Luhurnya
kasih sayang seorang ibu pernah membuatkan Sayidatina Aisyah bt. Abu Bakar menitiskan
air mata. Dalam sebuah kisah diriwayatkan oleh Ahmad, Sayidatina Aisyah r.a. pernah
menceritakan kisah seorang ibu dan dua orang anaknya. Mereka datang meminta
makanan.
Sayidatina Aisyah r.a. berkata, “Saya pun beri tiga biji kurma kepada
si ibu. Si ibu membahagi-bahagikan kurma itu sesama mereka. Semasa si ibu
menyuapkan kurma itu ke mulutnya, tiba-tiba anak-anaknya memandang ke arah ibu
mereka. Ibu itu meluahkan kembali kurma itu lalu membelahnya. Setiap anaknya
itu mendapat separuh daripada kurma milik si ibu. Hatiku tersentuh lalu mataku
basah melihat mereka.
Tiba-tiba
Nabi Muhammad SAW masuk dan bertanya, “Mengapa kamu menangis, wahai Aisyah?”
Saya menjawab, “Wahai pesuruh Allah, saya terharu melihat kasihnya ibu pada
anak-anaknya. “Saya pun menceritakan peristiwa yang baru berlaku sebentar
tadi.”
Begitulah
fitrah kasih seorang ibu – di hatinya tersemadi kasih sayang yang tidak
pernah bernoktah! Di sebalik kelembutan,
dia mempunyai kekuatan yang amat luar biasa. Dengan kekuatan emosi yang Allah
anugerahkan, seorang ibu sanggup mengorbankan kesenangan dirinya demi
membahagiakan insan-insan di sekelilingnya termasuklah anak-anak.
Mengenang
pengorbanan dan kasih sayang ibu, bukan sahaja agama Islam, agama mana pun
melarang sama sekali penganutnya menderhakai kedua-dua ibu bapa. Al-Quran
menukilkan perintah ini dalam firman-Nya: “Dan
Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah
mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung
hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua
tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu
bapamu, dan (ingatlah) kepada Aku-lah jua tempat kembali (untuk menerima
balasan)”. (Luqman: 14)
Sempena
Hari Ibu yang diraikan bulan ini, ANIS mengangkat tema APABILA IBU MELAHIRKAN ‘TUAN’, bagi menghurai fenomena lahirnya
anak-anak derhaka sebagai petanda akhir zaman. Fenomena yang disebut dalam
hadis Nabi SAW ini akan dikupas secara terperinci oleh Ustaz Khafidz Soroni dan
juga Ustazah Maznah Daud dalam Sumbu
ANIS bulan ini.
Pendakwah
bebas iaitu Ustaz Abdullah Mahmud juga menghurai lebih lanjut ciri-ciri
kederhakaan seorang anak yang boleh menyebabkan kita terjebak dalam lembah
kemurkaan-Nya. Antara lain, beliau mengupas istilah ‘anak derhaka’ yang sering
disalah tafsir kepada sikap seorang anak terhadap ibu bapa yang masih hidup
sahaja.
Sedangkan kederhakaan seorang anak itu masih boleh terus berlaku walaupun
setelah kedua orang tua meninggal iaitu apabila anak-anak tidak melakukan
ketaatan kepada perintah Allah. Nauzubillah min zalik. Mudah-mudahan kita
dijauhkan daripada melakukan sifat derhaka ini tanpa sedar. Insaflah, walau
sebesar mana pun jasa dicurahkan kembali si anak, tidakkan mampu membalas
pengorbanan seorang ibu hatta setitis air susunya. Wallahu’ alam.
Akhir
kata, bingkiskan selalu doa ini;
“Ucapkanlah
wahai anak, ‘Ya Tuhanku, kasihilah kedua-dua ibu bapaku sepertimana mereka
berdua mengasihi aku sewaktu aku kecil’.” (Al-Isra’ : 24)
Catatan Editor Anis Mei 2015
No comments:
Post a Comment