Showing posts with label Corat-coret Keluarga. Show all posts
Showing posts with label Corat-coret Keluarga. Show all posts

November 10, 2014

Emak dan Kisah Kain Perca



Pulang ke kampung halaman, emak mengajak saya ke kedai sahabatnya, Kak Mah dan Abang Li yang berniaga roti canai. Pasangan ini dahulu berjiran dengan kami. Menguli dan menebar roti canai menjadi kemahiran Abang Li dalam mencari nafkah keluarga. Sehingga kini saya gemarkan roti canai mereka kerana walaupun sudah sejuk ia masih gebu dan enak dimakan. Ketika kami menikmati sarapan pagi, Kak Mah sempat meluahkan rasa hatinya.
 
“Alhamdulilah, dahulu kami ada jiran yang baik macam Cik Mimi. Sewaktu awal berniaga memang susah, kalau anak-anak bangun dan tiada apa nak dimakan, saya cakap dengan mereka, ‘Pergilah rumah Cik Mimi, tengoklah kut ada apa-apa... .“  Saya tersentak mendengarnya. Hati emak begitu murni. Seingat saya masa itu emak pun berniaga kecil-kecilan dengan membuat kuih-muih seperti karipap, kuih gelang, seri muka dan lain-lain di surau taman kami. Jiran-jiran sukakan kuih-muihnya yang diadun cukup lemak dan rasa.

Kreativiti mencari duit sendiri telah bersemadi sejak kecil dengan niat membantu adik-adik di bangku sekolah. Apabila berumah tangga ada sahaja perkara yang dibuat membantu pendapatan bapa yang hanya bekerja sebagai pembantu hospital. Waktu dulu gaji memanglah kecil. Dengan berniaga sampingan menjual ikan waktu pagi, emak pula berjualan kuih-muih. Hidup berjimat cermat menjadi basahan hidup mereka dalam menyara kami sekeluarga. Apa saja yang boleh dihasilkan menjadi pendapatan sampingan. Kain-kain perca yang tidak digunakan tukang jahit diambil dan dibuat kain selimut tampal. Memang selesa memakainya. Kadang-kadang dibuat pelapik kaki pelbagai bentuk. Selalunya ada saja jiran datang menempah sehingga tidak menang tangan.

Pernah saya membawa ke Kuala Lumpur untuk dijual kepada rakan-rakan, dia berpesan, “Tak payah jual mahal-mahal.” Saya mengangguk, walaupun dalam hati terasa macam tak berbaloi kerana hendak membuatnya memakan masa sehari suntuk. ‘Bilalah nak untung?’ fikir saya. Rupa-rupanya emak sedang menitipkan suatu didikan pada diri saya. Baginya dalam berniaga pun perlu terapkan sifat untuk beramal jariah. Pahala orang memakainya akan sampai kepada kita sampai bila-bila. Lantaran itu saya lihat walaupun hidup tidak mewah dan emak hanya seorang suri rumah tetapi ada sahaja sumber ‘rezekinya’ yang tidak diduga. Padanya walaupun kita susah, pasti ada orang lain yang lebih susah yang perlu dibantu. 

Secebis kisah ini saya coretkan untuk peringatan diri ini dan juga sesama rakan pembaca yang dikasihi. Kalau kita resah soal rezeki, ingatlah REZEKI KITA MILIK ALLAH. Dan Allah mengatur rezeki kita dengan pelbagai cara. Cuma kita sebagai manusia perlu lebih berusaha dan berikhtiar di samping bertawakal kepada-Nya. Sentiasa pandang kesusahan orang lain, baharulah kita berasa kesusahan kita tidak sebesar mana. Membantu meringankan kesusahan orang lain pun salah satu kunci membuka rezeki.


Emak dan Apak (Hajah Zamimi dan Hj Abdul Rahman) sentiasa menitip 1000 ilmu untuk bekalan anak-anak mengatur kehidupan.

Berkat asuhan dan didikan emak dan Apak, saya berpeluang mengembara dengan bakat penulisan yang dikurniakan. Syukur... .


October 08, 2012

Di mana medan peperiksaan kita sebenar?



