Showing posts with label Diari Hati. Show all posts
Showing posts with label Diari Hati. Show all posts

October 13, 2015

Catatan Dari Yanbu, Arab Saudi

Seminggu yang lalu, saya membuka laman Facebook. Apabila musim 'deadline' menjelang, saya hanya mampu membaca status rakan-rakan terkini sepintas lalu. Letih minta menatap aksara demi aksara membuatkan saya seringkali hilang 'mood' untuk menulis di laman sosial. Allahu Akbar, faktor usia barangkali. 

Tiba-tiba mata tertancap pada catatan rasa di Timeline Ummu Naufal. Respon beliau dari yang kejauhan iaitu di Yanbu, Arab Saudi amat menyentuh hati saya, malah hati tiba-tiba sebak dan mahu luruh air mata dibuatnya. 

Dan sebelum menyambung kembali rutin kerja saya menyemak dan menyelia artikel-artikel untuk isu November 2015 ini, saya menarik nafas panjang lalu mengaminkan doa tulus ikhlas yang dititipkan buat kami warga kerja Majalah Anis dan seluruh kakitangan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. 

"Ya Allah, Kau jadikan ini sebagai saksi-saksi yang akan kami bawa ketika mana menghadap-Mu. Moga Kau jadikan ini sebagai amal yang ikhlas di sisi-Mu. Amin... ."

ANIS OKTOBER 2015 yang menampilkan kisah-kisah insan terpilih iaitu Ummu Naufal, Hassan Suyut, Afidah Ayob dan Anis Maya - bacalah dan hayatilah bagaimana mereka mencipta bahagia dalam membesarkan anak-anak syurga. 

 Alhamdulillah, akhirnya Majalah Anis keluaran Oktober 2015 ini sampai jua ke bumi Saudi. Saya membelek satu persatu helaian Majalah Anis ini. Keluaran bulan ini begitu sarat dengan kisah-kisah Anak Istimewa, Anak Syurga.

Saya yakin pihak Galeri Ilmu begitu 'committed' dalam membawa kesedaran perihal anak-anak ini dalam masyarakat kita. Malah enam  tahun yang lalu, melalui majalah Anis inilah saya mendapatkan buku 'Kembara Atiq Wazif 1: Satu Anugerah' lalu pengalaman mereka sekeluarga dijadikan panduan buat kami sekeluarga pula dalam mendapatkan rawatan Balqis hingga ke Amerika.

Kini siapa sangka, kisah Balqis pula dipaparkan di ruangan Eksklusif - menceritakan pengembaraan kami sekeluarga, juga kisah perkongsian pengalaman Anis Maya dan Afidah Ayob dalam membesarkan anak Cerebral Palsi di dalam keluarga mereka. Diharap agar ramai lagi ibu bapa di luar sana yang juga punya anak istimewa mendapat panduan dan motivasi diri yang luar biasa. Juga agar masyarakat bertambah prihatin dan mudah menyantuni serta memahami keperluan kehidupan yang berbeza yang dilalui oleh anak istimewa dan keluarga mereka.

Membaca Catatan Editor awal-awal lagi sudah membuatkan saya berair mata;
"Dia hanya tersenyum mendengarnya. Namun di sebalik senyuman manisnya itu saya fahami bebanan yang ditanggung pasti berganda-ganda berbanding saya yang hanya mampu sebak dan menangis menghayati bait-bait katanya dalam buku ini."

Benarlah kata-kata 'dari mata jatuh ke hati'. Tidak disangka mata yang melihat senyuman yang saya hulurkan ketika pertemuan saya bersama Editor Anis Puan Norhashimah, beberapa hari sebelum saya berangkat pulang ke Saudi, sampai ke lubuk hatinya. Dari senyuman itu beliau dapat membaca apa yang tersimpan rapi, yang sukar dinyatakan dengan kata-kata lalu cuma senyuman dapat dilemparkan sebagai pengubat jiwa. Sungguh tidak saya duga, ia tetap boleh dibaca. Maka catatan ringkas beliau di ruang ini sudah cukup membuatkan menitisnya air mata saya. Subhanallah.

