Showing posts with label #BeStrongUmi. Show all posts
Showing posts with label #BeStrongUmi. Show all posts

November 16, 2019

Catatan 17.10.2018



Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang.
Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di sini sebelum dia ke tempat kerjanya. Begitulah, bila ayah mereka tidak boleh membawa saya kerana terikat dengan tugasan hakikinya di Batang Kali. 

Waktu pagi memang di mana-mana jalan jammed, kami mengambil masa satu jam untuk sampai ke Hospital Selayang, jika bergerak lambat sedikit memakan masa sehingga satu jam setengah. Selepas tiba di pekarangan hospital, anak saya hanya drop lalu saya pun bergegas dengan mencelah di antara pesakit-pesakit lain yang berpusu-pusu masuk di pagi begini.

Ujian betul menimpa diri saya pagi-pagi begini. Sebaik sampai awal di Jabatan X- Ray yang terletak di tingkat dua, saya segera meletakkan kad kedatangan ke dalam bakul yang disediakan. Tidak lama kemudian, terdengar nama saya dipanggil oleh pegawai yang bertugas. Dia terus bertanya.
"Puan sudah mendaftar di atas ke belum?"
"Belum..." ujar saya sambil menggelang-geleng.

Masya Allah, tidak pula saya tahu itu prosedur yang perlu saya lalui terlebih dahulu sebelum ke jabatan, ini kerana ia tidak dimaklumkan sebelum ini. (nota: sememangnya prosuder perubatan di hospital awam agak lambat dan tidak selaras sehingga menguji kesabaran para pesakit. Harapnya ia boleh dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Makanya, tidak fasal-fasal saya disuruh menapak semula dan naik ke tingkat atas (Tingkat 4 di bahagian pendaftaran Jabatan Klinik Pakar) dan mendaftarkan kedatangan saya ke Bahagian Pendaftaran klinik pakar.

Terkocoh-kocoh saya ke atas semula dengan menaiki tangga yang terletak di tepinya. Bergegas-gegas saya ke atas macam biasa dan beratur dahulu sehingga nama dipanggil dan ditandakan dalam sistem, sejurus itu saya pun turun semula menggunakan tangga yang berhampiran.
Syukurlah... Beberapa kali pergi ke sini menjadikan saya sudah mahir struktur peta hospital yang maha luas ini. Syukur sekali lagi saya hadratkan pada Ilahi, saya bisa berjalan sendiri ke sana sini, walaupun semputnya Tuhan saja yang tahu. 

Inilah antara liku-liku yang terpaksa saya dan pesakit-pesakit lain lalui, lalu kesabaranlah senjata utama dalam menghadapi segala ujian yang tidak disangka-sangka. 


Itu saja yang terlintas di sanubari pagi itu. Agaknya berapa langkah saya berjalan pagi ni. Fuh.. Semput lagi! 

Suasana sempat dirakam sewaktu menunggu giliran menanti diri di X-Ray.

November 15, 2019

CATATAN 12.5.2019

Foto selepas dibolehkan discharge dari Hospital Selayang, saya admittted selama lima hari di sana bermula 5.8.2019. Muka pun nampak ceria dan 'happy'...
Pejam celik pejam celik... saya melihat kalendar.
"Masya Allah... Dah seminggu rupanya ia berlalu!"
Hari ini genap seminggu rupanya, saya selamat menjalani satu pembedahan di bahagian abdomen iaitu pada 5.8.2019 yang lalu.


Tujuan utama pembedahan ini  ialah untuk memasukkan tiub (catheter) ke dalam perut bagi membolehkan saya menjalani proses dialisis menggunakan kaedah CAPD.


Eh, apa itu CAPD? 
Kaedah CAPD ini berbeza dengan hemodialisis yang mengkehendaki seorang pesakit buah pinggang menjalani proses cuci darah sebanyak tiga kali seminggu.


Proses cuci buah pinggang yang saya pilih ini pula hanya menggunakan air dan prosesnya boleh dilakukan sendiri di rumah saja iaitu sebanyak empat kali sehari.


Mengingati detik-detik sebelum dibedah, terasa bagai melalui sebuah mimpi.
Yang ngeri, yang mendebarkan dan menggelodakkan emosi malah terselit juga di dalamnya peristiwa lucu buat saya yang menempuh pengalaman ini buat pertama kali.