"Jangan panik, jangan panik!"
Insya-Allah esok merupakan hari yang bersejarah buat anakanda keeempat saya, Muhd Nurali Adli yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi tahun 2012. Dalam minggu-minggu terakhir ini saya sering lihat dia sering dilanda resah, fikiran melayang tidak menentu, barangkali memikirkan apakah yang bakal dijawab nanti dalam dewan peperiksaan. Walaupun segala usaha sudah dikerah seperti mengulangkaji bersama guru-guru dan rakan-rakan sekolah.

Seingat saya itulah perasaan yang kita alami suatu ketika dahulu - mengingat kembali takah-takah peperiksaan yang pernah hadir dalam roda hidup dahulu - bermula Penilaian Darjah Lima (kini bertukar UPSR) kemudian ke SRP (kini bertukar PMR) dan seterusnya SPM sebelum melanjutkan ke institusi pengajian tinggi atau IPTS, takah-takah peperiksaan tidak pernah berhenti selagi mana kita mahu bergelar seorang penuntut.

Sebagai ibu apa yang sering saya ingat-ingatkan pada Adli (panggilan manja anak bongsu lelaki saya ini - memang perangainya pun manja yang amat) setelah berusaha dengan segala kudrat yang ada, jangan lupa bergantung kepada Tuhan. Saya sering bisik-bisikkan dalam waktu kritikal seperti ini, jaga solat - amalkan lima waktu tanpa ditinggal kerana bagaimana Allah mahu limpahkan kejayaan kalau dalam masa yang sama kita derhaka kepada-Nya. 

Kita mahu pelbagai perkara dalam hidup kita, tetapi hak kita sebagai hamba sering kita ringan-ringankan. Hak Allah terhadap kita sering dipersoalkan, tetapi bagaimana pula hak kita kepada-Nya yang sengaja kita culaskan tanpa alasan. Dia hanya mendengar dengan senyum sumbing di bibir, kerana apa yang saya perkatakan itu benar belaka.  

Sebagai ibu saya akan tetap mendoakan kejayaan buat setiap anak. Berjaya atau gagal adalah terletak pada usaha yang dilaburkan ... ibarat kata man jadda wa jadda ertinya barangsiapa berusaha dia akan mendapatnya. Namun sebagai hamba yang lemah, kita tidak terlepas daripada pergantungan kepada-Nya. Semoga Adli dan rakan-rakan seperjuangannya diberi ketenangan dan ilham oleh Allah dalam menjawab peperiksaan esok kelak. Namun jangan dilupa kita bakal berdepan dengan 'medan peperiksaan' yang pastinya lebih mendebarkan. 

Medan peperiksaan sebenar
Di mana medan peperiksaan kita yang sebenar? Medan peperiksaan seorang insan tidak akan berakhir di dunia, tidak berakhir apabila jasad dikambus tanah, malah ia berlanjutan ke hari segala perkara akan dihisab.  Dari sekecil-kecil perkara bermula dari soal solat dan lain-lain amalan, segalanya akan di'audit' oleh para malaikat. Pada hari Yaumil Mahsyar itu segala manusia dan jin akan dibaris-bariskan untuk dihitung amalan satu persatu.
Oh ... rupa-rupanya kita sering tersasar dalam pemikiran lalu tersasar dalam tindakan:
1. Selama ini kita resah memikirkan apakah soalan yang bakal ditanya pada hari peperiksaan, sepatutnya kita lebih resah memikirkan soalan-soalan yang bakal ditanya oleh para malaikat pada hari pembalasan. 
2. Kita resah memikirkan kemampuan kita untuk menjawab segala persoalan, sepatutnya kita patut jauh lebih resah memikirkan apakah bekalan kita sudah cukup untuk dibawa ke sana.
3. Kita resah memikirkan hari keputusan bagi peperiksaan, sepatutnya kita patut jauh lebih resah memikirkan apakah kesudahan nasib kita - ke syurga atau ke neraka. 

.... Sepatutnya kita patut lebih resah apakah kita berjaya melalui medan peperiksaan yang debarannya jauh berganda-ganda dahsyatnya. Mampukah kita berjaya melalui titian Siratul Mustaqim dengan jayanya, atau tubuh kita bakal menjadi jilatan dan sambaran api neraka-Nya yang tidak mampu kita bayangkan. Nauzubillah minzalik. 

September 23, 2012

Bukan Bandar Seribu Kenangan...