Di ruang Dari Menara UniKL, Prof Kamil pula menulis dari hatinya;
"Akhirnya saya pasti Balqis, Aiman dan Atiq Wazif akan kembali ke syurga, insya-Allah dan saya doakan ibu bapa mereka bersama adik-beradik yang lain mengikut sama. Kami meyakini mereka akan menunggu kesemua mereka yang melayani beliau sebagai ujian Allah dengan senyuman dan ucap selamat seumpama mereka yang lain. Mudah-mudahan kami dapat memerhatikan saat-saat indah ini."

Lalu menitis-nitis lagi air mata ini selesai mengakhiri membaca perenggan terakhirnya.
Segala ilmu dan maklumat yang dikongsikan di dalam Majalah Anis ini dan segala yang diusahakan oleh pihak Galeri Ilmu Sdn. Bhd. untuk ummah ini, saya yakin sungguh besar ganjaran di sisi-Nya. Semoga setiap warga mereka dianugerahkan syurga-Nya di sana.

Ummu Naufal ~Dari Yanbu Kami Bercerita~

Akhir kata, sebelum mengundurkan diri, saya inign mengucapkan Salam Maal Hijrah 1437H buat semua pembaca blog ini. Sempena Maal Hijrah ini, marilah sama-sama kita berazam untuk berhijrah menuju Allah. 



March 18, 2013

Kenangan 1 Mac 2013

Minggu ini adalah minggu-minggu kritikal bagi kami Team Editorial di Galeri Ilmu Media Group. Kalau dalam perlawanan bola sepak ia dipanggil waktu kecederaan. Jalan pun asyik menundukkan muka .. . Itu ayat-ayat popular yang sering berlegar di kalangan kami.

Kami semakin hampir ke destinasi akhir iaitu tarikh cetak majalah yang telah ditetapkan iaitu setiap 4 haribulan. Hmm... hari ini dah berapa hari bulan ya? 1 Mac 2013. Besok pula cuti Sabtu dan Ahad. Jawapan yang diberi Pengarah Penerbitan kami, kalau tak boleh final semua kakitangan Jabatan Editorial perlu bekerja esok hari. Noktah. Hmm, berkorban lagi...? Getus hati saya.

Kalau diikutkan rasa hati mahu saja saya bercuti hari ini. Sebab apa? Ini hari ulang tahun perkahwinan saya yang ke-23. Terasa seakan tidak percaya pula. Sudah 23 tahun rupanya aku bergelar isteri, kata hati.  Alhamdulillah, ikatan saya dan encik suami masih bertahan dan semoga ia terus mekar mewangi sehingga hujung nyawa.

23 tahun meredah belukar kehidupan, susah senang pahit derita dikongsi bersama. Sekejap bergaduh dan berbaik semula. Sedar-sedar uban sudah mula penuh di kepala. Anak-anak kami semakin dewasa. Anak-anak sahabat sudah ramai yang mendirikan rumah tangga. Ramai yang mula bertanya bila pula giliran kami bermenantu pula? Itu petanda usia kita semakin di remang senja.

"Ya Allah, kami mahu terus bercinta sehingga ke syurga... " doa saya di pagi Jumaat ini.

Pagi tadi saya pura-pura bertanya kepada encik suami, "Ingat tak hari ini hari apa?" Dia senyum tersipu-sipu. Mujurlah tarikh ini masih ada dalam ingatannya. Kalau tidak... he he ... anda fikirlah sendiri.



March 19, 2009

Signal dari Siapa?

Malam itu usai mengaminkan doa, hati terasa sungguh sayu. Aura Malam Sinar Maulidurrasul 1430H yang saya hadiri bersama teman-teman Team Anis (yang bertugas membuat liputan) masih berbekas di hati. Ya, baru tersedar tinggi rendah iman yang bagaikan bermusim.

