Showing posts with label Hari Ibu. Show all posts
Showing posts with label Hari Ibu. Show all posts

May 27, 2015

Derhaka Tanpa Sedar


Luhurnya kasih sayang seorang ibu pernah membuatkan Sayidatina Aisyah bt. Abu Bakar menitiskan air mata. Dalam sebuah kisah diriwayatkan oleh Ahmad, Sayidatina Aisyah r.a. pernah menceritakan kisah seorang ibu dan dua orang anaknya. Mereka datang meminta makanan. 

Sayidatina Aisyah r.a. berkata, “Saya pun beri tiga biji kurma kepada si ibu. Si ibu membahagi-bahagikan kurma itu sesama mereka. Semasa si ibu menyuapkan kurma itu ke mulutnya, tiba-tiba anak-anaknya memandang ke arah ibu mereka. Ibu itu meluahkan kembali kurma itu lalu membelahnya. Setiap anaknya itu mendapat separuh daripada kurma milik si ibu. Hatiku tersentuh lalu mataku basah melihat mereka.

Tiba-tiba Nabi Muhammad SAW masuk dan bertanya, “Mengapa kamu menangis, wahai Aisyah?” Saya menjawab, “Wahai pesuruh Allah, saya terharu melihat kasihnya ibu pada anak-anaknya. “Saya pun menceritakan peristiwa yang baru berlaku sebentar tadi.”  




Begitulah fitrah kasih seorang ibu – di hatinya tersemadi kasih sayang yang tidak pernah  bernoktah! Di sebalik kelembutan, dia mempunyai kekuatan yang amat luar biasa. Dengan kekuatan emosi yang Allah anugerahkan, seorang ibu sanggup mengorbankan kesenangan dirinya demi membahagiakan insan-insan di sekelilingnya termasuklah anak-anak.  

Mengenang pengorbanan dan kasih sayang ibu, bukan sahaja agama Islam, agama mana pun melarang sama sekali penganutnya menderhakai kedua-dua ibu bapa. Al-Quran menukilkan perintah ini dalam firman-Nya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, dan (ingatlah) kepada Aku-lah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)”. (Luqman: 14)

Sempena Hari Ibu yang diraikan bulan ini, ANIS mengangkat tema APABILA IBU MELAHIRKAN ‘TUAN’, bagi menghurai fenomena lahirnya anak-anak derhaka sebagai petanda akhir zaman. Fenomena yang disebut dalam hadis Nabi SAW ini akan dikupas secara terperinci oleh Ustaz Khafidz Soroni dan juga Ustazah Maznah Daud dalam Sumbu ANIS bulan ini.

Pendakwah bebas iaitu Ustaz Abdullah Mahmud juga menghurai lebih lanjut ciri-ciri kederhakaan seorang anak yang boleh menyebabkan kita terjebak dalam lembah kemurkaan-Nya. Antara lain, beliau mengupas istilah ‘anak derhaka’ yang sering disalah tafsir kepada sikap seorang anak terhadap ibu bapa yang masih hidup sahaja. 

Sedangkan kederhakaan seorang anak itu masih boleh terus berlaku walaupun setelah kedua orang tua meninggal iaitu apabila anak-anak tidak melakukan ketaatan kepada perintah Allah. Nauzubillah min zalik. Mudah-mudahan kita dijauhkan daripada melakukan sifat derhaka ini tanpa sedar. Insaflah, walau sebesar mana pun jasa dicurahkan kembali si anak, tidakkan mampu membalas pengorbanan seorang ibu hatta setitis air susunya. Wallahu’ alam. 

Akhir kata, bingkiskan selalu doa ini;
“Ucapkanlah wahai anak, ‘Ya Tuhanku, kasihilah kedua-dua ibu bapaku sepertimana mereka berdua mengasihi aku sewaktu aku kecil’.” (Al-Isra’ : 24)


Catatan Editor Anis Mei 2015

May 18, 2009

SELAMAT HARI IBU!



10 Mei yang lalu, anak bongsu saya bertanya, "Umi hari ni hari apa?"
Saya jawab, "Hari ni hari Ahad."
"Bukan, hari ini Hari Ibu!" Soraknya gembira sambil menghulur sekotak ice lemon tea siap berbungkus cantik. Di luar bungkusannya tertulis 'Selamat Hari Ibu.'
"Wah! Ini beli kat mana?" tanya saya kembali. "Cikgu jual di sekolah..."katanya gembira. Walaupun terkulat-kulat dipaksa minum air kotak di pagi hari minggu itu, naluri ibu saya tersentuh sekali dengan ingatan si kecil.
Dan tidak lama kemudian, sehelai kad bertulis 'Selamat Hari Ibu' dari abangnya Ali pula tertera cantik di depan mata. Masing-masing berebut nak menyatakan 'cintanya' pada si ibu, barangkali...
Dan tengahari itu saya terima pula panggilan si abang dari asrama meminta dibawa pulang ke rumah sebentar. Rindu si abang terlerai akhirnya apabila dapat mencium tangan dan pipi saya ibunya. Setelah membalas ciuman di pipinya si abang bergegas-gegas naik ke kereta semula untuk pulang semula ke asrama.
Terima kasih buat anak-anak umi semua. Sebenarnya tanyalah pada mana-mana ibu, tidak pernah kami mengharapkan apa-apa ucapan atau hadiah istimewa kerana kami adalah ibu.
Menjadi ibu bererti kita mesti mewah memberi dan terus memberi. Kerana itulah keistimewaan seorang ibu... Semoga belum terlambat untuk saya terus mengucapkan SELAMAT HARI IBU untuk semua ibu-ibu walau di mana jua anda berada. Semoga terus menjadi ibu mithali dan ibu sejati...

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...