Showing posts with label Tip Wartawan Majalah. Show all posts
Showing posts with label Tip Wartawan Majalah. Show all posts

September 03, 2013

Tip Kewartawanan - Kewartawanan Islam?


Seorang wartawan pulang ke pejabat dengan nada ceria. Walaupun wajahnya tampak lelah namun keceriaan lebih menyerlah. Ini kerana wartawan tersebut pulang bagaikan seorang perwira yang pastinya membawa bekalan yang sarat. Bekalan itulah bahan berita yang akan ditulis, digarap dan seterusnya dikongsi sebagai berita atau rencana buat tatapan pembaca di seluruh tanah air.

Itulah keistimewaan insan-insan yang memilih kerjaya sebagai wartawan. Wartawan merupakan ‘first person’ yang menerima suatu perkhabaran atau berita. Hari ini dunia tidak lengkap tanpa ‘berita’. Apa perasaan anda andainya dunia sepi tanpa berita. Buka TV tiada berita, cari suratkhabar tidak dijual. Bayangkan seandainya suatu hari kita tidak dapat meng’akses’ atau menerima sebarang berita, pasti kita berasa hidup di sebuah pulau tanpa manusia.

Justeru sedarlah, di sebalik suatu berita yang kita baca, tatap dan komen, wujudnya insan-insan yang bergelar wartawan yang telah bersusah payah mendapatkan sesuatu bahan berita. Wartawan yang amanah menyedari tanggungjawabnya ini akan menggalas tugas ini dengan penuh komited, tanpa jemu, penat dan lelah. Mereka akan berterusan mencari berita selagi terdaya dan kudrat dikandung badan.

Menyedari hal ini, seorang wartawan perlu berjiwa kental menghadapi apa jua cabaran dan rintangan. Wartawan berjiwa pejuang tidak kisah dirinya diteguri atau dimarahi kerana ia merupakan asam garam dalam dunia kewartawan yang perlu bergerak pantas dalam serba-serbi.

Berbanggalah dan bersyukurlah andainya anda diberikan amanah ini kerana anda adalah pengubah dan pencorak dunia. Ya, hanya dengan menggerakkan tulisan di hujung jari!

Seorang wartawan yang bergerak dalam landasan media Islam, mempunyai tanggungjawab yang lebih jauh daripada itu. Peranan anda bukan sekadar melaporkan sesuatu berita tetapi mencari sudut-sudut hikmah tersirat di sebalik sesuatu peristiwa. Pembaca seterusnya diajak untuk sama-sama berfikir lalu menghayati kebesaran dan keagungan Ilahi menerusi setiap inci tulisannya.

Dalam lain kalimah, anda bukan sahaja seorang wartawan tetapi anda juga daie yang akan menyentuh hati-hati insan agar subur dan kembali kepada fitrah yang murni. Apakah fitrah yang murni itu? Fitrah murni iaitu perasaan kehambaan (ubudiyyah) seorang hamba terhadap Allah al-Khaliq yang Maha Pencipta segala kejadian. 

February 01, 2013

Tip Wartawan - Jangan Tertipu Dengan Pita Rakaman

"Kak, macam mana ni, tape-recorder ni rosak, tak dengar suara apa-apapun!" jerit seorang wartawan baru. Saya pergi melihat dan membelek tape-recorder tersebut.
"Tak rosak, mungkin awak tersalah tekan." 
"Habis tu, nak buat macam mana ni?" rintih suaranya kedengaran. 
"Hmm, awak tak catat langsungkah?"
Dia menggeleng kepala, lemah sekali. 

Situasi ini seringkali saya hadapi. Iaitu berhadapan dengan wartawan-wartawan yang terlalu bergantung degan tape-recorder atau pita rakaman. Itulah kesilapan terbesar wartawan tersebut,' a big mistake' yang tak boleh dimaafkan. Kenapa?

Walaupun pita rakaman sangat penting dalam dunia seorang wartawan, tetapi seorang wartawan atau penulis tidak boleh bergantung seratus peratus kepada alat tersebut semata-mata. Memang, ia ibarat rakan karib seorang wartawan/penulis, seperti jua pen dan buku nota ketika dia hendak menemubual seorang responden atau merakam apa juga suasana seperti press conferense, forum, wacana dan sebagainya. Lebih-lebih lagi, kalau petik butang perakam kemudian terlena atau tertidur ketika suasana berlangsung. Oh, itu bukan seorang wartawan atau penulis sejati!

Seorang wartawan/penulis perlu menajamkan dua skil kemahiran iaitu 'mendengar' dan 'mencatat' sebarang informasi yang didengar, meskipun ketika itu pita rakaman tersebut sedang 'on' atau merakam.  Namun, inilah kesilapan lazim yang sering dilakukan.

Kemungkinan besar ramai daripada kita tidak sedar bahawa dalam seni menulis dan mencatat mempunyai kelebihan tersendiri. Ini berkait rapat dengan daya ingatan (memori) yang dikurniakan Allah SWT kepada kita makluk-Nya.  

Setiap perkataan yang ditulis ibarat 'kata kunci' atau 'keyword' yang akan mengingatkan kita semula (recall) maklumat yang telah didengar. Mungkin anda pernah mendengar kisah bagaimana Dato A. Samad Said menulis di atas kertas tisunya. Ya, setiap maklumat berharga perlu dicatat dengan segera, supaya ia tidak hilang begitu saja... . Baca semula entri saya sebelum ini iaitu idea ibarat burung yang jinak. 

Dan perlu diingat, walaupun anda dibekalkan dengan pita rakaman canggih sekalipun, ia hanya sekadar membantu ingatan anda semula terhadap fakta-fakta yang mungkin anda kurang dapat menangkapnya sebelum itu. Catatan anda itulah yang lebih banyak membantu mencerna idea-idea dalam penulisan selepasnya.

Selamat mencuba. 




Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...