Baru tersedar di hati ini terlalu sedikit ruang yang diperuntukkan untuk menyemai sebuah cinta hakiki. Masih banyak karat dosa-dosa hingga menutup kalbu untuk selalu mengingati dan menyebut-nyebut namamu Ya Rasulullah.

Malam itu juga ketika hati dalam gelombang alfa, janji diri bersaksikan Kaabah dan Maqam Nabi,untuk sering mengingati dan mencintaimu Nabi terkenang kembali dalam sanubari. Peliknya mengapa hati yang subur dengan cinta ketika itu suram apabila kembali semula ke tanah realiti?

Tiba-tiba saya teringat kembali lembaran selawat yang dihadiahkan Haji Ridwan Amirulsalleh, mutawif saya dan rombongan sewaktu umrah pada Mac 2007. Lembaran selawat karangan tuan gurunya dari Banjamasin, Indonesia dan dikepil pada kami semua untuk jadi amalan apabila pulang kelak ke tanahair. Hadiah untuk kami agar sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW.

Masih saya ingat, selawat itu agak unik kerana ia menceritakan keistimewaan peribadi Rasulullah SAW yang tidak pernah saya dengar dan baca selama ini. Maka saya pun mencari-cari di mana saya letakkan lembaran selawat itu. Tapi malangnya tidak jumpa hingga kesudah. Saya termenung jauh. Dengan berselawat dan memohon doa dengan keberkatan baginda SAW, saya berharap moga-moga saya dapat berjumpa semula dengan lebaran selawat istimewa itu.

Keesokannya, petang Khamis Ustaz Ahmad Lutfi datang ke pejabat kami. Sebelum memulakan kuliah dihadiahkan kami seorang satu kitab kecil berjudul 'Selawat Pilihan'. Termenung seketika saya menatap kitab kecil ini, sambil mengimbas semula doa dan rintihan malam sebelumnya.

Masya-Allah, begitu cepat permintaan diri ini didengari dan dikabulkan. Satu persatu rahsia dan kelebihan selawat yang terdapat di dalam kitab kecil itu diperjelaskan. Menurut tuan guru muda ini, terdapat bermacam selawat. Selawat pertama elok diamalkan ialah Selawat Ibrahimiah yang sering kita baca dalam Tasyahud Akhir.

Kata beliau lagi, selawat ini Rasulullah SAW sebutkan dalam solat sebagai tanda baginda Nabi tidak lupa pada nenek moyang baginda iaitu Nabi Ibrahim a.s.

Khamis seterusnya, Ustaz Ahmad Lutfi datang lagi. Tapi kali ini beliau menceritakan tentang mukjizat dan keistimewaan Rasulullah SAW. Menurut beliau, terlalu banyak keistimewaan dan kelebihan Rasulullah SAW yang jarang dirungkai dan disingkap oleh umat Islam hingga menjadikan diri kita terlalu jauh dengan baginda. Kisah-kisah seumpama ini jarang pula kita kongsikan bersama anak-anak. Maka tidak hairanlah kalau mereka juga tidak kasih dan rindu pada Rasulullah SAW. Sedangkan diri baginda punya 1001 keistimewaan melebihi keistimewaan 'Superman' yang anak-anak kita agung-agungkan itu.

Kitab 'Selawat Pilihan' mengandungi 30 selawat yang dikumpulkan oleh Al Muhaddith Dr. Sayyid Muhammad Ibn Alawi Al Maliki Al Hasani ini bukan saja sebagai hadiah istimewa di bulan Rabiulawal ini tapi juga satu 'signal' untuk diri ini untuk terus mengingati dan memuji-muji (berselawat) baginda Rasulullah, Sayidina Muhammad Sallahualaihi wassallam.

p/s: Insya-Allah, Kelebihan dan keistimewan Rasulullah SAW ini akan saya kongsikan bersama untuk manfaat kita bersama apabila ia lengkap dikuliahkan kelak...

