”Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami).” (Adz-Dzariyat 51: 49)

Fitrah insan untuk saling punya pasangan memang diciptakan sejak kejadian Adam dan Hawa. Apabila hati sudah berkenan – maka syariat hadir untuk mengindahkan lagi perjalanan hidup bakal suami isteri yang akan memakmurkan bumi Allah ini dengan generasi soleh dan solehah.

Selepas melamar atau peminangan terjadi antara seorang lelaki kepada seorang wanita, maka proses seterusnya ialah pertunangan. Perlu kita fahami, pada asalnya majlis pertunangan bukanlah sesuatu yang dituntut. Ia lebih kepada adat bertujuan untuk menyatakan bahawa kedua-dua pihak benar-benar serius dan bersetuju untuk mendirikan rumah tangga pada satu masa yang persetujui bersama. Namun, ia tidak salah diikuti asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Hari ini kita melihat pelbagai fenomena terjadi dalam masyarakat moden yang serba canggih dan ’advance’ dalam setiap perkara. Tujuan majlis pertunangan dan pengisiannya tidak lagi seperti dahulu. Seingat saya, dahulu si jejaka sama sekali tidak dibenarkan ikut serta. 

Hari ini si lelaki dan perempuan siap disandingkan di atas pelamin walaupun masih bukan mahram. Bagi yang berkemampuan, mungkin mampu mengadakan majlis pertunangan secara besar-besaran bak majlis perkahwinan. Malah, ada pula yang mengadakan majlis pertunangan sejam sebelum majlis pernikahan berlangsung.

Seboleh mungkin biarlah ia berlangsung dalam suasana sederhana. Tanpa pembaziran, tanpa menyusahkan mana-mana pihak biarpun kita berkemampuan. Bayangkan berapa banyak wang dibelanjakan demi sebuah majlis pertunangan? Itu belum lagi majlis perkahwinan yang sudah pasti memakan belanja yang bukan sedikit. Begitulah yang terjadi dan akan berterusan selagi mana kita bahagia melayani kehendak selera.

Apa yang perlu dititikberatkan ialah pengisian kedua-dua belah pihak semasa tempoh pertunangan. Sebagai orang tua, kitalah yang mengemudi hidup anak; pesan-pesankan agar menjaga batas pergaulan kerana bertunang bukan ‘tiket’ halal untuk bebas berdua-duaan. Pasakkan dalam fikiran agar sepanjang tempoh pertunangan, beriltizamlah untuk mempersiapkan diri ke arah lebih baik sebelum menuju ke gerbang perkahwinan.

Itulah keutamaan yang perlu ditanamkan kepada kedua-dua bakal suami isteri agar rumah tangga dibina kelak sentiasa dalam barakah-Nya. Moga-moga dengan pencerahan Sumbu ANIS kali ini iaitu Saya Dah Bertunang...! menjadi bekal bermakna sepanjang perjalanan. Keberkatan dalam rumah tangga mesti diusahakan dengan menjaga sekecil-kecil perkara kerana insya-Allah, nikmat ketenangan akan dirasai sepanjang usia perkahwinan. 

Kepada pembaca setia ANIS, JANGAN lupa dapatkan naskhah terbaharu ini. Jika ada sebarang komen atau cadangan sila emelkan ke: majalahanis@yahoo.com atau shimahabdulrahman@gmail.com. 




April 21, 2015

Wanita Dulu, Wanita Sekarang

Bolehkah dikatakan cabaran wanita hari ini cukup berbeza dengan wanita zaman dulu?
Pada saya, jawapannya boleh jadi ya dan tidak. Kenyataan ini ada benarnya jika kita merujuk situasi melanda kehidupan wanita era milenium ini.

Saban pagi sudah menjadi satu pemandangan biasa, melihat para wanita sama-sama beriringan keluar rumah untuk sama-sama mencari rezeki. Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, saya fikir ramai wanita tidak mampu ‘duduk diam’ dan membiarkan suami  sahaja yang bertungkus-lumus mencari nafkah.

Apakah wanita-wanita dahulu tidak merasai kemelut yang melanda wanita hari ini? Pengalaman dibesarkan ibu yang menjadi suri rumah sepenuh masa pada era 70-an, wanita-wanita era itu juga turut membuat ‘side-income’ sama ada mengasuh anak jiran di rumah, berniaga kecil-kecilan malah apa saja aktiviti untuk membantu kaum bapa.

Itu belum lagi difikirkan kemudahanan prasana yang serba daif. Jika di kampung, penduduknya masih bermandikan air telaga dan berlampukan gasolin di malam hari. Menoreh getah, bersawah bendang dan berkebun - itu antara sumber pendapatan utama sebelum ekonomi negara tumbuh rancak sehingga apa yang dilihat pada hari ini.  

Wanita hari ini lebih bertuah kerana peluang diberikan untuk mereka menerima pendidikan dan seterusnya meluaskan karier dalam bidang yang diminati.  Bahkan ramai wanita hari ini mampu memikul jawatan-jawatan penting sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta.

