January 31, 2013

Part 1 Travelog Beijing - Nostalgia Istana Musim Panas


6.28 pagi: 

Pesawat MH 370 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, China. Sebaik melangkah keluar, hawa sejuk sudah mula dirasai. Angin sejuk dari Siberia menampar-nampar pipi kami yang terus menggigil kesejukan, biarpun sudah bersedia dengan jaket dan baju panas.

Suhu mencecah  -9 selsius di bawah paras beku. Suhu terendah yang dicatat di Beijing sejak sepuluh tahun lalu. Namun ia tidak sedikit pun melemahkan semangat dan perasaan teruja saya dan 43 ahli rombongan yang lain untuk meneroka bandar raya kedua terbesar di Republik Rakyat China ini selepas Shanghai.

Sebagai kuasa besar ekonomi dunia, Beijing menjadi pusat transit pelbagai bangsa untuk urusan perniagaan dan perdagangan. Bandar raya yang empat kali berbanding Kuala Lumpur ini mencatat bilangan populasi rakyatnya berjumlah 28 juta orang – menyamai jumlah seluruh rakyat Malaysia!

Sebagai ibu kota, bandar raya Beijing yang dahulunya dikenali dengan Peking, menyimpan nilai estetika yang begitu tinggi kerana pernah menjadi pusat pemerintahan Maharaja China yang silih berganti dari pelbagai dinasti.  

Gambaran pertama 

Sebaik mengambil bagasi masing-masing, kami terus beredar keluar. Terasa lega dapat keluar dari biokrasi pemeriksaan yang agak menjengkelkan perasaan sebentar tadi. Gambaran pertama di Beijing agak tercalar sedikit. 

Di tepi aspal, bas persiaran berwarna putih sudah siap menanti. Sebaik saja mendapat tempat duduk masing-masing bas mula bergerak. Mata saya memerhati dengan teliti landskap bandar raya Beijing yang dibungkus aura sejuk sejak Oktober lalu. 

Tiada apa yang menarik, hanya tunggul pokok dan rantingnya yang berdiri di sepanjang jalan raya. Saya teringat semula peristiwa di 'airport' iaitu layanan kurang mesra dan berat sebelah pegawai-pegawai imigresennya, lantas saya bertanya pada diri, "Adakah kesejukan ini membuatkan warganya juga bersikap dingin?" Namun terlalu awal untuk menyatakan iya. 

Kami tiba pada hari Sabtu. Tidak ramai warga Beijing di jalan raya, mungkin ramai yang masih dibalut selimut. Namun walaupun baru sebentar tiba, sesuatu yang pasti ingin saya kongsikan ialah suasana bandarnya sentiasa bersih daripada sampah sarap di jalanan. Mata saya aman sekali menatapnya. Namun hati tertanya-tanya ke mana destinasi kami seterusnya? Adakah mengikut aturacara yang sudah tertera dalam jadual?

8.55 pagi:  
Istana Musim Panas

Rombongan kami terus diberi taklimat oleh seorang pemandu pelancong. Namanya David Yang, fasih berbahasa Inggeris. Katanya pada hari pertama ini kami tidak akan terus ‘check-in’ di hotel sebaliknya terus melawat beberapa tempat di sekitar Beijing. Katanya kami akan dibawa ke Summer Palace atau Istana Musim Panas. 15 minit kemudian, kami pun tiba di pekarangan pintu masuknya. 

Apa yang menarik mengenai Istana Musim Panas yang didirikan pada zaman Dinasti Qing ini? David Yang memberitahu, taman diraja yang terbesar di China ini sangat cantik pada musim panas. Ia mekar indah dengan pohon teratai yang berkembang menghiasi Tasik Kunming. Lantaran itu ia menjadi taman kesukaan maharaja China terutamanya Maharani Cixi yang cukup terkenal dalam landskap pemerintah diraja negara China. 

Dari jauh saya perhatikan sebuah istana yang dipisahkan oleh sebuah Tasik Kunming. Beberapa buah bot tersadai di tepiannya. Biarpun airnya sudah membeku dan kami hanya menatap deretan pohon-pohon kering di sekelilingnya, ia tetap menghadiahkan panorama menarik.  Sejam lebih berada di situ, kami beredar keluar semula. Walaupun masih mahu mengambil foto-foto menarik tetapi saya dan rakan setugas serta rombongan lain tidak sanggup berlama-lamaan di situ.

Cuaca dinginnya begitu mengilukan. Untuk menekan kamera pun tangan saya terketar-ketar biarpun dilapisi sarung tangan. Muka pula terasa bagai disiat-siat dan perit sekali sehingga memaksa saya menarik tudung menutupi muka. Saya juga terlupa memakai 'long john' (baju tebal) ketika di dalam kapal terbang tadi. Mafla juga tiada. Hanya berbekalkan kot tebal dan sehelai topi nipis. Teringat pesanan suami yang saya ingkari. Hmm sekarang rasakanlah... Maka apa lagi terketar-ketarlah saya menahan sejuk. Brrrr.... . Itulah nostalgia saya di Istana Musim Panas pada hari pertama di Beijing. 

Tasik Kunming, tasik buatan manusia yang dipenuhi pohon teratai pada musim panas. Kini airnya membeku. 

Salah satu binaan yang dihiasi ukiran tradisional China. Tempat berehat melepas lelah.  

Jambatan penghubung istana diraja di sebelah sana. Hanya mampu dilihat, tidak mampu diseberangi dek halangan cuaca. 

No comments:

Catatan 17.10.2018

Pagi ini saya ada temujanji di Jabatan X-Ray, Hospital Selayang. Alhamdulillah, anakanda Syamil tolong hantarkan saya di si...