February 03, 2009

GARA-GARA 'GADIS MELAYU'

GARA-GARA ‘GADIS MELAYU’…

Gara-gara merisik khabar tentang Gadis Melayu, saya mengheret kaki ke sebuah majlis kenduri. Kenduri siapa? Kenduri Gadis Melayulah.
Gadis Melayu bernama Aida yang jadi juara pertandingan Gadis Melayu di TV9 baru-baru ini. Nak jadi cerita sebenarnya saya tak ada dalam rancangan pun nak pergi kenduri Gadis Melayu ni. Tapi ada cerita dalam cerita.
Ceritanya begini. Ahad yang lalu saya ke Rawang melawat emak saudara yang tinggal di Taman Mas berdekatan Bandar Country Home. Sejak Opah saya tinggal di situ selalulah saya menyinggah di situ, bertanya khabar tentang dia. Maklumlah orang tua nanti tak dijenguk merajuk pula. Kita esok pun macam tu lah gamaknya nanti bila dah tua esok…
Tengah seronok bersembang-sembang, tiba-tiba saja terpacul keluar dari mulut emak saudara saya itu dia ada undangan ke majlis kenduri kawan dia, anaknya menang pertandingan Gadis Melayu. Tiba-tiba saya pun teringat sama sms yang saya terima dari Gadis Melayu ni, maklumlah kita ni orang majalah kerjanya asyik cari calon-calon yang ada potensi jadi Penghias Wajah Anis.
Rupa-rupanya emak saudara saya itu kenal ‘bebeno’ ler dengan emak Gadis Melayu tu apalagi cucu-cucu dia pun mengaji dengan mak Gadis Melayu tu. Maka kami berdua yang asal tak ada rancangan nak pergi kenduri itu pun berkongsi rasa yang sama; teringin le nak tengok rupa Gadis Melayu tu. Walaupun dah tengok di kaca TV tentu tak sama tengok cara live kan?
Entah macam mana sebaik sampai saja di majlis kenduri tu (memang ramai sungguh hingga habis hidangan) saya terserempak dengan sahabat lama. Nak tahu siapa dia? Ish, ish, tak sangka betul bila merisik khabar rupa-rupanya sahabat lama saya itu punya talian darah dengan Gadis Melayu. Dia kata dia Tok Sedara pada Gadis Melayu tu. Apalagi panjanglah cerita saya dan keluarga Gadis Melayu ni. Maklumlah orang Kuala Kangsar jumpa orang Parit, suku-sakat sama negeri rupanya.
Dalam duk sembang-sembang tu pula, terpacul seorang lagi teman lama. Masya-Allah! Dunia ini kecil rupanya, pusing-pusing ke situ jugak. Teman lama saya ini pulak pula jadi teman setaman dengan emak Gadis Melayu ni. Memang riuhlah bila jumpa teman-teman lama. Kerana Gadis Melayu terjalin semula ikatan ukhwah yang sekian lama terlerai. Nak tahu siapa Tok Sedara dan teman lama saya tu tengoklah gambar-gambar ni? Dan nak tahu apa cerita Gadis Melayu, nantikan majalah Anis di pasaran.



Gambar atas: Jamaluddin Yoep Majlis, Tok Sedara Gadis Melayu bersama keluarga. Aida, Gadis Melayu TV9 bertudung kuning.

Gambar bawah: Sahabat lama, seperjuangan dalam dunia penulisan suatu ketika dahulu. Fatimah Omar bersama cucu keduanya, anak Syawana.

p/s: Maryam, anak bongsu saya berkata, dah ada Gadis Melayu, dia pulak nak jadi Gadis Anggun. Saya kata, tunggulah kalau ada pertandingan Gadis Anggun, bolehlah cuba masuk…