Dan selepas itu...
Perlahan-lahan saya sudah menerima kenyataan bahawa 'ini adalah jalan pilihanku' setelah hampir setahun lebih (bermula akhir tahun 2017) saya berulang-alik dan menerima rawatan pakar.
Namun, sepanjang proses itu apabila disahkan buah pinggang saya mengalami masalah, saya berusaha mencari dan mencuba rawatan alternatif lain demi sebuah kesembuhan. Pelbagai kisah suka duka yang dilalui sehingga banyak air mata yang tumpah.


'Ya Allah, sungguh ujian ini begitu menduga diriku. Berikan daku kekuatan dan kesabaran yang jitu dalam menempuhnya.'


Lahaulawala quwwataillah billah...



December 18, 2018

Sarapan pagi ini.

Inilah rutinku setiap hari. Selepas selesai proses detoks menggunakan kopi enema, saya akan menikmati jus. Tidak kira apa kira jus - sama ada jus buah-buahan atau sayuran bagi menyeimbangkan semula kestabilan tubuh badan..

Pagi ini - 18 Disember 2018 setelah hampir lebih tiga bulan ia menjadi amalan. Saya semakin mencintai rutin baharu ini. Pada mulanya memang agak sukar. Dahulu, saya tak pernah ambil peduli pun fasal jus dan menjuicekan. Namun, setelah teruji begini, atas nasihat pakar holistik yang menasihatkan saya agar menukar seratus peratus gaya pemakanan saya selama ini ke arah mengamalkan buah-buahan dan sayuran sebagai diet.
.
Setiap hujung minggu, saya akan pastikan stok buah-buahan dan sayuran cukup dibeli untuk keperluan seminggu sekali. Antara buah-buahan yang sering jadi pilihan ialah buah epal hijau dan epal merah, batang saderi, nanas, lobak merah dan juga sayuran hijau seperti kobis dan lain-laim.

Jika dahulu mahu muntah dibuatnya menelan jus buahan ini namun kini tidak lagi. Begitulah... sesuatu amalan yang bukan menjadi rutin sukar hendak diistiqamahkan melainkan dengan paksaan dan latihan. Alhamdulillah, saya kini sudah menjadi pencinta jus buah. Syukurlah, rupa-rupanya ada hikmah di sebalik takdir yang menimpa diri ini.

P/S: Akan datang saya akan kongsikan kisah penemuan pesakit kanser yang sembuh setelah menjadikan jus sebagai terapi kesihatan mereka. Tunggu ya...

Travelog: Di Manakah Penawarku? (Catatan 1)

Pagi Jumaat itu, hati masih mahu bersedap-sedap dibalut selimut putih yang tebal. Mata merenung ke tepi jendela kaca yang terbuka luas. Jauh ke seberang melangkau katil yang dihuni Aci Perumal (bukan nama sebenar) di sebelah. Keempat-empat penghuni katil masing-masing masih terpaku di atas katil besi masing-masing.
.
Kelihatan kabus begitu tebal menyelimuti bukit-bukau yang menghijau di sekitar Hospital Selayang ini. Hati juga tiba-tiba berubah menjadi mendung.
.
Sungguh... mata ini masih mengantuk lagi. Seboleh mungkin saya mahu terus menarik selimut lagi untuk menyambung tidur. Namun, apakan daya ini bukan rumah sendiri. Tepat jam 7.30 pagi nanti akan ada misi meronda dari bilik ke bilik dan mengemas serta menukar cadar setiap pesakit.
.
Ternyata dua malam menghuni di wad 3B no katil 4, saya sudah menghafal jadual tugasan mereka di sini. Sekali gus rasa kagum menerpa memikirkan betapa mereka menjaga kami dengan penuh rasa prihatin sehingga sanggup mengenepikan keselesaan peribadi. 
Di kala mata saya sekejap terjaga sekejap terlelap, ada waktunya ia terus cergas membutang. Dalam masa yang sama terkebil-kebil dek terkejut dengan suara sang misi yang mengejutkan mahu mengambil sampel darah dan memberi ubat. Waktunya pula ketika hati sedang sedap dilamun mimpi sekitar 4.00 - 5.00 pagi. Dan tiba-tiba saja terasa cucukan picagari menembusi kulit. Allahu... sakitnya lalu kedua-dua anak mata pun terpisat-pisat dibuatnya!

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...