Sememangnya, Islam tidak menghalang wanita untuk membina karier walaupun pada asalnya isteri tidak dipertangungjawabkan mencari nafkah demi menyara diri apatah lagi keluarga. Namun sekiranya mereka mahu bekerja, wanita wajib patuh pada beberapa syarat:

1.      Mendapat keizinan suami
2.      Keluar dengan menutup aurat
3.      Elakkan pergaulan bebas dan berdua-duan dengan lelaki di tempat kerja
4.      Pastikan pekerjaan itu halal di sisi syarak
5.      Ada persepakatan antara suami dan isteri.

Kedua-dua suami isteri perlu fahami apa yang dilaksanakan isteri adalah untuk membantu suami. Bukannya mengambil alih tugas wajib suami dalam mencari nafkah keluarga. Walaupun isteri kaya atau berkerjaya sekalipun, kewajipan tetap pada suami. 

Walau bagaimanapun, isteri boleh membantu suami sekiranya suami tidak mampu menampung ekoran kos sara hidup yang semakin hari semakin meningkat dan seterusnya menghalang suami dari menunaikan tanggungjawab tersebut.

Pada wanita pula, perbelanjaan yang dicurahkan untuk keluarga hasil titik peluhnya akan dikira sebagai satu sedekah yang pastinya punya ganjaran berlipat kali ganda di sisi-Nya.
Inilah panduan yang perlu dihadamkan bersama agar tidak timbul konflik dan perselisihan berpanjangan di kemudian hari. Insya-Allah, semua persoalan ini bakal dijawab melalui kupasan SUMBU ANIS iaitu Bermudah-mudah Soal Nafkah?

ANIS kali ini mendapatkan dua orang tokoh iaitu Ustaz Shahrizan b Daud At-Turabi dan Dr. Nik Salida Suhaila, untuk berkongsi isu kali ini.

Semoga perkongsian kali ini dapat menghurai kekusutan
Ambillah panduan berlandaskan agama

Insya-Allah, rumah tangga pasti bahagia. 

- Norhashimah Abd Rahman 
Catatan Editor Anis April 2015 - 


Dapatkan isu Anis April 2015 yang menampilkan Ustazah Norhafizah Musa sebagai penghias kaver. Semoga bermanfaat. 

March 12, 2013

Berdandanlah Cara Nabi



Mencari teladan dalam hidup berumah tangga, selak kembali sirah Nabi Muhammad SAW.

Sering diriwayatkan bahawa baginda apabila hendak bersama dengan isteri-isterinya, baginda akan memakai bau-bauan wangi seperti ambar dan kasturi.

“Baginda akan bersihkan diri dengan mandi dan berwuduk terlebih dahulu. Ini menunjukkan kebersihan diri itu penting dalam hubungan suami isteri,” ujar Datin Sharifah Anisah Prof Tan Sri Syed Agil Barakbah dalam satu majlis diskusi mengenai ‘Rahsia Sihat Anggun Wanita’kira-kira 5 tahun lalu.

Katanya dalam sebuah hadis qudsi mengatakan, Allah itu Indah dan Dia menyukai sesuatu yang indah. Hadis ini membawa mesej agar para wanita tampil anggun dan menawan di hadapan suami. Dalam mengekalkan kekemasan diri, cukuplah air sebagai penyeri diri. Mandilah selalu terutamanya selepas memasak sebelum menghidang makanan di depan suami. Hatta hendak memilih ‘perfume’ pun, Datin Sharifah Anisah menyarankan wanita elok minta pandangan suami.

“Wanita elok tanya pandangan suami ‘perfume’ mana yang lebih dia sukai. Tidak terlalu kuat sehingga mengganggu pernafasan orang sekeliling kita pula, pakailah yang sederhana dan lembut baunya. Dalam rumah tangga elok berbincang, kalau tak boleh berbincang itu bukan berumah tangga namanya,” ulasnya memberi pandangan dalam soal berkaitan penampilan diri sebagai seorang isteri.

Memasak dan menyediakan hidangan boleh.Tapi seorang isteri juga mesti tahu keutamaan dirinya. Selepas menyiapkan hidangan bersiap dan berdandanlah untuk diri sendiri dan suami. Seperti mana kemas dan rapinya kita hendak keluar rumah, begitulah terlebih lagi untuk suami yang kita sayang dan hormati.

Rahsia Penjagaan Diri: Suami dan Isteri



"Bercantik-cantik dan
berdandanlah dari awal
kahwin sampai ke akhir
hayat. Suami dan isteri mesti
sama-sama berperanan
untuk mencipta bahagia
rumah tangga."



“Eh! Mama pakai cantik-cantik ni, nak pergi mana? “Tak ke mana-mana, duduk rumah aje…” Si anak hanya terkulat-kulat memandang wajah ibu yang bersolek rapi. Pelik sekali dia melihat perangai ibu pagi itu, selalunya kalau ibu bercantik-cantik begitu, itu tanda ibu akan keluar ke mana-mana. Tapi hari ini lain pulak alasannya. Agaknya si ibu sudah buang tabiat!