November 27, 2008

Selamat Jalan Abah


"Abah mana?"
"Abah sibuk menulis artikel lagi..." jawab Ummu Hani.
"Ha...dah nak ke Mekkah pun sibuk dok tulis artikel lagi..."
Saya menggelengkan kepala.
"Assalamualaikum Cikgu!"
Cikgu menoleh ke arah saya. Namun tangannya ligat berlari di atas papan keyboard. Wajahnya berkerut semacam, terganggu agaknya dengan kemunculan saya.
"La hang ni. Tunggu la sat. Cikgu dah nak habiskan artikel ni..."
"La saya mai ni bukan nak mintak artikel Cikgu. Saya nak mintak maaf. Lepas tu nak minta Cikgu doakan kami semua. Mudah-mudahan berkat cikgu musafir lebih-lebih lagi nak pi haji, Allah mudahkan kami semua. Cikgu doakanlah kami semua ye..."
Itulah Abah kami, Tn. Haji Abu Hassan Morad yang mesra dengan panggilan Cikgu di kalangan staf GISB. MD yang geraknya ligat ke sana sini. Tapi dalam dok kalut-kalut dia itu tak pernah lupa menitipkan pesanan dan buah fikirannya dalam majalah Anis untuk keluaran Januari 2009.

Tahun ini Tn Haji Abu Hassan Morad dan team produksi akan bertugas di Makkah dan Madinah bagi merakam perjalanan jemaah haji Malaysia. Beliau akan bertolak bersama empat rakan petugas yang lain iaitu Hj Rosli, Encik Yusri dan Encik Izlan Bashar dari Astro. Dua orang staf lagi akan menyusul 30 hb ini iaitu Hairulzani dan Halim Osman.

Dengar cerita dari Kak Ummu, mereka semua dah sampai ke Mekkah jam 11 malam tadi dan terus kerjakan umrah. Pastinya K Jal dan En Wan Azmin yang sudah berada di sana ternanti-nanti untuk bergabung tenaga bagi menjayakan misi dan operasi syarikat. Selamat Maju Jaya kami ucapkan. Semoga beroleh kekuatan iman dan beroleh haji nan mabrur...

Abah dan krew produksi Haji bergambar beramai-ramai dengan kakitangan sebelum berangkat ke Makkah.

November 24, 2008

Alahai Bibik!