Kalau anda tanyakan pada saya, bandar apakah yang paling menarik di dunia? Saya tidak ragu-ragu menjawabnya, ia adalah Kuala Kangsar. Ia bukan sahaja dikenali sebagai Bandar Diraja tetapi secara peribadi ia adalah kota seribu kenangan. Mengapa saya katakan begitu? KK - singkatan Kuala Kangsar bukan sahaja dianugerahkan Allah suatu pemandangan yang cukup menarik, dengan aliran sungai yang lemah gemalai memberi nadi kehidupan sejak zaman berzaman, di situ berhimpunnya budaya penduduk setempat yang memiliki keunikan tersendiri. Kuala Kangsar banyak berjasa dalam hidup saya. Di sini saya dilahirkan dan menimba ilmu dari universiti kehidupan dalam ruang awal proses kedewasaan hidup saya. Maka atas sebab itulah terlalu banyak kenangan berputar dan berpusar pada kota yang kini semakin diterjah arus pembangunan. Kini hampir dua dekad menjadi warga kota, kota KK akan tetap saya kunjungi. Biarpun hanya setahun sekali kala Aidilfitri menjenguk lagi dalam kamus diri. Insya-Allah, inilah janji saya, selagi ada hayat dikandung badan akan saya perturunkan pada pewaris generasi saya bahawa di sinilah kehidupan ibu mereka bermula. Harapan saya agar mereka menjadi anak-anak akan terus mengingati akar budaya mereka di samping kental mengekalkan jati diri biar sehebat mana ancaman dan dugaan menjengah zaman. Wahai anak-anakku, ingatlah kota KK bukan sekadar bandar seribu kenangan...

June 21, 2010

Terima Kasih Ayah!


Awan mendung berarak tenang. Rintik-rintik hujan mula menyimbahi bumi tatkala kaki saya melangkah ke daerah sunyi ini. Retina mata cuba melihat sepuas-puasnya pemandangan yang terbentang di hadapan mata. Tiada apa yang menarik. Di celah-celah hutan, bunga kantan mekar kembang di celah-celah kelopak menyambut rombongan keluarga saya yang hanya datang setahun sekali.
Unggas rimba bagaikan berzikir. Pohon-pohon buluh di sekeliling tegak berdiri menambahkan wajah suram. Tunggul-tunggul kayu dan batuan sungai berceracak di sana-sini. Hanya itu sebagai lambang peringatan insan yang sudah lama bersemadi. Berehat sebentar di alam barzakh menuju persinggahan ke negeri abadi!
Salam ke atasmu wahai penghuni kubur dan insya-Allah kami akan bersama kalian tidak lama lagi...suara kecil saya menyebar salam sambil masuk ke perkarangan tapak perkuburan lama ini. Melewati taman ini, saya berasa seakan-akan dikembalikan sebentar ke dunia anak-anak. Masih segar dalam ingatan, tangan ayah memegang erat tangan kecil saya bersama abang-abang. Apa yang saya ingat ayah tak pernah lupa membawa kami menziarahi kuburan atuk dan opah setiap kali raya menjelang.
Namun kami tidak kisah. Dengan tekun dan sabar kami menunggu ayah menyabit lalang yang meninggi. Kami menunggu dan terus menunggu walau ketakutan datang bertandang. Tapi di hati tidak tercuit rasa marah atau jemu walaupun betis kaki kami menjadi habuan sang nyamuk yang kelaparan. Selesai terang kubur atuk dan opah, ayah memimpin kami membaca tahlil dan berdoa. Ayah berdoa sambil suara-suara kecil kami mengaminkan. Air di bawa menjirus kubur atuk opah yang tak pernah kami tatap wajah mereka. Kenangan 30 tahun lalu mengusik kalbu saya pada hari pertama Aidilfitri 1430 Hijrah.
Hari ini, sekali lagi ayah setia dengan cangkul dan cerek airnya. Ziarah raya ke rumah sanak saudara tidakkan lengkap kalau ke mari. Dan kesekian kalinya, wajah ayah bermandi peluh. Tapi tidak sepadan dengan usia, kudrat ayah masih kuat. Ditebasnya rumput panjang di sana sini. Bila bersih barulah kami mula duduk bertinggung dan membacakan tahlil. Saya kagum dengan semangat ayah. Ayah tidak pernah lupa di mana kedudukan kubur atuk dan opah yang tidak bertanda. Hanya batu sungai yang tidak bernama terbenam di tanah dikelilingi semak samun yang hanya terang setahun sekali. Tapi radar hati ayah yang begitu dekat hatinya pada kedua ayah ibu yang sudah lama bersemadi tak pernah tersilap menentukan di mana kedudukannya.. Kalau ayah tiada lagi, mampukah kami anak-anakmu mencari kubur tak bertanda ini lagi...desis hati saya lagi.
Terima kasih ayah walau di usia emas ini engkau telah menunjukkan teladan yang sangat istimewa. Bukan saja pada kami anak-anakmu tapi pada zuriat kami yang akan mewarisi perjuangan gigihmu...
Bersama catatan hati saya kali ini saya ingin merakam ucapan 'Selamat Hari Bapa' istimewa buat semua bapa terutama Apak saya iaitu Haji Abdul Rahman Kulop Karim. Kaulah insan istimewa yang telah sama-sama mengikat janji berjuang bersama-sama bondaku Zamimiy Haji Mohd Nor. Jasamu, baktimu dan pengorbananmu akan kami kenang sepanjang masa selagi hayat dikandung badan.