Duhai gadis yang akan melangkah gerbang perkahwinan, usah biarkan ‘tayangan realiti’ di atas terjadi sekali lagi dalam hidup anda. Bertahuntahun melayar hidup berumah tangga baru si isteri tersedar dari lamunan. Tersedar banyak kesilapan yang terbabas dalam hidup selama bergelar suri.Kalau sedar pun tapi nafsu mazmumah begitu tebal untuk membawa diri menuntut ilmu dalam bab-bab memperhalusi adab diri dengan suami. Tapi buat yang sudah sedar dan insaf, ruang untuk memperbaiki diri masih belum terlambat. Mudah-mudahan Allah berkati setiap perubahan yang ingin dilakukan.

January 30, 2013

CIRI-CIRI IDEAL SUAMI


Anda mungkin tidak akan bertemu dengan suami yang ideal, tetapi anda boleh melihat adanya ciri-ciri ideal pada seorang suami.

Memang susah dan hampir mustahil hendak mencari pasangan yang ideal. Oleh itu, jangan cari suami yang ideal. Tapi, tidak salah mencari suami yang mempunyai sedikit sebanyak ciri ideal atau ciriciri peribadi unggul. Ciri-ciri ideal bagi seorang suami itu antaranya:

1. Berlapang dada dan bersifat pemaaf
Suatu ketika Aisyah ditanya tentang perlakuan Rasulullah terhadap isterinya. Maka beliau
menjawab: “Dialah manusia terbaik akhlak dan segala-galanya. Dia tidak pernah berbicara kotor dan berbuat kotor, tidak pernah bersuara keras terutama di pasar, tidak pernah membalas perbuatan buruk dengan perbuatan buruk pula, tetapi selalu memberi maaf dan ampunan.” (Riwayat Ahmad)

January 27, 2013

Fahamilah Fitrah isteri


Senario hari ini menyaksikan ramai golongan wanita menuntut hak kerana berasa hak mereka
diabaikan. Realitinya ramai wanita dinafikan haknya oleh suami.

Oleh itu kepada para suami, hendaklah memahami hak isteri sebagaimana anda mahu hakmu dipenuhi.

1. Pergaulan yang baik - Imam At-Tabrani ketika mentakwilkan ayat ini mengemukakan beberapa riwayat daripada sebahagian ulama yang mengatakan; “Dan mereka (wanita) mempunyai hak untuk ditemani dengan baik dan dipergauli dengan cara yang makruf (baik) oleh suami mereka, sebagaimana mereka berkewajipan mentaati suami dalam hal-hal yang telah diwajibkan Allah ke atas mereka.”

2 .Tunaikan nafkah  - Ad-Dhahak pula menyatakan, “Apabila mereka (wanita) taat kepada Allah dan taat kepada suami, maka suami wajib memperlakukannya dengan baik dan tidak boleh menyakitinya dan harus memberinya nafkah sesuai dengan kemampuannya.”


3 .Takut dengan Allah - Ibnu Zaid pula menasihatkan, “Hendaklah mereka (para suami) takut kepada Allah mengenai urusan mereka (para isteri) sebagaimana para isteri harus takut kepada Allah mengenai urusan suami.”

Sebuah madah dari Ibnu Abbas juga elok dijadikan renungan bersama oleh para suami dan isteri. Katanya, “Aku suka berhias untuk isteriku, sebagaimana aku suka dia berhias untukku, kerana Allah yang Maha Tinggi sebutan-Nya berfirman, “Dan para wanita mempunyai hak yang seimbang dengan kewajipannya menurut cara yang makruf.”

Oleh itu jangan biarkan nafsu menguasai dirimu untuk menzalimi isteri jika dia begitu mentaati perintah baik suami.Kemuliaan suami yang diciptakan Allah lebih tinggi darjat dan lebih berkuasa dari isteri hendaklah dipergunakan sebaik-baiknya kerana ia merupakan satu amanah besar tanggung jawab yang berat yang tidak boleh diabaikan selaku ketua keluarga .

Peringatan ini terkandung dalam firman-Nya: “Kemudian jika dia mereka mentaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalah untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar.” (An-Nisa: 34) Ibnu Katsir ketika menghurai ayat ini, berkata, “Apabila seorang isteri telah mentaati semua keinginan suami yang dibolehkan syariat, tidak ada alasan bagi suami untuk menghukum isterinya setelah itu dan dia tidak boleh memukul dan mengasingkannya.”

Justeru, wahai para suami layani isterimu dengan sebaikbaik akhlak. Fahamilah tabiat
dan fitrah kejadian mereka. Wanita itu asal kejadiannya diciptakan oleh Allah s.w.t. dari
tulang rusuk Nabi Adam a..s. yang bengkok. Serba lemah dan keadaannya kurang dari segi akal dan agamanya. Jadi lenturlah dengan penuh sopan dan bersabar supaya tulang yang bengkok dapat ditegakkan perlahan-lahan dalam keadaan cantik.


Anak soleh impian semua pasangan yang berkahwin

Allah mencipta lelaki sebagai sandaran bagi wanita, sementara wanita
pula sebagai penenang lelaki. Apabila keduanya sudah melangkah ke pintu gerbang perkahwinan, antara masingmasing punya hak, sebagaimana mereka juga punya kewajipan masing-masing.

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...