"Mana Bibik kita?"
"Bibik kita bercuti la.."
"Ya ke? Lama ke?"
"Emm lamalah jugak..."
Aduhai Bibik. Rasanya dah banyak kali ambik cuti. Kita pun tak cuti panjang macam tu. Entahlah, bermacam-macam dialog didengar bila menyebut masalah Bibik ini. Semua orang jadi susah hati apabila Bibik tidak ada. Ya lah siapa nak kutip sampah, siapa nak cuci tandas, siapa nak buat air. Masalah...masalah...
Cerita pasal Bibik terus berlarutan. Kisah Bibik ok dan tak ok. Tapi rasanya bagi saya banyak tak ok dari ok. Itupun berdasarkan kisah-kisah yang diperpanjangkan di telinga saya. Bibik buat hubungan dengan suami, lari dan sanggup tinggalkan anak majikan. Yang terbaru kes bunuh seorang wanita yang melibatkan orang gaji dan suaminya di Shah Alam. Oh sungguh mengerikan. Tak sanggup saya.
Jadi makanya saya tak pernah menanam impian untuk mengambil seorang Bibik. Tapi suatu hari suami saya bersuara. Mungkin sebab terlalu kasihan melihat keletihan saya menguruskan anak-anak setiap kali nak dihantar ke nurseri.
"Apa kata kita cari Bibik Malaysia?"
Saya hanya mengiakan tapi dalam hati macam tak percaya. Masih ramai ke orang-orang Malaysia ini sanggup jadi Bibik? Dalam diam-diam rupa-rupanya suami telah mengiklan mencari pembantu rumah di suratkhabar. Tak sangka pula dalam seminggu talian telefon kami menjadi talian hangat.
"Kak saya baru berhenti kerja kerani. Bolehlah saya jaga anak-anak akak..." suara halus di talian.
"Saya pernah jaga orang sakit. Boleh tak de masalah." Seorang wanita pertengahan umur 40 an menelefon kami.
Akhirnya, seorang gadis yang agak lewat umurnya setuju. Tak sangka saya dalam ramai-ramai tersangkut juga. Saya dan suami pun pergi merisik (berjumpa) siapa orangnya. Oleh kerana sudah ada pengalaman jaga anak sebelum ini saya bersetuju. Setelah setuju dengan harga gajinya, kami pun berjanji untuk mengambil dia dua hari nanti. Tetiba esoknya dia call semula. "Maaflah saya tak jadi. Saya nak kerja sekuriti."
Harapan yang disemai kembali terbantut. Keesokannya suami saya memberitahu dengan nada gembira. Beria-ia kami siapkan bilik untuknya tapi hampa.
"Ada seorang kakak ni telefon, dia boleh jaga tapi dia minta izin nak bawa seorang cucunya." kata suami. Melihat reaksi suami yang gembira, saya iakan saja.
Keesokannya suami memberitahu lagi, "Akak tu telefon lagi dia nak bawa suami dia. Suami dia sakit. Boleh tak umi?"
Aduhai suami saya ini cukup tersentuh hatinya dengan masalah ibu ini.
"Masya-Allah, ini siapa nak jaga siapa? Silap haribulan kita yang jaga dia. Bukan dia yang jaga kita."
Terdiam suami mendengar jawapan tegas saya. Maaflah bukan niat di hati nak membelakangkannya tapi ini soal yang bersangkut-paut kehidupan kami sekeluarga. Hati ibu mana tak risaukan anak-anak apabila keluar bekerja. Tapi kes yang ini seolah-olah sengaja mengundang satu lagi masalah dalam hidup kami. Tak sanggup saya lihat rumah saya rumah kebajikan pula walaupun niat kita murni untuk saling membantu. Hai pening kembali kepala saya apabila fikirkan soal pembantu rumah.
Jalan penyelesaian untuk mencari Bibik akhirnya tiada noktah. Saya memutuskan biarlah saya saja jadi Bibik setiap kali balik rumah dari bekerja. Suami saya pun turut turun padang membantu dan anak-anak kami pun turut dilatih untuk menjadi Bibik-bibik dengan masing-masing tugasan mereka tersendiri. Penat memang penat tapi yang penting hati bahagia...

November 17, 2008

Perjuanganku baru bermula



Maryam, empat dari sebelah kanan

Sahabat-sahabatku...
Inilah duniaku yang akan kita tinggalkan sebentar lagi
Ingatlah di sini kita bersama
menyulam memori indah bersama guru dan teman
Hari ini hari gemilang untuk kita semua
mencoret kejayaan yang bakal kita tempa esok hari
Esok pula entah kita akan bersatu semula
dalam meniti usia
Hanya inilah momen indah yang mampu ku lakar
sebagai kenangan bersama kita
Moga tetap jadi memori selamanya
bahawa suatu ketika dahulu kita telah bersama
perjuanganku dan perjuanganmu baru bermula!


Ini ape hal nak bersajak pula? Entahlah teruja hati tatkala melihat anak yang ditatang bagai minyak yang penuh, melangkah ke dewan menuju hari gemilang. Macam En. Abu yang teruja lihat anaknya Sarah di Hari Konvo UUM. Semoga anak-anak kami juga akan melangkah ke menara gading.
Melihat persembahan Maryam dan kawan-kawan, rasanya berbaloi sungguh dia berlatih menyanyi selama dua minggu. Tiap-tiap kali balik rumah dia tak berhenti menyanyi. "Ummi tengoklah ni," katanya bersungguh sambil menunjuk gaya. "Ok, ok, ummi tengok." Saya mengangguk sedangkan mata makin berat dan tak larat diangkat walhal baru saja selesai solat Maghrib. Mujurlah abinya rajin melayan, sama-sama menyanyi dengannya dan beri 'guide' macammana nak menyanyi di atas pentas. Maka alhasilnya saya hanya tertawa melihat kedua beranak ni yang punya minat dan bakat yang sama. Inilah hasilnya...