Ziarah wajib yang dipimpin apak saya setiap kali pulang menziarah sanak-saudara di Kg. Pauh, Kuala Kangsar, Perak.

March 29, 2009

Payung Siapa Paling Cun?




Gaya para peserta mewarnakan payung masing-masing

Saban tahun saya akan ke Kompleks Kraftangan, di Jalan Conlay. Sudah jadi rutin saya ke sini. Sama ada untuk acara perasmian atau mengambil gambar dekorasi berteras kraf tempatan. Tahun ini tidak sempat pula saya. Hajah Jalilah meminta jurufoto baru kami bernama Anis ke sana seorang diri.
Sabtu minggu lalu sebelum Hari Kraf berakhir saya ajak anak-anak saya berkunjung ke acara Hari Kraf Kebangsaan 2009 yang bermula 18 Mac lalu. Mula-mula mereka semua tak nak maklumlah anak-anak remaja zaman ini. Tapi akhirnya dalam paksa rela semuanya berangkat pergi. Bukan apa nak sama ajak mereka hayati keindahan kraftangan negara. Tak perlulah nak berbangga dengan produk luar negeri tu. Produk tempatan tak kurang hebatnya. Juga nak educate anak-anak how to be creative, bagi kain jadi batik, bagi kayu atau batu jadi kerawang, bagi daun mengkuang jadi tikar, bagi apa saja semuanya jadi benda kreatif. Semuanya boleh buat duit, pokok pangkal tanya diri.
Beberapa kali tawaf akhirnya kami pun dah nak balik, guruh di langit pun dah berdentum-dentum tanda hari nak hujan. Tapi anak lelaki bongsu kami, Ali Adli merengek-rengek nak menyertai pertandingan mewarna ukiran. Jadi kami pun berpatah semula ke tapak khemah. Rupa-rupanya di situ sedang berlangsung pertandingan mewarna payung. Tak tahu macam mana kami pun terjoin sama. "Masuk kak, menang ke tidak semua dapat hadiah. Payung pulak boleh bawa balik," kata petugas di situ. Kami pun ambil warna dan mula melukis...Emm nak lukis apa ye? Maklumlah selama ni asyik pegang pen dan buku nota, juga keyboard komputer tiba-tiba dapat berus dan warna. Seingat saya kali terakhir pegang berus lukisan masa zaman sekolah dulu.
Anak beranak siapkan mewarna. Masa diberi satu jam saje...
Selesai melukis, payung tu diserahkan pada para petugas untuk diadili para juri yang arif lagi bijaksana. Berdebar-debar juga rasa hati sebab semua payung cantik-cantik belaka. Tak sangka payung kami tu jadi 'Top Five' pula. Kira-kiranya kami ni berbakat jugaklah jadi artis ye. Lepas ni boleh lah pencen jadi wartawan...

Hasilnya inilah keputusan yang diambil para juri yang bijaksana.
Payung Keluarga Ismail dapat no. 5
Pemenang no 4,3 dan 2.

Pemenang pertama Payung paling cun. Memang cantik, temanya gula-gula dan candi.
Maaflah Amoi akak tak sempat nak interbiu korang semua sebab lepas tu hujan turun berderu-deru. Semua peserta cabut lari bersama payung masing-masing termasuklah kami. Tahun depan kita jumpa lagi...

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...