Maryam menjadi penyanyi utama nasyid 'Nabi Yusuf'

November 11, 2008

Melangkah Ke Alam Baru


Terasa baru semalam mendengar suara Maryam mengacah-ngacah, anak dara kami yang akan mencecah usia 7 tahun tahun depan sudah semakin dewasa rupanya. Memimpin tangan comelnya mengingatkan pada diri sendiri 30 tahun yang lalu. Masih basah dalam memori, jari-jemari ini digenggam erat oleh emak. Dalam pagi yang dingin diri dimandikan dengan air panas. Kemudian saya di bawa ke alam persekolahan menaiki basikal. Itulah hari pertama saya melangkah ke alam sekolah.
Terasa begitu cepat masa beredar. Saya yang dulu anak hingusan, yang takut-takut malah merembaskan air mata tatkala bertentang wajah teman-teman baru sudah melangkah jauh ke alam dewasa. Tapi kini saya pula bertukar tempat. Kini saya pula yang memimpin erat jari-jemari comel ini. Bezanya anak-anak alaf 21 ini. Berani dan cekal terbayang di wajah masing-masing biarpun suasana dihadapi terlalu baru. Malah kami ibubapa cukup terhibur dan terkekek-kekek menyaksi bakat spontan murid-murid tahun I tahun 2009, SK Seksyen 7 Kota Damansara. Tahniah buat guru-guru yang menghidupkan suasana. Kepadamu para guru kami ibu bapa damba harapan, didiklah putera dan puteri kami menjadi bunga bangsa kebanggaan negara!

November 06, 2008

Selamat Bertugas Kak Jal


Kenangan malam terakhir bersama Kak Jal pada malam kesyukuran di Masjid Kg. Sg. Penchala.

Pejam celik pejam celik tibalah saat yang dinantikan. “Tolonglah semua doakan saya!” ucap Kak Jal pada kami semua. Matanya berkaca-kaca. Tak perlu ditanya kerana kami semua dapat merasai debaran hatinya. Malam tadi Kak Jal telahpun berangkat ke Tanah Suci bersama petugas-petugas haji yang lain. Subuh tadi dia sudah berada bersama jemaah-jemaah haji Malaysia di Madinah.
Memang mencabar tugasan yang diterima. Tugasan yang diberi oleh pihak syarikat satu amanah berat yang perlu dilaksana oleh Kak Jal sebaik mungkin. Kehadiran Kak Jal sebagai jurufoto wanita menjadi satu catatan sejarah mungkin buat Tabung Haji dan juga syarikat Galeri Ilmu Sdn Bhd. bagi merakam aktiviti dan pergerakan jemaah haji tahun ini.
“Insya-Allah kami semua akan sentiasa doakan Kak Jal. Insya-Allah Dia akan mudahkan urusan Kak Jal. Kami yakin Kak Jal mampu lakukan,” ucap kami semua. Rembas air mata tak dapat ditahan tatkala tangan berjabat salam. Pelukan semakin erat tapi kami reda panggilan Allah itu lebih utama.
“Kak Jal jangan lupakan doakan kami juga di sini.” “Insya-Allah saya akan ingat wajah kome semua satu persatu…” ujarnya sebak.
Pemergian Kak Jalilah mulai 6 November 2008 ini akan diiringi oleh beberapa kakitangan GISB/AMN dan Layar Consult yang turut bertugas di Tanah Suci. Selamat bertugas dan semoga mendapat haji yang mabrur. Amin…

“Aku sahut panggilan-Mu ya Allah! Aku sahut, tidak ada sekutu bagi-Mu ya Allah. Kami sahut! Segala pujian, nikmat, dan kerajaan adalah kepunyaan-Mu ya Allah! Tidak ada sekutu bagi-Mu.”

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...